Bersama Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Kemerdekaan Negara ke-50
Hari Kebangsaan ke-50 jadi sempadan generasi muda ubah masa depan negara
SEPULUH hari lagi, kita akan menyambut ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara. Namun, masih ramai terutama generasi muda tidak tahu pengertian pengisian kemerdekaan.
Pengisian kemerdekaan itu dapat dilihat dalam tiga sudut kejayaan. Pertama kejayaan anak negara mengisi kemerdekaan dengan menduduki jawatan yang ditinggalkan penjajah dalam pelbagai bidang, khususnya pentadbiran negara menerusi perundangan dan tugas khusus.
Kedua, kematangan politik tanah air, iaitu walaupun acuannya ditinggalkan oleh British, tetapi sejak Tunku Abdul Rahman Putra hingga ke zaman Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kita sudah mencorakkan keperibadian Malaysia sendiri. Dalam soal ini, oleh kerana kebijaksanaan pimpinan negara menentukan hala tuju keadilan menerusi sistem mahkamah dan keluhuran undang-undang, kita dijadikan negara contoh dalam Komanwel yang berjaya. Ia juga diakui bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan yang baru-baru ini berkunjung ke Kuala Lumpur.
Ketiga, hasil dasar pendidikan, ia mampu melahirkan beribu-ribu profesional bagi menjana pembangunan negara dan pelbagai eksperimen dalam mencapai kejayaan masa depan. 50 tahun sudah menampakkan kejayaannya tersendiri. Ketiga-tiga perkara itu adalah pengisian secara langsung kemerdekaan negara ini. Dalam pada itu, kita juga mahu meningkatkan usaha pengisian identiti menerusi bahasa, kebudayaan dan warisan sendiri. Sebab itu, Perdana Menteri mewujudkan kementerian ini dan berharap langkah untuk merealisasikan matlamat itu dicapai.
Lazimnya apabila menyambut kemerdekaan negara, acara utama adalah mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbolik meningkatkan semangat patriotisme serta cintakan negara. Bagaimana Datuk Seri melihat fenomena itu?
Dalam mengisi kemerdekaan, pelbagai kaedah boleh dibuat. Tetapi dalam musim kita menyambut kemerdekaan 50 tahun, sebenarnya gema dan perasaan cinta terhadap negara perlu berada di dalam diri kita terlebih dulu. Bukan sebab kami di kementerian melaksanakan program itu maka kita cintakan negara. Bagaimana anak dapat pendidikan, kita dapat hidup selesa aman damai dan Malaysia dapat curahkan nikmat hidup. Itu menyebabkan kita rasa sayang.
Kempen kibar Jalur Gemilang adalah simbol kita bersama. Sebagai sebuah negara, kita tidak utamakan bendera dulu... apalah yang hendak kita kemukakan. Kempen kibar Jalur Gemilang sudah bermula selepas pelancarannya oleh Perdana Menteri di Melaka, Jumaat lalu. Apa juga dilakukan untuk negara adalah selaras pengisian kemerdekaan itu.
Saya tidak nafikan, bendera adalah simbol patriotisme paling jelas. Kita meminta rakyat mengibarkan Jalur Gemilang di rumah mereka. Ia mungkin jadi angan-angan Mat Jenin kerana pesanan demi pesanan sudah disuarakan tetapi tidak tercapai.
Kami berharap lebih ramai mengibarkan Jalur Gemilang dan lebih banyak syarikat melakukan perkara sama. Kita juga meminta setiap ahli politik dan kakitangan awam meletakkan bendera pada kenderaan masing-masing. Sekarang kita mempunyai 13 juta kenderaan. Kalau kita dapat lima juta kenderaan mengibarkan, sudah cukup. Kita rayakan merdeka selama setahun. Saya optimis, tiba saja tarikh itu semua perlu kibarkan. Kita mahu lihat semarak kibaran Jalur Gemilang di segenap tempat dan pelusuk tanah air.
Apakah program yang disediakan sempena Hari Kebangsaan?
Selepas pelancaran di Melaka Jumaat lalu, maka pada 29 Ogos ini diadakan majlis keagamaan masing-masing. Masyarakat beragama Islam mengadakan doa selamat dan khutbah khas di Masjid Negara (Yang di-Pertuan Agung dan pemimpin hadir) serta masjid di seluruh negara.
