Khamis, 10 April 2008

Tarikan bandar tanah liat merah


Seorang lelaki melihat bandar tanah liat Ighzer Ksar di Timimoun, Algeria baru-baru ini. Gambar oleh Kosmo!

SEBUAH bandar yang diberi jolokan bandar tanah liat merah di Algeria mula menjadi tumpuan pelancong walaupun negara itu tidak mempunyai kemudahan infrastruktur yang sempurna.

Para pelancong asing yang datang ke bandar Timimoun biasanya gemar menunggang unta bersama kaum nomad, Tuareg dan bermalam di kawasan bukit sambil memerhatikan bintang.

Timimoun merupakan satu lokasi terpencil di Algeria dan mereka yang ingin ke sana perlu melalui perjalanan yang jauh serta menjerihkan.

Bandar itu merupakan sebahagian daripada kawasan Gurun Sahara dan terletak 1,200 kilometer dari ibu kota Algeria, Algiers.

Bagaimanapun, kebanyakan pelancong asing memilih untuk bercuti di Timimoun kerana tertarik dengan ciri bandar itu yang jauh daripada arus kemodenan.

"Saya sangat suka berada di sini kerana jumlah pelancongnya kecil berbanding dengan Maghribi," kata seorang pelancong dari Norway, Marene Nordal.

Menurutnya, dia juga berasa selamat berada di Algeria walaupun negara Afrika itu sering dikaitkan dengan pelbagai aktiviti pengganas.

"Saya berasa selamat di sini. Serangan pengganas boleh berlaku di mana sahaja seperti di London dan Madrid.

"Masalah di sini hanyalah infrastruktur tetapi apa yang kami mahu hanyalah kemudahan yang minimum seperti air panas. Kami datang ke sini bukan untuk kemewahan," katanya.

Seorang pelancong dari Australia, Stephanie de Windish berkata, penduduk di bandar itu sangat peramah dan ia juga mempunyai pemandangan yang menarik.

"Di sini anda boleh melihat keindahan padang pasir paling cantik di dunia," ujarnya.

Namun, kebanyakan penduduk tempatan tidak bersetuju dengan pendapat pelancong asing itu dan mereka mahu industri pelancongan di bandar itu dibangunkan.

Mereka mahu kerajaan membina lebih banyak hotel dan menaik taraf sistem pengangkutan yang lebih baik untuk menarik lebih ramai pelancong.

Penduduk Timimoun berpendapat, kegagalan kerajaan mempromosikan budaya dan tempat-tempat unik di negara itu menyebabkan bandar itu kurang dikunjungi pelancong.

"Lebih ramai pelancong datang ke sini adalah lebih baik kerana ia bakal melonjakkan taraf ekonomi penduduk," kata seorang pemilik kedai cenderamata, M'hamed Asmiti, 63.

Seorang pengusaha pelancongan di Timimoun, Mustafa Djebaili pula menambah industri itu boleh membantu mengurangkan pengangguran.

"Seorang pelancong boleh memberi makan kepada 12 penduduk di sini untuk satu hari," katanya.

Algeria sebelum ini hanya menerima sejumlah 1.4 juta pelancong pada setiap tahun dan kebanyakan pelancong terdiri daripada warga Algeria yang balik bercuti dari Perancis.

Namun, jumlah itu berbeza dengan negara-negara jiran seperti Tunisia dan Maghribi yang menerima sejumlah 6 juta pelancong asing pada setiap tahun.

Kekurangan jumlah pelancong itu menunjukkan pengabaian oleh Algeria terhadap satu sektor yang dianggap sebagai permata pelancongan dunia yang masih belum terbongkar.

- Reuters