
Kelantangan suara Melayu inspirasi perjuangan singkir penjajah
SAYA digamit untuk meneruskan bicara pagi Ahad pada 2 September lalu yang dititipkan Datuk Johan Jaaffar mengenai hal ehwal orang Melayu yang dikatakan agak tercicir. Isu yang dibawa beliau bukan perkara baru, disajikan dengan penuh sinis, tetapi adalah perkara pokok mengenai nasib kita, produk Melayu, lantaran sampai ke hari ini masih menjadi bualan sehingga ke ceruk rantau dalam nada ceria berbaur nestapa.
Yang pastinya, Melayu kita masih terus hidup seperti kata Johan: “Orang Melayu hanya ada satu sebab untuk bersatu ‘survival’ meneruskan perjalanan dalam penuh kepayahan memperbaiki taraf hidup untuk menaikkan status Melayu di tengah kerancakan pembangunan negara yang gah, bersaing di tempat sendiri dengan anak bangsa lain.” Johan mengajak kita merenung 50 tahun sebelum dan selepas merdeka dijadikan ukuran untuk sama-sama kita memikirkan arah kita sekarang, sejauh mana kita melangkah dan mengorak ke depan, arah tuju orang Melayu 50 tahun akan datang.
Dasar pecah dan perintah British memberi impak yang amat mendalam dalam hubungan antara kaum di Tanah Melayu pada waktu itu kerana ketiga-tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India saling tidak mengenali kerana pengelompokan kaum dan pemecahan sempadan kependudukan British. Akibatnya, masing-masing menganggap kaum lain orang asing. Oleh yang demikian mereka tidak punya kesempatan dan peluang mengenali secara lebih dekat budaya, amalan dan kepercayaan kaum lain, apatah lagi menjalin perasaan muhibah dan silaturahim. Walaupun ada, cuma sedikit yang berjaya memupuk semangat setiakawan. Perasaan syak mengesyaki dan buruk sangka perlahan-lahan menular di semua lapisan masyarakat. Bahang sentimen perkauman kian menampakkan kesan negatif.
Nasib orang Melayu ketika pendudukan Jepun pada 8 Disember 1941 juga tiada bezanya. British kembali menjajah Tanah Melayu di bawah Pentadbiran Tentera British (British Military Administration) selepas Jepun menyerah kalah pada 14 Ogos 1945. Tidak sampai setahun memerintah British menubuhkan Malayan Union pada 1 April 1946 yang hanya bertahan sehingga 1948. Malayan Union menyatukan 11 negeri iaitu sembilan negeri Melayu dan dua negeri Selat (Pulau Pinang dan Melaka) di bawah satu pentadbiran pusat sebagai Tanah Jajahan (Empayar British). Satu triti dimeterai dengan Raja-Raja Melayu dan meletakkan pentadbiran negeri Melayu di bawah kedaulatan British. Begitupun kuasa Raja disamatarafkan dengan kedudukan Gabenor dan amat terhad dalam hal ehwal orang Melayu, adat resam dan agama Islam. Jadi, Hak istimewa orang Melayu termasuk pendidikan memang sedia ada di setiap negeri beraja kecuali Melaka dan Pulau Pinang yang sebelum itu dilenyapkan.
British juga meletakkan syarat kewarganegaraan diberikan kepada mereka yang lahir di Tanah Melayu termasuk negeri Selat (Melaka dan Pulau Pinang), tidak terkecuali Singapura (tidak ada kena-mengena dengan Tanah Melayu pada masa itu) diberi pengiktirafan kerakyatan sebagai warga negara Tanah Melayu jika mereka sudah bermastautin selama 10 tahun daripada 15 tahun yang lalu.
