Khamis, 20 September 2007

`Becoming A King' Satu Pengalaman Baru Bagi Penerbit Dokumentari


Dokumentari-dokumentari National Geographic dianggap sebagai hasil seni perfileman dalam kelas tersendiri yang menambat hati dan minda penonton. Ia tidak lain dengan dokumentari "Becoming a King" yang mengisahkan pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-13 Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Dirakam dan diterbitkan dalam format definisi-tinggi (HD), "Becoming a King" menampilkan segala ciri standard tertinggi yang berkaitan dengan dokumentari National Geographic Channel iaitu penyampaian menarik, visual menakjubkan dan menggamit serta topik-topik bijak, inovatif dan canggih.

Dua firma penerbitan Malaysia, VHQ TV Sdn Bhd dan Cosmo Vision Sdn Bhd, menjalankan tugas penerbitan di bawah tunjuk ajar penerbit-penerbit kanan National Geographic Channel.

"Becoming a King" menyaksikan tayangan sulung di National Geographic Channel (Astro Channel 52) pada 27 Ogos, 2007 pada pukul 10 malam diulang tayang pada pukul 10 malam 31 Ogos dan pukul 12 tengah malam 1 Sept. Dokumentari itu ditayangkan bersempena dengan jubli emas kemerdekaan Malaysia.

Dokumentari itu juga akan ditayangkan di rangkaian global National Geographic Channel yang sampai ke 250 juta kediaman di 166 negara. Dokumentari ini juga akan disiarkan dalam pasaran HD National Geographic Channel, satu saluran definisi tinggi khusus 24-jam milik National Geographic Channels International (NGCI).

MENERBITKAN DOKUMENTARI BUKAN MUDAH

Tetapi hakikat sebenar ialah menerbitkan dokumentari bukan kerja yang mudah, demikian kata naib presiden eksekutif (penerbitan) NGCI, Bryan Smith.

"Apabila anda menonton sebuah dokumentari di National Geographic Channel, ia kemungkinan telah mengambil masa 18 hingga 24 bulan untuk menyiapkannya.

"Dalam kes "Becoming a King", kami terpaksa mengejar masa kerana hari pertabalan dan hari kemerdekaan semakin dekat. Dan cabaran pada kami ialah untuk menyiapkannya sebelum Malaysia meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-50. Kami hanya mempunyai masa enam bulan untuk menyiapkan dokumentari ini yang bermakna semuanya perlu disegerakan.

"Setiap dokumentari bukan mudah untuk dibuat kerana perlu mengumpul bahan yang berkenaan dan kemudian berusaha mencari jalan cerita yang menawan kerana audien menunggu cerita yang bagus," kata beliau kepada Bernama di Kuala Lumpur dalam satu temubual.

National Geographic terkenal kerana liputan menyeluruh mengenai White House, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat, tanah suci Islam Mekah dan Vatican. Dan aktiviti di sebalik tabir di istana membawa pengalaman baru bagi pasukan penerbit itu.

"Terdapat karenah birokrasi untuk memasuki White House dan begitu juga dengan istana," katanya.

MEMBUKA PINTU

Smith tidak menafikan yang reputasi mengagumkan National Geographic memudahkan krew penggambaran masuk ke tempat-tempat tertentu untuk membuat liputan, bagaimanapun mereka masih perlu berusaha gigih dalam mengejar jalan cerita.

"Saya percaya kami mudah diterima kerana jenama yang disegani dan orang ramai tahu yang badan induk kami, National Geographic Society merupakan institusi pendidikan dan saintifik terbesar dan tersohor di dunia. Dan dengan itu jalan masuk bagi kami adalah lebih mudah," katanya.

Dalam kes "Becoming a King" ia bukan karenah birokrasi di istana yang menyebabkan krew penerbitan bingung. Perkara utama ialah bagaimana untuk mendekati Seri Paduka.

"Tempoh itu merupakan waktu yang sibuk bagi Seri Paduka dan keluarga tetapi mereka tetap meluangkan masa untuk melayan kami dan mendedahkan diri sebenar di sebalik peranan rasmi yang penuh istiadat," jelas Smith.

Penggambaran bagi "Becoming a King" bermula dua hingga tiga minggu sebelum pertabalan. Pegawai-pegawai istana sentiasa mengingatkan kami apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

"Saya percaya apa yang akan mempersona audien Malaysia ialah peluang untuk mengetahui baginda dari dekat, keluarganya dan segala yang diminatinya, dan perasaannya semasa duduk di singgahsana semasa pertabalan.

"Ini semua ialah pendedahan baginda sendiri yang saya rasa audien Malaysia mungkin sudahpun tahu. Bagi audien global, mereka akan saksikan aspek-aspek mengenai Malaysia yang mereka belum lagi tahu, seperti sistem negara dan sistem raja bergilir yang pasti mempesona mereka. Ia memenuhi selera berbeza bagi audien berlainan," kata beliau.

PENGALAMAN BELAJAR

Bagi Smith, pengalaman di sebalik "Becoming a King" pastinya berguna.

"Secara peribadi, saya tidak begitu arif mengenai sistem raja bergilir di sini dan saya juga tidak banyak mengetahui proses kemerdekaan negara ini. Jadi ia satu pengalaman yang menarik untuk belajar semua ini," jelas beliau.

