
RAMADAN adalah bulan utama, penghulu segala bulan, iaitu dalam bulan ini Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada semua hamba yang benar-benar beriman. Bukan umat sekarang saja diwajibkan berpuasa, sudah difardukan puasa ke atas umat terdahulu.
Ramadan dikatakan ‘syahrul ibadah’ (bulan ibadat), iaitu Allah membuka peluang seluas-luasnya kepada hamba-Nya yang mukmin melaksanakan ibadat sebanyak-banyaknya kerana ganjaran pahala disediakan pada bulan ini terlalu besar yang tiada pada bulan lain.
Antara isi khutbah disampaikan Nabi SAW di hadapan sahabat pada hari terakhir Sya‘ban ialah: “Barang siapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan (amalan sunat) dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan suatu fardu pada bulan lain. Barang siapa menunaikan suatu fardu pada Ramadan, samalah dia dengan orang yang mengerjakan tujuh puluh fardu pada bulan lain.”
Bagi mukmin yang gemar melakukan kebajikan, sudah tentu kemunculan Ramadan sangat dinantikan kerana pada bulan ini umat Islam diberi keutamaan dalam melakukan ibadat, iaitu akan dikurniakan nilai tambah dari segi ganjaran pahalanya.
Selain itu, pada bulan ini, Allah akan membukakan pintu syurga dan menutup pintu neraka.
Mungkin ada kalangan umat Islam yang bertanya apakah benar syaitan dirantai sepanjang Ramadan, sedangkan perlakuan maksiat masih juga berlaku pada bulan suci itu. Jawabnya kerana diri mereka yang melakukan maksiat itu, (Pada zahirnya mereka berpuasa) tetapi sudah dikuasai nafsu dan nafsu itu pula lebih kuat tarikannya daripada syaitan.
Nabi SAW bersabda bermaksud: “Ramai orang berpuasa, tidak mendapat apa-apa daripada puasanya selain lapar, dan ramai orang yang berjaga malam (beribadah pada malam hari), tidak mendapat apa-apa daripada jaga malamnya selain kurang tidur.” ( Hadis riwayat an-Nasa’iy dan Ibnu Majah)
Tujuan penting puasa ialah membentuk sikap berdisiplin di kalangan mukmin terutama disiplin terhadap waktu. Namun sayangnya, sikap sebahagian umat Islam ketika Ramadan banyak menyimpang seperti banyak tidur, datang lewat ke tempat kerja dan kurang bekerja atas alasan keletihan berpuasa.
Puasa juga mendorong menghulur bantuan kepada golongan yang kurang mampu sebagai cara menghindarkan sifat sombong, bakhil dan ego daripada hati orang yang Allah anugerah kekayaan.
Pengaruh puasa yang dapat membina dan membangun mentaliti manusia ialah puasa yang dilaksanakan dengan penuh keimanan, penghayatan dan keikhlasan kepada Allah. Puasa seperti inilah yang akan mendapat ganjaran pahala besar daripada Allah iaitu penghapusan dosa.
Nabi SAW bersabda bermaksud: “Siapa yang berpuasa pada Ramadan kerana iman dan penuh harapan, nescaya diampunkan Allah dosanya yang sudah lalu.”( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hikmah terpenting berpuasa selain menambah keimanan, seseorang akan dapat mengendalikan nafsunya sendiri tanpa ada paksaan sesiapa. Tanpa keimanan, seseorang itu tidak akan sanggup melakukan ibadat puasa ini, terpaksa menahan lapar, dahaga dan keinginan lain.
Berpuasa juga sebenarnya dapat memberi pengaruh besar kepada kesihatan. Selama 11 bulan kita makan dan minum tanpa henti, maka dalam tempoh itu juga jentera memproses makanan dalam tubuh kita bekerja tanpa rehat.
Oleh itu, ahli kesihatan menjelaskan berpuasa dapat memelihara kesihatan tubuh. Alat pencerna makanan dalam tubuh manusia umpama mesin yang beroperasi terus-menerus tanpa rehat akan rosak.
Dalam menjalani Ramadan yang penuh keberkatan ini, maka orang beriman hendaklah menyambutnya dengan gembira dan membekalkan diri dengan keimanan kepada Allah.
Oleh Wan Aminurrashid Wan Abd Hamid
Penulis ialah Pegawai Hal Ehwal Islam di Pusat Islam Universiti, UPM Serdang
Berita Harian 15 September 2007