SAMBUTAN Bulan Kemerdekaan sudah bermula. Inilah masanya rakyat Malaysia pelbagai bangsa mempamerkan semangat patriotik dan rasa cinta kepada negara bagi memperingati 50 tahun kemerdekaan tanah air berdaulat. Menyemai kebanggaan pada Jalur Gemilang adalah satu daripada ciri penting dalam pembinaan bangsa dan negara. Rakyat seharusnya berbangga dengan bendera kebangsaan kerana ia lambang kemegahan dan patriotisme kepada negara. Ia dapat membantu usaha mempromosi dan mengukuhkan proses pembinaan negara yang dihuni pelbagai bangsa, agama dan budaya. Bendera kebangsaan melambangkan kesetiaan dan kesatuan sebagai wadah kepada rakyat menanam semangat dan nilai nasionalisme, khususnya di kalangan generasi muda. Perdana Menteri berkunjung ke Dataran Pahlawan, Melaka malam tadi untuk merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara. Pemilihan Melaka sebagai tuan rumah sambutan tahun ini adalah tepat kerana di negeri itu, Almarhum Tunku Abdul Rahman mengumumkan tarikh kemerdekaan negara.
Hakikatnya, pembangunan dinikmati selama 50 tahun menjadikan kita model pembangunan kepada beberapa negara membangun lain. Apa yang kita harapkan pada bulan kemerdekaan ini, rakyat terus berganding bahu meraikan ulang tahun kemerdekaan dengan satu hati dan satu matlamat. Semua pihak hendaklah mengetepikan perbezaan yang wujud, sebaliknya mengukuhkan perpaduan dan mengeratkan hubungan silaturahim kerana ia manifestasi dan simbol cinta kepada negara. Kesetiaan kepada raja dan negara seperti termaktub dalam Rukun Negara tidak harus dipersoalkan. Perpaduan seharusnya menjadi tunggak kepada semua kegiatan seharian. Rakyat hendaklah lebih peka terhadap peranan dan sumbangan mereka ke arah perpaduan nasional yang menjadi asas utama pembinaan bangsa bermaruah. Pembangunan negara lebih bermakna jika wujud kefahaman, keharmonian, perasaan muhibah dan saling mempercayai antara rakyat pelbagai kaum.
Berita Harian
18 Ogos 2007