Khamis, 23 Ogos 2007

Semangat patriotisme patut jadi agenda rakyat

CABARAN dalam membina sebuah negara bangsa pada era globalisasi dan dunia tanpa sempadan kini semakin mencabar. Usaha membina generasi muda perlu ditekankan mengikut acuan dan kerangka pemikiran masa kini dan akan datang. Justeru, remaja khususnya pelajar mesti diasuh dengan nilai keinsanan bersifat glokal, berani dan kompetitif; bijaksana tetapi tidak kurang ajar; patriotik dan menyayangi negara. Cabaran ini perlu digalas semua pihak dengan penuh komited kerana kesan daripada arus globalisasi dan perkembangan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) boleh mendedahkan rakyat dengan pelbagai budaya baru yang ada antaranya tidak sesuai dengan cara hidup kita. Dalam keadaan begitu, hanya jati diri yang kukuh dan perasaan cintakan negara mampu menjadi benteng bagi mempertahankan unsur berbentuk negatif daripada terus meresapi jiwa anak muda. Menyedari hakikat inilah, langkah mewujudkan Dasar Patriotisme Negara amat diperlukan supaya generasi masa depan dapat mengekalkan ciri-ciri bangsa yang mempunyai jati diri kukuh supaya terpelihara daripada unsur tidak sihat yang semakin menular. Malah, sejarah menunjukkan bahawa kecemerlangan akademik dan segulung ijazah semata-mata tidak menjanjikan pembentukan jati diri yang jitu dan seperti ditegaskan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kelmarin, hanya kekuatan dalaman yang terhasil daripada semangat patriotisme boleh membantu remaja menilai yang mana baik dan betul.

Kita bersetuju dengan resolusi Kongres Patriotisme Remaja kelmarin yang mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan Majlis Patriotisme Negara serta dasar mengenainya bagi menentukan hala tuju program patriotisme yang bakal dilaksanakan di seluruh negara. Bagi membolehkan program berkenaan dilaksanakan secara komprehensif mengikut haluan yang betul, pandangan pelbagai pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan serta Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional amat diperlukan. Kita berharap pelaksanaannya kelak tidak akan bertindih dengan program dilakukan agensi lain dan meliputi semua kaum di negara ini. Badan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan syarikat swasta juga boleh memainkan peranan penting dalam usaha ini menerusi pelbagai kegiatan bermula dengan sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara agar program membentuk jati diri dan memperkukuhkan semangat patriotisme ini bukan sekadar menjadi program kerajaan semata-mata tetapi turut mendapat perhatian semua golongan rakyat tanpa mengira kaum.

Semangat patriotik yang menjadi tunjang kekuatan pejuang kemerdekaan negara perlu disemai di kalangan rakyat supaya Malaysia terus kekal menjadi negara berdaulat dan bermartabat. Semangat patriotik inilah yang menyatupadukan pemimpin pelbagai kaum di bawah kepemimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra sehingga berjaya mengalahkan dasar pecah dan perintah penjajah British ketika rakyat menuntut kemerdekaan negara setengah abad lalu. Walaupun gerakan menuntut kemerdekaan dimulakan orang Melayu, kaum Cina dan India turut menyertainya kerana mereka juga memiliki semangat patriotik untuk membebaskan negara daripada penjajahan dan menentukan sendiri masa depan rakyat dan negara. Untuk memantapkan jati diri dan semangat cintakan negara, adalah wajar menerapkan silibus khas sebagai subjek teras baru di setiap universiti. Remaja sekarang kurang mengetahui latar belakang dan sejarah negara Malaysia. Mereka hanya mempelajari subjek Sejarah di sekolah rendah dan menengah yang ada ketikanya tidak mampu melahirkan generasi yang cintakan tanah air sendiri.

Berita Harian
21 Ogos 2007