Ahad, 3 Februari 2008

Radang punca batuk berkahak


Rasa sukar bernafas serta batuk yang melarat boleh dialami pesakit hingga berminggu-minggu. Bagi perokok, inilah antara sebab untuk menghentikan saja tabiat tersebut.

TIADA yang lebih merimaskan daripada terpaksa menanggung rasa sakit dada akibat kesulitan bernafas. Itu belum lagi bercakap tentang batuk yang berangkai-rangkai, tanpa boleh dikawal atau dihentikan sekejap dengan berdehem.

Itulah antara kesukaran yang dialami oleh mereka yang menghidap bronkitis.

Pesakit berasa sulit kerana laluan salur yang membawa udara ke paru-paru mengalami keradangan - menyebabkan ia membengkak dan menghasilkan mukus atau kahak. Inilah yang membuatkan seseorang pesakit tidak dapat mengawal batuk.

Terdapat dua jenis bronkitis dalam istilah perubatan. Bronkitis akut lazimnya dijangkiti dengan cepat dan kemudian beransur baik selepas dua atau tiga minggu. Bagi kebanyakan orang sihat, bronkitis seperti ini akan sembuh tanpa banyak masalah.

Bronkitis kronik pula dihidapi berulang kali dan akan kekal lebih lama, terutamanya bagi mereka yang merokok.

Bronkitis kronik bermakna seseorang mengalami masalah batuk berkahak pada kebanyakan hari dalam sebulan untuk tempoh tiga bulan, dan ia seringkali terjadi dalam tempoh dua tahun berturut-turut.

Bronkitis akut secara umumnya disebabkan oleh jangkitan paru-paru, dengan 90 peratus daripadanya berpunca daripada virus dan selebihnya bakteria. Bronkitis kronik pula boleh disebabkan oleh satu atau beberapa faktor.

Kejadian bronkitis akut berulang mampu melemah dan menjejaskan salur pernafasan dari semasa ke semasa dan akhirnya boleh mengakibatkan bronkitis kronik.

Pencemaran industri adalah salah satu puncanya. Kebarangkalian laporan kes bronkitis kronik adalah lebih tinggi di kalangan pekerja lombong, pekerja ladang bijirin, pemotong keluli dan beberapa lagi jenis pekerjaan lain yang melibatkan persekitaran berdebu.

Punca utama bronkitis adalah tabiat merokok yang kerap dan dalam jangka masa panjang.
Perbuatan tersebut menjejaskan salur bronkiol dan membuatkan ia menghasilkan lebihan mukus.

Simptom bronkitis kronik juga memburuk sekiranya pesakit berada di persekitaran yang penuh dengan sulfur dioksida dan unsur pencemaran lain.

Kanak-kanak dan orang dewasa berisiko mendapat bronkitis akut. Kes ini banyak disebabkan oleh jangkitan virus.

Selalunya, seseorang boleh mendapat bronkitis akut selepas mengalami jangkitan saluran pernafasan atas seperti selesema atau demam. Dalam kes yang lebih terpencil, bronkitis akut disebabkan oleh bakteria.

Sebelum merujuk kepada doktor untuk rawatan, seseorang boleh mengenal pasti akan simptomnya. Antara simptom bronkitis akut yang paling biasa adalah batuk yang kedengaran kering dan berulang-ulang.

Selepas beberapa hari, batuk akan disertai mukus atau kahak. Pesakit juga boleh mendapat demam biasa dan berasa tidak bermaya.

Simptom bronkitis akut biasanya bermula tiga atau empat hari selepas jangkitan di saluran pernafasan atas. Kebanyakan pesakit akan berkeadaan lebih baik antara dua hingga tiga minggu.
Namun, bagi yang kurang bernasib baik, batuk mereka akan berpanjangan sehingga empat minggu lamanya.

Adakalanya, penghidap pneumonia menunjukkan simptom yang sama seperti bronkitis akut.

Oleh kerana pneumonia boleh menjadi lebih teruk, adalah sangat penting untuk membezakan kedua-duanya.

Simptom pneumonia melibatkan demam teruk termasuk rasa sejuk hingga menggigil serta kesesakan nafas.

Bagi kebanyakan orang, penyakit bronkitis akut boleh dirawat di rumah. Amalan yang paling mudah untuk diikut adalah minum air dengan banyak. Sementara terdapat banyak jenis ubat-ubatan boleh dibeli dari kaunter farmasi.

Lazimnya, doktor mencadangkan ubat batuk cecair expectorant bagi membolehkan pesakit menyingkirkan mukus ketika batuk.

Untuk mengelakkan rasa tidak selesa akibat tekak yang kering dan sakit, ubat hisap atau gula-gula boleh dimanfaatkan. Walaupun ia bukannya penyelesaian masalah batuk, ia masih boleh membuatkan tekak berasa lebih lega.

- HAMZAH ABDUL HAMID
Kosmo!

Pencuri ditangkap polis ketika lena setelah ambil dadah

KUALA TERENGGANU - Mungkin penat menyelongkar rumah seorang pegawai insurans, seorang lelaki yang terlena setelah mengambil dadah akhirnya meringkuk di dalam lokap apabila ditangkap polis kelmarin.

