JAWATANKUASA Bersama Sipadan-Ligitan sedang mengkaji untuk mendapatkan Pulau Sipadan status warisan dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Setiausaha Bahagian Dasar Keselamatan Maritim di Majlis Keselamatan Negara (MKN), Abdul Rahim Hussin, berkata Jawatankuasa Bersama Sipadan-Ligitan yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara sedang mengkaji untuk menyediakan pelan pengurusan seperti yang dikehendaki badan dunia itu, sebelum menyerahkan dokumen bagi mendapatkan status terbabit.
“Ketika ini Malaysia mempunyai dua lokasi sebagai warisan dunia iaitu Gua Mulu dan Taman Kinabalu, dan kedua-dua ini berada di daratan. Sipadan akan menjadi pulau pertama untuk kita mendapatkan status warisan dasar laut,” katanya.
Bagaimanapun, Rahim berkata proses untuk mendapatkan kelulusan Unesco bukan mudah kerana Sipadan perlu dijadikan warisan negara terlebih dulu, baru ia boleh ditawarkan menjadi warisan dunia.
“Untuk ke Unesco kita perlu pelan pengurusan yang mantap. Antaranya pasukan pengurusan, dalam hal ini membabitkan Taman-taman Sabah mesti berada di sana setiap masa, mengawasi kemasukan pelancong, tempat menyelam skuba dan program pemuliharaan lokasi selam skuba, flora dan fauna di daratan serta pelbagai tugas lain,” katanya.
Keindahan dan kekayaan alam marinnya amat menakjubkan kerana Sipadan menjanjikan pelbagai spesis makro yang kelihatan menjadikan kawasan terumbu karang seluas lebih 18.25 juta meter persegi itu sebagai habitat utamanya.
Bagaimanapun ketika itu, pulau ini bukan milik Malaysia, sebaliknya ia turut dituntut Indonesia. Rundingan diplomatik sejak 1997 tidak membawa sebarang hasil dan kes ini dirujuk kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Haque.
Pada 17 Disember, 2002, ICJ memutuskan Malaysia mempunyai hak kedaulatan mutlak ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan berdasarkan kepada tindakan pentadbiran yang diambil untuk pengurusan serta pemuliharaan penyu, burung migrasi serta pengendalian rumah api di pulau terbabit.
Imej Sipadan tercemar teruk pada 2000 apabila kumpulan pengganas Abu Sayyaf dari Filipina menculik 21 pelancong asing di pulau itu.
Bagaimanapun, isu keselamatan diselesaikan dengan kehadiran pasukan tentera dan polis di sana.
Ketika krew TV3 dan Berita Harian melawat Sipadan baru-baru ini, angkatan tentera Batalion ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), pasukan polis, pegawai dan ranger Taman-taman Sabah, telah membuktikan keutuhan kawalan, tetapi pada masa yang sama mesra pelancong.
Lt Kol Ahmad Nadzari Md Isa, Pegawai Memerintah batalion itu, yang ditemui di Sipadan berkata, Pulau Sipadan hari ini sudah dikategorikan sebagai selamat.
“Dengan kehadiran kita (tentera) dan program pengawasan yang dibuat, amat sukar mana-mana kumpulan pengganas melepasi kita.
“Tetapi pada masa sama, kita cuba menepati keperluan pelancong dengan memastikan mereka sedar bahawa kehadiran kita di sini bukan kerana wujud ancaman, sebaliknya menjaga keselamatan bagi mengelak kemungkinan tidak diingini,” katanya.
Berita Harian
20 Ogos 2007