
SEBUAH kanopi koyak-rabak manakala rumput di sekitarnya berkurangan kerana tidak disirami air di Neverland Ranch, California. Gambar kecil, Jacko.
SATU ketika dahulu, The Neverland Ranch milik raja pop, Michael Jackson dianggap sebagai syurga kepada kanak-kanak tetapi kediaman berkenaan kini terbiar serta mengalami kerosakan teruk.
Ketika era kegemilangannya, Michael yang juga dikenali sebagai Jacko membeli Neverland yang terletak di Santa Barbara California, Amerika Syarikat (AS) pada 1987 dengan harga £11.3 juta (RM72.71 juta).
Michael kemudiannya membina beberapa bangunan mewah seperti taman tema, pawagam dan sebuah zoo yang dihubungkan dengan sebuah landasan kereta api.
Kanak-kanak akan dijemput ke kediaman itu untuk bermain pelbagai permainan yang terdapat di hartanah seluas 1,120 hektar.
Jacko menggaji seramai 54 pekerja sepenuh masa dan kos bagi menguruskan kediaman itu dianggarkan bernilai £2 juta (RM12.87 juta) setahun.
Bagaimanapun, Jacko meninggalkan kediamannya itu pada Julai 2005 selepas dibebaskan daripada tuduhan mencabul kanak-kanak dan berhijrah ke Bahrain.
Kediaman itu kemudiannya diuruskan oleh beberapa rakan dan keluarga Jacko sebelum diarahkan tutup oleh pihak berkuasa Santa Barbara.
Pihak berkuasa mengarahkan Neverland ditutup selepas penyanyi itu tidak membayar gaji para pekerjanya dan insurans.
Hartanah itu juga akan dilelong pada minggu depan sekiranya Jacko gagal membayar sebahagian hutangnya bernilai £160 juta (RM1.03 bilion).
Sejak itu, Neverland Rach bertukar daripada syurga kanak-kanak kepada sebuah bangunan usang yang menyeramkan.
Beberapa bangunan di hartanah itu juga tidak terurus dan bersepah-sepah serta kawasan sekitarnya mula ditumbuhi oleh pokok liar.
Permainan kuda pusing dan kereta langgar juga sudah berkarat dan khemah di taman tema itu juga hampir roboh serta koyak-rabak.
Landskap menarik yang satu masa dahulu menghiasi kediaman itu kini ditumbuhi rumput liar dan banyak pokok bunga mati dan kering kerana berbulan-bulan tidak disirami air.
Hiasan pokok bunga yang membentuk sebuah jam di stesen kereta api Neverland juga tidak dijaga dan mula ditumbuhi rumput liar.
Nombor pada jam yang sudah tidak lagi berfungsi itu juga banyak yang hilang dan kawasan rumput di Neverland yang dahulunya menghijau kini mula menampakkan tanah.
Satu perkampungan kaum Red Indian di kediaman itu dilihat terbiar dan warna pada sebuah patung kuda di dalamnya juga sudah luntur.
Sebuah zoo mini yang satu masa dahulu menempatkan pelbagai koleksi haiwan kini terbiar dan sebuah kolam di dalamnya juga kering kontang.
Beberapa haiwan yang dipelihara Jacko dalam zoo itu seperti gajah, zirafah, singa dan monyet kini ditempatkan di zoo yang lain.
Seekor monyet peliharaan Jacko, Bubbles kini ditempatkan di sebuah pusat perlindungan haiwan dan beberapa ekor kuda milik penyanyi itu kini berada di sebuah sekolah menunggang kuda kanak-kanak.
– Agensi