Isnin, 17 September 2007

Berbahaya pilih orang 'lapar' jadi pemimpin


BARU-BARU ini penulis menaiki sebuah teksi untuk menemui seorang kenalan di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Ketika itu cuaca agak panas, tetapi walaupun banyak kenderaan, kami tidak terkandas dalam kesesakan lalu lintas.

Keadaan di dalam teksi agak sunyi, tiada sebarang kata-kata dikeluarkan selepas penulis memberitahu pemandu teksi akan tempat hendak dituju.

Mungkin kerana jenis manusia yang tidak suka diam, penulis mengajukan soalan kepada pemandu teksi terbabit dengan hasrat untuk memulakan perbualan. Soalan pertama ialah mengenai usianya kerana pemandu teksi itu kelihatan tegap walaupun berumur.

“Usia saya sudah mencecah 70 tahun. Saya dilahirkan di Seremban pada 1937,” katanya.

Selepas mendapat jawapan, barulah perbualan menjadi rancak. Mungkin kerana Malaysia baru saja menyambut kemerdekaan ke-50, pemandu teksi itu tidak melepaskan peluang menceritakan serba sedikit pengalamannya ketika remaja sebelum merdeka dan menjadi anggota tentera selepas merdeka.

“Ketika itu usia saya baru 20 tahun. Hidup sangat susah. Kata orang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kini selepas 50 tahun negara mencapai kemerdekaan, generasi sekarang cukup bertuah dan ia sepatutnya dikekalkan sampai bila-bila,” katanya.

Penulis kemudian kemukakan soalan provokasi kepada pemandu teksi terbabit antaranya jika beliau berpeluang mengundi pada pilihan raya umum dalam tempoh terdekat ini, siapa yang beliau pilih?

Jawapannya penuh sinis dan makna. “Saya akan pilih orang yang kenyang kerana bagi saya berbahaya pilih orang lapar. Saya akan tolak orang seperti itu, lebih-lebih lagi mereka yang sudah terlalu lama menunggu untuk mengambil alih pemerintahan negara ini.”

Penulis pada awalnya kurang memahami apa yang dimaksudkannya, bagaimanapun, selepas diamati jawapan itu, barulah jelas yang tersirat.

“Saya buat itu (pilih orang kenyang) kerana sayang kepada negara ini. Saudara sedia maklum, Malaysia negara yang kaya dengan ‘khazanah’ dan jika saya pilih orang kenyang untuk terus memerintah negara, mungkin mereka mengambil sedikit saja khazanah itu sebab sudah kekenyangan, yang lain akan diagihkan kepada kita.

“Bagaimanapun, keadaan berbeza jika orang lapar dipilih sebagai pemerintah, bayangkan apa akan terjadi. Mungkin habis semua ‘khazanah’ itu dimakannya sehingga menyebabkan negara ini menjadi miskin.

“Kita sendiri boleh bayangkan jika kita terlalu lapar, lebih-lebih lagi golongan yang imannya tipis macam kulit bawang, tentu mereka menghadap makanan dengan gelojoh.

“Keadaan mungkin bertambah teruk jika mereka sudah terlalu lama menunggu untuk mendapatkan ‘khazanah’ itu,” katanya.

Penulis bertanya lagi, kalau tidak diberi peluang macam mana kita hendak tahu orang yang lapar itu betul-betul gelojoh ketika makan hingga ‘khazanah’ yang disimpan boleh dihabiskannya?

Pemandu teksi itu dengan pantas menjawab; “Dalam keadaan sekarang, kita tidak boleh membuat percubaan. Ini bukan zaman 60-an, 70-an dan 80-an. Ini tahun 2007, Malaysia sudah maju dan makmur. Pemimpin dan parti sedia ada pula sudah diuji kemampuannya sehingga kesejahteraan rakyat kekal sampai sekarang. Keadaan ini menyebabkan anasir luar yang cemburu dengan kejayaan kita dan sentiasa menanti peluang untuk ‘menjajah’ kita sekali gus merampas khazanah itu.

“Kita bimbang jika orang lapar itu diberi peluang jadi pemimpin, mereka tidak dapat memerintah dengan adil. Bayangkan orang sedang lapar, sukar untuknya mencari pertimbangan.

“Untuk memastikan mereka kekal memerintah negara, mereka akan bersekongkol dengan orang luar yang akhirnya menjadikan kita lemah seperti zaman muda saya.

“Saya selesa dengan keadaan sekarang. Saya tidak mahu anak cucu saya berhadapan dengan risiko jika pemerintahan negara ini bertukar,” katanya.

Oleh Rasid Rahman

Berita Minggu 16 September 2007