Smith berkata Seri Paduka baik budinya dan berinteraksi dalam bahasa Melayu dengan penerbit dan ini melegakan krew penerbitan.

"Dalam kes pegawai-pegawai istana, mereka pastinya tertekan kerana banyak perkara yang tidak berjalan lancar. Sebagai contoh, nobat dan muzik yang mengiringinya tidak berpadanan dan mereka terpaksa berusaha gigih memperbetulkan keadaan sehingga kesemuanya lancar," kata beliau lagi.

Bagi Mohamed Adam Sardon Mohamed Lokman, 33, pengalaman keseluruhan berkhidmat dengan National Geographic merupakan satu peluang yang beliau telah lama tunggu. Adam, pengarah Camworks Solutions, dilantik oleh VHQ TV Sdn Bhd dan Cosmo Vision Sdn Bhd sebagai pengarah fotografi bagi `Becoming a King'.

"Ini dokumentari pertama saya bagi tontonan orangramai walaupun saya melakukan penggambaran bagi dokumentari-dokumentari untuk Petronas selama beberapa tahun. Saya bangga kerana diberi peluang untuk berganding dengan National Geographic, lagipun subjek penggambaran adalah di negara sendiri. Ia pengalaman sekali dalam seumur hidup.

"Oleh kerana National Geographic mahu penggambaran dalam format HD dan saya mempunyai pengalaman di dalamnya, saya dianggap sesuai bagi tugas itu," jelas beliau.

MEMENATKAN DARIPADA SEGI MENTAL

Bagi Adam, beliau agak gementar pada awalnya apabila bersemuka dengan Seri Paduka.

"Saya tidak tahu apa untuk dijangka. Kami sentiasa berwaspada supaya tidak menyinggung sesiapa ataupun melakukan yang tidak sepatutnya. Tetapi kami yang terkejut dengan Seri Paduka kerana personaliti rendah hati beliau. Protokol agak ketat dan kami diperlukan berpakaian formal, berlari ke sana sini dengan kamera di bawah panas terik matahari dengan berbaju sut dan bersongkok.

"Apabila anda berurusan dengan Seri Paduka, anda tidak boleh memberitahunya bagaimana atau di mana baginda harus duduk. Anda tidak boleh meminta baginda mengubah gaya duduk atau bergerak. Pernah sekali kami tidak puas hati dengan lokasi, iaitu bilik dan kerusi tetapi pihak istana memaklumkan yang kami tiada pilihan.

"Had protokol menyukarkan gerak-geri kami. Seri Paduka bukan cerewet orangnya dan hanya melarang sebarang penggambaran semasa beliau menjamu selera di majlis bersama orang-orang kenamaan," katanya.

Protokol istana agak berat dan menyebabkan Adam letih daripada segi mental.

"Bagi saya, hari pertabalan adalah yang paling sukar dan saya menaruh penuh kepercayaan terhadap terhadap krew saya yang mengendalikan unit-unit kamera. Saya menyelia tujuh unit kamera dan perlu memastikan mendapat segala sudut yang diperlukan," kata beliau lagi.

KERJASAMA FINAS DAN NATIONAL GEOGRAPHIC

Dokumentari "Becoming a King" merupakan yang pertama daripada dua buah dokumentari HD buatan Malaysia yang diterbitkan pada kos di bawah RM1.4 juta (US$400,000) menggunakan peruntukan daripada Tabung Dokumentari Definisi Tinggi 2006 "Malaysia to the World" kelolaan NGCI-Finas (Filem Nasional).

Smith berkata dana itu diwujudkan setahun yang lepas dalam usaha membantu pembuat filem dokumentari Malaysia untuk muncul dengan kisah-kisah yang boleh ditonton oleh audien global di sebalik penonton tempatan sahaja.

"Selepas dana itu ditubuhkan kami meminta idea daripada masyarakat penerbit akan kisah mana mereka mahu terbitkan bagi audien global. Ada yang mengutarakan idea "Becoming a King" dan kami memilihnya," tambah Smith.

PLATFORM UNTUK BERSAING DI PERINGKAT GLOBAL

Ketua Pengarah Finas Mohd Mahyidin Mustakim berkata perkongsian bersama NGCI memberikan pembuat-pembuat filem di Malaysia kelebihan untuk bersaing di peringkat dunia.

"Kami gembira kerana dapat memainkan peranan penting dalam membantu pembuat-pembuat filem Malaysia dan menerbitkan program dokumentari HD bagi audien global," katanya.

Ketua pegawai eksekutif stesen televisyen kabel Astro Rohana Rozhan sementara itu berkata kerjasama bersejarah itu bersama NGCI bukan sahaja mendedahkan tradisi Malaysia, warisan dan budaya yang kaya kepada audien global tetapi juga ia memperluaskan siaran dokumentari-dokumentari terbitan tempatan dan transmisi HD di Malaysia.

Ini merupakan kali pertama NGCI, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan Finas dengan gandingan Astro telah berusaha bersama-sama untuk memberi dorongan bagi dokumentari tempatan.

Oleh Jeswan Kaur
Bernama