Selasa, 29 Januari 2008

Nasha-Helmi sudah putus tunang


Nasha Aziz

KUALA LUMPUR - Ikatan pertunangan antara pelakon Nasha Aziz dan Pengarah Fotografi, Helmi Mohd. Yusof, tidak mampu diselamatkan lagi.

Selepas setahun bertunang, akhirnya mereka mengambil keputusan memutuskan saja hubungan berkenaan awal Januari lalu.

Seorang ahli keluarga Nasha, Hamidi Aziz mengesahkan berita putus tunang itu kepada KOSMO!.
"Memang benar pertunangan antara Nasha dan Helmi sudah berakhir. Mereka secara rasminya sudah putus semenjak awal tahun lalu," kata abang angkat Nasha ini.

Hamidi mengesahkan desas-desus yang tersebar mengenai berita berkenaan yang semakin rancak diperkatakan akhir-akhir ini.

Menurut Hamidi, Nasha dan Helmi bersetuju memutuskan pertunangan mereka tanpa sebarang pertengkaran besar.

Malah ahli keluarga kedua-dua belah pihak pula menyifatkan keputusan itu dibuat kerana tiada jodoh antara keduanya.

Nasha,37 tahun dan Helmi, 29, bertunang pada 4 Jun 2006 dan dijadual melangsungkan perkahwinan sekitar Julai 2007.

Sementara itu Nasha Aziz ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.

"Saya sedang bercuti, tenangkan fikiran. Maaflah, buat masa sekarang saya tidak mahu ulas perkara itu," katanya yang pada ketika ini sedang bercuti di Bali.

Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
Kosmo!

Washington sokong Suharto sejak 1966


Allahyarham Suharto

WASHINGTON: Amerika Syarikat menyiarkan dokumen sulit yang memperincikan bagaimana Washington sejak 1966 menyokong bekas pemimpin Indonesia Suharto, walaupun tindakan itu membelakangkan demokrasi dan hak asasi manusia. Dokumen itu, diubah statusnya berikutan permintaan di bawah kebebasan undang-undang maklumat, menunjukkan pentadbiran Amerika Syarikat tidak menggunakan pengaruhnya untuk menghalang Suharto yang meninggal dunia Ahad lalu, daripada mengambil tindakan keras terhadap penentangnya selama 32 tahun memerintah. “Satu perkara jelas daripada berpuluh ribu halaman dokumen daripada 1966 hingga 1968 yang kini didedahkan, Presiden Amerika tidak pernah menggunakan pengaruh terhadap rejim Suharto,” kata Brad Simpson daripada Arkib Keselamatan Negara kepada AFP.

Badan itu, institut penyelidikan bukan kerajaan di Universiti George Washington di sini, mengumpul dan menerbitkan dokumen sulit ditukar status yang diambil menerusi Akta Kebebasan Maklumat Amerika Syarikat. Simpson, yang mengarahkan projek dokumentasi Arkib Indonesia dan Timor Leste, berkata satu-satunya masa yang Washington “mengambil keputusan campur tangan” dalam Indonesia ialah pada 1998 apabila ia terumbang ambing berikutan kemelesetan ekonomi di tengah huru-hara tidak dijangka. Bill Clinton, Presiden Amerika ketika itu, menelefon Suharto kira-kira enam kali menekan pemimpin Indonesia supaya menerima program pelarasan ketat dituntut oleh Tabung Mata Wang (IMF), menurut dokumen itu.

- AFP

Diva cabar ahli politik


Fairouz

DAMSYIK: Penyanyi legenda Lubnan, Fairouz yang tiket konsertnya habis dijual di ibu kota Syria kelmarin, mencabar ahli politik yang mengkritiknya kerana membuat persembahan di negara musuh. Diva Arab itu, yang meletup dalam rancangan muzik di Radio Damsyik pada 1952, kembali ke pentas Syria selepas tidak muncul selama dua dekad, menyebabkan ramai daripada kalangan peminatnya di Rumah Opera menangis. Beliau memegang peranan utama dalam “Sah al-Nom”, drama muzikal mengenai pemerintah cuai yang dicabar seorang wanita miskin dan menerima tepukan gemuruh.

Pertunjukan itu dipersembahkan sebagai sebahagian sambutan kebudayaan di bandar lama di sini, dipilih sebagai ibu kota kebudayaan Arab 2008. “Fairouz melangkaui politik. Di Damsyik, beliau sering dilayan seperti maharani,” kata pengukir Syria Mostapha Ali kepada Reuters. Fairouz yang kini berusia 70-an dan ikon budaya dunia Arab, membangkitkan kontroversi apabila menerima jemputan daripada kerajaan Baath di sini ketika itu yang meningkatkan ketegangan di antara Syria dan jirannya, Lubnan.

