Khamis, 23 Ogos 2007

Tanah Melayu cuma Negeri Lindungan

Mahkamah British tidak pernah anggap penguasaan sebagai penjajahan

SABAN tahun ketika sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan, pelbagai program disusun. Namun, satu perkara yang tidak harus dilupakan ialah betapa kita dihidangkan kisah pejuang kemerdekaan dan kegetiran hidup pada era penjajah.

Biar sebesar mana sekalipun kesan kekuasaan British terhadap negara, satu hakikat yang perlu disedari bahawa dari segi undang-undang, negeri Melayu tidak pernah menjadi tanah jajahan British. Pada status undang-undang, kedudukan negeri Melayu di bawah British sehingga 1957 (kecuali 1946 hingga 1948) hanya bertaraf Negeri Lindungan.

Pandangan mereka yang beranggapan istilah Tanah Jajahan dan Negeri Lindungan tidak mempunyai sebarang makna dalam konteks sejarah penguasaan British terhadap negeri Melayu, sesungguhnya satu fahaman dangkal.

Satu peristiwa yang berlaku pada 1912 mungkin dapat menghakimi kedua-dua istilah itu dengan lebih jelas. Pada tahun berkenaan, seorang Pegawai Daerah British di sebuah daerah di Perak yang bersempadan dengan Seberang Prai (wilayah negeri Selat) meminta bantuan pasukan polis Negeri Selat untuk mengawal keadaan kerana desas-desus akan berlaku rusuhan.

Beberapa tangkapan dibuat, namun mahkamah memutuskan penangkapan itu di luar undang-undang. Keputusan hakim menegaskan bahawa pasukan polis Negeri Selat tidak mempunyai kuasa membuat tangkapan sebaik saja mereka menyeberangi sempadan Perak.

Ini disebabkan Perak bukan wilayah jajahan Britain dan tarafnya dalam konteks hubungan dengan Britain hanya sekadar Negeri Lindungan.

Persoalannya di sini, jika penghakiman mahkamah kolonial tidak pernah menganggap negeri Melayu sebagai tanah jajahan Britain, mengapa kita sendiri menerima dan mengakui bahawa Tanah Melayu adalah sebahagian daripada Tanah Jajahan Britain.

Tulisan ini bukan bertujuan untuk mengelirukan pembaca, tetapi sebagai penyelidik yang banyak mengkaji isu sebegini, saya suka mencadangkan sebutan ‘Tanah Melayu pernah dijajah oleh British’ lebih tepat digantikan dengan ‘Tanah Melayu pernah dikuasai oleh British.’

Ini disebabkan di sepanjang sejarah pentadbiran British di negeri Melayu, sememangnya jelas pemerintahan hal ehwal dalaman negeri Melayu dikuasai pihak British.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna dengan penguasaan itu, negeri Melayu sudah menjadi hak British kerana tidak ada sebarang perjanjian atau peristiwa (kecuali pada 1946 menerusi Malayan Union) yang menunjukkan berlaku peralihan kedaulatan daripada pemerintah tempatan kepada pihak British secara penyerahan.

Dalam konteks ini, pihak British bukannya tidak berkemampuan untuk melakukan paksaan terhadap pemerintah tempatan, tetapi London sejak 1873, memutuskan bahawa perluasan pengaruh British ke negeri Melayu tidak akan dilakukan secara penjajahan.

London hanya berminat menjadikan negeri Melayu sebagai Negeri Lindungan lantaran membenarkan wakilnya iaitu Gabenor Negeri Selat yang berpusat di Singapura membuat perjanjian dengan pemerintah tempatan dan seorang Residen British ditempatkan di negeri Melayu bagi memastikan pengaruh British dapat berakar kukuh.

Sebagai Negeri Lindungan, hubungan luar negeri Melayu dikawal British. Namun begitu, kedaulatan dalaman negeri Melayu kekal di tangan raja-raja Melayu.

Oleh sebab itu, sebarang campur tangan British terhadap hal ehwal dalaman negeri Melayu mestilah dilakukan menerusi perkenan raja-raja Melayu sama ada dengan perjanjian atau melalui surat perkenan baginda.

Dasar London yang menghalang campur tangan secara penjajahan, amat tidak disenangi pegawai British yang bertugas di negeri Melayu. Bagi mereka, terlalu sukar untuk mengubah dan membina pentadbiran negeri Melayu mengikut sistem dan nilai British memandangkan setiap tindakan legislatif dan eksekutif perlu terlebih dulu mendapat perkenan dan pengesahan raja-raja Melayu.