Penubuhan Malayan Union dan syarat yang terkandung menggugat kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kedudukan orang Melayu. Isu status kewarganegaraan dan hak sama rata yang turut diberikan kepada semua warga negara membangkitkan kemarahan orang Melayu. Pemerintahan British dikritik dan dikecam secara terbuka dalam bentuk penentangan kerana dasar pemerintahan yang tidak seimbang dan keengganan British menjaga kepentingan serta membantu memajukan orang Melayu. Meskipun kemiskinan sebagai punca orang Melayu ketinggalan jauh, tetapi persoalannya di sini ialah kita tidak ‘layu’ disebabkan kepincangan hidup tetapi kita punya kekuatan yang luar biasa dan iltizam tinggi untuk memerdekakan tanah air daripada belenggu penjajahan meskipun tanpa sokongan kaum lain (atau pendatang) pada waktu itu kerana kedudukan mereka dijamin British di dalam Malayan Union.
Malayan Union mendapat tentangan kuat orang Melayu yang dipelopori Datuk Onn Jaafar, Zaaba dan beberapa tokoh lain. Penentangan Malayan Union mencatatkan sejarah gemilang dalam perjuangan orang Melayu apabila Datuk Onn berjaya menyatukan seluruh orang Melayu di bawah penubuhan Umno pada 11 Mei 1946 pada Persidangan Melayu Ketiga di Johor Bahru dengan pelantikan Onn sebagai ketua parti. Pergerakan Umnolah yang menjadi inspirasi, membuka mata dan minda kaum lain untuk turut sama membina sebuah negara baru menuntut kemerdekaan daripada British. Umno jugalah yang bekerja keras mensasarkan kemerdekaan yang pasti dalam genggaman anak bangsa.
Ini bermakna jika bukan kerana perjuangan Umno menentang Malayan Union jangan sesekali kita mimpikan kemerdekaan tanah air. Ini juga bermakna jika Malayan Union berjaya dikekalkan pada masa itu, bukan saja tiada kemerdekaan, malah lebih malang lagi Tanah Melayu akan terus kekal di bawah naungan British. Apa yang cukup menarik untuk dibicarakan ialah kelantangan suara di bawah satu kesatuan bangsa, iaitu Umno, Malayan Union berjaya ditumpaskan orang Melayu. Orang Melayu pada masa itu mampu berfikir secara kritis akan nasib mereka dan masa depan negara. Jika selamanya di bawah telunjuk British kita tidak akan berpeluang menapak lebih jauh seperti kita kecapi hari ini.
Apa yang kita tuntut daripada British adalah hak kita. British yang merampas hak kita dengan membawa kepakaran dari luar dengan membolot khazanah bumi kita. Mereka datang ke Tanah Melayu diberi projek mega untuk diusahakan, hak eksklusif untuk berniaga dan kawasan eksklusif sebagai kediaman baru. Peniaga dan juga pendatang datang silih berganti, selepas mencapai sasaran dan impian untuk membina kekayaan dan mencari sesuap nasi di perantauan mereka kembali ke tempat masing-masing, ibarat sirih pulang ke gagang. Tetapi nasib kita masih pada takuk lama, tiada pembelaan. Sebab itu orang Melayu berkeras dengan British untuk mempertahankan hak kita kerana tidak mahu lagi dihina di tempat sendiri.
Menyedari kesilapan mereka dalam membuat perhitungan terhadap sikap dan pemikiran orang Melayu, bendera Union Jack diturunkan, kemudian digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Januari 1948 dengan menyatukan 11 negeri (sembilan negeri Melayu, Melaka dan Pulau Pinang). Menurut bancian penduduk Persekutuan Tanah Melayu pada 1948, orang Melayu mendahului jumlah terbesar populasi iaitu 2,457,014 berbanding 1,928,965 orang Cina, 536,646 orang India, manakala kaum lain berjumlah 64,802. Bagaimanapun pada 1951, jumlah penduduk Cina hampir menyamai penduduk Melayu iaitu 2,043,971 (Cina) berbanding 2,631,154 (Melayu), manakala India berjumlah 566,371 dan kaum lain berjumlah 75,726.