Penganut agama lain juga akan dilawati pemimpin kerajaan dan berdoa mengikut cara mereka supaya Malaysia terus gemilang. Pada 30 Ogos kita adakan sambutan Ambang Merdeka di Dataran Merdeka. Semasa 30 Ogos 1957 diadakan beberapa adegan detik kemerdekaan diulangi semula seperti menurunkan bendera Union Jack, menaikkan bendera Persekutuan dan menyanyikan Lagu Kebangsaan.
Kita juga akan menerangi suasana dengan kelipan cahaya. Kita turut mengambil kepakaran luar negara untuk menggunakan kaedah pencahayaan bangunan dengan gambar dan logo kemerdekaan di Dataran Merdeka. Kita akan memanggil 14 rakyat Malaysia bernama Merdeka untuk diperkenalkan kepada Perdana Menteri.
Pemuda Umno dengan berpakaian putih akan mengimbas semula menaiki motosikal menyambut Perdana Menteri. Pemuda MCA dan MIC juga menyertai program berkenaan sesuai dengan rentetan sejarah 1957 dulu. Di Dataran Merdeka pada malam itu adalah adegan politik kembali untuk disiarkan dan dilihat generasi sekarang.
Ini bermakna malam itu dipenuhi aktiviti memperingati kemerdekaan dan tiada program lain?
Ya, Perdana Menteri akan memberi ucapan dan di depan bangunan Sultan Abdul Samad kita akan adakan pelbagai acara lain di mana rakyat mengambil bahagian mengikut salur galur tahun terbabit. Kita sudah meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya tidak diadakan program nasional lain.
Pada 31 Ogos, diadakan perbarisan. Tahun ini diadakan berbeza dari tahun sebelumnya. Kita adakan mengikut segmen, iaitu pramerdeka, bagaimana kita dijajah, perarakan mengikut zaman Tunku, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pak Lah. Setiap dasar besar yang dijayakan akan diserlahkan menerusi perbarisan dan kereta berhias.
Selain itu, kita akan serlahkan sambutan dengan mengutarakan mengenai sesuatu dasar kerajaan diwujudkan oleh setiap pemimpin negara serta dilengkapi lagunya sekali. Contohnya, pertanian menjadi tulang belakang ketika zaman Tun Razak seperti Felda, Buku Hijau dan Merah. Sementara itu, keharmonian rakyat kita jelmakan menerusi pelbagai gerak kerja yang dilakukan pelajar.
Kira-kira 24,500 pelajar mengambil bahagian dalam perarakan, pementasan, nyanyian dan pelbagai acara yang dimulakan sejak 17 Ogos lalu hingga 31 Ogos. Pada sebelah petang (31 Ogos), kita adakan jamuan teh bagi kenamaan luar negara di Istana Negara. Kita menjangkakan The Duke of Yoke mewakili Queen Elizebeth hadir selain Presiden Indonesia, Perdana Menteri Singapura, Sultan Brunei, ketua kerajaan negara lain.
Kita jemput 16 ketua dan pembesar negara yang mewakili negara masing-masing sesuai dengan sejarah selepas Merdeka iaitu 16 negara pertama mengadakan hubungan diplomatik pada masa itu. Yang di-Pertuan Agong akan meraikan tetamu itu. Pada sebelah malam, kita adakan Merdeka Raksasa di Stadium Merdeka yang dijangka dihadiri 24,000 orang dan kita akan memastikan ia menjadi lebih gemilang dengan kehadiran semua Raja-raja Melayu serta wakil luar negara. Pak Lah akan mengambil peranan Tunku dan buat pertama kali mengadakan tayangan hologram di stadium. Di situ kita bahagikan mengikut pencapaian zaman semua Perdana Menteri sebelum ini.
Semua yang hadir akan berbaju putih dan menjadi sebahagian daripada skrin manusia. Dengan bunyian yang gamat perayaan itu akan lebih hebat. Pada 10 September di Kuching, Sarawak, Perdana Menteri akan mengumumkan perayaan merdeka setahun sebagai persediaan tahun depan.
Sejauh mana kesungguhan masyarakat pelbagai kaum menyambut kemerdekaan negara?