Pegawai insurans tersebut, V. Sathya, 39, ketika ditemui di rumahnya di Jalan Dato' Issac berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama isteri dan dua anaknya keluar untuk membeli-belah pukul 12 tengah kelmarin.

Katanya, apabila beliau pulang pada pukul 3.30 petang, anaknya Kavelan, 9, berlari ke arahnya dan memberitahu ada seseorang sedang tidur di biliknya.

"Lelaki itu masih tidur dalam selimut walaupun ketika kami sedang memerhatikan dia.

"Saya mengambil keputusan untuk menutup pintu dan menelefon pihak polis sebelum polis datang kejutkan dan terus menahannya," katanya.

Tambah Sathya, isterinya, Wong Chee Chu, 30, sudah beberapa hari membuat persediaan untuk meraikan Tahun Baru Cina dan bercadang untuk mengadakan rumah terbuka di sini.

"Penceroboh itu memasuki rumah saya melalui siling bilik mungkin setengah jam selepas kami keluar.

"Tetapi dia tidak sempat mengambil apa-apa pun di dalam rumah saya," katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Hazam Abdul Halim mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Katanya, suspek seorang buruh berusia 29 tahun dari Kampung Kubang Jela, Manir itu didapati positif dadah dan sedang 'high' ketika berbaring hingga tertidur di atas katil mangsa.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah," katanya.

Kosmo!

Psikosis


Psikosis adalah istilah psikiatri dimana seseorang itu keliru antara dunia realiti dan fantasi. Seringkali mereka menganggap fantasinya sebagai realiti. Mereka akan mengalami halusinasi (lazimnya halusinasi berbentuk bisikan ataupun bayangan), bersikap paranoid dan sukar berfikir dengan rasional. Keadaan ini akan disusuli dengan tindakan dan sikap yang boleh membahayakan diri mereka dan orang lain.

Oxyrhynchus


Oxyrhynchus ialah sebuah kawasan arkeologi di Mesir. Di kawasan ini telah ditemui beberapa artifak-artifak sejarah yang penting seperti kertas papirus yang digunakan untuk merekod teks kerajaan-kerajaan kuno seperti Hellenistic, Roman dan Byzantine. Antara teks yang ditemui ialah skrip drama Menander dan juga risalah Gospel of Thomas, dokumen Kristian yang terawal.

Julius Caesar



Gaius Julius Caesar adalah seorang tokoh politik dan ketua tentera Roman yang telah bertanggungjawab ke atas penaklukan Galia Comata, juga meluaskan empayar Roman hingga merentasi Lautan Atlantik. Pembunuhannya telah mencetuskan perang saudara yang membawa kepada kemusnahan Republik Roman dan jatuhnya empayar Roman.

Wolfgang Amadeus Mozart


Wolfgang Amadeus Mozart merupakan salah seorang daripada komposer muzik klasik yang terkenal. Usianya separuh lebih lama daripada usia Beethoven, seorang lagi komposer musik klasik yang tersohor.

Peminat marah Shah Rukh Khan


Raja rokok, Shah Rukh Khan

Pelakon popular dituduh abai tanggungjawab sosial kerana enggan ubah tabiat buruk

MUMBAI: Pelakon handalan Bollywood, Shah Rukh Khan mungkin boleh bertegas dengan permintaan Menteri Kesihatan India, Anbumani Ramadoss yang meminta beliau tidak merokok dalam filem tetapi majoriti pembaca Times Online menulis surat mengemukakan saranan sama dengan Ramadoss.

Kenyataan seorang pembaca, Vishal Agrawal, dari Amerika Syarikat, yang mula merokok kerana terpengaruh dengan karektor aktor itu dalam filem Ram Jaane, mengesahkan kebimbangan menteri itu bahawa pelakon seperti Shah Rukh dan Amitabh Bachchan boleh menjadi pengaruh buruk jika merokok di layar perak.

Suresh Vijayan dari Nanjing, China menulis: "Saya adalah perokok aktif dan begitu juga kebanyakan rakan saya. Jika sebahagian bintang filem tidak merokok dalam filem, saya tidak akan terpengaruh untuk memulakan tabiat itu pada usia 14 tahun."

Isnin lalu, Shah Rukh tidak mengendahkan permintaan Ramadoss supaya berhenti merokok di layar perak dengan berkata menteri itu 'suka membesarkan perkara remeh.' Ramadoss berkata, 52 peratus remaja mula merokok selepas menyaksikan pelakon pujaan mereka berbuat demikian dalam filem.

Pandangan menteri itu nyata dipersetujui oleh Sudesh Kumar Sharma dari Kapurthala, Punjab, yang berkata filem mempengaruhi minda kanak-kanak dan remaja.

Seorang lagi peminat pelakon itu dari United Kingdom, V Kothari berkata penduduk muda gagal memahami kerosakan yang disebabkan amalan merokok.

"Shah Rukh boleh merokok 1,000 rokok sehari jika beliau mahu di luar filem tetapi sebagai tokoh dikenali ramai, beliau mempunyai tanggungjawab kepada peminatnya," kata Kothari.

