Ahad, 16 September 2007

Sektor awam perlu baiki pengurusan belanja


SATU daripada ciri utama bajet tahunan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Menteri Kewangan ialah mengurangkan defisit fiskal secara progresif. Dalam ucapan Bajet 2008 pada 7 September lalu, beliau mengumumkan bahawa defisit fiskal kerajaan Persekutuan dapat dikurangkan dengan ketara, iaitu daripada 5.5 peratus pada 2000 kepada 3.3 peratus pada 2006 dan dijangka terus dikurangkan kepada 3.2 peratus tahun ini dan 3.1 peratus tahun depan.

Ia dicapai menerusi peningkatan kecekapan dan keberkesanan dalam pungutan hasil serta memastikan pengurusan perbelanjaan secara berhemat.

Pengurusan perbelanjaan (spend management) adalah satu disiplin baru dalam dunia pengurusan kewangan. Ia secara spesifik dapat mengurangkan kos serta meningkatkan ketelusan dan kecekapan. Dua komponen utamanya ialah e-perolehan (e-procurement) dan e-bidaan (e-bidding).

E-perolehan merubah sistem perolehan lama yang dibuat secara tidak teratur dan manual kepada sistem baru yang lebih kemas, tersusun dan automatik pada setiap tahap dalam proses perolehan itu, iaitu daripada pencarian barang dan perkhidmatan kepada membuat tempahan, kelulusan, jejakan dan invois.

Saluran komunikasi tradisional seperti telefon dan faks diganti oleh saluran lebih cekap yang melibatkan katalog atas talian, ejen perolehan pintar, kelulusan secara aliran kerja dan penyumberan atas talian.

E-perolehan mampu meningkatkan produktiviti kerana proses transaksi menjimatkan kos dan masa serta membolehkan pegawai perolehan melakukan kerja yang lebih tambah nilai, manakala sistemnya yang tersusun dan automatik mengurangkan rasuah dan penyelewengan pembelian.

E-bidaan pula ialah teknologi berasaskan web yang mewujudkan lelongan atas talian bagi organisasi yang ingin membuat pembelian. Pembidaan dilakukan secara internet dan pada masa nyata (real time) yang berlangsung pada satu masa dan tempoh tertentu. Ia adil bagi semua pembida dan adalah telus.

Ada empat jenis e-bidaan, iaitu bidaan terbuka, bidaan tertutup, bidaan sensitif-pembida dan bidaan sensitif-harga.

Kekuatan e-bidaan ialah penjimatan yang nyata dan serta-merta, membabitkan sumber organisasi yang sama ada amat kecil atau tiada langsung dan mengurangkan manipulasi pembekal. Ini menghasilkan penjimatan yang tinggi bagi pembeli.

Organisasi yang menggunakan kedua-dua teknologi e-perolehan dan e-bidaan telah berjaya menjimatkan kos dari serendah 3 peratus hingga setinggi 90 peratus. Disebabkan itulah perkara ini dinyatakan dengan jelas Perdana Menteri dalam ucapan Bajet 2006. Sistem perolehan kerajaan akan diperbaiki dengan memperkenalkan kaedah baru dalam mengurangkan kos, menjadi lebih telus dan memastikan nilai berpatutan (value for money).

Satu sistem e-bidding atau reverse auction perlu diperkenalkan di beberapa agensi supaya kaedah baru ini boleh dilaksanakan dalam sektor awam dan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sistem perolehan baru itu satu daripada sepuluh inisiatif dalam Program Transformasi GLC yang dilancarkan Datuk Seri Abdullah pada Julai 2005. Pada April 2006, beliau melancarkan Buku Merah mengenai amalan terbaik dalam sistem perolehan berkenaan sebagai panduan bagi GLC.

Dengan sistem baru ini, GLC dianggarkan dapat menjimatkan 20 peratus daripada perbelanjaan tahunannya, iaitu sebanyak RM9 bilion. Serentak dengan itu, GLC dapat meningkatkan keuntungan sebelum cukainya sebanyak 70 peratus.

Menurut Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Azman Mokhtar, kini beberapa kejayaan sudah dicapai GLC yang menggunakan sistem perolehan yang baru itu.

Walaupun angkanya belum ditentukan, tetapi kenyataan Datuk Seri Abdullah dalam Ucapan Bajet 2008 jelas menunjukkan bahawa transformasi GLC, di mana sistem perolehan berkenaan adalah sebahagian daripadanya adalah memberangsangkan.

Menurutnya, antara faktor menyumbang kepada prestasi pasaran saham (kini kita antara yang terbesar dan aktif di rantau ini, Indeks Komposit Kuala Lumpur mencecah 1,299 mata pada 6 September lalu dan pasaran modal mencapai RM1 trilion) ialah kejayaan Program Transformasi GLC dengan modal pasaran 45 buah GLC meningkat sebanyak RM129 bilion (61 peratus).

Tetapi malangnya, minat terhadap sistem pengurusan perbelanjaan berkenaan di kalangan sektor awam tidak begitu hangat. Contohnya, enam bulan selepas ia diumumkan Abdullah dalam ucapan Bajet 2006 itu, seorang daripada Pegawai Kewangan Negeri di barat Semenanjung masih tidak tahu menahu mengenainya.

Manakala, Laporan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, mengenai Penyata Akaun Awam dan pengurusan kewangan kementerian dan jabatan kerajaan persekutuan bagi 2006 membolehkan tafsiran dibuat bahawa ia belum dilaksanakan di kebanyakan agensi kerajaan.

Laporan kali ini menunjukkan banyak kelemahan dalam pengurusan perbelanjaan yang mengakibatkan perbelanjaan tidak munasabah dan membazirkan wang rakyat. Contoh paling klasik ialah harga kuih karipap 30 sen dibeli dengan harga RM3.

Masalahnya ialah kelemahan itu bukanlah cerita baru. Kebanyakannya sudah ditegur dalam laporan tahun lalu. Contohnya ialah perbelanjaan melebihi peruntukan dan perbelanjaan tanpa peruntukan serta lemahnya kawalan pengurusan, kawalan perbelanjaan dan pengurusan aset.

Bagi mengatasi kelemahan berkenaan, Ketua Audit Negara mencadangkan supaya pihak pengurusan memberi penyeliaan lebih rapi terhadap kakitangan terbabit dengan urusan kewangan dan memastikan latihan sewajarnya diberikan.

Datuk Seri Abdullah mengarahkan semua menteri yang kementeriannya menghadapi masalah berkenaan supaya memberikan penjelasan terperinci kepada mesyuarat Kabinet. Manakala ada pelbagai suara lain yang mahu supaya semua pihak yang melakukan kelemahan berkenaan dikenakan hukuman sewajarnya.

Semua itu perlu dilakukan, tetapi, ia tidak mencukupi. Sebenarnya, masanya sudah sampai, malah sudah hampir terlewat untuk sektor awam segera menggunakan sistem pengurusan perbelanjaan yang baru dan lebih baik yang mengandungi komponen e-perolehan dan e-bidaan. Semoga, bukan saja fiskal dapat diseimbangkan, wang rakyat dapat dijimatkan dan manfaat bajet dapat ditingkatkan.

Oleh Saifuddin Abdullah

Datuk Saifuddin Abdullah adalah Pengerusi Akademi Belia yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (1998-2002)

Berita Harian 15 September 2007