Sukarno tentang keras idea penggabungan Sarawak, Sabah dan Brunei dengan Persekutuan Tanah Melayu hingga cetus konfrontasi
"SEMOGA konfrontasi tidak akan berulang lagi," demikian harapan Pensyarah Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Talib Samat tatkala mengenangkan keadaan kucar-kacir lagi meresahkan ketika berlakunya era konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia dari 1962 hingga 1966.
Beliau yang melakukan kajian mengenai kehidupan masyarakat ketika era konfrontasi khususnya di Felda Tenang di Labis, Segamat, Johor, pada tahun lalu, sayu ketika mendengar sendiri pengakuan penduduk betapa susah dan seksanya kehidupan pada zaman itu.
"Perintah berkurung dilaksanakan malah penduduk tidak berani keluar merayau ke mana-mana kerana khuatir ditembak askar Indonesia yang menceroboh," katanya yang merekodkan semua kajian itu dalam novel sejarahnya, 'Tenang Dalam Gelora'.
Lebih memilukan, kejadian konfrontasi yang membayangi pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 itu turut mencetuskan kekacauan serta pertempuran sehingga membabitkan kehilangan ramai nyawa termasuk di kalangan tentera Malaysia.
"Kemuncak konfrontasi Malaysia dan Indonesia bermula kira-kira jam 10 pagi pada 20 Januari 1963 apabila Menteri Luar Indonesia, Dr Subandrio mengisytiharkan menerusi media negara itu mengenai pendirian mereka untuk bermusuhan dengan negara kita," katanya sebelum memulakan kisah konfrontasi yang kini sudah lebih 40 tahun berlalu.
Dengan berslogankan 'Ganyang Malaysia', Presiden Indonesia ketika itu, Sukarno menentang keras idea penggabungan Sarawak, Sabah dan Brunei dengan Persekutuan Tanah Melayu bagi membentuk Malaysia pada 1961 sekali gus menjadi punca konfrontasi.
Sukarno yang dipengaruhi anasir hasutan Parti Komunis Indonesia (PKI) juga lantang menyuarakan bahawa Malaysia hanyalah boneka British dan penggabungan itu akan menambahkan kekuatan British di rantau Nusantara seterusnya dikhuatiri mengancam kemerdekaan Indonesia.
Ketika British berhasrat menggabungkan Sabah ke dalam Malaysia, polemik semakin meruncing apabila Filipina turut menuntut hak penguasaan ke atas Sabah dengan alasan negeri itu pernah memiliki hubungan sejarah dengan Filipina melalui Kepulauan Sulu, suatu ketika dulu.
Hasrat penggabungan itu bukanlah semudah cadangan di atas kertas, tentangan demi tentangan diberikan tidak saja oleh Indonesia dan Filipina tetapi juga di Brunei apabila Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU) memberontak pada 8 Disember 1962.
Mereka cuba menangkap Sultan Brunei, menguasai ladang minyak dan penduduk Eropah lain di negara itu. Sultan bagaimanapun berjaya lolos dan meminta pertolongan British.
Pasukan British termasuk askar Gurkha dari Singapura kemudian tiba untuk membantu dan pada 17 April 1963, pemimpin pemberontakan ditangkap dan pemberontakan di Brunei berakhir.
Perang Indonesia terhadap Malaysia secara rasminya bermula selepas pengisytiharan 'konfrontasi' oleh Dr Subandrio pada 20 Januari 1963. Pada 12 April, tentera sukarelawan Indonesia mulai menceroboh Sarawak dan Sabah untuk menyebar propaganda, mencetuskan huru-hara dan mensabotaj.
Pada 27 Julai, Sukarno dengan lantangnya memekik supaya Indonesia 'mengganyang Malaysia' menyebabkan pencerobohan terus berlaku dan pertempuran bersenjata mula menggegarkan bumi Malaysia. Tembakan saling berbalas dan darah tumpah ke bumi.
