
SETELAH begitu lama isu mengenai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) reda, kini muncul semula masalah berkaitan program tersebut yang kembali membuka mata masyarakat mengenainya.
Tahun ini sahaja, empat orang pelatih PLKN meninggal dunia ketika di bawah kendalian kem PLKN. Terbaru, nasib malang menimpa pelatih Kem Cheneh Cemerlang, Kemaman, Mohd. Rafi Ameer, 18, yang dikatakan termakan makanan yang dicemari najis haiwan.
Dia tidak dapat diselamatkan dan pihak keluarga Mohd. Rafi mendakwa pihak PLKN gagal menjaga kebajikan anak mereka berikutan aduan kepada pihak kem yang tidak dilayan.
Adalah dikesalkan juga apabila pihak PLKN dikatakan tidak memaklumkan keadaan sebenar pelatih itu sebaliknya memaklumkan bahawa Mohd. Rafi sihat dan keluarganya tidak perlu bimbang.
Biasanya, tuding-menuding antara ibu bapa dengan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan terjadi apabila sesuatu insiden menimpa peserta program tersebut sama ada melibatkan kecederaan, penyakit serius apatah lagi meragut nyawa.
Masyarakat tentunya akan merungut dan membuat pelbagai andaian jika keadaan ini terus berlaku dalam satu program yang bermatlamat murni iaitu melahirkan insan cemerlang dalam beberapa aspek terpilih.
Sepatutnya, segala masalah besar berkaitan PLKN tidak wujud lagi kerana JLKN sudah mempunyai pengalaman empat tahun mengendalikan program ini. Bermula dengan 80, 000 pelatih pada tahun 2004 dan kini melebihi 100,000 pelatih di hampir 100 kem latihan, PLKN telah diyakini keberkesanannya, malah hasil daripada program tersebut sedikit sebanyak telah berjaya melahirkan remaja yang berketerampilan, mempunyai sahsiah yang tinggi dan diasak pula dengan semangat patriotik yang tinggi.
Oleh sebab itu, ada sesetengah pihak yang mahu program ini dipanjangkan lagi dan bukannya sekadar dua bulan setengah atau tiga bulan seperti yang diadakan sekarang. Jarak masa yang diadakan sekarang dianggap singkat untuk diasak dengan pelbagai program dan motif utama program ini.
Oleh hal yang demikian, JLKN mestilah mengambil kesempatan ini dengan memperkemas jentera pelaksanaan program ini supaya lebih berkesan dan kualitinya tidak akan dipertikaikan.
Memang maut itu di tangan Tuhan tetapi apabila seseorang itu meninggal dunia semasa di bawah kendalian program ini, tidak kira atas sebab apa, masyarakat akan membuka mata kerana pelatih-pelatih dalam program ini dijanjikan dengan segala bentuk kemudahan, latihan yang sederhana, pelbagai kebajikan dan lain-lain lagi.
Dalam pada itu, tidak dinafikan bahawa pelatih-pelatih PLKN masih muda, dan apabila berpisah dengan ibu bapa dan sanak saudara, sudah tentunya mereka masih memerlukan bantuan dan perhatian keluarga masing-masing.
Kita tidak boleh menganggap segala masalah mereka dapat ditangani oleh petugas-petugas di kem seratus peratus kerana nisbah petugas dan pelatih agak tinggi.
JLKN sebenarnya mestilah melonggarkan syarat termasuklah memudahkan hubungan antara ibu bapa atau penjaga dengan pelatih-pelatih tetapi mestilah ada batasannya.
Tidak mustahil ada antara pelatih-pelatih yang kurang berpuas hati dengan bentuk layanan, latihan dan mahu menyalurkannya kepada ibu bapa atau keluarga terdekat. Demi memperkemas bentuk latihan dan matlamat PLKN, JLKN tidak seharusnya mengetepikan segala bentuk kritikan dan pandangan ibu bapa atau penjaga demi menaikkan imej PLKN.
Jika benar apa yang terjadi kepada Mohd. Rafi seperti yang didakwa oleh keluarganya, bermakna PLKN mesti memikirkan semula ‘kuasa’ yang ada pada mereka sama ada kuasa itu perlu dirombak agar segala bentuk permintaan, aduan, dan rayuan daripada pelatih PLKN terutamanya berkaitan kesihatan mestilah diperjelas kepada keluarga, bukannya ditangani sepenuhnya oleh PLKN.
Walaupun ibu bapa para pelatih bukan semuanya doktor, tetapi dengan memberitahu mereka, mereka tidak akan berasa disisih atau diketepikan. Apa yang jelas, jika kematian pelatih berlaku semasa kendalian PLKN, pelbagai masalah akan timbul kemudian hari termasuklah andaian-andaian buruk dan bercampur pula dengan pelbagai perasaan seperti sedih, kesal, terkilan dan sebagainya.
– M. JASNI MAJED,
Bukit Kapar, Selangor.
Bukit Kapar, Selangor.
Artikel dipetik dari ruangan Pendapat yang disiarkan di Utusan Malaysia 4 September 2007