
JENAZAH Zakaria diusung keluar dari kediamannya di Kampung Idaman, semalam untuk dikebumikan di Kuala Sungai Baru, Melaka.
PELABUHAN KLANG - "Arwah mahu orang Melayu kembali bersatu demi masa depan bangsa.''Itulah antara kata-kata terakhir bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Allahyarham Datuk Zakaria Md. Deros (gambar kecil), 62, sebelum menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Idaman, Pandamaran di sini awal pagi semalam.
Menurut anaknya, Zainuri, perkara itu sering dibangkitkan Allahyarham selepas beberapa negeri tewas di tangan pembangkang termasuk Selangor pada pilihan raya lalu sehingga menimbulkan rasa kecewa yang sangat mendalam kepada diri bapanya itu.
Sebelum itu, Allahyarham dilihat aktif dan sihat ketika membantu calon baru Barisan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri Selat Klang, Roselinda Jamil yang juga menantunya pada pilihan raya umum baru-baru ini.
Allahyarham Zakaria yang juga Ketua UMNO Bahagian Klang itu meninggal dunia pada 2.05 pagi selepas sesak nafas akibat serangan jantung.
Turut menziarahi Allahyarham semalam termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak selain hampir 5,000 penduduk setempat termasuk pemimpin UMNO seluruh negara.
Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo pula dikatakan telah melawat jenazah Allahyarham kira-kira 3 pagi semalam.
Sementara itu, jelas Zainuri, Allahyarham sebelum ini pernah mengadu sakit dada namun setelah membuat pemeriksaan, ia dilaporkan tidak serius sehinggalah Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pagi semalam.
"Ketika itu, kami sekeluarga termasuk beberapa penyokongnya dan masyarakat setempat sedang berkumpul di rumah dan tiba-tiba Allahyarham mengadu sesak nafas sebelum doktor yang datang ke rumah dan mengesahkan beliau telah meninggal dunia,'' katanya.
Jenazah Allahyarham dimandikan serta disembahyangkan di rumahnya sebelum dibawa menaiki van jenazah ke tempat kelahiran Allahyarham di Kampung Kuala Sungai Baru, Melaka untuk dikebumikan.
Sementara itu, di Melaka, jenazah Allahyarham tiba di Kuala Sungai Baru pada pukul 1.45 petang semalam.
Oleh MEGAT RAMLI MEGAT RAOF dan ROSLI HASSAN
Kosmo!