Ketika ketegangan masih memuncak, Malaysia secara rasminya dibentuk pada 16 September 1963. Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu sekali gus membentuk Malaysia tetapi Brunei menolak penggabungan itu manakala Singapura bertindak keluar dari gagasan negara itu tidak lama kemudian.
Meskipun Filipina tidak turut serta dalam peperangan, mereka memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.
Ketegangan berterusan antara kedua-dua belah pihak yang dipisahkan Selat Melaka itu. Bangunan Kedutaan Britain di Jakarta dibakar penduduk yang merusuh. Ratusan perusuh menyerbu kedutaan Singapura di Jakarta selain rumah diplomat Singapura.
Bagaimanapun, berbanding Indonesia, Malaysia lebih mengambil sikap defensif apabila tidak menyerang balas sebaliknya hanya menahan dan mencegah kemasukan tentera Indonesia daripada terus menceroboh negara ini. Usaha tentera Malaysia itu turut dibantu tentera British dan Australia.
Di sepanjang perbatasan Kalimantan, peperangan berterusan dengan askar Indonesia terus cuba menduduki Sarawak dan Sabah tetapi dibalas dengan tembakan tanpa henti oleh tentera Malaysia.
Pada 1964, Indonesia kembali mencatur strategi. Sebilangan pasukan askar elit Indonesia diseludup masuk untuk menyerang wilayah tertentu di Semenanjung Malaysia.
Bagaimanapun, 16 askar perisik Indonesia itu ditangkap di Johor pada Ogos tahun itu. Pencerobohan dan penyusupan masuk ke Semenanjung Malaysia menerusi jalan laut menyebabkan peperangan turut berlaku di kawasan perairan Selat Melaka.
Pada 17 Ogos, pasukan terjun payung Indonesia mendarat di pantai Johor dan menyusup ke dalam hutan bagi membentuk pasukan gerila. Pada 9 September 1964, sekali lagi pasukan terjun payung tentera negara asing itu didaratkan di Labis, Johor.
Bagaimanapun, kebanyakan tentera Indonesia yang mendarat di perbatasan Johor-Melaka berjaya ditangkap pasukan tentera Malaysia atau terbunuh.
'Pertempuran politik' turut tercetus apabila Malaysia diterima sebagai anggota tidak tetap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Sebagai protes, Sukarno mengumumkan pengeluaran Indonesia dari PBB dan cuba membentuk Persidangan Kekuatan Baru (Conference of New Emerging Forces) atau Conefo sebagai alternatif.
Selepas peperangan berterusan itu mengorbankan ramai nyawa, konfrontasi Malaysia-Indonesia berakhir selepas pemerintahan Sukarno digantikan dengan presiden baru iaitu Suharto menjelang akhir 1965.
Pada 28 Mei 1966, di sebuah persidangan di Bangkok, Thailand; Kerajaan Malaysia dan pemerintah Indonesia mengumumkan penyelesaian konflik. Kekerasan berakhir pada Jun dan perjanjian perdamaian ditandatangani pada 11 Ogos dan dirasmikan dua hari kemudian.
Serah diri selepas bersembunyi 21 hari
TIGA pesawat Hercules C130 berlepas meninggalkan Jakarta pada 9 September 1964 menuju ke daerah Labis, Segamat, Johor bersama puluhan tentera elit berpayung terjun Indonesia.
Bagaimanapun, tanpa diduga, dalam perjalanan itu, sebuah daripada tiga pesawat berkenaan menghadapi masalah dan akhirnya terjunam ke dalam perairan Selat Melaka sehingga mengorbankan nyawa anggota tentera yang bukan sedikit jumlahnya.
Dua pesawat lain bagaimanapun meneruskan penerbangan mereka bagi menjayakan operasi sulit itu. Pesawat itu mula memasuki kawasan Labis ketika malam mula menjelma. Hujan lebat pada petang menyebabkan kabus menyelubungi ruang udara Labis.
