SEMUA bangunan yang pernah menjadi pusat peranginan di Pulau Sipadan masih belum dirobohkan dan ia sedikit sebanyak mencacatkan pemandangan pelancong serta pengunjung yang melawat pulau itu ketika ini.
Tinjauan ke pulau itu baru-baru ini mendapati beberapa bekas pusat peranginan yang ditinggalkan itu kini menjadi pejabat, tempat pengawasan serta tempat tinggal bagi tiga agensi yang kini bertanggungjawab mengurus dan menjaga keselamatan pulau yang berada dalam senarai lima destinasi selam skuba terbaik dunia.
Bagaimanapun, bangunan yang tidak dijaga dengan baik itu kelihatan mula reput, dengan bumbung bocor dan tandas tidak boleh digunakan, membuatkan ramai prihatin dengan kira-kira 20 petugas yang perlu mendiami semua premis terbabit dalam tempoh antara tiga hingga enam bulan.
‘Pejabat’ yang menempatkan beberapa pegawai bertanggungjawab memeriksa permit kemasukan pengunjung pada kuota 120 orang sehari, hanya membabitkan sebuah meja dan kerusi yang ditempatkan di premis bekas milik Borneo Divers.
Dua petugas yang ditemui Masman Mayang dan Asdari Beluot, hanya ketawa apabila diusik mengenai ‘pejabat’ mereka. Dengan berpakaian rasmi pejabat, Masman yang bertugas menegaskan dia tidak kisah dengan suasana ‘pejabat’nya yang berlainan dari tempat lain di tanah besar.
“Saya menjalankan tugas pejabat seperti biasa. Tugas saya bermula seawal enam pagi dan berakhir pada enam petang. Tugas rasmi saya ialah memeriksa permit dan memastikan setiap pusat peranginan mematuhi peraturan ditetapkan,” kata Masman serius.
Antara lima hingga 10 petugas Taman Sabah turut menggunakan bilik berhampiran ‘pejabat’ mereka sebagai tempat tinggal. Tugas yang bergilir-gilir setiap enam bulan, bagaimanapun membenarkan mereka keluar ke tanah besar di Semporna seminggu sekali.
Berbeza dengan 14 petugas Batalion ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia (RAMD). Tinjauan ke tempat pengawasan dan penginapan mereka juga di bangunan peninggalan Borneo Divers, bumbung bocor membuatkan pasukan keselamatan negara itu terpaksa berhimpit di tingkat bawah apabila hujan berlaku.
Tandas bocor dan tidak boleh digunakan, turut memberi gambaran menyedihkan.
Bagaimanapun, mereka tidak pernah diajar merungut, sebaliknya meluahkan kegembiraan kerana dapat berkhidmat di antara pulau terindah dunia.
Keriangan kerana wajah mereka dirakam TV3 bagi program khas Majalah 3, semakin terserlah apabila pemilik Borneo Divers, Clement Lee, berjanji untuk menyumbang sebuah televisyen dan memasang Astro.
Berita Harian
20 Ogos 2007