Isnin, 17 September 2007

Islamofobia subur di Barat


Kerakusan rampas hak Muslim punca konflik di Dunia Islam


PERMASALAHAN umat Islam terus meruncing dan ketara ketika lebih satu bilion penganutnya menyambut Ramadan yang masuk hari keempat, hari ini.

Sebut saja perkataan konflik, kita tentu menyebut Iraq, Afghanistan, seterusnya Palestin dan Sudan atau mungkin juga Somalia.

Bagi orang lain, mungkin juga mereka akan merujuk kepada keadaan orang Islam di Kashmir, Chechnya mahupun Bosnia.

Terbaru, masyarakat antarabangsa digemparkan dengan kekecohan politik di Pakistan yang menyaksikan bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif diusir ke Arab Saudi oleh kerajaan Presiden Pervez Musharraf yang bagaimanapun, menerima kepulangan seorang lagi bekas pemimpin, Benazir Bhutto.

Berkemungkinan juga, orang tertentu akan membincangkan permasalahan atau pertentangan Iran dengan dunia Barat berhubung isu nuklear.

Begitu juga dengan kejadian penculikan 23 warga Korea Selatan di Afghanistan oleh pejuang Taliban terus memudaratkan imej Islam.

Di setiap negara yang disebut itu, pelbagai faktor terbabit untuk menerangkan sebab-sebab negara berkenaan mengalami kesulitan.

Faktor terbaru disuarakan pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai perkauman, Doudou Diene, yang menyifatkan Islamofobia atau kebencian terhadap agama Islam sebagai mengancam keamanan dunia.

Diene memberitahu 47 anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva bahawa, sikap membenci Islam sebagai satu cara memandang agama itu dalam konteks terbalik, terutama media Barat.

Contoh gerakan anti-Islam itu dikesan berdasarkan penyiaran karikatur terbaru menghina Nabi Muhammad oleh akhbar Sweden; bantahan kumpulan berhaluan kanan di Belgium yang menentang ‘Islamisasi Eropah’ serta kempen menentang pembinaan masjid di Jerman dan Switzerland.

Penyiaran karikatur menghina Rasulullah oleh majalah Denmark mencetuskan bantahan Dunia Islam tahun lalu.

“Kami melihat banyak kumpulan dan pertubuhan melancarkan inisiatif dan berusaha mencetuskan perang ketamadunan,” kata peguam Senegal itu yang menekankan ada pihak terbabit menyamakan Islam dengan keganasan.

Wakil Pakistan pada majlis itu, Masood Khan, sebagai wakil Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mengulas: “Media antarabangsa terus menggunakan tindakan segelintir kumpulan ekstremis sebagai alasan untuk menuduh semua Muslim termasuk agama itu (menggalakkan keganasan).”

Wakil Kesatuan Eropah (EU) dari Portugal, Goncalo Silvestre, menolak pandangan Diene bahawa kritikan media Barat itu terhadap agama Islam umpama sikap perkauman.

“EU tidak setuju fitnah terhadap agama sama seperti diskriminasi. Kedua-duanya berbeza,” kata Silvestre yang menambah agama tidak perlu dilindungi undang-undang antarabangsa.

Diene, bagaimanapun, menegaskan: “Penyiaran karikatur seumpama itu membuktikan asas keamanan tergugat tanpa prinsip kerjasama antara budaya dan agama. Kebebasan bersuara tidak boleh digunakan sebagai cara atau alasan menghasut kebencian kaum dan agama.”

Beliau menegaskan dalam laporan 21 muka surat bahawa Islamofobia meningkat begitu ketara sejak insiden serangan pesawat di Amerika pada 11 September 2001.

Diene mungkin terlalu sopan untuk tidak merujuk kepada ucapan Pope Benedict tidak lama dulu mengenai Islam dan Nabi Muhammad.

Pun begitu, itu tidak bermakna tiada intelek Barat yang mengecam putar belit media dan pemimpinnya mengenai apa yang berlaku terhadap umat Islam.
Buku nukilan wartawan veteran Sri Lanka, Latheef Farook berjudul ‘War On Terrorism’ - The Untold Truths (Kempen Menentang Keganasan - Kebenaran yang tidak diceritakan) memetik kata-kata sinis Harold Pinter, pemenang hadiah Nobel Kesusasteraan 2005 mengutuk serangan tentera Amerika di Iraq.

“Serangan tentera ke atas Iraq adalah satu perbuatan jenayah, terang-terang keganasan oleh sebuah kerajaan, menunjukkan sikap tidak peduli langsung kepada undang-undang antarabangsa.