Sebaik sampai di koordinat yang diyakini selamat, 96 pasukan tentera elit Indonesia itu membuka pintu pesawat dan terjun melayang di udara. Sebaik memastikan jarak ketinggian yang sesuai, mereka menarik alat kawalan dan payung terjun di belakang terbuka. Mereka melayang dengan selamat.
Itulah sebahagian daripada episod drama konfrontasi Malaysia-Indonesia yang melanda negara dari 1962 hingga 1966 - 96 tentera elit Indonesia digugurkan pesawat dengan payung terjun untuk menyusup masuk ke Johor bagi memulakan serangan gerila.
Penulis novel sejarah, Dr Talib Samat, berkata berdasarkan kajiannya, operasi rahsia itu turut mendapat bantuan 16 rakyat Malaysia berketurunan Cina termasuk dari Parti Komunis Malaya (PKM) dan dua pelajar Melayu yang membelot untuk menjadi penunjuk arah kepada pasukan berkenaan ketika mendarat di Johor.
"Sebenarnya ada sebab tertentu mengapa Indonesia memilih untuk menggugurkan tentera payung terjunnya di kawasan Segamat dan Batu Pahat. Ini disebabkan ramai penduduk di kawasan itu adalah berketurunan Jawa yang memiliki dialek percakapan dan budaya menyerupai tentera Indonesia.
"Dengan persamaan budaya dan dialek percakapan itu, mereka berharap dapat mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyamar sebagai penduduk tempatan ketika melakukan operasi dan serangan berkenaan," katanya yang juga pensyarah Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Beliau berkata, sebaik berita pendaratan pasukan askar berpayung terjun Indonesia itu tersebar, penduduk di kawasan itu berada dalam ketakutan dan perintah berkurung dilaksanakan. Kawalan dan pemantauan daripada tentera Malaysia selain pasukan sukarela juga diperketatkan.
"Penduduk hidup dalam ketakutan, mereka tidak berani keluar untuk menoreh getah kerana khuatir ditangkap atau ditembak tentera Indonesia," katanya.
Dr Talib bagaimanapun berkata, pasukan tentera Indonesia itu sebenarnya sudah ‘ditipu’ Sukarno dan pemerintah Indonesia kononnya mereka perlu menyerang Malaysia bagi menghalau British yang sudah lama menganiaya penduduk Melayu di Malaysia sehingga menyebabkan saudara serumpun mereka itu hidup melarat dan miskin.
"Akan tetapi, sebaik mendarat di Johor, mereka melihat yang penduduk hidup aman dan senang menyebabkan mereka mula merasakan yang maklumat diberikan pemerintah Indonesia sebelum itu tidak tepat," katanya.
Menyoroti kejadian pencerobohan 96 tentera Indonesia di Felda Tenang, Dr Talib berkata, sebaik mendarat, kumpulan askar berkenaan mula ‘hilang arah’ dan hampir kebuluran di dalam hutan.
"Mereka terpaksa bersembunyi selama 21 hari di dalam hutan dan mencuri tanaman penduduk tempatan kerana kebuluran. Selepas itu, lantaran tidak sanggup lagi kebuluran, mereka akhirnya menyerah diri.
"Ketika itu, terdapat majlis bacaan Yasin dan tahlil diadakan di sebuah rumah di Felda Tenang dan pasukan tentera itu menyerah diri kepada penduduk pada majlis berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa," katanya.
FAKTA: Konfrontasi Malaysia-Indonesia
> Berlaku apabila Indonesia menentang hasrat penggabungan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia.
> Pertempuran antara tentera Malaysia dan Indonesia berlaku di Sabah, Sarawak, Johor, Melaka dan Perak. Antara pertempuran tragik dipercayai berlaku di Kalabakan, Sabah apabila ramai tentera Malaysia ditembak mati ketika sedang bersolat.
> Konfrontasi berakhir selepas kira-kira empat tahun apabila Sukarno digantikan oleh Suharto sebagai Presiden Indonesia.
Oleh Nasron Sira Rahim
Berita Minggu 23 September 2007