Khamis, 20 September 2007

Filem Sukan Tonik Semangat Untuk Atlet Malaysia?


Stadium Tyneside di Newcastle, England menyaksikan pergelutan dua kelab Liga Perdana England, Newcastle United dan Liverpool, merebut tempat dalam Kejohanan Liga Juara UEFA.

Dengan perlawanan berbakikan minit-minit terakhir, bayangan kekalahan mula menghantui pasukan tuan rumah. Tapi nasib menyebelahi mereka bila mendapat tendangan percuma di luar kotak penalti pasukan lawan.

Seorang pemain baru mengambil sepakan dan bola terus melayang ke dalam gawang diiringi tiupan wisel pengadil menandakan jaringan gol.

Ribuan penyokong pasukan tuan rumah bersorak gembira kerana pasukan mereka telah layak menyertai kejohanan Eropah tersebut.

Ini adalah satu adegan dari filem "Goal". Ceritanya mengenai seorang imigran dari Mexico, Santiago Munez, yang memiliki impian menjadi bintang terkenal dalam salah satu liga bolasepak terbesar dunia.

Filem ini ditayangkan di pawagam tempatan beberapa tahun dahulu. Kejayaan 'box-office' telah menghasilkan dua filem susulan.


AHLI SUKAN NEGARA

"Filem ini telah dibuat dengan baik. Ia menggabungkan fiksyen dan fakta, tapi dibuat dengan begitu halus," kata pensyarah universiti Hussaini Amir.

Dalam filem ini, satu produksi yang disokong Persekutuan Bolasepak Dunia (Fifa), bintang-bintang terkenal seperti David Beckham, Zinedine Zidane, Raul Gonzalez dan Alan Shearer diberi penampilan watak 'cameo'.

"Kita sepatutnya ada filem sebegini, kerana Malaysia juga mempunyai juara dunia seperti Nichol David dalam sukan skuasy. Kenapa industri filem tempatan tidak menggambarkan kejayaan ahli sukan negara? Mungkinkah kerana kos yang tinggi?"

Menurut Hussaini, beliau masih ingat Sukan Asia di New Delhi pada 1982, apabila pelari pecut negara Rabuan Pit memenangi pingat emas dalam acara 100 meter tanpa dijangka oleh atlet negara lain.

Rabuan berjaya mengatasi pelumba dari negara lain yang dianggap pilihan seperti dari negara Jepun, Thailand dan Korea Selatan dalam saingan untuk pingat emas.

"Kejayaan Rabuan, serta pencapaian hebat atlet Malaysia yang lain dalam arena antarabangsa boleh difilemkan, sudah tentu babak fiksyen boleh dicampurkan juga," jelas beliau.


WIRA NEGARA

Menurut pendidik Fatimah Mansur: "Industri filem tempatan telah mengeluarkan produksi tentang wira negara seperti Leftenan Adnan dan Bukit Kepong. Kenapa tidak (mengeluarkan) filem tentang wira sukan kita?"

Beliau percaya penghidupan kembali kegemilangan sukan badminton negara dalam kejohanan antarabangsa pada lewat tahun-tahun 1980-an, yang diterajui anak-anak Datuk Sidek Kamar, boleh dijadikan satu produksi layar perak yang cukup baik.

"Kenapa tak buat filem tentang anak-anak Sidek. Dengan skrip dan produksi yang baik, cereka mengenai anak-anak Sidek di kampung halaman mereka Kanchong Darat, Banting serta bagaimana mereka menjadi juara di peringkat dunia boleh menjadi filem yang baik".

Fatimah yakin Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) boleh membantu dalam penghasilan produksi seperti ini dengan menyalurkan bantuan kewangan.

Finas pernah berbuat sedemikian bila ia membantu produksi filem patriotik 'Embun' dan 'Paloh', jelas beliau.

Industri filem barat telah berjaya mengeluarkan filem sukan yang baik seperti 'Chariots of Fire' dengan menggabungkan fiksyen dan fakta. Filem ini mengisahkan Dr Roger Banister yang merupakan orang pertama mencatat masa kurang dari satu minit berlari dalam jarak satu batu (400 meter).


BANTUAN KERAJAAN, SWASTA

Dalam konteks ini, Hussaini bersetuju dengan pandangan Fatimah.

Beliau juga percaya para penonton gemar dengan produksi cereka yang baik tentang pengorbanan dan pencapaian atlet dalam sukan.

Antara filem-filem sebegini, yang diasaskan pada kisah benar, ialah Cool Runnings, Cinderella Man, Radio dan Coach Carter.

"Filem-filem seperti ini boleh meniup semangat atlet-atlet muda kita. Semangat sebegini boleh memberi arah kepada pencapaian yang baik di peringkat antarabangsa," ujar beliau lagi.

Menurut Fatimah, kerajaan dan sektor swasta seharusnya membantu dalam pengeluaran, seperti memberi tajaan, filem-filem sebegini.

"Polis telah memberi kerjasama mereka dalam pembikinan filem Bukit Kepong, begitu juga dengan pihak angkatan tentera dalam filem Leftenan Adnan. Rasanya sudah tiba masanya Kementerian Belia dan Sukan untuk membuat sesuatu yang sama.

"Penonton filem Malaysia perlukan sesuatu yang berbeza. Mungkin filem berorientasikan sukan, yang menyentuh tentang pengorbanan dan kejayaan ahli sukan negara, boleh membangkitkan semangat atlet-atlet kita," katanya.

Oleh Zulkiple Ibrahim
Bernama