“Kita melakukan seksaan, menggugurkan bom berangkai, uranium, pelbagai bentuk pembunuhan, penderitaan dan kematian kepada penduduk Iraq serta menggelarkannya ‘membawa kebebasan dan demokrasi ke Asia Barat.

Berapa banyak yang perlu dibunuh sebelum kamu layak digelar pembunuh beramai-ramai? 100,000? Saya fikir, itu sudah lebih daripada cukup.”

Buku Farook mengandungi 25 tajuk, kesemuanya menceritakan latar belakang dan tragedi menimpa umat Islam berpunca daripada kerakusan dan ketamakan negara Barat dalam strategi menindas penduduk Islam selain memberi pandangan daripada pihak Islam mengenai apa yang berlaku.

Farouk berkata, kempen memerangi keganasan kini adalah perang global terhadap Muslim dan Islam. “Kempen yang membawa kemusnahan ini dirancang dengan rapi dan dilaksanakan dengan licik mensasarkan aspek politik, tentera, ekonomi, kewangan, sosial, agama serta budaya Muslim di seluruh dunia.

“Bush secara terbuka mengisytiharkan perang terhadap orang Islam apabila menegaskan perlunya melaksanakan kempen berdarah terhadap golongan radikal Islam.

“Beliau gagal mentakrifkan siapakah radikal Islam itu dan sekali gus meletakkan semua Muslim sebagai suspek.

“Hari ini, lelaki Muslim yang berjambang dan wanita yang memakai tudung sudah takut untuk mengunjungi negara asing khususnya negara Barat dan kebanyakan penduduk Teluk dan Asia Barat tidak lagi pergi ke Amerika dan Eropah sebaliknya mengunjungi Malaysia dan negara Asia lain untuk percutian tahunan mereka bagi mengelak daripada dimalukan atau menghadapi masalah lain,” katanya.

Malah, kempen anti-Muslim ini sebenarnya bermula sebelum 9/11 lagi di Bosnia.

“Dunia Islam menjadi saksi bagaimana penduduk Muslim Bosnia diseksa, diperkosa dan dibunuh lebih empat tahun secara sistematik dan masyarakat antarabangsa hanya menjadi pemerhati.

“Itulah yang berlaku pada 11 Julai 1995 apabila 7,000 lelaki dan wanita Islam termasuk yang sudah tua dibunuh beramai-ramai di ‘zon selamat PBB’ di Srebrenica, kekejaman terburuk di Eropah sejak Perang Dunia Kedua, dengan pengaman Belanda tidak berbuat apa-apa,” kata penulis itu lagi.

Lebih memilukan lagi apabila Presiden George W Bush tanpa segan silu melabel Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon, sebagai ‘tokoh keamanan’ ketika memberi sambutan permaidani merah kepada perancang kekejaman dan pembunuhan Palestin di Sabra dan Shatilla.

Farook juga mengupas insiden serangan bom di London pada 7 Julai 2005 yang menyaksikan 56 kematian.

Seperti yang berlaku di New York dan Washington, (Perdana Menteri Britain) Tony Blair menuduh Muslim bertanggungjawab tanpa melakukan siasatan rasmi terlebih dulu meskipun ada lebih 6,000 kamera di seluruh kota itu.

Blair menyifatkan langkah mengadakan siasatan itu sebagai membuang masa saja. Sebaliknya, ia menuduh al-Qaeda dan pertubuhan Islam lain yang tidak dinamakan sebagai bertanggungjawab.

Tetapi, dalam tempoh sebulan, beberapa individu yang turut maut dalam serangan itu, dikenal pasti sebagai bertanggungjawab dipercayai kerana marah dengan peranan Britain dalam kekejaman di Afghanistan dan Iraq serta hubungan rapat Blair dengan Sharon.

“Keadaan menjadi begitu serius hingga Profesor Zaki Badawi, pengerusi Majlis Imam dan Masjid menasihatkan wanita Islam tidak memakai tudung atau hijab supaya mereka tidak diserang, satu langkah perlindungan sementara.

Satu penjelasan mengapa konflik tamadun akan berterusan diperjelaskan oleh Datuk Bandar London, Ken Livingstone.

“Keperluan kepada minyak menyebabkan Barat campur tangan 80 tahun di Dunia Arab. Barat menyokong kerajaan yang tidak baik, menggulingkan kerajaan yang dianggap tidak menyokong Barat.

“Jika pada akhir Perang Dunia Pertama kita mengotakan janji membenarkan mereka memilih kerajaan sendiri dan tidak masuk campur hal ehwal Arab, sebaliknya hanya membeli minyak mereka, bukan mengawal alirannya, saya rasa semua ini tidak akan berlaku.”

Oleh Azman Abdul Hamid

Berita Minggu 16 September 2007