
SEJAK bertugas sebagai wartawan, penulis beberapa kali berpeluang membuat liputan tokoh terkemuka dunia seperti bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore; bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela mahupun Ratu Elizabeth ketika berkunjung ke Kuala Lumpur pada lewat 1990-an.
Ketika tugasan di Afghanistan pada 2002, penulis hampir bertemu Presidennya, Hamid Karzai tetapi disebabkan pergolakan yang melanda bumi itu, temu janji yang diatur terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir.
Namun, selepas pelbagai kenangan dilalui sepanjang memegang pen dan buku catatan wartawan Berita Harian, penulis tidak pernah bermimpi bahawa pada suatu hari dapat bertemu pemain bola sepak skuad Liga Perdana Inggeris (EPL) pada majlis eksklusif di sebuah hotel lima bintang di Hong Kong, dengan barisan tetamu tentunya golongan elit di pulau pelancongan terkenal itu.
Ketika meneliti program lawatan media ke kilang milik pengeluar rumusan pencetak OKI Data Corporation (OKI), iaitu OKI Electric Industry (Shenzhen) Co Ltd di Xili, Shenzhen, China, baru-baru ini, penulis teruja melihat acara khas iaitu makan malam bersama pemain Kelab Portsmouth FC yang ketika itu bertarung merebut Piala Asia serta menonton perlawanan Portsmouth dan Liverpool di Stadium Hong Kong.
“Kenapa pula kita dibawa OKI menonton bola sepak di Hong Kong?,” tanya seorang teman media yang agak ‘kabur’ tujuan program itu dianjurkan ketika kami menggalas bagasi masing-masing ke kaunter pendaftaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Selepas diberi penerangan, kami dimaklumkan rupa-rupanya OKI sudah dua musim menaja Portsmouth, malah Januari lalu syarikat itu melanjutkan kontrak penajaan sehingga 2009.
“Anda fanatik bola? Jangan lupa sokong Portsmouth dalam perlawanan nanti,” kata Pengurus Negara OKI Data Malaysia, Goh Yin Hwang yang sentiasa memastikan rakan media mendapat layanan baik sepanjang lawatan empat hari itu.
Portsmouth atau lebih dikenali sebagai 'Pompey' di kalangan penyokongnya dianggap skuad ‘giant killer’ yang berpotensi menewaskan kelab ternama seperti Manchester United (MU), Chelsea, Liverpool dan Arsenal.
Pesawat MH72 milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang membawa penulis dan rakan media tiba di Hong Kong dalam keadaan cuaca yang agak terik. Sebaik keluar dari balai ketibaan, kami terus dibawa ke Shenzhen yang terletak di tanah besar China.
Perjalanan yang mengambil masa hampir sejam tidak terasa dek pemandangan memukau kerana melalui kawasan tepi pantai dan berbukit. Dari jauh, Hong Kong umpama kota metropolis dengan bangunan mencakar langit termasuk ratusan blok kondominium eksklusif bernilai jutaan dolar Hong Kong.
Hari kedua kami dibawa melawat ke kilang OKI di Shenzhen serta bertemu dengan Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Mikihiko Maeno yang cukup peramah dan tidak lokek berkongsi pengalaman lebih 40 tahun bersama OKI.
Selesai ‘tugasan’ itu, kami tidak sabar-sabar pulang ke Hong Kong kerana mahu bertemu pemain ‘Pompey’ pada majlis eksklusif yang dihoskan seorang bekas Ratu Cantik Hong Kong.
Melangkah ke dewan keraian di tingkat 27, Hotel Park Lane, yang terletak di Gloucester Road, kami terpukau dengan keindahan panorama teluk Hong Kong dengan ratusan kapal dan bot kecil termasuk kapal layar tradisional yang menjadi imej Hong Kong, menyusuri perairan itu.
Leka dengan pemandangan itu, tiba-tiba pengacara mengumumkan ketibaan bintang 'Pompey' di depan mata.
Ketika itu, kami tidak berlengah sebaliknya segera mendekati mereka untuk meminta menurunkan tanda tangan pada jersi Portsmouth yang dihadiahkan OKI kepada kami. Dari jauh, kelibat David James yang tinggi lampai menjawab kemusykilan bagaimana pemain ini begitu handal menangkis bola di gawang.

Sesi bersama wira 'Pompey' tidak lama kerana pemain terikat dengan peraturan ketat dan regim diet, perlu segera kembali berlatih. Kami menunggu sehingga keesokan malam untuk melihat 'Pompey' beraksi menentang Liverpool yang diberi jolokan The Reds di Stadium Hong Kong.
Kami tiba di stadium ketika puluhan ribu penyokong Portsmouth dan Liverpool sudah memasuki stadium berkenaan. Persis perlawanan EPL yang ditonton di televisyen, gelagat penonton terutama penyokong fanatik membuktikan bola sepak akan terus kekal menjadi acara sukan No 1.
Pada malam bersejarah itu, 'Pompey' yang beraksi cemerlang seawal permainan, menundukkan Liverpool walaupun skuad naib juara Piala Eropah ini menurunkan aset berharga seperti Steven Gerard dan Fernando Torres. Ketangkasan David James sekali lagi menyelamatkan Portsmouth yang mendera Liverpool di kancah penalti dengan kemenangan 4-2.
Dalam rintik hujan yang mula membasahi stadium, kami meninggalkan kompleks itu dengan penuh kepuasan dan memori indah di Hong Kong.
Oleh Shamshul Azree Samshir (Yang berkunjung ke Shenzhen)
Berita Harian 15 September 2007