Jumaat, 24 Ogos 2007

Rakyat matang tak boleh beremosi - Selepas 50 tahun rasa tidak puas hati sesama kaum sepatutnya sudah berakhir

ADA satu macam paradoks yang seolah-olah menjelma secara tiba-tiba menjelang saat akhir negara bersiap sedia menyambut ulang tahun ke-50 kelahirannya – satu detik yang pasti hanya boleh dirasai sekali saja seumur hidup kebanyakan rakyat dewasa Malaysia.

Sepatutnya di saat inilah setiap rakyat tanpa mengira keturunan, fahaman agama, peringkat umur atau latar belakang sosioekonomi bergembira menanti kedatangan tarikh keramat 31 Ogos apabila Malaysia menyambut jubli emasnya.

Sepatutnya pada saat inilah setiap rakyat tanpa mengira keturunan, fahaman agama, peringkat umur atau latar belakang sosioekonomi bersalam-salaman sesama sendiri sambil mengucapkan tahniah antara satu sama lain atas kejayaan masing-masing mengekalkan kerukunan hidup berjiran, keharmonian kaum serta toleransi bermasyarakat yang mereka amalkan selama ini.

Sepatutnya pada saat inilah juga setiap rakyat tanpa mengira keturunan, fahaman agama, peringkat umur atau latar belakang sosioekonomi menadah tangan ke langit melafazkan rasa syukur atas rahmat dikurniakan Pencipta mereka selama ini termasuk menyelamatkan negara ini daripada malapetaka alam yang besar atau peperangan seperti dialami sesetengah negara sambil memohon keberkatan serta rezeki lebih lumayan pada tahun-tahun akan datang.

Itulah yang sepatutnya berlaku. Tetapi hakikatnya ialah semakin hampir dengan tarikh yang membebaskan rakyat daripada belenggu penjajahan, maka nampaknya semakin kusut mereka dibelenggu oleh jerat emosi ciptaan sendiri.

Isu sensitif seperti kedudukan agama Islam, kontrak sosial yang menjadi teras dan asas kewujudan negara, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, kedudukan Raja Melayu serta hak dan soal kesetiaan kaum lain seperti Cina dan India yang sudah dipersetujui bersama diungkit kembali dan didebatkan secara terbuka tanpa segan silu pada majlis rasmi, perhimpunan parti politik atau media.

Kalau diamati secara mendalam perkembangan berhubung perkara di atas yang dilaporkan media secara meluas sejak beberapa minggu lalu, cuma satu kesimpulan boleh dibuat. Kesimpulannya ialah walaupun sejak merdeka 50 tahun lalu, negara menempah kejayaan memberangsangkan dalam pelbagai bidang. Kedudukan ekonomi rakyat jauh lebih baik daripada sebelum merdeka dulu, mereka masih tidak berpuas hati.

Secara ringkasnya, orang Melayu yang menganggap diri mereka sebagai tuan di negara ini berasa seolah-olah tertipu kerana terlalu banyak bertolak ansur dan memberikan hak mereka kepada kaum lain.

Orang Cina yang sentiasa secara psikologi menganggap diri mereka sebagai warga negara kelas dua mahukan orang Melayu memberi lebih banyak kepada mereka atas dakwaan bahawa mereka lebih banyak memberi sumbangan kepada kemajuan negara daripada orang Melayu.

Orang India pula mendakwa diri mereka dipinggirkan.

Rasa tidak puas hati ketiga-tiga kaum terbesar ini yang disuarakan oleh pemimpin politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili mereka, kalau berasas, tidak jauh bezanya dengan keadaan sebelum Pilihan Raya Umum 1969 yang berakhir dengan peristiwa berdarah pada 13 Mei tahun itu.

Sebagai seorang wartawan yang terbabit membuat liputan peristiwa berkenaan untuk RTM ketika itu, suasana masyarakat menjelang peristiwa hitam dalam sejarah negara masih segar dalam ingatan. Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa perkembangan sekarang mempunyai banyak persamaan dengan suasana beberapa bulan menjelang peristiwa 1969 itu.

