Isnin, 17 September 2007

Mengantarabangsakan Pendidikan Islam


IKUTI temubual bersama Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengenai usaha kementerian untuk mengantarabangsakan Pendidikan Islam yang ternyata berjaya menarik minat beberapa negara untuk mencontohinya termasuk Thailand dan Pakistan.


BOLEHKAH Datuk Seri jelaskan peranan Pendidikan Islam dalam membina negara bangsa, selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP)?

Seperti yang dihasratkan Wawasan 2020, kita mahu melahirkan masyarakat Bangsa Malaysia yang maju mengikut acuan sendiri. Dalam teras pertama PIPP, memupuk kefahaman yang jelas terhadap pendekatan Islam Hadhari serta membimbing pendekatannya di dalam membentuk pemikiran dan kehidupan masyarakat Bangsa Malaysia yang ingin dilahirkan adalah salah satu daripada empat fokus utama teras ini. Melalui pendekatan Islam Hadhari menerusi Pendidikan Islam, kita ingin membuktikan bahawa sistem pendidikan kita mampu melahirkan umat Islam yang berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar, iaitu ajaran yang progresif, mementingkan perpaduan dan semangat patriotisme serta mengutamakan keamanan dan kesejahteraan rakyat dan negara.

Melalui sistem pendidikan, kita mahu membuktikan umat Islam yang dilahirkan bukan pengganas, mundur, berfikiran sempit, miskin, sentiasa hidup bercakaran, suka berperang dan tidak dapat hidup aman harmoni dengan orang lain yang berbeza agama atau keturunan mereka. Bagi masyarakat bukan Islam pula, pendekatan Islam Hadhari diharapkan dapat menghilangkan prasangka mereka terhadap ajaran Islam dan umat Islam seterusnya membuatkan mereka berasa lebih selesa dan selamat. Kita berharap melalui kefahaman yang jelas terhadap agama Islam, kita dapat melahirkan masyarakat Bangsa Malaysia yang menyedari dan menghargai hakikat bahawa di dalam sebuah negara yang agama rasminya adalah Islam dan majoriti penduduknya beragama Islam, Islam bukan agama yang ditakuti, sebaliknya adalah agama yang progresif dan dapat wujud dalam kemodenan.

Melalui kefahaman yang jelas ini juga, kita ingin menghilangkan segala perasaan syak wasangka dan menunjukkan kepada semua pihak bahawa Islam menolak sikap melampau, kemunduran dan kekacauan, sebaliknya menggalakkan umatnya bersungguh-sungguh berusaha mencapai kemajuan, keamanan dan kesejahteraan.


Sistem nilai sering mendasari sesuatu sistem pendidikan termasuk di negara ini. Dalam konteks pendidikan yang lebih luas, bolehkah Datuk Seri jelaskan sejauh mana keperluan manusia kepada nilai dan nilai apakah yang ingin digarap oleh Pendidikan Islam dalam usaha membangunkan modal insan?

Kita semua bernasib baik kerana masyarakat dan sistem pendidikan kita masih kuat berpegang kepada nilai ketimuran dan ajaran Islam. Dalam masyarakat kita nilai seperti budi bahasa, menghormati orang tua dan toleransi masih kuat. Sedangkan di Barat atau di negara lain, nilai seperti ini sudah semakin dilupakan. Bagaimanapun di negara Barat ketika ini, sudah timbul perbahasan dan kecenderungan untuk kembali berpegang kepada nilai ini. Hari ini mereka sudah mula membangkitkan keperluan untuk mendidik anak-anak dengan nilai seperti adab sopan, saling hormat menghormati, menghargai ikatan dan ikatan perkahwinan, sikap bertoleransi, hidup bermasyarakat dan banyak lagi. Dalam sistem pendidikan kita, nilai dipupuk bukan saja melalui mata pelajaran seperti Pendidikan Islam, Moral dan Sivik dan Kewarganegaraan, tetapi turut didedahkan secara merentasi kurikulum melalui mata pelajaran lain seperti Bahasa, Sejarah, Seni dan sebagainya. Nilai amanah, misalnya, boleh diterapkan di dalam mata pelajaran Ekonomi. Seterusnya, usaha ini diperkukuhkan lagi melalui kegiatan kokurikulum dan amalan baik yang dibudayakan di sekolah. Insya-Allah pada masa hadapan, melalui reformasi di dalam kaedah kita mentafsir pelajar, didikan mengenai nilai akan menjadi semakin kukuh. Dalam subjek Pendidikan Islam, nilai bukan saja terletak pada matlamat tetapi juga kepada kandungan mata pelajaran itu sendiri. Dalam Pendidikan Islam inilah kita diajar berkenaan nilai murni, nilai baik untuk dihayati dan nilai buruk untuk dijauhi. Falsafah Pendidikan Islam itu sendiri yang menekankan kepada nilai iman, amal dan takwa. Dalam kurikulum Pendidikan Islam, didapati nilai yang terpuji menjadi fokus utamanya. Contohnya sikap kesederhanaan, amanah dan toleransi disentuh dalam bab akhlak Islam. Sikap bersungguh-sungguh dalam bidang ekonomi ditanam dalam bab zakat dan haji. Sikap takwa dan berhati-hati diperkenalkan dalam bab akidah. Ini semua adalah asas kepada pembentukan modal insan yang berkualiti. Dalam usaha memupuk nilai kepada anak-anak kita, saya amat berharap agar guru-guru Pendidikan Islam dapat benar-benar berperanan bukan saja sebagai penyampai ilmu, tetapi juga dapat menjadi contoh teladan kepada pelajar dan masyarakat sekitar. Jika semua ini dapat dilaksanakan di sekolah, saya percaya kita akan dapat melahirkan masyarakat Bangsa Malaysia yang maju mengikut acuan sendiri. Kemajuan negara pada tahun 2020 akan menjadi bermakna jika anak-anak yang keluar daripada sistem pendidikan kita beradab sopan, berbudi bahasa, berdisiplin, toleran, menghormati mereka yang lebih tua, mempunyai integriti yang tinggi, amanah dan bencikan rasuah.