Pembaca yang menamakan dirinya Sathi G mengeluarkan kenyataan pedas menyelar bintang Chak De India itu.

"Tindakannya Shah Rukh mempertahankan adegan merokok sebagai hak kreatif adalah satu jenayah.

- Agensi

Bersalin ketika tunggu kereta api

BEIJING: Seorang penumpang wanita bersalin ketika menunggu perkhidmatan kereta api yang terkandas sejak seminggu lalu akibat krisis musim sejuk paling buruk di negara itu dalam masa 50 tahun disambung semula. Liu Hongqun terpaksa melahirkan anak perempuannya di dalam tandas selepas menunggu selama tiga hari di stesen kereta api di barat Beijing selepas cuaca buruk mengganggu bekalan elektrik. Liu dan suaminya adalah antara 105 juta penumpang kereta api di seluruh China yang terkandas ketika salji lebat dan ribut ais mengganggu sistem pengangkutan di negara itu.

Stesen paling teruk terjejas ialah Guangzhou, yang menyaksikan 800,000 penumpang menunggu sejak salji lebat mula mencetuskan kekacauan seminggu lalu. Perkhidmatan kereta api memulakan perkhidmatan kelmarin ketika landasan utama antara Beijing dan Guangzhou dipulihkan, sebahagiannya menggunakan lokomotif diesel untuk melalui kawasan paling teruk mengalami gangguan bekalan elektrik. Kereta api boleh mengangkut 400,000 penduduk sehari keluar dari Guangzhou, dengan ramai penumpang dibenarkan menaiki kenderaan itu bergantung kepada tarikh tiket mereka, lapor akhbar Southern Metropolis.

Bagaimanapun, dengan kesesakan di stesen kereta api sehingga melimpah keluar dari stesen, penumpang sebenarnya lebih memerlukan nasib baik selain tiket. “Keadaan ini tidak baik. Ia seolah-olah anda menyediakan makan malam untuk dua orang dan 200 yang muncul,” kata pegawai penilaian alam sekitar dari wilayah Hubei. Kerosakan disebabkan salji luar biasa itu menyebabkan ekonomi China rugi berbilion dolar. Keadaan buruk itu turut mengganggu bekalan elektrik untuk beratus-ratus kereta api penumpang dan ribu ais turut menyebabkan lebuh raya ditutup.

Kira-kira 150,000 rumah ranap dan 650,000 lagi rosak teruk, kata pegawai bantuan bencana dan keseluruhan 64 maut setakat ini.

- Agensi

Pencuri larikan jambatan besi


Jambatan Khabarovsk

MOSCOW: Sekumpulan pencuri besi buruk bertindak nekad melarikan jambatan besi seberat 200 tan tanpa siapa menyedarinya. Struktur sepanjang 11.4 meter di Khabarovsk di timur Russia dipercayai hilang pada waktu malam sebelum disedari keesokan pagi, lapor akhbar Metro. Ia sebahagian daripada jalan menuju ke loji pemanasan. Pegawai atasan syarikat berkenaan berkata kos menggantikan jambatan itu 10 kali lebih mahal daripada nilai jambatan besi yang dicuri itu.

- Agensi

Pelakon Rambo jawab kritikan


LOS ANGELES: Pelakon Sylvester Stallone menjelaskan filem Rambo terbarunya iaitu Rambo 4 adalah inspirasi berdasarkan kisah benar penentang kerajaan tentera junta di Myanmar yang dulu dikenali sebagai Burma.

"Sama ada hidup untuk suatu tujuan murni atau mati dengan sia-sia, ia adalah pilihan anda.

"Kalangan pelajar sekarang menggunakan filem ini sebagai kiasan dan memikirkan mungkin tentera Amerika akan campur tangan dan menyelamatkan mereka," kata Stallone ketika dihubungi di Paris kerana mempromosikan filem terbarunya itu.

Walaupun filem itu masih belum ditayangkan secara rasmi di Asia, Stallone berkata, dia sudah mendengar desas-desus polis Myanmar melarang penjual cakera padat digital (DVD) menyimpan salinan cetak rompak filem itu. Stallone berkata, dua pelakon warga Myanmar yang turut menjayakan filem itu bersamanya turut memberitahu beliau bahawa keluarga mereka kini ditahan.

Filem Rambo 4 mengisahkan bekas tentera Amerika Syarikat itu cuba mencari dan menyelamatkan mubaligh kristian yang ditahan tentera Myanmar yang digambarkan turut memusnahkan kawasan perkampungan dan membunuh orang awam.

Stallone mengarahkan sendiri filem itu di sungai yang terletak di sempadan Myanmar dan Thailand.