Melihatkan jumlah pendatang yang semakin meningkat ditambah sumbangan mereka terhadap pembangunan ekonomi negara, British memberi tekanan kepada orang Melayu dengan meletakkan syarat kemerdekaan mestilah dikongsi dan disokong kaum lain dan ini membawa kepada penyatuan masyarakat Melayu, India dan Cina ke dalam Persekutuan Tanah Melayu. Jika syarat ini enggan dipatuhi, maka tiada kemerdekaan daripada British, tiada impian menerajui bahtera negara.
Maka bermulalah episod penubuhan parti politik Melayu dan bukan Melayu dengan objektif tertentu yang diketuai tokoh negarawan ulung yang menyedari hak kepentingan kaum masing-masing perlu dilindungi sebagai memenuhi syarat ditetapkan British, antaranya penubuhan MIC pada Ogos 1946, MCA pada 27 Februari 1949, dengan parti lain menyusul kemudian.
Rundingan demi rundingan antara wakil Raja Melayu, wakil parti pelbagai kaum dan wakil kerajaan British diselusuri dengan siri penggubalan draf Perlembagaan Persekutuan yang diketuai Suruhanjaya Reid membuktikan semua pihak bekerja keras ke arah menemukan satu bentuk persefahaman dan persetujuan dalam pelbagai tuntutan yang dimeterai dalam bentuk Perlembagaan bertulis negara. Persetujuan yang dicapai membuahkan hasil apabila British amat berpuas hati dengan kandungan Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang mengandungi 181 Perkara, akhirnya membawa kepada perisytiharan penguatkuasaan Perlembagaan Persekutuan Malaysia pada 27 Ogos 1957. Empat hari selepas itu sebagaimana yang dijanji, British menyerahkan teraju pemerintahan negara kepada anak bangsa Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya mengisytiharkan kemerdekaan Malaysia pada tanggal 31 Ogos 1957.
Apabila dikaitkan dengan Perkara 153 mengenai Hak Istimewa Orang Melayu dan Bahagian III Perlembagaan mengenai status kewarganegaraan, ramai menyalahtafsirnya dengan melihat dari sudut pandangan ‘kontrak sosial’ seperti ditafsir Johan begini bunyinya, “Orang Melayu bersedia menghormati kontrak sosial.” Sebenarnya, istilah kontrak sosial tidak harus timbul sama sekali. Kalau ada sekalipun, ia adalah pada peringkat rundingan awal dalam bentuk ‘tawar-menawar’ atau persetujuan bersama antara ketiga-tiga pemimpin pengasas tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India dalam membuat dan mencadangkan tuntutan masing-masing yang dimuatkan dalam memorandum dan kemudian diserahkan kepada Suruhanjaya Reid dalam usaha ke arah menggubal satu Perlembagaan baru bagi Persekutuan Tanah Melayu.
Istilah kontrak sosial yang sebut beberapa pihak menyentuh Perkara 153 adalah tidak tepat dan tidak terpakai dalam konteks Perlembagaan Malaysia kerana ia bukanlah perkara baru yang dibincangkan dan diputuskan di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Hak istimewa orang Melayu yang dilindungi raja-raja Melayu wujud sekian lama dan diperingatkan kepada British ketika awal pendudukan Inggeris lagi dan akan terus kekal termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai peruntukan ‘entranchment’ yang tidak boleh dipinda melainkan dengan perkenan Majlis Raja-Raja. Ia bukan kontrak sosial seperti difahami sesetengah pihak yang tidak mengetahui susur galur sejarah Melayu. Dengan kata lain, Perkara 153 bukanlah urusan yang boleh ‘dijual beli’ dalam rundingan ‘tawar-menawar’ oleh mana-mana pihak. Peruntukannya di dalam Perlembagaan tidak boleh dipertikaikan sesiapa pun. Tidak sekali-kali. Pernah terjadi pada peringkat penggubalan Perlembagaan, Suruhanjaya Reid mencadangkan Perkara 153 dilaksanakan hanya dalam tempoh 15 tahun tetapi mendapat tentangan keras daripada Umno dan Raja-Raja Melayu yang dengan lantang merujuk kepada perjanjian pengiktirafan mengenai Ketuanan Melayu yang diiktiraf British sebelum merdeka lagi. Kedudukan kita tidak boleh disamatarafkan dengan pendatang sebab itulah hak istimewa kita dilindungi Perlembagaan.
