Khamis, 23 Ogos 2007

Usaha memantapkan integriti PBT

Penubuhan jawatankuasa khas mampu elak wang pembayar cukai dibazirkan‘AHLI Majlis Daerah bercuti guna wang rakyat’. Demikian laporan media tempatan mengenai aduan dibangkitkan pada sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Integriti di Johor Bahru, 8 Ogos lalu.

Ini bukan kali pertama aduan sedemikian sampai kepada jawatankuasa berkenaan. Ia juga sering didedahkan media berhubung lawatan sambil belajar yang dianjurkan sesetengah PBT. Ada yang melawat di dalam negara, manakala ada juga ke luar negara. Tahun lalu, misalnya sebuah Majlis Bandaraya dilaporkan membelanjakan RM10.5 juta dalam tempoh lima tahun untuk keluar negara.

Lawatan sambil belajar tidak salah, soalnya apa yang dipelajari? Adakah wajar lawatan dibuat ke negara yang mempunyai empat musim untuk belajar berhubung lanskap, sedangkan kita hanya ada satu musim?

Selepas sesuatu lawatan itu selesai, adakah laporan dibentangkan? Ini penting untuk memastikan bahawa lawatan itu mencapai matlamat sejajar dengan perbelanjaan besar digunakan.

Sekiranya sesuatu lawatan itu benar-benar wajar dan diperlukan, misalnya untuk menghadiri persidangan atau seminar berkaitan PBT (bukan yang tiada kaitan), atau untuk mempelajari sesuatu amalan terbaik yang relevan (bukan yang tidak relevan), tentulah cukup sekadar menghantar beberapa pegawai berkaitan saja.

Persoalannya ialah, adakah wajar semua 24 orang ahli majlis, seorang YDP dan beberapa pegawai menyertainya? Wajarkah isteri atau suami masing-masing menyertainya? Wajarkah lawatan itu diselitkan kegiatan riadah seperti bermain golf dan sebagainya? Wajarkah wang rakyat dibelanjakan untuk semua itu?

Oleh kerana kebanyakan lawatan itu tidak dapat dijustifikasikan sebagai wajar dan perlu, maka tidak hairanlah sekiranya rakyat melihatnya sebagai tidak lebih daripada bercuti menggunakan wang rakyat. Sekiranya PBT terbabit mempunyai kewangan kukuh ia tidak wajar, maka bayangkanlah bahawa tidak wajarnya lawatan itu bagi PBT yang kewangannya defisit.

Sesetengah lawatan itu diselitkan dengan Mesyuarat Penuh PBT kerana semua ahli majlis hadir, maka diadakan mesyuarat itu. Manakala, ada pula PBT sengaja mengadakan mesyuarat itu di luar kawasan. Lalu, alang-alang keluar, maka diadakan lawatan sambil belajar.

Maknanya, ada masanya lawatan dijadikan alasan mengadakan mesyuarat, manakala pada masa lain, mesyuarat pula dijadikan alasan mengadakan lawatan. Masalahnya, kedua-dua alasan itu tidak benar atau dibenarkan. Sebenarnya, mengadakan lawatan sambil belajar dan mengadakan mesyuarat penuh di luar kawasan adalah dua perkara berbeza.

Lawatan sambil belajar masih boleh dijustifikasikan berdasarkan kewajaran dan keperluannya dan dengan syarat kedudukan kewangan PBT berkenaan kukuh. Namun, ia tetap tidak wajar untuk disertai semua ahli majlis, kecuali mereka yang tidak berkaitan dengan lawatan itu membayar sendiri perbelanjaannya.

Tetapi, mengadakan mesyuarat penuh di luar kawasan tidak dapat dijustifikasikan kerana menurut Seksyen 23 Akta Kerajaan Tempatan 1976, Mesyuarat Penuh PBT hendaklah terbuka kepada khalayak dan media, kecuali sekiranya mesyuarat itu menerusi resolusi memutuskan sebaliknya.

Tetapi, apabila PBT mengadakan mesyuarat di tempat jauh sehingga perlu menaiki kapal terbang, maka ia boleh ditafsirkan bahawa resolusi dibuat sebelum mesyuarat berjalan untuk mengadakan mesyuarat itu secara tertutup kerana ia menjadikan hampir mustahil untuk khalayak dan media menghadirinya.

Pada masa sama, sejauh mana mesyuarat penuh PBT yang diadakan di dalam kawasan itu benar-benar terbuka? Adakah notis dikeluarkan kepada khalayak dan media mengenai tarikh, masa dan tempat mesyuarat itu diadakan? Adakah bilik mesyuarat itu menyediakan tempat duduk untuk khalayak dan media?

Tahun lalu, misalnya ada kes di mana dua orang ingin hadir menyaksikan mesyuarat penuh sebuah majlis perbandaran di Lembah Klang dihalang daripada menghadirinya kerana didakwa tidak mendapat kebenaran daripada YDP berkenaan.

Sebelum itu, mereka sudah menghantar surat kepada YDP menyatakan hasrat untuk hadir, walaupun mereka tidak perlu berbuat demikian kerana kebenaran menghadirinya adalah dijamin oleh Seksyen 23 itu.

Sekiranya majlis perbandaran berkenaan mempunyai peraturan bahawa kehadiran khalayak pada mesyuarat penuhnya mesti terlebih dulu mendapat kebenaran YDP, maka peraturan itu tidak betul.

YDP tidak diberikan kuasa menjadi penjaga pintu kepada mesyuarat itu. Mereka tidak boleh menentukan siapa boleh dan tidak boleh hadir.

Prinsip keterbukaan ini dipanjangkan lagi, misalnya oleh Seksyen 27 akta sama, yang memperuntukkan minit mesyuarat penuh PBT hendaklah dibenarkan diperiksa pembayar cukai.

Tetapi, tahun lalu, seorang pembayar cukai yang ingin memeriksa minit mesyuarat sebuah majlis perbandaran di Pantai Barat Semenanjung diberitahu untuk mendapatkan arahan mahkamah terlebih dulu.

Persoalan ini sudah lama bermain di minda rakyat dan sesetengah ahli majlis. Disebabkan itu, langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggerakkan Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Integriti adalah tepat.

Penubuhan jawatankuasa itu selaras dengan pelancaran Pelan Integriti Negara (PIN) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) oleh Perdana Menteri pada April 2004.

Dalam konteks ini, PBT, iaitu sebagai sebahagian daripada pentadbiran awam, perlu meningkatkan integritinya. Menurut PIN, agenda integriti pentadbiran awam ialah pertama, pemantapan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan governans terbaik dan kedua, peningkatan integriti jentera perkhidmatan awam.

Tindakan sesetengah PBT mengadakan lawatan sambil belajar yang tidak wajar atau perlu serta mengadakan mesyuarat penuh di luar kawasan sehingga menyebabkannya tertutup, sekali gus berlawanan dengan agenda integriti itu.

Rakyat hari ini lebih berpendidikan, prihatin, tahu hak dan peranannya serta kritikal dan lantang bersuara. Mereka tahu banyak berhubung PBT dan pihak berkuasa itu tiada pilihan lain kecuali meningkatkan integritinya.

Oleh Datuk Saifuddin Abdullah

Datuk Saifuddin Abdullah ialah Pengerusi Akademi Belia yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (1998-2002)

Berita Harian
18 Ogos 2007