- AP

Terengganu cetus kebangkitan tamadun Islam


Masjid Kristal

SESIAPA saja yang melawat Terengganu kini boleh menyaksikan sendiri perubahan di negeri itu sejak Barisan Nasional (BN) mengambil alih semula pemerintahan negeri itu daripada Pas. Terengganu kini tidak lagi dikaitkan dengan songket, batik dan keropok lekor semata-mata tetapi lebih dikenali sebagai pusat ilmu terutama pendidikan dan ketamadunan Islam. Malah, Terengganu adalah negeri yang paling ke depan dalam memajukan konsep Islam Hadhari khususnya dalam pendidikan. Matlamat kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Idris Jusoh ialah melahirkan generasi baru Ulul Albab yang mempunyai pendidikan seimbang melalui pengasahan kemahiran berfikir, membaca cepat, teknik mengingat, kreativiti dan kepemimpinan.

Malam tadi, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merasmikan pula satu lagi mercu tanda di negeri Pantai Timur itu dengan pelancaran Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu. TTI yang dibina dengan peruntukan RM250 juta di tapak sebuah pulau seluas 23 hektar mengandungi 21 monumen Islam terunggul, yang buat julung kalinya dibuka secara rasmi kepada orang ramai sempena Perkampungan Hadhari. Kita tidak perlu pergi ke Agra, India untuk melihat keindahan seni bina Taj Mahal yang dibina Maharaja Monghul, Shah Jahan atau ke Istanbul, Turki bagi melihat keunikan Masjid Sulaiman. Semuanya ada TTI. Taman itu juga mempunyai sebuah Masjid Kristal terapung selain monumen Islam terkenal dari seluruh dunia, termasuk Al-Hambra (Sepanyol), Masjid Kubah Al Sakhra, Baitulmaqdis (Palestin) dan Menara Kaylan (Uzbekistan).

Walaupun di awal pembinaan projek itu, ada suara sumbang terutama daripada parti pembangkang, kononnya ia adalah pembaziran, hakikatnya TTI adalah pelaburan strategik yang manfaatnya bukan semata-mata untuk tarikan pelancongan tetapi sebagai suntikan baru kepada generasi muda Islam. Dari segi pelancongan, tiada siapa termasuk pembangkang sendiri yang menafikan TTI nanti adalah produk tarikan baru bukan saja untuk Terengganu tetapi Malaysia secara keseluruhan. Bagaimanapun, lebih penting lagi TTI dapat mengimbau semula era kegemilangan tamadun Islam yang melahirkan teknologi dan seni bina agung sehingga menjadi ikutan Barat. Bagaimanapun kewujudan TTI bukan sekadar untuk nostalgia mengenang kejayaan silam tetapi turut disusuli pengisian kepada generasi muda supaya mengembalikan semula kegemilangan itu. Langkah memperkenalkan generasi Ulul Albab adalah satu daripada usaha itu.

Kesungguhan kerajaan Terengganu mengembangkan syiar Islam kini menarik minat rakyat negeri itu termasuk di kalangan pengikut Pas selama ini. Tanpa mendabik dada atau membuat tuduhan kepada pembangkang, kerajaan negeri sejak empat tahun lalu melaksanakan apa yang dijanjikan kepada rakyat Terengganu pada pilihan raya umum 2004 dengan perhatian khusus kepada bidang pendidikan bermula dari tadika. Langkah itu penting kerana pembentukan peribadi Islam bermula peringkat kanak-kanak dan hari ini, sebahagian besar kanak-kanak di Terengganu yang berusia lima dan enam tahun sudah khatam al-Quran. Murid berusia tiga dan empat tahun di Taska Hadhari Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu boleh menghafaz mukaddam yang mempunyai 23 surah. Pada masa yang sama, kemahiran menguasai bahasa Inggeris dan teknologi maklumat turut diberi penekanan khusus. Usaha seperti ini menuntut perancangan secara tersusun dan hanya boleh dilaksanakan oleh kerajaan dan pemimpin berpandangan jauh, bukan golongan yang hanya tahu bercakap dan menabur janji. Terengganu sedang membentuk generasi yang mampu bersaing pada peringkat global, sekali gus mengembalikan maruah ummah.

Berita Harian

Mohd Salleh Perang arkitek pembangunan Johor


Peta dilukis Datuk Bentara Luar dianggap yang pertama dan paling lengkap bagi sebuah negeri di Tanah Melayu

JIKA menjejakkan kaki ke Batu Pahat, Johor pasti terjumpa Masjid Jamek Datuk Bentara Luar, Jalan Mohd Salleh dan Sekolah Menengah Datuk Bentara Luar. Siapakah sebenarnya Datuk Bentara Luar atau Mohd Salleh sehinggakan namanya diabadikan di merata tempat di Batu Pahat dan dikenang sehingga sekarang.

Beliau ialah Datuk Mohd Salleh Perang yang diberi gelaran Datuk Bentara Luar iaitu seorang tokoh besar yang banyak berjasa kepada negeri Johor seperti mencipta peta lengkap negeri Johor dan membuka bandar Batu Pahat. Mohd Salleh adalah birokrat Johor yang bertanggungjawab dalam bidang tanah dan perladangan gambir dan lada hitam. Selaku Ketua Jabatan Tanah dan Ukur Negeri, beliau membuat peta negeri yang lengkap bertulisan jawi. Tindakan pertamanya adalah melukis sebuah peta pembangunan negeri Johor yang menunjukkan semua jalan dan bandar yang akan dimajukan atau dibina di seluruh negeri Johor. Ia menunjukkan bentuk muka bumi dan semua daerah di Johor.

