
KUCHING: Esok genap 44 tahun Sarawak dan Sabah merdeka menerusi Malaysia, tetapi tidak ramai tahu mengenai ancaman yang diterima sehingga Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj terpaksa mengumumkan pembentukan Malaysia lewat dua minggu daripada tarikh ulang tahun kemerdekaan.
Sarawak menerima ancaman hebat daripada Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (Paraku) iaitu sayap angkatan bersenjata Biro Kedua Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) yang paling berpengaruh ketika itu.
“Sarawak dengan kerjasama polis terpaksa melancarkan perang psikologi untuk memenangi hati dan jiwa anggota komunis kerana ancaman mereka menjejaskan pembangunan meskipun selepas Sarawak mencapai kemerdekaan menerusi Malaysia” kata Tan Sri Hamdan Sirat, 87, anak tempatan pertama dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak selepas merdeka.
Ancaman komunis semakin meningkat ketika Hamdan menjawat jawatan Pesuruhjaya Polis pada 1969 kerana pertubuhan sulit komunis (CCO) dapat mempengaruhi kebanyakan ketua Cina dan taukeh balak di bandar Sibu.
“Ini menyebabkan kerajaan menubuhkan Pemerintahan Keselamatan Kawasan Rajang (Rascom) membabitkan pentadbiran awam, polis dan tentera pada 1972 bagi mengekang ancaman komunis,” katanya.
Selepas penubuhan Rascom, kerajaan berjaya mengurangkan tekanan komunis di kawasan bandar menyebabkan mereka melarikan diri ke hutan bagi mengelak ditangkap.
“Komunis di Bahagian Simanggang pimpinan Bong Kee Chok semakin lemah, sehinggakan Bong menghantar surat untuk menerima tawaran menyerah diri kepada Ketua Menteri ketika itu, Tun Rahman Yaakub,” katanya.
Hamdan berkata, Sarawak menghadapi tahap paling kritikal pada tahun selepas merdeka mulai 1963 hingga 1973 kerana berdepan gerakan konfrontasi dan komunis, menyebabkan pembangunan tidak dapat berjalan lancar.
Berita Harian 15 September 2007