Proses ke arah pembentukan Perlembagaan baru kemerdekaan adalah rundingan yang membabitkan wakil British, wakil Raja-Raja Melayu dan wakil pemimpin tiga parti berlainan. Kesepakatan dan persetujuan yang dicapai inilah akhirnya diiktiraf dan dikuatkuasakan pemerintah British sebagai Perlembagaan Persekutuan. Jadi, realitinya, persetujuan sebulat suara itu tidak boleh dipinda dan diubah mengikut kehendak semasa tetapi sudah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia mengikut syarat dipersetujui bersama.
Dengan itu, berpegang pada Perlembagaan Persekutuan bermulalah lembaran baru pentadbiran negara penuh berliku yang digalas tiga kaum terbesar, perlahan-lahan bertatih memikul amanat bangsa. Selama hampir 12 tahun negara menikmati kemerdekaan, kita diselubungi peristiwa getir rusuhan kaum yang berlaku di Kuala Lumpur, dengan pantas merebak ke seluruh negara pada 13 Mei 1969. Meskipun 12 tahun hidup bersama, namun kesepakatan dan perpaduan kaum yang cuba ditanam di kalangan anak bangsa agak sukar dicapai kerana jurang ekonomi, pendidikan dan status hidup menjadi punca perbalahan kaum yang tidak dapat dielakkan lagi, lantas memaksa negara mengisytiharkan darurat, manakala Parlimen dibubarkan dan Mageran sebagai kerajaan sementara diwujudkan di bawah pimpinan Tun Abdul Razak.
Apa yang pasti, pemimpin ketiga-tiga kaum akur akan musibah yang menimpa dan bersetuju kembali kepada asas yang membawa kepada penyatuan mereka iaitu dengan merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Ada empat Perkara utama dianggap sensitif di kalangan kaum sudah diperkemaskan Mageran dalam Perlembagaan Malaysia yang dipersetujui semua pemimpin yang mewakili kaum masing-masing tidak boleh dipinda dan dipersoalkan oleh mana-mana pihak, termasuk Parlimen dan pindaan hanya boleh dibuat selepas mendapat persetujuan dua pertiga undi Parlimen dan dengan persetujuan dan kebenaran Majlis Raja-Raja iaitu Bahasa Kebangsaan (Perkara 152), Hak Istimewa Orang Melayu (Perkara 153), kedudukan Raja-Raja Melayu (Perkara 181) dan kewarganegaraan (Bahagian III Perlembagaan). Sesiapa yang mencabar keempat-empat Perkara di atas, terutama Perkara 153 yang dianggap paling sensitif boleh disabitkan kesalahan jenayah di bawah Akta Hasutan 1948. Oleh itu, empat perkara di atas tidak harus dijadikan isu politik dan diperdebatkan oleh pihak tertentu yang cuba meniup sentimen perkauman. Kita tidak mahu peristiwa hitam ini berulang kembali dan ia wajar menjadi pengajaran dan ingatan kepada semua.
Jika kita renung, banyak cara boleh dilakukan untuk mempertingkatkan taraf hidup dan memajukan orang Melayu tanpa menjejaskan kaum lain, bak kata Johan, “Orang Melayu punya kuasa politik. Orang Melayu berada pada hampir semua kedudukan strategik dalam pemerintahan negara. Malangnya, masih terdengar rintihan dan keluhan serta nada kekecewaan. Kerajaan yang dipimpin oleh orang Melayu dengan sebahagian besar pentadbir awamnya Melayu dan dasar yang jelas pro-Melayu nampaknya tidak cukup untuk membantu orang Melayu. Dengan terlaksananya Dasar Ekonomi Baru (DEB) hingga berakhirnya dasar itu, sasarannya masih jauh daripada memuaskan.”
