Khamis, 23 Ogos 2007

Penjagaan alam sekitar beri pahala berterusan

HADIS sahih diriwayatkan Anas ra menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda, bermaksud: “Ada tujuh pahala yang tetap diterima seseorang apabila dia mati kelak, iaitu: Orang mendirikan masjid dan masjid itu terus digunakan orang ramai sebagai tempat ibadat; Orang mengalirkan air sungai selagi orang tetap menggunakannya; Orang menulis mushaf selagi masih ada orang membacanya; Orang menggali perigi selagi ada orang memanfaatkannya; Orang menanam tumbuhan selagi ada yang memakan buahnya (sama ada manusia atau binatang); Orang mengajarkan ilmunya selagi ilmu itu diamalkan oleh mereka yang mempelajarinya dan orang meninggalkan anak soleh dan anak itu sentiasa mendoakan kesejahteraan kedua-dua orang tuanya”.

Hadis ini menjelaskan tiga golongan manusia yang sentiasa mendapat pahala secara berterusan, biarpun sudah meninggal dunia. Golongan pertama ialah mereka yang membina rumah ibadat yang kemudian digunakan untuk tujuan kebaikan umat. Golongan ini menggunakan harta atau kepakarannya untuk mendapat pahala berpanjangan.

Golongan kedua ialah mereka yang membangunkan modal insan menerusi kepakaran dalam bidang penulisan dan pendidikan. Menerusi bahan penulisan bermutu, ilmu dapat dikembangkan, hikmah diperluaskan dan amalan soleh dibudayakan. Selain itu, modal insan terbina menerusi pendidikan bermula di rumah dengan peranan utama dimainkan ibu bapa dan disokong golongan pendidik di institusi pendidikan pada peringkat sekolah rendah hingga pengajian tinggi. Dalam konteks lebih luas, pembinaan sesebuah negara berpaksikan kepada keupayaan penjanaan modal insan berkualiti dan berwawasan.

Golongan ketiga ialah mereka yang melestarikan alam sekitar. Secara spesifik hadis ini menjelaskan mengenai tiga kelompok iaitu mereka yang memulihara sungai, sumber air dan tumbuhan.

Memulihara sungai dalam konteks hadis ini tidak terhad kepada ‘mengalirkan air sungai’ saja. Pada hemat saya, hadis ini turut menganjurkan kita memastikan air sungai tidak tercemar, kualiti airnya sentiasa boleh dimanfaatkan dan persekitarannya menyenangkan.

Jika diperluaskan maknanya, ‘mengalirkan air sungai’ juga boleh ditafsirkan sebagai dasar, teknologi, pengurusan, amalan profesional, budaya dan sikap yang berkaitan dengan pengurusan sungai, sama ada untuk tujuan pengairan pertanian, minuman, pembersihan, pemulihan semula air sisa terawat, perindustrian, pelancongan dan pengangkutan.

Peranan ini membabitkan semua pihak khususnya penggubal dasar di Parlimen atau agensi penguat kuasa, pemimpin masyarakat, pengurus, penyelidik, penyelia, pendidik, pengamal media, pendukung badan bukan kerajaan dan individu prihatin.

Pada hemat saya, mereka yang tidak tergolong dalam kelompok ‘mengalirkan air sungai’ ialah individu yang tidak prihatin terhadap masalah pengurusan sungai. Bagi mereka kepentingan dan peranan sungai tidak termasuk dalam kamus kehidupan. Mereka juga tidak berusaha untuk memastikan orang ramai memulihara sungai secara lisan, tulisan atau amalan. Mereka yang mencemarkan sungai bukan saja tidak tergolong dalam maksud hadis ini bahkan mendapat dosa kerana menyusahkan orang ramai, malah menghalang usaha ‘mengalirkan air sungai’.

Kelompok kedua ialah ‘orang menggali perigi selagi ada orang memanfaatkannya’. Dari segi konsep ‘menggali perigi’ ialah melestari dan mengurus sumber air. Pada zaman moden ini, perigi masih digunakan di kawasan pedalaman. Dalam perspektif perbandaran moden, ‘perigi’ merangkumi tiga aspek, iaitu sumber air (biasanya sungai), loji rawatan air dan sistem pengagihan bekalan air menerusi paip. Maknanya, pelestarian sumber air atau sungai sekali lagi diberi keutamaan dalam amalan yang mendapat pahala berpanjangan menurut hadis ini.

Dengan adanya sumber air mencukupi dan berkualiti, barulah air dapat dimanfaatkan. Jika air tidak mencukupi, maka empangan terpaksa dibina, atau sumber bawah tanah digali. Sekiranya kualiti air itu tercemar, loji rawatan air diperlukan untuk membuang kotoran yang boleh membahayakan kesihatan awam. Pengagihan bekalan air juga penting kerana memudahkan orang ramai supaya tidak lagi perlu mengangkut air ke rumah.

Pada hemat saya, konsep ‘menggali perigi’ ialah penggunaan teknologi bagi membolehkan sumber air digunakan untuk kemudahan awam. Ini termasuk mencari sumber air yang lebih baik, menggunakan teknologi lebih canggih untuk merawat dan membekal air kepada pengguna. Konsep ini juga boleh diperluaskan kepada inisiatif penyelidikan dan inovasi untuk membolehkan teknologi air lebih canggih dan bersesuaian dimajukan.

Kelompok ketiga ialah ‘orang menanam tumbuhan selagi ada memakan buahnya sama ada manusia atau binatang’. Tumbuhan atau pokok dalam hadis ini merangkumi empat aspek iaitu buah-buahan, sayuran, tumbuhan landskap dan hutan. Manfaat buah-buahan dan sayuran memang mudah difahami kerana dapat diperoleh secara langsung oleh manusia dan haiwan.

Selain itu, pada hemat saya, hadis ini juga menganjurkan kita menanam pokok untuk tujuan landskap dan perhutanan. Dalam konteks masyarakat Arab di Makkah dan Madinah pada zaman Rasulullah, pokok untuk landskap penting di kawasan wadi. Pokok inilah yang mendinginkan suasana dan menyediakan tempat untuk berteduh. Dalam konteks padang pasir, hutan mungkin tidak begitu relevan sehingga hadis ini jarang ditafsirkan dalam konteks persekitaran iklim tropika.

‘Buah’ dalam konteks hadis ini ialah manfaat tumbuhan itu sama ada dari segi pemakanan, peneduhan, pendinginan persekitaran, penyerapan karbon dioksida dan penjanaan oksigen.

Dengan kata lain, menanam pokok, mewartakan kawasan hutan dan mengawal kegiatan pembalakan juga adalah dianjurkan dan tergolong dalam kelompok mereka yang mendapat pahala secara berpanjangan.

Hadis ini menjelaskan bahawa Islam menyediakan kerangka cukup luas dan menyeluruh dalam usaha kita membangunkan negara, menjana modal insan minda kelas pertama dan melestarikan alam sekitar, seperti yang dihuraikan dalam gagasan Islam Hadhari.

Oleh Prof Dr Zaini Ujang

Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia

Berita Harian
21 Ogos 2007