- AP

Putik kapas halang pendengaran 9 tahun


LONDON: Selama sembilan tahun, Jerome Bartens, 11, dianggap cacat apabila hilang pendengaran telinga kanan dan doktor sudah berputus asa untuk membantunya.

Bagaimanapun, dia dapat mendengar semula hanya selepas hujung putik kapas tiba-tiba keluar dari telinganya ketika bermain bersama rakannya. Keluarga Bartens percaya dia menyumbat putik kapas itu ke dalam telinganya ketika berusia dua tahun dan tertinggal di dalamnya.

Berikutan itu, dia terpaksa berhempas pulas di sekolah, terpaksa menguatkan bunyi televisyen dan muzik, dan sudah biasa semua orang menjerit kepadanya. Kini, selepas mendapat semula pendengaran, bapanya, Carsten meminta pakar perubatan memberi penjelasan mengapa mereka gagal mengenal pasti masalah itu sekian lama.

- Agensi

Kementerian Kesihatan perlu tingkat amaran bahaya botox


WALAUPUN Majlis Fatwa Kebangsaan sudah memutuskan penggunaan suntikan kosmetik botox untuk tujuan kecantikan adalah haram, masih ramai umat Islam khususnya wanita membelakangkan fatwa itu kerana taksub dengan keinginan untuk kelihatan cantik dan muda. Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahab sekali lagi menasihatkan mereka yang sudah menggunakannya supaya segera bertaubat dan mengingatkan orang lain tidak membuat suntikan itu kerana ia bukan saja bertentangan dengan Islam, tetapi boleh menggadai nyawa. Malangnya masih ramai yang berdegil, termasuk wanita berpurdah menggunakan suntikan itu yang dikatakan mampu mengembalikan keremajaan kulit walaupun sesetengahnya menyedari bahan suntikan itu mengandungi unsur yang meragukan dari segi kesuciannya dan syarak.

Bagi kebanyakan wanita, suntikan kosmetik botox menjadi cara paling mudah untuk mengekalkan kejelitaan kerana prosedur melakukannya hanya mengambil masa beberapa minit. Mereka lupa penggunaan suntikan botox untuk tujuan kecantikan akan memberi kesan jangka panjang jika diambil secara berterusan, apatah lagi pemakaiannya hanya mampu bertahan selama tiga hingga enam bulan. Selain itu, kebimbangan pakar perubatan terhadap suntikan kosmetik botox juga mengambil kira pelbagai masalah membabitkan bahan yang digunakan, termasuk toksin atau racun. Botox adalah larutan protein Botulinum Toxin Type A yang ditulenkan dan dihasilkan daripada Clostridium botulinum, sejenis bakteria yang menyebabkan botulisme atau keracunan makanan serius. Toksin ini dikatakan mempengaruhi sistem saraf pusat dan dalam beberapa kes, ada yang menyebabkan kematian. Asalnya suntikan botox digunakan untuk merawat penyakit seperti palsi serebrum, masalah peluh berlebihan, migrain, pengecutan otot dan sakit belakang, sebelum Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA) meluluskannya pada 2002 untuk tujuan kecantikan. Ini berikutan kajian pelbagai pihak termasuk Allergen Inc, syarikat pertama menghasilkan larutan botox, menunjukkan penggunaannya untuk menghilangkan kedutan adalah selamat.

Suntikan botox untuk tujuan kecantikan sudah mula diguna sejak 1980-an lagi, terutama di kalangan selebriti dan golongan berada di Barat. Walaupun pada mulanya penggunaan lebih terhad kepada menghilangkan kedutan terutama pada bahagian dahi, kini suntikan kosmetik botox turut digunakan pada bahagian tepi mata dan mulut. Begitu pun, mengambil kira pengharamannya dan kebarangkalian kesan sampingan kepada kesihatan, wanita perlu berfikir panjang sebelum menggunakannya. Jangan hanya kerana terlalu taksub untuk kelihatan cantik dan muda sanggup mengabaikan larangan berkenaan. Adalah diharap Kementerian Kesihatan meningkatkan program pendidikan dan kesedaran mengenai kesan buruk suntikan botox. Selain itu, setiap bahan beracun perlu disertakan maklumat lengkap dan telus, termasuk dalam bahasa Malaysia. Maklumat seperti itu bukan eksklusif untuk pengendali dan pelanggan rawatan botox, malah untuk orang ramai secara keseluruhannya. Kecantikan paras rupa adalah bersifat sementara dan kekedutan pada wajah adalah lumrah apabila usia meningkat dan wanita harus menerima hakikat ini. Apa yang lebih penting, mereka harus sedar kecantikan sebenar adalah daripada dalam diri yang kemudian diterjemahkan melalui tingkat lalu dan adab sopan.

Berita Harian