Ahad, 16 Mac 2008

Pembangkang patut bantu Pusat pikat pelabur asing

JAMINAN kerajaan untuk meneruskan dasar mesra perniagaan tentu sekali dialu-alukan semua pihak yang sebelum ini menunggu pengumuman terbaru Perdana Menteri mengenai hala tuju ekonomi negara. Ini berikutan keputusan pilihan umum lalu yang menyaksikan beberapa negeri dikuasai pembangkang yang memungkinkan dasar ekonomi turut berubah. Langkah kerajaan meneruskan dasar sedia ada bagi menarik pelabur selain menawarkan lebih banyak insentif untuk menarik pelaburan langsung asing menghilangkan kebimbangan sektor pelaburan dan perniagaan. Hakikatnya, sejak sekian lama, pelabur asing terus melabur di negara ini, walaupun berdepan dengan tarikan menarik, ter-utama kos buruh murah di China, Vietnam dan India. Negara mampu menyediakan prasarana lain, termasuk tenaga manusia yang mencukupi dan berkelayakan sesuai dengan kehendak pelabur. Langkah kerajaan membentuk Pasukan Petugas Khas, Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) bagi memastikan sektor perniagaan dan pelaburan tidak berhadapan dengan masalah birokrasi melampau, turut memberi kesan positif. Melalui Permudah, kerajaan berjaya melakukan penambahbaikan bagi memastikan iklim pelaburan terus terjamin, manakala pelabur dan peniaga selesa untuk melabur dan berniaga negara ini.

Keputusan pilihan raya lalu ternyata tidak menjejaskan komitmen kerajaan terhadap usaha menarik pelaburan langsung asing. Kita percaya iklim politik yang agak tidak menentu selepas pilihan raya ini kembali stabil dalam tempoh terdekat. Kematangan rakyat dalam memastikan kestabilan politik dan keamanan terus wujud menjadikan pelabur asing tidak bimbang untuk terus datang melabur. Kita juga mengalu-alukan langkah kerajaan untuk meneruskan semua projek yang dijanjikan untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) walaupun di negeri yang dikuasai pembangkang. Ini menunjukkan Kerajaan Pusat mempunyai komitmen tinggi bagi memastikan penduduk memperoleh pembangunan, walaupun kerajaan negeri dikuasai pembangkang. Berikutan langkah proaktif itu, kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang perlu menjalin hubungan baik dengan Pusat. Ini penting bagi memastikan semua projek yang dirancang sampai terus kepada rakyat.

Hubungan baik kerajaan negeri dan Pusat penting untuk memberi keyakinan kepada pelabur asing supaya terus melabur di negara ini. Kita memang mengakui bahawa negara masih bergantung kepada pelaburan asing untuk industri pembuatan, selain menjana ekonomi melalui sektor pelancongan, sumber asli membabitkan petroleum, gas asli dan sawit. Bagi mengekalkan iklim pelaburan baik, semua pihak terutama pentadbiran negeri yang dikuasai pembangkang perlu mengamalkan dasar mesra pelabur, seperti yang diamalkan Kerajaan Persekutuan. Kekuatan ekonomi negara bergantung kepada iklim pelaburannya, apalagi beberapa negara lain mempunyai kelebihan dari segi menawarkan tenaga buruh lebih murah, selain insentif menarik. Sehubungan itu, semua pihak di negara ini perlu bersatu mengekalkan keharmonian sedia ada selain memastikan suasana politik terus stabil dan dinamik.

Berita Harian