Benarlah keluhan Johan itu. Kita bukan tidak arif akan kekurangan orang Melayu, tetapi kita tidak arif dari segi pelaksanaan sesuatu dasar yang diperkenalkan. Pentadbiran lemah berpunca daripada pengurusan tidak cekap, tidak bersih, banyak penyelewengan dan penuh tipu muslihat. Dasar yang kita miliki sejak dulu sampai sekarang adalah dasar yang dirancang demi kesejahteraan rakyat dalam memajukan bangsa dan negara, tetapi amat lemah dari segi pelaksanaan. Projek yang berupaya mengubah nasib orang Melayu, seperti projek Buku Merah, penubuhan Mara, Bank Bumiputra, Fima, Fama, Risda, Felda, Uda, Pernas, MAS dan lain-lain lagi. Bukannya projek ini tidak bagus, malangnya ia tidak menampakkan kejayaan diharap kerana kelemahan pelaksanaan.
DEB yang diperkenalkan Tun Abdul Razak wajar diteruskan meskipun tersasar daripada matlamat asal untuk memastikan orang Melayu lebih berupaya menikmati sedikit kekayaan negara. DEB sebenarnya bukan disasarkan kepada golongan Melayu semata-mata, tetapi dasar itu untuk semua rakyat Malaysia. Kalau dasar itu bagus, rasanya tidak salah diteruskan walau berapa puluh tahun sekalipun, setidak-tidaknya kita sasarkan kepada pembasmian kemiskinan yang mencengkam rakyat.
Oleh itu disarankan supaya kerajaan menyusun semula struktur pengurusan DEB supaya lebih cekap dan bersih, di samping mewujudkan badan baru menguruskan pelbagai aktiviti ekonomi orang Melayu. Satu sistem terancang seperti sistem penilaian berkala dan pengurusan audit DEB perlu diperkenalkan untuk mengelakkan penyelewengan dan juga dapat menjamin kejayaannya.
Badan baru yang dicadangkan boleh ditubuhkan mengikut Akta Mara 1966 yang sudah lengkap dan tidak lagi perlu dibahaskan di mana-mana. Ini adalah untuk memastikan orang Melayu berupaya menceburkan diri dalam perniagaan dan bukan dalam kedudukan untuk bersaing. Ini bermakna kerajaan perlulah mempertingkatkan pentadbiran Mara.
Pembangunan tanah simpanan Melayu, tanah Baitulmal dan tanah kerajaan dalam bandar boleh diuruskan satu badan yang diwujudkan itu, dengan tujuan memperbaiki kedudukan orang Melayu di bandar. Inflasi dalam bidang harta tanah di bandar dalam tempoh 20 tahun lalu memberi impak kepada ketidakmampuan orang Melayu untuk terus menetap di bandar, jauh sekali menceburkan diri dalam urusan perniagaan. Golongan ini perlu diberi bantuan yang sewajarnya oleh pihak kerajaan.
Kelemahan pemasaran hasil pertanian, perikanan dan ternakan boleh diatasi dengan memperkemaskan sistem pengurusan Fama dan melebarkan sayap operasinya. Orang Melayu di luar bandar bukan malas bercucuk tanam, tetapi tidak punya rangkaian pemasaran yang berkesan untuk memasarkan hasil tanaman, perikanan dan ternakan mereka.
Pada peringkat kepemimpinan, pemimpin Melayu wajar menjadikan pemimpin yang terdahulu sebagai model untuk memajukan orang Melayu. Kita ambil contoh kepemimpinan Tun Abdul Razak. Beliau adalah pejuang kebangsaan yang begitu prihatin terhadap kedudukan ekonomi orang Melayu. Beliau jugalah yang memperkenalkan ‘Ekonomi Terancang’ kerana menyedari dasar ekonomi pasaran bebas tidak dapat ditandingi orang Melayu, lantaran tiada kemahiran apatah lagi punya modal untuk berniaga.