Peta yang dilukis dianggap yang pertama sekali dan paling lengkap bagi sebuah negeri di Tanah Melayu. Kemahiran beliau berbahasa Cina dan tahu selok belok adat resam Cina membolehkan beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan Sistem Kangchu Cina. Beliau mengiringi Sultan melawat negeri China pada 1880-an. Pada 4 November 1893, Mohd Salleh yang tinggal di Kampung Senangar, dipanggil ke Johor Bahru mengadap Sultan Abu Bakar dan seminggu kemudian pada 11 November, beliau dititah Sultan Abu Bakar untuk membuka Batu Pahat dan membangunkan kawasan berkenaan. Ketika itu, Batu Pahat adalah sebuah penempatan kecil yang dibuka oleh orang kenamaan termasuk penghulu dan ketua kampung.

Batu Pahat yang terletak di kawasan Simpang Kanan, kira-kira tujuh batu dari kuala Sungai Batu Pahat dikenali ketika itu sebagai 'Pulau Kundur'. Namun beliau memulakan usaha bagi membangun bandar itu dan menyediakan kemudahan jalan serta pejabat kerajaan, dengan sistem pentadbiran moden. Pembukaan rasmi Batu Pahat diadakan pada 1 Januari 1894 oleh Mohd Salleh sendiri dengan dihadiri oleh Orang Kaya, penghulu dan orang kenamaan tempatan.

Bandar itu mula berkembang maju di bawah Mohd Salleh yang menjadi wakil Raja memerintah Batu Pahat. Beliau kemudian menjadi Pesuruhjaya Kerajaan dan menggalakkan orang kampung membuka kebun dan membuat parit tali air. Pada masa sama, pelabur asing mula datang membuka kebun, ladang serta berniaga di Batu Pahat. Kebolehan Mohd Salleh berbahasa Cina menyebabkan beliau disukai orang Cina serta faktor yang membawa kemajuan ekonomi dan harmoni kepada masyarakat setempat. Kejayaan beliau dalam pentadbiran Batu Pahat diakui oleh Pesuruhjaya Besar Johor, Ungku Sulaiman Daud ketika dalam rangka lawatan tugas Ungku di Batu Pahat pada 21 Disember 1896. Apabila Sultan Abu Bakar mangkat, berlaku perubahan pemerintahan apabila Kerajaan British mula memperluaskan pengaruh. Sedikit demi sedikit penasihat di semua daerah Johor mula dipecat terutama orang Melayu yang berkebolehan dalam pentadbiran dan pembangunan. Setiausaha Kehormat, Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Batu Pahat, Abdullah Datuk Mohd Noor, berkata Jalan Mohd Salleh ialah lokasi paling awal mengabadikan nama tokoh birokrat Melayu Johor itu. Katanya, pada 1911, Pesuruhjaya Lembaga Bandar Batu Pahat mencadangkan semua jalan di bandar itu diberi nama sempena tokoh Melayu yang banyak berjasa kepada negeri Johor sebagai mengenangkan sumbangan mereka membangunkan kawasan berkenaan.

"Sebenarnya beliau meminta supaya nama sebenarnya dijadikan sebagai nama jalan itu bukannya nama yang lebih dikenali sebagai Datuk Bentara Luar seperti yang dicadangkan sebelum itu," katanya. Selain Jalan Mohd Salleh, sebuah sekolah di Batu Pahat diberi nama Sekolah Menengah Datuk Bentara Luar serta mercu tanda Batu Pahat iaitu Masjid Jamek Datuk Bentara Luar, yang dikenal pasti antara masjid tertua di bandar itu. Sebelum ini, Masjid Jamek Datuk Bentara Luar dikenali sebagai Masjid Jamek Bandar Penggaram, bagaimanapun atas titah Sultan Johor, Sultan Iskandar, pada 3 Oktober 1996, nama masjid berkenaan ditukar secara rasmi.

"Sultan bertitah mahukan nama tokoh yang banyak berjasa kepada negeri Johor khususnya Batu Pahat diabadikan pada masjid berkenaan.

"Sumbangan Mohd Salleh membuka bandar Batu Pahat lebih 100 tahun lalu menjadi kebanggaan masyarakat di sini dan sewajarnya lebih banyak tempat mengabadikan nama beliau," katanya.


FAKTA: Datuk Mohd Salleh Perang
*Dilahirkan pada 1841 dan meninggal dunia pada Jumaat, 21 Julai 1915 (jam 6.15 petang). Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru.
*Memegang jawatan penting pada 1856 hingga 1912 dalam pentadbiran kerajaan Johor. Tugas utama beliau adalah merancang pembangunan negeri Johor.

*Bertanggungjawab membangunkan pusat bandar seperti Bandar Maharani (1888) dan Bandar Penggaram (1893).

*Menjadi Pesuruhjaya Kerajaan bagi dua wilayah Johor itu sebelum dipanggil semula bertugas di Johor Bahru.