Bolehkah Datuk Seri maklumkan secara ringkas mengenai status dan pencapaian Pendidikan Islam di negara kita pada masa kini?

Pendidikan Islam mempunyai sejarah yang panjang dan kaitan yang sangat rapat dengan masyarakat Melayu sejak zaman kesultanan Melaka lagi. Oleh kerana faktor sejarah dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi, Pendidikan Islam diberi tempat yang agak istimewa di dalam sistem pendidikan kita seperti diperuntukkan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Dulu Pendidikan Islam diberi secara tidak formal di surau dan madrasah. Hari ini, keadaan sudah jauh berbeza. Pendidikan Islam mempunyai pasarannya tersendiri dan ditawarkan oleh pelbagai pihak, termasuk kerajaan negeri dan pihak swasta. Hari ini, di bawah kementerian, ada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan kelas khas aliran agama. Di bawah kerajaan negeri ada Sekolah Agama Negeri (SAN). Selain itu ada juga sekolah agama rakyat (SAR) dan sekolah agama swasta (SAS) yang diselia individu dan pihak swasta. Bagaimanapun semuanya menggunakan kurikulum kebangsaan dan menduduki peperiksaan awam yang sama. Boleh dikatakan hari ini, Pendidikan Islam di Malaysia sudah berkembang begitu pesat dan mempunyai kurikulum, aktiviti kokurikulum dan kaedah penilaian dan penafsiran yang begitu kemas dan kukuh. Mata pelajaran Pendidikan Islam diberi keutamaan dan menjadi salah satu daripada mata pelajaran teras dan diuji dalam peperiksaan awam pada peringkat menengah. Dari segi kegiatan kokurikulum, pelbagai aktiviti sudah kita laksanakan di pelbagai peringkat persekolahan. Misalnya, pertandingan syarahan, tahfiz dan majlis tadarus al-Quran yang dijalankan pada peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan. Satu lagi aktiviti yang istimewa dan jarang dilaksanakan di negara lain adalah Kelas Kemahiran al-Quran (KKQ). Melalui kelas seperti ini, kita dapati kemahiran seperti Qiraat Sab’ah dan Tarannum dapat disemarakkan semula di negara ini sejak diperkenalkan 10 tahun lalu. Kalau kita melihat dari aspek guru pula, kedudukan guru agama tidak dibezakan berbanding guru lain. Dulu, taraf guru agama diletakkan satu tahap di bawah guru mata pelajaran lain, tetapi tidak lagi hari ini. Hari ini norma guru, peluang kenaikan pangkat dan kebajikan guru agama adalah sama dengan guru-guru lain dan tidak dibezakan sama sekali. Ketika ini ada 55 SMKA di seluruh negara dan saya gembira untuk menyatakan bahawa prestasi pelajar di SMKA juga sangat memberangsangkan dan mampu menyaingi pelajar dari Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Ketika ini juga, kita giat mendaftarkan semua 383 buah SAN dan SAR seluruh negara sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) agar kualiti pendidikan di sekolah ini dapat dipertingkatkan. Setakat ini sudah ada 119 buah sekolah yang dinaik taraf sebagai SABK. Insya-Allah kita berharap lebih banyak sekolah lagi yang akan mengikut jejak langkah sekolah ini. Walaupun kita mempunyai sistem, struktur dan program Pendidikan Islam yang kemas, dan teratur, tetapi dari semasa ke semasa kita akan tetap membuat penambahbaikan bagi memastikan ia terus menepati wawasan dan kehendak negara. Program j-QAF, misalnya, kita wujudkan pada 2005 sebagai satu langkah mengukuhkan lagi mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan. Melalui j-QAF, kita dapati semakin ramai pelajar yang dapat menguasai penulisan jawi, bacaan al-Quran, asas bahasa Arab dan fardu ain sebelum menamatkan sekolah rendah. Ini seterusnya menjadi faktor yang menarik ibu bapa pelajar Melayu untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan.