Bagi mengurus tanggungjawab mereka secara lebih berkesan, pegawai tertinggi British di negeri Melayu mula mengambil langkah mencipta pelbagai muslihat khususnya untuk memastikan perkenan raja-raja Melayu mudah dilentur oleh mereka.

Perjanjian yang ditandatangani dengan raja-raja Melayu sengaja disamarkan dan pembentukan institusi yang berkuasa membuat dasar dan keputusan kerajaan dipastikan berada dalam kawalan pegawai British.

Pada 1925, W S Gibson, Penasihat Undang-undang British bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) menegaskan bahawa semua undang-undang yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Persekutuan antara tempoh 1909-1925 dianggap tidak sah kerana kaedah kelulusannya tidak lahir daripada sumber kuasa yang betul.

Menurut Gibson, NNMB bukan tanah jajahan British dan disebabkan tarafnya sebagai Negeri Lindungan British, semua undang-undang yang diluluskan mesti mendapat perkenan raja-raja Melayu sebelum ia dikuatkuasakan. Ini disebabkan, raja-raja Melayu adalah satu-satunya sumber kuasa yang ada kerana unsur kedaulatan kekal di tangan baginda dan bukannya pada Pesuruhjaya Tinggi.

Bagaimanapun, hasrat British untuk mencantumkan kesemua negeri Melayu di bawah satu pentadbiran direalisasikan selepas Perang Dunia Kedua. Kegagalan Malayan Union berikutan penentangan orang Melayu diselesaikan dengan termeterainya Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 21 Januari 1948 apabila semua negeri di Tanah Melayu dicantumkan di bawah satu sistem persekutuan.

Status negeri Melayu dari segi undang-undang kekal seperti sebelum Perang Dunia Kedua iaitu bertaraf Negeri Lindungan British. Meskipun demikian kedaulatan yang dikembalikan kepada raja-raja Melayu tidaklah seperti sebelumnya kerana sebahagian daripada kedaulatan baginda perlu diserahkan kepada Kerajaan Pusat bagi membolehkan kerajaan terbabit mempunyai bidang kuasa dalam perkara tertentu khususnya untuk kepentingan keseluruhan persekutuan.

Seperkara yang perlu difahami di sini, meskipun kita dimerdekakan oleh British, kita tidak dibebaskan sebagai tanah jajahan. Persekutuan Tanah Melayu dibebaskan sebagai Negeri Lindungan British kerana kemerdekaan yang dicapai tidak membabitkan sebarang penyerahan kedaulatan daripada pihak British kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu kecuali dalam kes Pulau Pinang dan Melaka.

Pada 31 Julai 1957, Akta Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu diluluskan oleh Parlimen Britain. Akta ini secara khusus memberi kuasa kepada Ratu Great Britain menamatkan kedaulatan dan bidang kuasa baginda berhubung Melaka dan Pulau Pinang yang sebelum ini adalah sebahagian daripada Negeri Selat.

Selain itu, semua kuasa dan bidang kuasa baginda berkaitan dengan negeri Melayu atau persekutuan secara keseluruhannya juga ditamatkan.

Pada 5 Ogos 1957, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 ditandatangani antara Pesuruhjaya Tinggi British bagi pihak Baginda Ratu dengan raja-raja Melayu. Perjanjian ini mewujudkan sebuah persekutuan bagi negeri yang dinamakan Persekutuan Tanah Melayu, terdiri daripada negeri Melayu, Melaka dan Pulau Pinang mulai 31 Ogos 1957.

Mulai tarikh itu, Melaka dan Pulau Pinang terhenti menjadi sebahagian daripada dominion Baginda Ratu dan Baginda Ratu juga berhenti daripada menjalankan kedaulatan ke atas kedua-dua negeri terbabit.

Serentak dengan itu, semua kuasa dan bidang kuasa Baginda Ratu atau Parlimen British berhubung Negeri Selat, negeri Melayu atau persekutuan secara keseluruhannya ditamatkan.

Ordinan Perlembagaan Persekutuan 1957 bagi memberi kuasa undang-undang kepada perjanjian berkenaan serta kepada perlembagaan yang baru diluluskan oleh Dewan Perundangan Persekutuan.

Setiap badan perundangan negeri juga meluluskan Enakmen Negeri bagi menyetujui dan memberi kuat kuasa kepada Perlembagaan Persekutuan.

Oleh Dr Ahmad Kamal Ariffin Mohd Rus

Dr Ahmad Kamal Ariffin Mohd Rus adalah pensyarah Jabatan Sejarah, Universiti Malaya

Berita Harian
21 Ogos 2007