*Dianggap sebagai arkitek dan perancang pembangunan negeri Johor.

*Kerjaya beliau bermula dengan jawatan Pesuruhjaya Polis Negeri, dan berakhir sebagai ahli Dewan Negeri dan juga ahli Jemaah Menteri.

*Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Batu Pahat pernah mengemukakan cadangan supaya sebatang jalan utama di Batu Pahat diberi nama Jalan Bentara Luar kerana jarak Jalan Mohd Salleh yang ada terlalu pendek.

*Mohd Salleh Perang sendiri pernah meminta Lembaga Bandar Batu Pahat supaya nama jalan yang dicadangkan diambil sempena nama beliau hanya diletakkan nama sebenarnya bukan jawatannya.

Oleh Mohd Azis Ngah dan Mohd Roji Abdullah
Berita Minggu

Pak Harto legasi politik Indonesia


Biar sejarah menafsir sendiri pemimpin kontroversi selepas era Sukarno

SESIAPA saja boleh mencari salah Allahyarham Presiden Suharto (Pak Harto). Beliau dikatakan diktator, pemimpin korup, malah pesalah jenayah kemanusiaan. Beliau disamakan dengan Nicolas Ceasusscu (Romania), Ferdinand Marcos (Filipina), Idi Amin (Uganda), malah Saddam Hussein (Iraq). Jasa Pak Harto mudah dilupakan. Nama baiknya tercalar. Musuhnya akan mencari setiap kesalahan untuk memburuk-burukkan beliau. Memang pada saat terakhir pemerintahannya, beliau tidak disenangi dan anggota keluarganya dicemuh. Kemarahan dan kebencian terhadap Pak Harto dirasakan daripada kalangan asongan hingga pengamen, daripada seniman hingga sasterawan, daripada kelompok intelektual hingga pimpinan NGO, malah di kalangan rakyat jelata. Lagu popular, karya sastera, malah akronim digunakan untuk mencemar nama Pak Harto dan keluarga.

Lebih malang bagi Pak Harto, krisis ekonomi yang melanda Asia memburukkan lagi keadaan. Ekonomi Indonesia merudum, rupiah hilang 80 peratus nilainya dan rakyat dalam kesusahan. Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) datang dengan penyelesaian yang hanya memburukkan lagi keadaan. Satu daripada imej yang mengaibkan ialah apabila Pengarah Eksekutif IMF, Michael Comdessus berdiri berpeluk tubuh melihat Suharto menandatangani 'pakej pemulihan' IMF untuk Indonesia. Kita tidak tahu apa yang bermain dalam fikiran Pak Harto ketika itu pastilah itu satu penghinaan bagi pemimpin yang bangga itu. Comdessus masakan faham makna perbuatannya yang dianggap angkuh dan biadab dalam budaya Timur. Formula IMF yang sepatutnya menjadi penawar, merosakkan Indonesia. Negara itu menghadapi krisis lebih buruk. Pak Harto dipersalahkan. Beliau mengundurkan diri ekoran gerakan reformasi rakyat. Kaitan beliau dengan korupsi, kolusi dan nepotisme (KKN) menjadi bahan yang digunakan untuk menumbangkan beliau. Orang terlupa bahawa krisis ekonomi Asia bukan berpunca daripada Pak Harto. Krisis ini menyebabkan kemusnahan kekayaan dan kerosakan bagi hampir semua negara yang terbabit, termasuk negara kita. Secara jujur Asia belum sepenuhnya pulih daripada musibah yang bermula pada 1997 itu. Memang banyak faktor lain yang menyumbang pada krisis itu tetapi kita semua tahu bukan soal fundamental syarikat Asia atau rapuhnya ekonomi masa itu yang menjadi puncanya spekulasi mata wang oleh kelompok yang tamak menjadi pencetusnya.

Pak Harto memerintah selama 32 tahun waktu yang cukup panjang. Beliau memerintah secara kuku besi bagi memastikan bahawa Indonesia yang terdiri daripada 17,000 pulau itu tetap utuh dan bersatu. Beliau tidak membenarkan sentimen kedaerahan untuk memecahbelahkan negara itu. Gerakan pembebasan mana-mana wilayah akan dihancurkan tanpa belas kasihan. Di tangan Pak Harto, Indonesia menjadi kuat dan bersatu. Pada waktu sama beliau meneruskan usaha pembinaan negara bangsa yang unik bagi Indonesia. Suharto percaya bahawa bangsa Indonesia yang ditunjang oleh Pancasila dan prinsip satu bahasa aneka agama, budaya dan warisan amat penting untuk negara itu. Bangsa Indonesia satu kenyataan dan bukan impian.

