Oleh Jami'ah Shukri
APABILA media memaparkan berita mengenai kekukuhan ekonomi negara, sebilangan rakyat negara ini terutama pembangkang bagaikan tidak percaya, malah menuduh media sengaja menyiarkan berita rekaan semata-mata untuk mengaburi mata rakyat. Malah, ada yang menyatakan pemimpin kita sengaja membesar-besarkan cerita itu.
Tetapi bagaimana pula kalau pakar ekonomi asing memuji ekonomi Malaysia? Tiada siapa berani mempertikaikan. Pengarah The Earth Institute Colombia University, Amerika Syarikat, Prof Jeffrey D Sachs yang pernah menjadi penasihat ekonomi pada banyak negara, berkata pembangunan sosioekonomi Malaysia berkembang pesat.
Ini berlaku sejak Malaysia mencapai kemerdekaan sehingga sekarang dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara purata mencatat pertumbuhan enam peratus setahun.
Malah beliau menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya mencatat kecemerlangan dalam menghadapi krisis ekonomi ketika kegawatan ekonomi Asia 1997/98.
Justeru, dengan pertumbuhan mapan serta hasil jalinan pelbagai sumber yang ada, negara ini katanya, mampu mencapai taraf negara membangun dalam tempoh yang singkat berbanding negara dunia lain yang seangkatannya.
Namun, pendekatan pembangunan sosioekonomi serta sumber yang ada itu perlu dieksploitasi dan sekali gus diperhebat serta dicergaskan lagi untuk membantu memacu Malaysia mencapai status negara maju menjelang 2020 seiring misi ditetapkan kerajaan.
Sachs berkata, penulis buku bertajuk The End of Poverty: How We Can Make It Happen in Our Lifetime, Malaysia adalah sebuah negara unik dan melakar banyak kejayaan yang seharusnya dibanggakan sebagai sebuah negara pernah dijajah.
Katanya, Malaysia yang bukan saja berada pada kedudukan strategik dari segi geografi, malah keunikannya memiliki pelbagai sumber seharusnya dipergunakan sepenuhnya dalam usaha mencapai negara maju.
“Malaysia negara unik, mengamalkan sistem demokrasi, dihuni penduduk berbilang kaum serta mempunyai kombinasi yang kaya dengan pelbagai sumber tropika. Tidak banyak negara lain mempunyai ciri kombinasi itu. Malaysia mempunyai banyak cerita yang boleh dikongsi bersama dengan dunia luar mengenai kejayaannya.
“Bagaimanapun, Malaysia dilihat masih jauh ketinggalan berbanding Korea Selatan, Singapura dan Taiwan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan ‘Pertumbuhan Malaysia dengan Dasar Pengagihan: Mengurangkan Jurang Sosioekonomi dan Kemiskinan’, pada seminar 50 Tahun Pembangunan Malaysia anjuran Unit Perancang Ekonomi (EPU), di ibu negara, baru-baru ini.
Sachs yang juga Pemegang Pertama Kerusi Prof Diraja Ungku Aziz, berkata berdasarkan kepada semua potensi yang ada, beliau yakin Malaysia mampu meneroka lebih jauh dalam dunia antarabangsa dan sekali gus boleh menjadi negara maju menjelang 2020.
Bagaimanapun, ia tidak semudah diucapkan, sebaliknya Malaysia, perlu menghadapi beberapa cabaran sebelum mencapai ke tahap itu.
Negara ini, kata beliau perlu berani melakukan pelaburan yang lebih untuk memperkasakan bidang tertentu, khususnya penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pendidikan tinggi.
Malaysia mempunyai strategi tersendiri, mengamalkan dasar ekonomi terbuka termasuk peluang pelaburan asing ke negara ini. Dengan kedudukan geografi yang strategik berada antara dua gergasi ekonomi dunia – China dan India, seharusnya ia memberikan keistimewaan untuk Malaysia memperluaskan pelaburannya di negara terbabit.
Tambahan pula, dengan keunikan latar belakang negara ini mempunyai penduduk Cina dan India membolehkan mereka mudah berkomunikasi menggunakan bahasa yang sama dengan negara China dan India. Ini secara tidak langsung memberi manfaat untuk meneroka pelbagai peluang ekonomi di negara terbabit.
Sachs yang pernah menjadi penasihat bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan bagi projek membasmi kemiskinan dunia berkata, Malaysia perlu meningkatkan daya saingnya dalam bidang teknologi maklumat, pertanian, pembuatan dan perkhidmatan.
Selain itu, dengan kapasiti dan sistem inovasi yang dinamik juga diperkukuhkan menerusi kerjasama institusi tertentu sudah pasti ia memberikan anjakan paradigma yang hebat kepada negara ini. Tidak terkecuali seharusnya mewujudkan universiti berkualiti tinggi dan makmal sains serta lain perkara lain yang berkaitan.
Katanya, pembangunan inovasi itu perlu diserapkan dalam segenap aspek menerusi peralatan terkini dalam kehidupan seharian.
Menerusi teknologi dan inovasi, sumber tenaga dapat dijana dengan lebih berkesan. Sebagai contoh penggunaan teknologi yang diaplikasikan dalam beberapa projek tertentu seperti pertanian di kawasan perkampungan dan pedalaman di Afrika, ia mampu menambah nilai. Selain itu, ia juga membuka peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyatnya.
Beliau turut mencadangkan Malaysia sebagai negara yang membangun dengan cemerlang boleh menyumbang perkhidmatan kepada negara miskin di bawah panji Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Sebagai contoh, Malaysia yang sebelum ini pernah mengadakan hubungan dua hala dengan Sudan serta melabur di negara berkenaan boleh membantu mereka membantu menghadapi krisis ekonomi dan membasmi kemiskinan.
“Negara itu memang memerlukan bantuan. Di samping menyumbang perkhidmatan itu ia juga menunjukkan keprihatinan kita terhadap masalah mereka,” katanya yang turut menegaskan isu kemiskinan di Malaysia ini juga dilihat semakin menurunkan.
Beliau turut menggalakkan Malaysia terus memberi penekanan terhadap industri pelancongan, pembuatan, pertanian, penjagaan alam sekitar dan kesihatan.
Dalam pada itu, perkara yang tidak seharusnya dilupakan ialah mengamalkan suasana dan gaya hidup sihat sebagai benteng penjagaan kesihatan.
Ketika ini, kencing manis antara penyakit yang semakin serius dan cara terbaik adalah mengamalkan diet, mengurangkan pengambilan makanan segera serta bersenam.
“Apa yang kita lihat, gaya hidup masyarakat di bandar seakan melupakan amalan itu. Mereka lebih suka memandu atau menaiki kenderaan daripada berjalan kaki atau berbasikal. Cuma apa yang saya nampak, Malaysia bukanlah negara yang direka untuk penduduknya berjalan kaki.
“Tidak seperti di New York dianggap sebuah negara terbaik, tetapi ia direka bentuk untuk masyarakatnya berjalan kaki. Banyak ruang untuk berjalan. Saya berpendapat Malaysia juga boleh memikirkan dengan serius terhadap perkara itu,” katanya.
Berita Harian
21 Ogos 2007