
Jika tahun 2007 filem Transformers telah menjadi box-office, nantikan kemunculan sebuah lagi filem yang diadaptasi dari patung mainan keluaran Hasbro iaitu G.I. Joe.
Patung mainan G.I. Joe dikeluarkan pada tahun 1963 selepas anak patung Barbie laris di pasaran. Pencipta alat mainan terkenal, Stan Weston mendapat idea untuk menyaingi kepopularan anak patung Barbie. Jika anak patung Barbie digemari oleh kanak-kanak perempuan maka Stan bercadang untuk mencipta anak patung untuk kanak-kanak lelaki pula. Dia berjumpa dengan Don Levine, Pengarah Kreatif Hasbro dan menceritakan tentang ideanya itu. Don Levine berminat dengan ideanya. Prototaip Stan itu pada asalnya dinamakan 'Rocky' untuk askar marin, Skip untuk kelasi dan Ace untuk juruterbang. Don Levine kemudian menamakan ketiga-tiga patung mainan itu G.I. Joe sempena nama sebuah filem terbitan tahun 1945, The Story of G.I. Joe.
G.I. Joe yang pertama lebih bertemakan Perang Dunia Kedua manakala G.I. Joe edisi kedua bertemakan Perang Vietnam. Disebabkan patung G.I. Joe ini begitu popular maka Marvel Comics telah memohon kepada Hasbro untuk menjadikan watak-watak patung tersebut sebagai watak-watak komik. Komik G.I. Joe yang pertama telah diterbitkan pada 1982. G.I. Joe juga telah dijadikan siri animasi TV. Siri G.I. Joe keluaran Marvel ini dihentikan pada tahun 1993. Syarikat Dark Horse Comics pula mendapat hak untuk menerbitkan komik G.I. Joe pada tahun 1996 dengan nama G.I. Joe Extreme. Bagaimanapun siri ini hanya mampu bertahan untuk empat isu sahaja.
Pada Februari 2008 penggambaran filem G.I. Joe telah dimulakan. Ia diarahkan oleh pengarah filem seram The Mummy iaitu Stephen Sommers dan skripnya ditulis oleh Stuart Beattie. Filem ini dijangka akan dilancarkan pada 7 Ogos 2009.
Filem ini mengisahkan pada 10 tahun akan datang, pasukan G.I. Joe akan menentang satu kumpulan pengganas yang dikenali sebagai Cobra Organization. Agensi pengganas ini diketuai oleh seorang pengedar senjata berbangsa Scott. Antara pelakon yang akan membintangi filem ini ialah Channing Tatum, Christopher Eccleston, Sienna Miller, Dennis Quaid, Rachel Nichols, Ray Park, Arnold Vosloo dan Marlon Wayans.