
ALLAH SWT mewajibkan umat Islam berpuasa melalui firmannya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sama seperti telah diwajibkan ke atas umat-umat yang terdahulu sebelum ini, supaya dengan demikian kamu akan lebih bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)
Puasa menurut pengertiannya yang luas bukan sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga tetapi lebih jauh, puasa menghendaki sebuah pengorbanan besar di mana kita seluruh umat Islam disaran supaya mempertingkatkan segala amalan kebajikan disamping menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan mungkar serta dosa.
Dalam hadis riwayat At-Tirmizi: "Aku mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda: Sesungguhnya ada tiga jenis doa dan permintaan yang sama sekali tidak akan ditolak oleh Allah, iaitu doa daripada pemimpin adil, doa orang teraniaya dan doa orang sedang berpuasa."
Menurut kajian ilmiah perubatan moden pula, keseluruhan doktor sudah bersetuju merumuskan bahawa kebiasaan berpuasa atau menahan diri daripada makan dan minum adalah satu-satunya kaedah atau jalan terbaik ke arah mengekalkan tahap kesihatan yang berpanjangan. Ini sesuai dengan sebuah riwayat menyebut: "Bahawa banyak makan dan perut buncit itu adalah sarang bagi segala penyakit."
Berlapar dan dahaga pada Ramadan memberi kesedaran betapa beratnya penanggungan lapar dahaga yang terpaksa di hadapi sesetengah manusia daripada golongan miskin dan fakir yang sukar serta sempit dalam kehidupan sehariannya.
Lalu dengan demikian, akan tergerak hati nurani untuk ikut memberi simpati dengan menghulurkan derma, pertolongan serta sedekah. Dalam sebuah hadis riwayat sahih, ada seorang datang lalu bertanya kepada Nabi Muhammad SAW mengenai sedekah manakah yang lebih baik dan utama, lalu jawab Baginda SAW: "Adapun sedekah yang paling baik dan utama ialah sedekah yang dilakukan pada bulan Ramadan."
Pada Ramadan yang mulia ini jugalah Allah SWT membukakan pintu langit, membukakan pintu syurga lalu menutup pintu neraka dan merantai sekalian iblis dan syaitan, segala permintaan doa muslimin dan muslimat yang benar-benar beramal soleh akan dimakbulkan, lebih daripada itu Allah SWT juga akan menangguhkan azab serta siksa kubur bagi mereka yang sudah mati.
Pada bulan Ramadan juga Allah SWT menurunkan kitab suci Al-Quran, sebaik-baik panduan bagi seluruh umat Islam di muka bumi sesuai dengan firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya pada bulan Ramadan ini akan diturunkan al-Quran untuk menjadi petunjuk bagi kamu, pada bulan Ramadan ini juga kami anugerahkan padanya malam Lailatul Qadar dan bahawa Lailatul-Qadar itu adalah lebih mulia dan berkat dari seribu bulan." (Surah al-Qadar, ayat 151)
Terlalu banyak riwayat, hadis serta firman Allah SWT menerangkan betapa besarnya fadilat serta keberkatan yang terkandung di bulan Ramadan. Oleh itu selaku umat Islam, kita sewajarnya mengambil peluang keemasan ini untuk melipatgandakan amalan kebajikan kerana kegagalan menunaikan ibadat puasa bukan saja akan merugikan tetapi terpaksa pula menunggu setahun lagi untuk dapat berada kembali di dalamnya.
Ini bertepatan maksud hadis riwayat at-Tirmizi bermaksud: "Barang siapa dengan sengaja meninggalkan walau satu hari pun puasanya di bulan Ramadan sedang dia tidak sakit atau uzur untuknya maka tidaklah dapat ia digantikan walaupun dengan berpuasa dia untuk seumur hidup."
Lebih daripada itu, hadis riwayat Bukhari pula menyebut: "Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan semata-mata dilakukan dengan rasa kepatuhan dan keredaan kerana Allah maka nescaya akan diampunkan segala dosanya di masa lalu."
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Dari sekian banyak pintu syurga itu maka terdapat lapan pintu yang mengandungi nikmat keindahan serta kebahagiaan luar biasa, maka salah satu darinya bernama Rayyan, lalu tidaklah akan dapat sesiapa pun masuk ke dalamnya kecuali mereka yang benar-benar taat berpuasa." (Hadis riwayat Bukhari dari Sahar bin Saad).
Oleh Zahari Hasib
Berita Harian 17 September 2007