Khamis, 23 Ogos 2007

Malaysia-Kanada ‘sahabat’ akrab - Summers imbau semula hubungan yang tak pernah terjejas sejak 50 tahun

SAMBUTAN jubli emas Malaysia minggu depan, sebenarnya bukan sekadar milik rakyat negara ini malah percikannya turut menyelubungi rakan negara dunia lain, antaranya Kanada yang turut meraikan hubungan diplomatik ke-50 dengan Malaysia, pada 31 Ogos ini.

“Arthur kini sudah berusia 90 tahun, tetapi kenangannya terhadap Kuala Lumpur tidak pernah luntur. Ternyata daripada ceritanya, dia bukan saja boleh mengingati pepatah Melayu yang saya sendiri tidak boleh sebut, bahkan banyak cerita mengenai negara ini membuatkan kami mengadakan satu temubual khas dengannya pada Julai lalu,” kata Summers.

Menzies tiba di Kuala Lumpur pada 1957 dan menyerahkan watikah pelantikannya kepada Yang di-Pertuan Agong pertama pada 1958.

Dalam temubual yang dirakam, Menzies menggambarkan suasana kali pertama ke Kuala Lumpur. Beliau tiba di Kuala Lumpur dari Singapura dengan menaiki kereta api pada 21 April, 1957, disambut oleh pegawai protokol, Jamal Abdul Latiff dan wakil dari misi diplomatik Komanwel yang lain.

“Setibanya di Kuala Lumpur, saya kagum dengan beberapa bangunan baru yang kemas dibangunkan. Saya masih teringat Padang Kelab Selangor (kini Dataran Merdeka),” kata Menzies yang masih boleh mengingati beberapa patah perkataan dalam bahasa Malaysia.

Katanya, hubungan dua hala Malaysia-Kanada ketika itu lebih banyak membabitkan bahan mentah dengan Kanada mengimport getah asli, timah dan minyak sawit, dan mengeksport gandum serta ikan ditinkan ke Malaysia.

“Saya amat gembira untuk menyampai ucap selamat sebagai bekas diplomat kepada rakyat dan rakan di Malaysia,” kata Menzies.

Kembali kepada Summers, pertemuannya dengan Menzies turut membawa kepada beberapa sejarah persahabatan kedua-dua negara.

Antaranya membabitkan pelbagai dokumen menggariskan langkah pertama Malaysia menyertai Komanwel, usaha untuk menjadikan negara ini sebagai kunci utama Kanada untuk bersahabat dengan negara serantau. Kanada adalah negara pencadang kepada penyertaan Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ini semua adalah bukti persahabatan yang amat erat antara kedua-dua negara. Pada zaman Arthur Menzies, kita sekadar mengimport getah, timah dan minyak sawit dengan jumlah dagangan kedua-dua negara bernilai C$30 juta (RM99 juta) dengan C$27 juta (RM89.1 juta) daripadanya adalah eksport Malaysia ke negara kami.

“Tetapi hari ini jumlah dagangan melonjak kepada C$3.5 bilion (RM11.5 bilion), dan C$500 juta (RM1.6 bilion) adalah dari pihak Kanada dan C$3 bilion (RM10 bilion) eksport Malaysia ke sana,” kata Summers.

Bahan eksport ke Kanada turut berubah kepada bahan elektronik dan mesin, manakala pelaburan Kanada di negara ini turut meliputi industri perbankan, insurans, pembinaan lebuh raya dan eksport utamanya ke Malaysia adalah baja.

Walaupun baru setahun di Kuala Lumpur, Summers sudah mengenali Malaysia sejak awal 1990-an lagi apabila beliau menjadi Pesuruhjaya Tinggi di Thailand.

“Sebenarnya, tugasan di Malaysia kali ini juga adalah permintaan saya dan saya amat bernasib baik kerana ia diterima. Ketika berkhidmat di Thailand pada awal 1990-an, Pesuruhjaya Kanada di Kuala Lumpur adalah sahabat baik saya. Kami, suami isteri sering ke Kuala Lumpur.

“Imej bandar metropolitan ini sentiasa tersemat di minda, dan kami amat kagum dengan kepantasan perubahan yang berlaku... amat luar biasa. Apabila kembali ke Malaysia tahun lalu, perkara pertama saya sedari turut hilang dalam arus pembangunan yang terlalu pantas ini ialah trek lumba kuda yang hari ini menjadi tapak kepada bangunan berkembar Petronas,” kata duta yang gemarkan iklim tropika dan cuaca panas, kerana ia membolehkan beliau bermain golf tanpa bergantung kepada perubahan musim.

