Jumaat, 21 September 2007

Kemerdekaan ke-50 negara turut disambut


SENJA di Avenue Louise, iaitu pusat beli-belah yang paling mewah di sini begitu berbeza pada 31 Ogos lalu apabila ia seolah-olah turut bersama meraikan sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara.

Selepas pelbagai juadah Malaysia seperti lemang, rendang dan mi goreng disajikan di atas pinggan perak, rakyat Malaysia dan kira-kira 300 tetamu daripada berbagai negara berdiri tegak semasa Brabançonne, lagu kebangsaan Belgium dimainkan dan disusuli pula dengan Negaraku.

Duta Malaysia ke Belgium, Datuk Mohammad Kamal Yan Yahya, berkata, tahun ini sangat penting untuk Malaysia dan negara ini kerana ia adalah ulang tahun kemerdekaan ke-50 dan tahun ini juga genap 50 tahun perhubungan diplomatik antara Kuala Lumpur-Brussels.

Walaupun bilangan masyarakat Malaysia di sini dan di negara jiran, Luxembourg kecil mereka tetap bersemangat untuk berpakaian cantik ke majlis itu serta bergaul dengan wakil diplomatik dan rakyat Belgium pada majlis itu yang diadakan di hotel terindah di sini, Conrad Brussels.

"Kami mahu menjemput semua 11 bekas duta Belgium yang pernah ke Kuala Lumpur, tetapi ramai yang tidak dapat hadir kerana sudah tua dan seorang sudah meninggal.

"Jadi malam ini hanya tiga dapat datang: duta Belgium ke Kuala Lumpur sekarang Dr Frank Van de Craen dan dua duta sebelumnya, Edmond de Wilde dan Bauduin de Callatay," katanya ketika berucap di majlis itu.

Beliau berkata, majlis itu ialah acara sambutan ulang tahun kemerdekaan terbesar yang pernah diadakan oleh kedutaan Malaysia kita di Belgium.

Satu kumpulan penari Pelancongan Malaysia dari Frankfurt datang untuk membuat pertunjukan, dan buah-buahan Malaysia - manggis, nanas dan buah naga turut diterbangkan untuk dihidangkan kepada tetamu di majlis berkenaan.

"Hotel ini mahu menyajikan makanan untuk kita tetapi saya mahu sesuatu yang berselera Malaysia, jadi isteri saya dan anggota kedutaan bersama menyiapkan selera Malaysia istimewa untuk majlis ini," kata Mohammad Kamal.

Isteri beliau, Datin Sabina Ismail hadir anggun dengan baju kurung hitam dan batiknya yang bercorak warna warni, serta sentiasa ramah melayan setiap tetamu walaupun selepas hampir sehari suntuk di dapur untuk menyiapkan makanan.

Rakyat Malaysia yang bertugas di sini juga hadir dengan pelbagai pakaian termasuk baju kurung, jubah, sari, baju Melayu dan batik manakala kumpulan penari menunjukkan tarian zapin, dan yang menggambarkan pelbagai etnik di Malaysia.

Mohd Kamal yang juga ketua perwakilan ke Kesatuan Eropah (EC), berkata, umumnya warga Belgium belum membuat sumbangan besar kepada sektor pelancongan Malaysia, tetapi peningkatan hubungan antara kedua-dua negara menjanjikan potensi besar.

Jumlah dagangan Malaysia dan Belgium juga masih kecil dan negara itu hanya menduduki tangga ke-28 rakan dagang negara, yang mewakili hanya 0.38 peratus keseluruhan eksport Malaysia sepanjang tahun lalu.

"Pada 2006 perdagangan Malaysia dengan Belgium berjumlah ¤816.2 juta berbanding ¤752.6 pada tahun sebelumnya.

"Satu cara untuk Malaysia meningkatkan lagi perdagangan dan kedatangan pelancong dari Brussels ialah dengan MAS menghidupkan semula perkhidmatan penerbangannya ke Brussels, yang dihentikan pada era 1980-an," katanya.

Beliau berkata, langkah itu wajar kerana Brussels ialah di antara kedutaan yang paling sibuk di dunia dari segi kegiatan diplomatik kerana fungsinya sebagai pusat EC dan Pertubuhan Kastam Sedunia.

Berita Harian 21 September 2007