Ahad, 16 September 2007

Gegaran susulan berterusan 2 minggu


JAKARTA: Gempa susulan berterusan di sepanjang pantai barat Sumatera untuk tempoh dua minggu akan datang berikutan gempa bumi yang melanda wilayah itu Rabu lalu, kata pakar seorang pakar yang dipetik The Jakarta Post, semalam.

“Penduduk akan masih merasakan gempa yang berukuran di antara tiga hingga lima skala Richter berikutan pusat gempa bumi belum stabil,” kata Ketua Bahagian Gempa Bumi dan Tsunami Agensi Kaji Cuaca dan Geofizik (BMG), Fauzi.

Katanya, dianggarkan 100 gempa susulan selepas gempa bumi pertama dengan lima daripadanya adalah berukuran 6.6 hingga 7.7 skala Richter.

Beliau berkata, BMG masih menjalankan pemantauan di kawasan terjejas dan status berjaga-jaga masih diteruskan di kawasan terbabit.

Sementara itu, seorang lagi pegawai berkata, bilangan penduduk yang maut dalam gempa bumi besar melanda kepulauan Sumatera minggu lalu meningkat kepada 23 orang.

Pegawai kanan Kementerian Kesihatan, Rustam Pakaya, berkata keseluruhan 23 orang meninggal dunia di Bengkulu dan beberapa wilayah di Sumatera Barat, dua daerah paling dekat dengan pusat gempa bumi manakala 88 lagi cedera.

Sementara itu, 22,000 rumah di kawasan itu runtuh atau rosak.

“Di Bangkok, gempa bumi berukuran 4.7 pada skala Richter dilaporkan berlaku di Laut Andaman awal semalam,” kata ketua jabatan kaji cuaca Thailand.

Suparerk Tansriratanawong berkata, gempa bumi itu melanda Laut Andaman kira-kira 600 kilometer dari wilayah Selatan Thailand, Ranong, pada jam 8.08 pagi waktu tempatan. – Agensi