Inilah yang menyebabkan penulis amat bimbang apabila membaca akhbar setiap hari sejak kebelakangan ini. Setiap orang perlu sedar bahawa sekiranya peristiwa malang itu berulang, segala sesuatu yang dicapai setakat ini pasti akan lenyap sekelip mata. Negara akan hancur dan setiap rakyat tanpa mengira kaum akan menanggung kerugian yang tidak terhingga.

Kesan daripada peristiwa seumpama itu akan berpanjangan dan belum tentu dapat dipulihkan dalam tempoh 50 tahun akan datang.

Bagaimanapun, ramai teman terutama yang lebih muda menganggap kebimbangan penulis ini tidak berasas. Kononnya masyarakat Malaysia kini sudah matang, lebih berpelajaran dan cukup bertolak ansur berbanding masyarakat pra-1969.

Hendaknya pendapat teman yang mewakili generasi muda ini betul. Yang menjadi kemusykilan cuma satu – oleh kerana kebanyakan mereka masih belum lahir pada 1969 atau masih terlalu mentah ketika itu, bagaimana mereka boleh membuat perbandingan dengan tepat?

Kalau benar masyarakat sekarang lebih matang, berminda terbuka dan toleran berbanding masyarakat pra-1969, kenapa peristiwa menjulang keris oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada perhimpunan pergerakan itu setahun lalu masih diungkit-ungkit dan menjadi tajuk perbincangan hangat dalam perhimpunan anjuran kaum Cina?

Kalau benar masyarakat sekarang lebih matang, berminda terbuka dan toleran, kenapa perbuatan kurang siuman seorang pelajar mentah menerbitkan klip video lagu Negaraku secara rap menggegarkan seluruh negara?

Kalau benar masyarakat sekarang lebih matang, berminda terbuka dan toleran, kenapa sekumpulan kaum India terdorong untuk berarak ke Putrajaya minggu lalu untuk membantah apa yang mereka dakwa sebagai ‘peminggiran’ kaum India sejak 50 tahun lalu?

Mereka juga marah dengan tindakan sesetengah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merobohkan kuil haram di tempat yang tidak sepatutnya didirikan kuil sedangkan mereka sendiri tahu bahawa jumlah kuil sedia ada melebihi bilangan masjid dan surau dari segi nisbahnya dengan penganut agama masing-masing.

Jelaslah bahawa perkara sensitif begini amat mudah merangsang emosi manusia lalu mendorong mereka bertindak secara tidak rasional. Bila emosi menguasai perasaan, ia tidak kenal sama ada seseorang individu atau kumpulan individu itu berpelajaran tinggi, mempunyai minda yang terbuka luas atau bersikap cukup toleran.

Barangkali Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah yang secara kebetulan seusia dengan penulis, mengetahui lebih banyak daripada orang lain apabila baginda baru-baru ini mengingatkan tokoh politik supaya mengelakkan diri daripada menimbulkan isu panas menjelang sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan.

Dalam satu temuramah dengan sebuah akhbar bahasa Inggeris, baginda mengingatkan rakyat Selangor (tentunya termasuk rakyat di negeri lain juga) agar jangan menumpulkan semangat rakyat Malaysia dalam musim perayaan ini.

Baginda mengingatkan bahawa perpaduan di kalangan orang Melayu, Cina dan India menghasilkan kemerdekaan untuk negara dan kemudian perpaduan dengan kumpulan etnik lain melahirkan negara Malaysia.

“Jangan sesiapa lupa bahawa kita mencapai kemerdekaan menerusi cara itu. Tiada satu kaum mampu membawa Malaysia ke tahapnya yang ada sekarang,” titah baginda.

Malangnya, tiada siapa yang nampaknya mendengar nasihat itu. Inilah yang menyedihkan. Inilah yang menakutkan.

Oleh Datuk Abdul Rahman Sulaiman

Datuk Abdul Rahman Sulaiman, bekas Ketua Pengarang Bernama dan pernah menjadi Ahli Parlimen, adalah Penasihat Direktorat Pelaksanaan Negara