Dengan meneruskan konsep 'demokrasi terpimpin' yang dimulakan oleh Sukarno, Pak Harto memberikan acuan demokrasi sesuai untuk Indonesia. Indonesia di bawah Pak Harto menjadi harimau ekonomi Asia. Kemakmuran dirasakan secara menyeluruh dan Indonesia dengan segala keunikan menjadi kuasa ekonomi serantau. Jakarta berkembang menjadi kota yang ditandakan oleh pencakar langit dan gedung perniagaan raksasa. Pak Harto memberikan kemewahan dan kejayaan ekonomi, sesuatu yang tidak mungkin boleh dilakukan pada peringkat awal kemerdekaan Indonesia. Kadar kemiskinan menjunam daripada 60 peratus pada 1970 menjadi 14 peratus pada 1990. Banyak kemajuan dicapai oleh Indonesia di bawah pimpinan Pak Harto. Tidak mudah mentadbir Indonesia sebenarnya. Sukarno meletakkan asas yang kuat. Sukarno bertahan kerana karisme peribadi, retorika dan harapan yang diberikannya. Bagaimanapun, Sukarno menjadi mangsa pada kealpaan dan masalah peribadinya. Indonesia boleh menuju anarki tanpa pimpinan tegas Pak Harto.

Pak Harto juga menyedari peranannya sebagai 'abang besar' di Asia Tenggara. Asean yang ada hari ini adalah sebahagian dedikasi dan komitmennya. Lebih penting lagi Indonesia di bawah pimpinan beliau adalah sahabat sebenar Malaysia. Tidak banyak masalah yang tidak dapat diselesaikan masa itu dalam konteks hubungan dua hala. Mengambil kira penentangan Sukarno terhadap penubuhan Malaysia pada 1963 dan kempen 'Ganyang Malaysia', hubungan itu pulih secara baik dan menguntungkan kedua-dua pihak. Pak Harto mengambilalih kepemimpinan daripada Sukarno pada waktu yang genting. Parti Komunis Indonesia (PKI) mulai menguasai Sukarno. Pengaruh PKI bukan saja dalam bidang politik tetapi budaya dan sastera. Penulis terkenal Pramoedya Ananta Toer misalnya menjadikan Lembaga Kebudayaan Rakyat (Lekra) untuk memastikan agar karyawan dan sasterawan tidak 'antirakyat'. Buku dibakar dan sasterawan dihina. Tindakan itu menghantui Pramoedya kemudiannya. Karyawan dan seniman tidak dapat memaafkan Pramoedya kerana pembabitannya dalam Lekra. Pak Harto didakwa bertanggungjawab menahan dan memenjara (selain menjatuhkan hukuman mati) kepada ahli parti komunis dan simpatisan mereka apabila PKI diharamkan. Lebih 200,000 orang ditahan. Orang seperti Pramoedya dibuang ke Pulau Buru. Sentimen kebencian terhadap komunis berpanjangan.

Tindak balas rakyat terhadap mereka juga kejam dan tidak berperikemanusiaan. Anak Kampung Kemusuk dekat kota Jokjakarta yang miskin dan datang daripada ibu bapa yang bercerai ketika beliau masih kecil menghargai makna kemiskinan. Beliau masuk tentera bagi mengubah kehidupannya. Di dalam dunia ketenteraanlah Pak Harto membina kekuatan diri dan kebolehan memimpin. Apabila beliau diberikan amanah untuk memimpin Pasukan Deponogora pada 1962 yang dianggap ketumbukan elit Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (Abri), barulah terserlah bakat kepemimpinan sebenarnya. Pada 1 Oktober 1963 berlaku Peristiwa Lubang Buaya apabila tujuh pimpinan tertinggi Abri dibunuh dengan kejam oleh penyokong komunis yang menamakan diri mereka Gerakan 30 September. Mereka yang terbunuh ialah Ahmad Yani, Sutoyo Siswomiharjo, Donald Izacus Panjaitan, Siswondo Parman, R Suproto, MT Haryono dan Pieere Tandean.

Peristiwa Lubang Buaya mengejutkan Indonesia, khususnya tentera. Gerakan rakyat mula terasa. Sukarno mungkin tidak tahu menahu mengenai peristiwa itu tetapi beliau dianggap bertanggungjawab. Indonesia harus hidup dalam pergolakan dan ketidaktentuan itu untuk beberapa tahun lagi. Hanya pada 1967, berlaku pemindahan kuasa daripada Sukarno kepada Pak Harto. Pada 21 Mac 1968 Pak Harto diisytiharkan Presiden Indonesia. Setiap pemimpin mempunyai kelemahan, Pak Harto tidak terkecuali. Beliau bermula sebagai hero rakyat tetapi berakhir sebagai orang yang dimusuhi rakyat. Banyak pihak mengandaikan beliau mengumpulkan kekayaan peribadi bernilai berbilion-bilion ringgit. Anak beliau Siti Hardiyanti Rukmana, Bambang Trihatmoji, Siti Hediati Hariyadi, Hutomo Mandala Putra dan Siti Hutawi Endang Adiningsih dikatakan mengaut kekayaan luar biasa. Sehingga pada saat akhir hayatnya desakan agar disiasat ke mana perginya wang yang digelapkan oleh Pak Harto masih kedengaran. Pada waktu sama terdengar banyak suara bahawa beliau bertanggungjawab ke atas pelanggaran hak asasi manusia, baik dalam mengekalkan kuasa atau ketika gerakan membersihkan komunisme serta usaha mempertahankan Timor Timur (kini Timor Leste). Pak Harto meninggalkan legasi yang luar biasa. Sebahagiannya tidaklah menyenangkan. Bagaimanapun, sumbangannya kepada Indonesia tidak boleh diketepikan. Memang angin perubahan bertiup kencang selepas Pak Harto. Bukan rahsia lagi bahawa kebebasan bersuara dan akhbar cukup hebat di Indonesia pada masa ini.

