Isnin, 24 September 2007

Penduduk Shanghai tidak kalah bergaya fesyen Barat



JIKA anda ke Shanghai, ada beberapa perkara menarik yang boleh dijadikan contoh teladan atau iktibar.

Antaranya ialah pemandu kenderaan tetap menghormati pejalan kaki walaupun arus trafik mengelirukan. Malah peniaga di situ juga akan cuba menggunakan beberapa perkataan bahasa Inggeris mudah untuk berkomunikasi terutama dengan pelancong asing.

Bagaimanapun, ada satu perkara yang menarik perhatian saya iaitu cara orang tua di Shanghai bercakap terlalu kasar, macam nak bergaduh. Rakan Cina dari Malaysia lebih 'lembut' bahasanya.

Namun, suasana berjerebu dengan suhu panas 32 Celsius ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong, Shanghai, awal Ogos lalu, sedikit pun tidak menjejaskan aktiviti harian penduduk di bandar metropolitan itu.

Waktu itu jam 7 pagi, tetapi mentari yang terang bagaikan sudah jam 9 pagi di Malaysia. Suasana sudah sibuk, tetapi masih ada orang berjoging di siar kaki jalan raya. Siar kaki itu juga digunakan penunggang motosikal dan basikal yang turut mewarnai kesesakan lalu lintas di tengah bandar pelabuhan yang pesat membangun di China.

Di sana sini kelihatan ada kerja pembinaan dan korek-mengorek dilakukan.

"Keadaan di sini sama seperti Kuala Lumpur, berubah sepanjang masa," kata Lam Wei Foon, seorang warga Malaysia yang sudah menetap 11 tahun di China. Dia yang berasal dari Cheras, Selangor, menetap di Beijing selama enam tahun kerana tuntutan tugas dan kini sudah lima tahun beralih angin di Shanghai.

Walaupun banyak peluang pekerjaan dapat diterokai di China ini, malah boleh buat harta kata orang, Lam masih tidak lupakan tanah air, Malaysia.

"Saya tetap kembali menetap di tanah air apabila sudah puas bekerja di luar negara," katanya. Baginya, suasana di Beijing lebih tenang, berbanding Shanghai.

"Penduduk Shanghai memang lebih utamakan stail dan disebabkan itu mereka bersedia berbelanja untuk menerima benda baru yang dibawa dari luar, khususnya Barat. Pernah sebuah gedung perniagaan yang baru dibuka dan membuat jualan promosi kehabisan stok tidak sampai sehari," katanya.

Lam turut bersama rombongan wartawan menikmati hidangan malam di sebuah restoran eksklusif di Xinxianti. Kawasan ini hampir sama dengan kemeriahan di Bukit Bintang dan Bangsar pada waktu malam, kata Yanti Agus, wakil Motorola Indonesia.

Kebetulan cuti sekolah, saya lihat ramai ibu bapa bersantai bersama keluarga. Ada papan catur gergasi di kawasan itu yang menjadi tumpuan ramai sebagai kegiatan waktu malam. Suasana di Xinxianti penuh dengan anak muda yang suka berhibur dan berkaraoke.

Pengalaman Lam membuka mata saya mengenai kehidupan sebenar di Shanghai. Tak payahlah saya pergi lebih jauh, contohnya majlis pelancaran telefon terbaru motorola, RAZR2 V8, di ruang tempat terbuka di kawasan kolam Hotel Portman Ritz-Calton, di tengah pusat bandar Shanghai, sudah menceritakan segala-galanya.

Majlis pelancaran yang disertai artis terkenal China termasuk pelakon dari Amerika Syarikat yang juga jurucakap produk, Kristin Davis, penuh sesak dengan pengunjung, sampai nak bergerak pun susah.

Kehangatan majlis diserikan dengan pertunjukan paluan gendang oleh artis yang didatangkan khas dari Singapura, serta model dan artis jelita China yang lintuk bergaya mempamerkan reka bentuk telefon terbaru kepada ramai.

Promosi telefon itu turut kelihatan di sekitar hotel, tempat saya menginap selain di sepanjang Jalan Nanjing.

Kedudukan hotel di tengah pusat bandar raya, membolehkan saya bergerak sendirian selepas saya dapat kepastian daripada Ketua Pemasaran Motorola, Zulkifli Mat Jusoh, bahawa kawasan sekitar terjamin selamat.

Saya tidak pergi jauh, cuma berjalan di sepanjang Jalan Nanjing Barat. Walaupun arus trafik mengelirukan, pemandu kenderaan tetap menghormati pejalan kaki. Ada juga sesekali pengguna motosikal ditegur pengawal trafik kerana menggunakan siar kaki.

Ketika menjengah jualan borong di Jalan Nanjing Barat, saya lebih banyak membendung nafsu membeli, bukan apa duit dibawa tak banyak sedangkan barang yang dipamerkan menyebabkan saya rambang mata.

Suatu yang menarik, penjual di sini cuba menggunakan beberapa perkataan bahasa Inggeris mudah seperti ‘ladies, come in,’ hingga ke kad jualan ada ayat meminta pemandu teksi bawa pelancong ke pusat jualan borong, Jalan Nanjing Barat dalam bahasa Inggeris.

Kalau hendak membeli anda boleh tawar-menawar. Cara menawar memang unik kerana menunjukkan harga ditawar dengan memetik mesin kira. Sesekali terasa geli hati kerana komunikasi antara saya dan penjual seperti ayam dan itik. Mujur juga rakan daripada akhbar Sin Chew, Chong Ching Yen, banyak membantu menjadi penterjemah tidak rasmi.

Oleh Noraini Ismail (Yang mengunjungi Shanghai, China, baru-baru ini)

Berita Harian 22 September 2007