Kerajaan juga wajar memastikan gejala rasuah diperangi habis-habisan dengan telus dan adil kerana ia wabak yang bukan saja menular pada semua peringkat pentadbiran kerajaan malah sektor swasta. Gejala rasuahlah yang menyekat kelancaran pelbagai urusan kerajaan.
Badan kerajaan yang ditubuhkan itu haruslah memantau kegiatan ‘ali baba’ dengan lebih terperinci agar kegiatan itu dapat dihapuskan sama sekali kerana ia bukan saja menyekat perkembangan perniagaan orang Melayu, malah mencerminkan sikap malas orang Melayu dengan memberikan tapak perniagaan kepada kaum lain sebagai jalan mudah mendapatkan keuntungan segera. Tindakan sedemikian bukan saja menutup pintu rezeki orang Melayu lain, tetapi memberi laluan mudah kepada kaum lain mendapatkan tender kerajaan ataupun tapak perniagaan bukan milik mereka.
Kerajaan juga perlu mewujudkan banyak aktiviti yang berupaya menggalakkan penyertaan orang Melayu dalam kegiatan ekonomi. Projek mega yang dijalankan umpamanya. Banyak perkara, projek dan dasar yang sedang dan akan dilaksanakan perlu diperhalusi dan diurus dengan teliti dengan memastikan orang Melayu terus diberi peluang bukan saja untuk meraih sedikit keuntungan, tetapi diberi pendedahan menimba pengalaman sekeliling seperti kata Setiausaha Agung Komanwel, Don Mckinnon, “Tugas kita ialah sentiasa mengekori perkembangan semasa dan mencari ikhtiar bagaimana ia (projek) dapat dilaksanakan dan sama ada ia sejajar keperluan rakyat atau tidak.”
Malangnya, keresahan yang disebut panjang berjela patut dijadikan peluang untuk memajukan diri bukan mengeluh sepanjang masa, seperti kata Johan, “Lalu kita mulalah mencari salah. Mencari punca kegagalan. Lalu menuding jari mencari angkara siapa.” Kepada golongan Melayu ini, janganlah kita asyik nak menempelak kerajaan. Mengeluh kerajaan tidak membantu. Kita tidak boleh mengharapkan belas ihsan kerajaan selamanya, sampai bila? Janganlah kita jadi seperti tumbuhan parasit yang hanya berpaut di dahan yang kuat tempat ia berteduh dan mencari makan sepanjang masa.
Sikap perlu diubah, lantas “Apa yang kita miliki tidak kekal,” ujar Johan. Sasaran kita kini adalah pendidikan anak Melayu kerana pendidikan asas kemajuan ummah, lantaran matlamat akhir kita ialah untuk melihat orang Melayu dibangunkan dengan baik dengan mengambil sejarah dan kejayaan lepas dijadikan sumber inspirasi untuk kita bergerak maju.
Janganlah kita jadi seperti sesetengah Melayu yang menganggap diri mereka malang dilahirkan sebagai orang Melayu, demikian kata Johan. Ingatlah, kita jadi begini, bukan salah ibu pertiwi. Tanah tumpah darah kita ini adalah kurniaan Allah, dilimpahi tanah yang subur untuk kita bangunkan. Kitalah yang mencorakkan dan menentukan hala tuju diri kita sendiri sebagai orang Melayu, bukan orang lain. Nama dan identiti Melayu tidak boleh kita padam kerana ia sebahagian daripada legenda dan lipatan sejarah, sudah terukir sejak zaman-berzaman. Kita yang tinggal patut meneruskan semangat juang bukan lagi untuk ‘survival’ tetapi untuk terus maju. Oleh itu, kepada bangsaku, kurangkan persengketaan, gandakan usaha kelak kita mampu bersaing pada peringkat global atas prinsip sudah sedia bertanding di padang yang sama rata.
Oleh Abdul Aziz Abdul Rahman
Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman adalah bekas Pengarah Urusan MAS
Berita Minggu 16 September 2007