Pada pandangan Datuk Seri, bolehkan KPM berperanan di peringkat antarabangsa dalam konteks Pendidikan Islam?

Hari ini Malaysia dilihat oleh masyarakat dunia sebagai sebuah negara Islam yang berpendirian sederhana. Umat Islam di Malaysia pula dilihat sebagai masyarakat yang toleran, dapat hidup aman dengan masyarakat lain dan pada waktu yang sama dapat menyesuaikan diri dengan kemajuan dan kemodenan. Atas sebab ini, Malaysia menjadi suatu tarikan kepada masyarakat negara lain yang ingin mengetahui bagaimana Islam diajar dan diamalkan oleh umat Islam negara ini. Dan mereka akan melihat kepada sekolah-sekolah kita dan sistem pendidikan kita. Seperti yang saya sebutkan tadi, kita mempunyai kurikulum pendidikan Islam yang kemas yang disokong kegiatan kokurikulum dan sistem penilaian yang kukuh. Begitu juga keadaannya dengan program latihan keguruan dan skim perkhidmatan kepada guru-guru agama kita. Selain itu, 55 SMKA yang kita ada mampu menyediakan pendidikan yang berkualiti, sama baik dengan SBP di dalam negara kita. SMKA ini jauh lebih baik keadaannya berbanding banyak sekolah agama atau madrasah di luar negara. Ini adalah kekuatan dan juga kepakaran kita yang boleh kita kongsikan dengan negara lain. Kerana itu tidaklah menghairankan bila Perdana Menteri Thailand meminta bantuan kita untuk membantu menambah baik pendidikan Islam di sekolah di wilayah selatan Thailand. Sejak permintaan rasmi mereka kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) pada Februari lalu, pegawai kita dan Kementerian Pendidikan Thailand telah beberapa kali mengadakan perbincangan dan lawatan. Hasil daripada perbincangan dan lawatan ini, kita sudah mengadakan kerjasama untuk membantu pembangunan kurikulum pendidikan Islam, mengadakan program pertukaran pelajar serta melatih guru pendidikan Islam mereka. Terbaru adalah program Jambori Pengakap yang membabitkan 500 pelajar kita di Songkhla pada 26 hingga 31 Ogos lalu dan latihan keguruan berkaitan kemahiran ICT dan Media dalam Pendidikan Islam membabitkan 100 guru Thailand bermula 26 Ogos hingga 7 September akan datang. Insya-Allah, tidak lama lagi 60 pelajar akan dihantar oleh kerajaan Thailand untuk belajar di dua sekolah agama kita yang terpilih. Baru-baru ini Menteri Pendidikan Pakistan juga ada menyatakan hasrat yang sama. Jika Thailand dan Pakistan begitu berminat untuk merujuk kepada kita dalam soal pendidikan Islam, saya yakin lebih banyak negara lagi yang akan mengikut jejak yang sama. Segala ini akan mengangkat nama Malaysia untuk kesekian kalinya ke atas peta pendidikan dunia. Apakah harapan Datuk Seri terhadap masa depan Pendidikan Islam di negara ini? Harapan saya, seluruh sistem, struktur, pendekatan dan kandungan Pendidikan Islam dapat diperkukuhkan lagi supaya Malaysia dapat terus menerus menjadi rujukan kepada negara lain di dunia. Saya yakin masih banyak ruang untuk diperbaiki. Misalnya, dari segi peruntukan, geran per kapita dan kemudahan di semua SMKA dan SABK di seluruh negara. Kita mahu sekolah agama kita menjadi showcase kepada sekolah-sekolah agama di seluruh dunia. Kita mahu pihak yang prejudis dengan Islam melihat bahawa sekolah agama kita bukan sarang melahirkan pengganas, sebaliknya boleh melahirkan pakar dan profesional bukan saja dalam bidang agama Islam, tetapi juga dalam pelbagai bidang yang lain, termasuk bidang Sains dan Teknologi serta menguasai pelbagai bahasa. Saya juga berharap KPM dapat memperluaskan peranannya pada peringkat antarabangsa dari segi bantuan kepakaran dan konsultasi. Institusi di bawah KPM, seperti Institut Aminuddin Baki (IAB), Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Pembangunan Pendidikan Islam (IPPI) perlu segera meningkatkan keupayaan mereka dan mempersiapkan warga mereka dengan kepakaran dalam pelbagai bidang sesuai dengan standard dan keperluan antarabangsa. Saya yakin melalui pendekatan Islam Hadhari, peranan yang dimainkan oleh Pendidikan Islam akan menjadi semakin penting dan boleh menjadi faktor yang dapat mendorong perpaduan, keamanan dan kemajuan di dalam negara seterusnya ini akan membantu memulihkan imej Islam di mata dunia.

Berita Minggu 16 September 2007