Khamis, 23 Ogos 2007

Keharmonian kaum mesti dipelihara

JAWATAN kosong di sebuah syarikat swasta. Mesti mampu menguasai bahasa Mandarin dengan baik". Itu antara syarat yang diiklankan, selain kriteria kelulusan akademik dan pengalaman pemohon.

Iklan sedemikian tidak sekadar menghiasi ruangan iklaneka di dada akhbar, malah begitu meluas disebarkan menerusi internet. Apa yang menyedihkan selain syarikat multi-nasional, sebahagian syarikat swasta tempatan juga mengenakan syarat seperti itu.

Isu ini bukan perkara baru. Sudah banyak kali diperkatakan termasuk pada peringkat kepemimpinan tertinggi negara. Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekali lagi menegur syarikat swasta mengenakan syarat sedemikian sehingga menyebabkan timbul tanggapan bahawa sektor awam untuk Melayu dan swasta untuk Cina.

Pemimpin nombor satu negara itu secara terbuka menyatakan rasa kurang senang terhadap wujudnya syarat sedemikian. Beliau mahukan supaya peluang dibuka kepada semua supaya tidak berlaku sebarang diskriminasi kepada mana-mana kaum. Hal ini amat penting demi prinsip pemerintahan adil dan saksama sebagaimana dilaksanakan kerajaan sejak merdeka.

Kita sudah hampir 50 tahun negara merdeka. Seharusnya tidak lagi wujud syarat yang boleh mendiskriminasi atau meminggirkan mana-mana kaum. Asas integrasi dan perpaduan kaum yang kukuh dibina sejak awal oleh pemimpin terdahulu seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V T Sambathan sebelum diteruskan pemimpin selepas itu sehingga sekarang.

Syarat wajib menguasai bahasa Mandarin yang ditetapkan sesetengah majikan sebagai kriteria pengambilan pekerja bersifat berat sebelah dan tidak adil, malah Kementerian Sumber Manusia pernah menegaskan ia tidak membenarkan sama sekali kerana ia hanya akan menjejaskan peluang pekerjaan kaum lain.

Apa salahnya, jika ada keperluan dalam bahasa berkenaan sekalipun, majikan bertindak menaja atau menganjurkan kursus tertentu, bukannya menjadikan ia syarat pengambilan pekerja kerana ia boleh 'membunuh' terus peluang graduan yang tidak fasih berbahasa Mandarin, terutama Melayu dan India serta etnik lain di Sabah dan Sarawak.

Syarikat swasta terbabit meletakkan banyak syarat tersurat dan tersirat yang menyukarkan graduan Melayu mendapat pekerjaan di syarikat berkenaan. Kerajaan sendiri sentiasa membuka ruang dan peluang kepada semua graduan menyertai sektor awam, malah untuk menyertai skim peluang graduan menganggur. Kerajaan sama sekali tidak pernah membezakan antara kaum, atas prinsip dasar pemerintahan yang adil dan saksama demi perpaduan dan keharmonian kaum.

Bercakap mengenai perpaduan juga, isu pelajar Malaysia di Taiwan, Wee Meng Chee nampaknya belum berkesudahan. Selepas lagu Negaraku, timbul pula cerita lagu Kawanku/My Friends yang menghina orang Melayu.

Sama ada lagu kawanku itu dicipta sebelum atau selepas lagu Negaraku bukanlah persoalan, tetapi yang penting di sini ialah sejauh mana anak muda kita sendiri menghormati sensitiviti kaum yang ada di negara ini. Kalau sudah ada di kalangan anak bangsa kita sendiri tidak sayangkan bangsa dan negaranya, apa akan jadi pada masa depan negara kita?.

Apa yang dilakukan Meng Chee atas nama 'Namewee' itu adalah model yang tidak baik bagi generasi muda di negara kita. Memang dia hanya satu orang saja remaja yang berbuat demikian, tetapi penyebaran lagu ciptaannya menerusi internet dan terkini sudah ramai yang memuatkannya sebagai nada dering di telefon bimbit, menyebabkan ramai yang mungkin terpengaruh.

'Kerana nila setitik rosak susu sebelanga'. Adalah dikhuatirkan perbuatannya akan menjadi ikutan jika tiada tindakan tegas diambil segera terhadapnya. Pergerakan Puteri Umno sendiri mahu supaya tindakan mengikut Akta Hasutan 1948 dikenakan terhadap pelajar itu kerana perbuatannya atas niat apa sekalipun, boleh mencetuskan ketegangan kaum.

Perkara pokok di sini ialah semua pihak dan setiap warga negara mesti komited terhadap hasrat nasional untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang menjuarai keharmonian kaum. Sebagai warga negara yang bertanggungjawab juga kita mesti tanamkan dalam-dalam perasaan positif. Walaupun kita berbeza keturunan, masyarakat dunia melihat kita sebagai satu nama iaitu Malaysia.

Ia bererti, setiap perkara yang kita lakukan mesti mengambil asas pertimbangan kepentingan bersama agar negara terus makmur. Biarlah kemesraan dan persefahaman yang kita pupuk semakin erat.

Di sebalik perbezaan, rupanya banyak persamaan yang kita sepakatkan. Bukankah selama ini kita mampu berkongsi kampung yang sama? Sekolah sama, padang permainan sama, menaiki kenderaan sama, bahkan kita turut sama ziarah-menziarahi ketika susah dan senang.

Justeru, jaga dan peliharalah keharmonian kaum yang kita kecapi selama ini agar Malaysia terus cemerlang, gemilang dan terbilang.

Oleh Datuk Noraini Ahmad

Datuk Noraini Ahmad adalah Ketua Puteri Umno

Berita Harian
21 Ogos 2007