Dalam mesyuarat jawatankuasa, semua memberi komitmen dan tidak ada kaum tertinggal, dari keturunan Portugis hinggalah Orang Asli mengambil bahagian dalam perayaan kali ini. Kita bersama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) membekalkan bendera. Bagi kaum Cina dan India serta masyarakat di Sabah dan Sarawak, semua sudah menerima seruan bahawa kemerdekaan 50 tahun itu sebagai satu pembaharuan yang mula muncul dan sama dinikmati.
Di sini kita tekankan, kemerdekaan 50 tahun bererti sampai masanya kita berkebolehan menentukan apa yang baik dan sebaliknya di negara ini. Oleh itu, Hari Kebangsaan ke-50 ini menjadi sempadan kepada kita dan perubahan pada masa depan.
Sejauh mana nilai penghayatan Hari Kebangsaan terutama generasi selepas merdeka?
Ia amat berat untuk dijawab. Didikan untuk menghargai serta menghayati merdeka adalah di tangan guru dan ibu bapa. Jika sekarang baru mahu memberi penghargaan itu, sudah tentu terlewat. Semua sekolah, kolej, institusi pengajian tinggi tentunya sudah mendidik pelajar ke arah itu. Bagi saya, simbol pertama menyambut hari merdeka adalah sekurang-kurangnya bendera sehelai. Saya akui terjemahan pesanan mengenai merdeka di sekolah dan universiti tidak sampai ke bawah.
Bagaimanapun, dalam perarakan kali ini generasi muda mengambil bahagian. Penyertaan institusi pengajian tinggi dalam perarakan itu secara menyeluruh dan di sekolah sudah babitkan murid dalam pelbagai program. Saya berharap dengan ada program seumpama itu, suasana merdeka itu sudah terasa dan mereka adalah generasi selepas merdeka. Ia sebenarnya perlu diterapkan dalam kursus sivik, bina semangat, sahsiah dan sebagainya untuk memastikan penghayatan itu terus tersemai di jiwa mereka.
Pada sambutan kali ini kita juga mahu peningkatan pembabitan daripada belia. Pemuda Umno, MCA dan MIC memainkan peranan pada kali ini. 50 tahun kemerdekaan negara ini adalah hasil usaha perjuangan politik pemimpin terdahulu. Ketiga-tiga parti terulung ini diminta supaya menampakkan peranan mereka.
Malaysiaku Gemilang dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan ke-50. Apakah signifikan pemilihan tema ini selepas enam tahun menggunakan tema KeranaMu Malaysia?
Kami pilih tema itu bagi mencorakkan falsafah Perdana Menteri, yang menyusun ungkapan Cemerlang, Gemilang dan Terbilang sebagai gambaran pemikiran bahawa negara ini cantik, gemilang dan penuh pencapaian yang perlu dibanggakan. Tema KeranaMu Malaysia sudah enam tahun diguna pakai. Kita sudah lihat tahun demi tahun perancangan dan gemanya sudah diketahui.
Bak kata orang, pesaka bergilir, zaman beredar dan sekarang Malaysiaku Gemilang pula berkumandang dan kita akan isikan programnya yang menjuruskan kepada kegemilangan mencerminkan kejayaan, kebaikan, ketulusan dan kesungguhan kita mencantikkan negara bangsa kita sendiri.
Dalam soal ini, selepas pelancaran bulan kemerdekaan membawa konsep Malaysia Gemilang ke sekolah dan negeri dalam acara budaya dan warisan supaya nampak pencapaian dan pengisian kemerdekaan. Saya percaya tema itu juga akan diguna pakai untuk beberapa tahun akan datang. Kita ambil 50 tahun, gerak kerja kita setahun akan datang dan dalam tempoh setahun tidak mencukupi untuk mengibarkan falsafahnya, pengertiannya serta implikasi mengenai kegemilangan tanah air.
Kegemilangan yang dicapai anak jati negara ini dalam pelbagai bidang itu perlu ditonjolkan. Kita juga terbitkan sebuah buku bertajuk Malaysia Di Usia 50. Kita sediakan gambar bagi menerangkan semua kejayaan dicapai dari seorang penoreh getah kepada nelayan dan daripada Perdana Menteri hinggalah orang biasa.
Berita Harian
21 Ogos 2007