Oleh Jamhariah Jaafar
Kawasan seluas lima kilometer diiktiraf antara lima destinasi skuba terbaik dunia.
“SAYA pernah melihat pulau seperti Sipadan 45 tahun lalu, tetapi hari ini sudah tidak lagi. Sekarang kita temui satu hasil seni yang masih belum terusik,” kata Jacques Cousteau, pakar mengenai lautan ketika pertama kali menjejakkan kaki ke Pulau Sipadan 20 tahun lalu.
Pulau Sipadan adalah impian setiap penyelam skuba. Menduduki senarai kelima sebagai destinasi selam skuba terbaik dunia, pulau kecil hanya lima kilometer panjang dan dua kilometer lebar ini sudah melalui 1001 cerita suka duka dan semuanya mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.
Keindahan dan kekayaan dasar pulau ini sukar digambarkan dengan perkataan, tetapi bagi penyelam skuba, penemuan ribuan ikan barakuda, ikan putih (jacks), penyu agar (green turtle), jerung terumbu karang dan puluhan spesies lain yang bersepah di dasar laut Sipadan, adalah cerita yang tidak akan surut daripada bibir mereka.
“Menyelam dari kawasan terumbu karang yang cetek, tiba-tiba bertemu jurang yang dalam membuatkan kita berharap dapat menemui keajaiban dasar laut yang sukar ditemui di tempat lain,” kata Noraini Tahir, penerbit kanan TV3 yang mengetuai krew Majalah 3 yang membuat laporan khas mengenai Pulau Sipadan.
Menurut kajian Profesor Datuk Dr Ibrahim Komo dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pulau Sipadan adalah satu-satunya pulau lautan dalam yang terletak di atas pelantar terumbu karang berteras pasir memuncak di atas cerun dasar lautan sedalam antara 600 meter hingga 1200 meter.
Ia merangkumi kawasan seluas 16.4 hektar, berteres panjang terletak di atas terumbu karang yang berkeluasan 182.5 juta meter persegi.
Kepelbagaian hidupan marin yang memang luar biasa dalam kualiti dan kuantitinya tidak jauh berubah sejak ia pertama kali ditemui pada akhir 1980-an.
Orang pertama menemui Sipadan dan mempromosinya sehingga ia menjadi destinasi dunia hari ini, Clement Lee dari Borneo Divers, masih belum lagi hilang keghairahan untuk bercakap mengenai keindahan dan sejarah pulau yang penuh warna warni ini, walaupun selepas 24 tahun berlalu.
Katanya, Sipadan sudah mencapai tahap amat membanggakan, walaupun perjalanan sejarahnya banyak terselit pelbagai kejadian perit dan menyedihkan.
“Daripada hanya 1,000 orang ketika kami mula beroperasi 24 tahun lalu, hari ini lebih 33,000 pelancong datang hanya untuk selam skuba di pulau ini. Jumlah ini sudah pasti lebih banyak sekiranya kerajaan tidak mengenakan sistem kuota yang membenarkan hanya 120 penyelam sehari berada di itu,” kata Clement.
Sebagai pengasas katanya, dia amat sedih apabila diarah berhenti beroperasi dan keluar Sipadan.
“Tetapi kami bersetuju untuk keluar kerana dua sebab utama. Pertama, kita perlu melindungi persekitaran Sipadan kerana pada kami, walaupun struktur bangunan yang didirikan tidak memberi kesan kepada pulau itu, kehadiran terlalu ramai pelancong sudah pasti merosakkan warisan negara ini.
“Kedua, kerana kami menyokong harapan kerajaan untuk menjadikan pulau ini sebagai warisan dunia dan kami ingin sebahagian daripada pasukan itu.
“Sebagai orang yang bertanggungjawab memberi perlindungan kepada kekayaan marin pulau ini, kami nampak sejak bertahun-tahun dulu bahawa kami mungkin diarah keluar,” kata Clement yang membeli tanah di Pulau Mabul dan kini memindahkan semua operasinya ke pulau yang hanya 20 minit dengan bot laju dari Sipadan.
Katanya, antara kisah perit dialami pengusaha pusat peranginan di Sipadan ialah apabila kumpulan Abu Sayyaf dari selatan Filipina menculik 21 pelancong di Sipadan, pada 2000. Pulau itu kosong hampir enam bulan.
Kemudian tahun lalu, isu kapal tongkang tersadai di atas kawasan terumbu karang membuatkan semua pengusaha di sekitar Sipadan menerima kritikan antarabangsa yang membuatkan ramai pelancong membatalkan tempahan kerana membantah kejadian yang dianggap sebagai tidak bertanggungjawab.
“Imej Malaysia tercemar begitu teruk dengan kejadian tongkang itu. Kami dikritik hebat masyarakat antarabangsa dan saya terpaksa menghantar dan membalas ribuan e-mel hanya untuk menjelaskan keadaan sebenar.
“Apa yang berlaku ialah laporan dibuat melampaui batas sebenar dan gambar yang diambil seolah-olah seluruh kawasan terumbu karang Sipadan musnah. Apa yang lebih menyedihkan kami ialah hakikatnya kejadian itu tidak seperti diuar-uarkan,” katanya mengimbau kenangan pahit yang mencemarkan nama pulau indah itu.
Kejadian itu berlaku pada 15 Mei, 2006, apabila sebuah laman web menulis dan menunjukkan gambar tongkang yang tersadai di pantai selepas dipukul ribut. Tidak ada laporan rasmi ditulis mengenai keluasan kawasan terumbu karang yang musnah.
Bagaimanapun, tinjauan di tempat kejadian baru-baru ini menyaksikan kawasan kejadian sebenarnya lebih membabitkan kawasan berbatu dan karang mati. Tongkang terbabit yang sarat muatan bagi membina infrastruktur, gagal dikawal selepas berlaku satu kejadian ribut itu dan tersadai di pantai dan memusnahkan sebahagian terumbu karang.
Laporan pihak berkuasa mengatakan kawasan yang musnah sekitar 15 hingga 20 meter persegi. Ketika ini, pihak Taman-taman Sabah yang bertanggungjawab atas penjagaan dan pemuliharaan di Sipadan menutup kawasan terbabit dan terumbu karang yang musnah kini semakin pulih.
“Selepas kejadian itu saya menjemput Presiden Dema dan Padi, dua persatuan selam skuba terbesar dunia, untuk melawat lokasi tempat berlaku kejadian terbabit dan mereka mengaku, kemusnahan terumbu karang tidak seburuk laporan media.
“Tetapi untuk berlaku adil kepada semua, tongkang itu sebenarnya tidak patut berada di tempat terbabit. Saya tidak boleh memberi komen mengenai keputusan kerajaan untuk membina struktur yang dirancang ketika itu.
“Ketika membina pusat peranginan ini, kami tidak pernah menggunakan tongkang. Kita bawa sedikit demi sedikit. Memang mahal, tetapi ia berbaloi. Jika kami boleh membina pusat peranginan tanpa menggunakan tongkang, mengapa pihak lain tidak boleh menggunakan kaedah sama,” kata Clement menjelaskan keadaan.
Bagaimanapun, kejadian itu ada rahmatnya. Daripada pelbagai e-mel yang diterima muncul pelbagai cadangan antaranya langkah memperbaiki sistem pengurusannya dan usaha lebih keras untuk mendapat status warisan dunia dari Unesco.
Berita Harian
20 Ogos 2007