Sama ada itu prasyarat untuk menjadikan negara itu stabil dan terus makmur akan sama-sama kita lihat. Indonesia mempunyai dua presiden dalam masa 53 tahun sejak kemerdekaannya pada 1945 hingga kejatuhan Pak Harto pada 1998. Dalam masa 10 tahun kebelakangan ini negara itu mempunyai empat presiden. Itu saja sudah menunjukkan betapa taring manusia seperti Sukarno dan Pak Harto.

Datuk Johan Jaafar
Berita Minggu

Akta baru pastikan pembangunan tiga wilayah lebih terancang


CADANGAN Kementerian Wilayah Persekutuan untuk membangunkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, secara bersepadu berasaskan sistem, agensi dan pelan yang sama akan menjadikan pentadbiran dan pembangunan di ketiga-tiga kawasan itu lebih seragam. Untuk itu, akta baru akan digubal bagi menggantikan akta lama yang diguna pakai iaitu Akta Bandaraya Kuala Lumpur 1971, Akta Perbadanan Putrajaya 1995 dan Akta Perbadanan Labuan 2001. Memang sudah tiba waktunya pentadbiran tiga wilayah itu diselaraskan kerana corak pembangunannya selama ini berbeza. Sejarah penubuhan yang berbeza bermula dengan Kuala Lumpur yang menjadi Wilayah Persekutuan pertama pada 1974, diikuti Pulau Labuan pada 1984 dan terakhir Putrajaya pada 2001. Kuala Lumpur yang menjadi pusat pentadbiran negara, sejak sekian lama, sudah hampir tidak boleh dimajukan lagi. Sementara pembangunan di Putrajaya selaku pusat pentadbiran baru Kerajaan Persekutuan lebih terancang, masih banyak yang perlu dilakukan untuk membangunkan Labuan. Kerana itu, Kementerian Wilayah Persekutuan perlu membuat kajian teliti terutama pengalaman pentadbiran yang berbeza selama ini bagi mengurus dan membangunkan wilayah yang mempunyai entiti sama, tetapi berhadapan dengan akta dan tahap pembangunan yang berbeza.

Kita mengalu-alukan konsep pengurusan bandar moden oleh kementerian itu yang memberi penekanan kepada pengurusan bandar raya secara bersepadu untuk memacu pembangunan Wilayah Persekutuan secara mapan dan terurus. Hanya dengan cara itu, seluruh penduduknya dapat mengecapi keamanan, kedamaian dan kemakmuran, baik dari aspek jasmani mahupun rohani. Itulah harapan penduduk bandar raya yang inginkan bandar moden yang sihat dan harmoni. Tekanan hidup di bandar besar terutama Kuala Lumpur memerlukan pendekatan baru. Selain menyediakan kemudahan fizikal kepada warganya, pembangunan rohani mereka turut diperlukan.

Bagi Wilayah Persekutuan Labuan, penyertaannya pada 1984, memberi kesan kepada pembangunan di kawasan Teluk Brunei membabitkan Sabah, Sarawak dan Brunei. Kini penduduk Labuan bangga kerana menjadi sebahagian Wilayah Persekutuan, walaupun pada peringkat awalnya, timbul sedikit kekeliruan. Labuan bukan saja muncul sebagai pusat kewangan pesisir pantai terkenal, malah menjadi destinasi pelancongan, pusat industri petroleum dan perkapalan. Putrajaya pula diakui sebagai pusat pentadbiran yang mahu dicontohi oleh negara asing dengan tumpuan pembangunan berterusan yang akan membolehkannya muncul sebagai bandar raya menjelang 2015. Kerajaan mungkin tidak menghadapi masalah untuk menyeragamkan pentadbiran dan pembangunan di Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana kedudukannya berhampiran dan mempunyai konsep pengurusan yang sama. Bagaimanapun, pentadbiran dan pembangunan Labuan agak berbeza kerana ia sebuah pulau yang bergantung kepada industri minyak, pelancongan dan kewangan, selain jumlah penduduknya kecil iaitu kira-kira 60,000.

Pendekatan mungkin berbeza untuk Labuan dan kita percaya Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengambil kira perkara ini dalam perancangannya nanti. Apa yang penting ialah pembangunan tiga wilayah terbabit mempunyai hala tuju serta mampu menghadapi cabaran masa depan. Kita tidak mahu wilayah terbabit hanya gah dari segi pembangunan fizikal, tetapi kekurangan dari segi rohani dan kemanusiaannya. Bangunan pencakar langit dan pembangunan fizikal sesebuah bandar tidak mempunyai sebarang makna jika masih ramai warganya menghadapi masalah kemiskinan, keruntuhan moral, bersikap individualistik dan kehilangan jati diri.

Berita Harian