Khamis, 23 Ogos 2007

Stesen minyak tidak boleh penting diri

Oleh Norfatimah Ahmad

“JANGAN cabar kerajaan. Jika nak buat sesuka hati, buatlah tetapi tunggu saja tindakan kami. Jika mereka berkeras, saya pun hendak berkeras. Jangan cuba ugut kerajaan. Ramai lagi memohon menjadi pengusaha stesen minyak.”

Itu kata-kata amaran Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal apabila Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) bertindak untuk menghentikan operasi 24 jam.

Alasan mereka ialah faktor keselamatan dan kos operasi tinggi, dengan itu mesyuarat agung PDAM pada 1 Ogos lalu meluluskan resolusi untuk beroperasi hanya mulai jam 7 pagi hingga 10 malam, untuk dikuatkuasa mulai Oktober ini.

Orang ramai membantah. Bayangkan bagaimana keadaannya bagi orang ramai di bandar yang sentiasa sibuk terpaksa bergegas mengisi minyak tangki penuh sebelum memulakan perjalanan balik kampung atau atas urusan lain di tempat yang memakan masa perjalanan berjam-jam.

Sudah tentu kesesakan di stesen minyak tidak dapat dielakkan, terutama apabila sistem layan diri turut dipraktikkan pada masa sama. Bebannya tidak lain kecuali kepada pengguna, sekali gus membawa kepada kritikan berterusan kepada kerajaan dan menteri bertanggungjawab tentu menjadi sasaran pengguna yang tidak berpuas hati kerana tertekan dengan tindakan pengusaha stesen minyak terbabit.

Ada 3,098 stesen minyak di seluruh negara dengan 40 peratus daripadanya, terutama yang di bandar besar dan lebuh raya, beroperasi 24 jam. Nyata, semua isu hebat diperkatakan orang ramai, termasuk menerusi media massa itu hanya mampu bertahan 15 hari saja.

Akhirnya, PDAM mengalah dan membatalkan cadangan itu. Resolusi berkenaan diputuskan PDAM bersama dua lagi resolusi iaitu mengenai pelaksanaan sistem khidmat layan diri yang mensyaratkan supaya tidak ada kakitangan bertugas di pam dan caj kad kredit dibayar pelanggan.

Mungkin juga strategi PDAM untuk mengukuhkan semula kedudukannya dan meletakkan persatuan itu di tempat yang mampu mendapat perhatian ramai, terutama selepas dikatakan taringnya semakin tumpul sejak beralih kepemimpinan lebih dua tahun lalu, sekali gus membawa kepada penyingkiran Alang Zari Ishak.

Bagaimanapun, berdasarkan pelbagai halangan ditempuhi rejim baru PDAM, nampaknya mereka masih belum boleh berbangga kerana tiga resolusi awal diputuskan belum mampu menundukkan Mohd Shafie bersama barisan pegawai kanannya.

Ketegasan pak menteri mempertahankan hak pengguna jelas apabila menampakkan taringnya yang mewakili kerajaan memberi amaran kepada pengusaha stesen minyak supaya tidak mencabar keputusan Kabinet minggu lalu yang mengarahkan mereka meneruskan perkhidmatan selama 24 jam seperti biasa.

Selepas bersilih ganti kenyataan kementerian dan PDAM menerusi media massa, sama ada pihak persatuan memaklumkan pelbagai kesulitan dialami sejak beroperasi 24 jam dan diikuti menteri bertanggungjawab yang tetap dengan pendiriannya untuk mempertahankan hak ramai.

Tetapi jika diteliti kenyataan Pemangku Presiden PDAM, Mejar (B) Wahid Bidin sebelum ini, beliau memaklumkan tidak yakin isu yang diketengahkan persatuan itu mampu diselesaikan dalam sehari kerana ia membabitkan banyak pihak, termasuk syarikat minyak.

Bagaimanapun, agak mengejutkan kerana dalam masa dua jam saja kekusutan antara PDAM dan kementerian terlerai apabila pertemuan ditunggu-tunggu itu berlangsung antara kepemimpinan PDAM dengan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian itu, Mohd Zain Mohd Dom, 15 Ogos lalu.

Jika semudah itu, kenapa perlu tunggu lama untuk menyelesaikannya dan mengapa pula keputusan mesyuarat agung PDAM itu tidak lebih awal dikemukakan kepada kementerian untuk mencari langkah terbaik menanganinya, sekali gus tidak perlu menyebabkan kedua-dua pihak bertegang urat menerusi media massa untuk mempertahankan kepentingan masing-masing.

Berdasarkan luahan rasa PDAM, jelas masalah dihadapi lebih ‘peribadi’ kerana membabitkan pengusaha stesen minyak dengan syarikat minyak yang sebenarnya kementerian itu tidak mempunyai kuasa untuk masuk campur, tetapi sekadar memberi nasihat untuk tidak membebankan usahawan tempatan.

“PDAM mahu syarikat minyak menambah komisyen dan mengurangkan kadar sewa selain mengetengahkan beberapa isu sampingan membabitkan kedua-dua pihak. Sebab itu selepas KSU (Mohd Zain) memberi jaminan meneliti masalah dihadapi pengusaha stesen minyak itu dan mencari jalan penyelesaian terbaik, mereka terus bersetuju membatalkan cadangan mengehadkan tempoh operasi.

“Nampaknya, bukannya tiga resolusi itu menjadi pokok utama perbincangan, tetapi masalah dihadapi pengusaha stesen yang mahu disampaikan,” kata beberapa sumber kepada Berita Harian.

Bagaimanapun, agak mengecewakan kerana PDAM gagal mengemukakan beberapa maklumat apabila diminta memberi data berkaitan kes rompakan, kerugian, akaun bulanan dan jumlah ahli yang beroperasi 24 jam.

Dalam hal ini, nampaknya pengurusan PDAM lebih kepada ‘cakap-cakap kosong’, kerana jika benar mereka mahu memansuhkan operasi 24 jam, kenapa tidak disediakan lebih awal maklumat yang penting itu sebaik resolusi itu diluluskan pada mesyuarat agung lalu.

Berita Harian
20 Ogos 2007