Hubungan Malaysia-Kanada turut erat dalam bidang pendidikan. Daripada zaman Menzies yang mana biasiswa melalui Pelan Colombo diperkenalkan, hari ini lebih 75,000 rakyat Malaysia belajar di Kanada.

“Menzies melaksanakan tanggungjawab dengan baik dalam mencorakkan hala tuju hubungan dua hala ini dan saya bersyukur kerana berada di Malaysia ketika negara ini meraikan ulang tahun ke-50. Ia mengingatkan sejarah persahabatan yang terpahat selama setengah abad,” kata Summers.

Selepas 50 tahun juga, kini lebih 50 syarikat gergasi Kanada menjadikan Malaysia sebagai tempat operasi serta pusat perniagaan di rantau ini. Antaranya Novalis (Alcan Aluminium), Talisman Energy, Bank Nova Scotia, Manulife, Celestica, Teknion, Bombardier, SNC-Lavalin, ATS, Envirotech, Waterworks-Alpac, Nortel Networks, Research In Motion (BlackBerry) dan Cognos Inc.

Dewan Perniagaan Malaysia-Kanada (MCBC) kini sudah mempunyai lebih 100 keahlian, sekali gus membentuk rangkaian forum perdana untuk perniagaan antara kedua-dua negara. Antara kejayaan besar MCBC ialah menjadi tuan rumah kepada Anugerah Kecemerlangan Perniagaan yang dinaungi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz.

Summers berkata, penekanan Malaysia terhadap alam sekitar, pengangkutan awam, makanan pertanian, bioteknologi, teknologi maklumat dan komunikasi, serta minyak dan gas, menyaingi kemampuan yang boleh ditawarkan Kanada.

“Kanada juga menyokong pembabitan serius Malaysia di gelanggang antarabangsa terutama sebagai pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan pernah mengetuai Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), kerana ia turut memberi peluang kepada kami untuk bertukar pandangan. Semua pentas ini adalah penting untuk kami mengadakan dialog mengenai isu global.

“Secara peribadi, apa yang menarik ialah ketika tiba di sini tumpuan utama saya adalah untuk meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara, tetapi sekarang ia bercambah kepada pelbagai elemen lain.

“Malah, ia kini turut tersebar kepada kepakaran Kanada dalam menawarkan program latihan keselamatan terutama tindak balas pantas serta menangani kemungkinan serangan kimia dan biologi,” katanya mengenai tanggungjawab yang semakin besar.

Kembali kepada meraikan ulang tahun Malaysia serta persahabatan Malaysia-Kanada ke-50, Summers berkata, Suruhanjayanya menggariskan 25 program sepanjang tahun termasuk membawa beberapa pakar, ahli akademik, wartawan untuk mengadakan lawatan di kedua-dua negara, Pesta Pendidikan Kanada di Kuala Lumpur dan festival filem Kanada.

“Kami juga menyertai pertandingan bunga api berirama antarabangsa yang sedang berlangsung di Putrajaya. Kami akan mengadakan persembahan pada hari terakhir pertandingan itu minggu depan,” katanya mengenai pertandingan bunga api antarabangsa yang mendapat sambutan meriah daripada syarikat antarabangsa.

Menjawab soalan, Summers yakin hubungan dua hala Malaysia-Kanada akan terus mantap dan Kuala Lumpur akan terus menjadi destinasi utama pelabur negaranya ke rantau ini.

“Justeru, mewakili rakyat Kanada yang lain saya mengucapkan selamat menyambut perayaan jubli emas kepada Malaysia. Anda semua melalui pelbagai cabaran dan pengalaman menarik untuk mencapai kedudukan yang amat mengagumkan hari ini.

“Malaysia kini sudah menjadi sebuah negara matang dan progresif. Kanada amat berbangga kerana menjadi antara rakan yang mengiringi Malaysia ke arah kecemerlangan ini. Kanada adalah antara negara pertama mengiktiraf Malaysia 50 tahun lalu dan kami ingin melihat persahabatan ini berterusan sehingga 50 tahun dan tahun-tahun selepas itu,” kata Summers.

Oleh Jamhariah Jaafar

Berita Harian
22 Ogos 2007