
Kerajaan beri ruang masyarakat berbilang kaum berbincang secara bijak
ESOK, genap 44 tahun penubuhan Malaysia selepas kemasukan Sarawak dan Sabah. Pada usia itu ia sudah dianggap matang dalam segenap segi sehingga nama Malaysia terkenal di persada antarabangsa. Namun, selepas tempoh sejak 16 September 1963, sejauh mana tahap perpaduan kaum di negara ini? Apakah benar masih wujud jurang perbezaan ketara antara kaum di Sabah dan Sarawak dengan masyarakat Semenanjung.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Maximus Ongkili, berkata berdasarkan tinjauan, kajian dan pengamatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya tiga tahun lalu, perpaduan kaum di negara ini, termasuk di Sarawak dan Sabah berada pada tahap terbaik.
Katanya, isu perpaduan kaum di negara ini juga sudah jauh berubah berbanding 10 tahun lalu. Bagi tiga kaum utama di negara ini, iaitu Melayu, Cina dan India, tahap toleransi, penyesuaian diri, sikap hormat menghormati sudah semakin baik. Ketiga-tiga elemen ini menunjukkan tahap sebenar hubungan perpaduan antara kaum.
Ditanya mengenai perhubungan kaum dan etnik di Sarawak dan Sabah, beliau berkata, biasanya hubungan itu lebih terkawal dengan membabitkan aktiviti tertentu dilakukan bersama dan sekiranya ada masalah mereka akan menjalankan perundingan sebagai jalan penyelesaian.
Kadar perkahwinan campur juga dilihat lebih tinggi di kedua-dua negeri itu berbanding di Semenanjung, iaitu kira-kira 20 peratus.
Keseluruhannya, perpaduan kaum pada peringkat akar umbi dilihat lebih kuat daripada sebelum ini, manakala kerajaan bersikap terbuka dengan menetapkan garis panduan serta membenarkan perbincangan mengenai isu tertentu selagi tidak menjejaskan sensitiviti antara kaum.
Media pula memberi ruang yang cukup kepada masyarakat untuk membincangkan mengenai perpaduan kaum atau menyentuh mengenai hak asasi atau keistimewaan. Parlimen juga memberi ruang untuk berdebat isu berkaitannya.
"Jika kita mahu katakan bahawa isu perpaduan kaum di negara ini sekarang sudah rapuh atau goyah berbanding dulu seperti didakwa sesetengah pihak, ia tidak benar. Bagi saya, pada peringkat akar umbi, ada landasan tersendiri dan ia lebih kukuh berbanding dulu berdasarkan sikap toleransi, penyesuaian diri dan hormat menghormati antara kaum.
"Saya percaya tidak ada sesiapa lagi yang mahu mengalami semula peristiwa rusuhan kaum yang berlaku pada 1969," kata Ongkili.
Kejadian 13 Mei 1969 juga menjadi pengalaman yang mematangkan pelbagai pihak bahawa pentingnya perpaduan nasional dalam memastikan suasana harmoni dan aman diwujudkan.
Perpaduan kaum kini, dapat dilihat di mana-mana juga di negara ini. Bulan lalu ketika berada di Kelantan, menteri itu dapat melihat sendiri dalam sebuah kedai milik orang Cina (yang halal) semua bangsa ada dan berkumpul di situ.
"Berdasarkan pengamatan saya, memperlihatkan bahawa di Kelantan tidak wujud masalah perkauman sebaliknya, ketegangan itu lebih berkaitan masalah politik.
"Saya menganalisis dari perspektif berkenaan. Sebenarnya kerajaan sudah memberi ruang yang luas kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini seperti mengadakan forum atau perjumpaan perkumpulan membincangkan isu tertentu dengan bijak," katanya.
Bagaimanapun, ruang luas yang kerajaan berikan itu tidak seharusnya disalah guna untuk membincangkan isu secara terbuka mengenai perkara sensitif bertujuan mengapi-apikan kebencian antara kaum.
"Kita juga tidak mahu forum seumpama itu digunakan pihak tertentu untuk cari nama dan meraih publisiti murahan. Ia sebenarnya tidak membantu menyelesaikan masalah sebaliknya akan mengeruhkan lagi keadaan," katanya.
Begitu juga apabila lawatannya ke kawasan bandar kecil seperti Sitiawan, Cameron Highlands dan Mentakab yang jelas dapat dilihat rumah ibadat didirikan mengikut kepercayaan agama iaitu lokasi masjid dan kuil didirikan selang beberapa kilometer. Mereka juga saling menghormati hak keistimewaan masing-masing.
Ongkili berkata, walaupun perpaduan masyarakat sudah berada pada tahap memberangsangkan, masih wujud cabaran lain yang boleh menggugat keharmonian negara.
Pada dasarnya, isu perkauman dikaitkan dengan saingan dalam ekonomi, pendidikan dan hubungan antara agama. Isu perkauman itu sebenarnya menjadi bertambah ketara apabila ada pihak membangkitkannya sama ada dalam perkara ekonomi atau pendidikan.
Dalam isu ekonomi, contohnya, perbincangan hangat kadang-kala meleret kepada soal perkauman apabila ada kelompok tertentu membangkitkan perkara berkaitan hak keistimewaan dan sebagainya. Lazimnya masalah ini berbangkit adalah lebih tinggi risikonya di bandar besar, khususnya empat negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor dan Pulau Pinang.
Ongkili berkata, perpaduan kaum boleh dipupuk menerusi hubungan interaksi yang baik antara kaum. Penubuhan Rukun Tetangga (RT) dilihat sebagai kaedah terbaik untuk memperkukuhkan hubungan itu bermula pada peringkat akar umbi.
Malah, setiap RT di kawasan penempatan dianggotai pelbagai kaum bagi memastikan matlamat kerajaan meningkatkan perpaduan kaum tercapai.
Oleh itu, penduduk harus melihat penubuhan RT sebagai komponen penting bukan saja memupuk perpaduan antara kaum, malah keselamatan kawasan penempatan lebih terjamin dan terpelihara.
"Saya menerima laporan setiap minggu berkaitan perkembangan di 3,610 sektor RT. Telefon bimbit saya sentiasa aktif dan jika ada sebarang masalah seperti pergaduhan saya mesti kena tahu.
"Jika ada komuniti bergaduh, saya menjadi orang pertama yang tahu. Semua pemimpin RT sudah diberikan latihan bagi membolehkan mereka membuat pemantauan dan menjadi orang tengah untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya.
Bagaimanapun, sokongan padu sewajarnya turut diganding bersama oleh pelbagai pihak khususnya kalangan parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan memberikan komitmen lebih aktif bagi membantu kerajaan menangani isu membabitkan kawasan setempat supaya tidak merebak sehingga membawa kepada perkara tidak diingini.
Bagi memperkukuhkan perpaduan kaum, kerajaan juga berusaha menambah kemasukan kanak-kanak Cina, India dan Bumiputera ke kelas Tabika Perpaduan yang sebelum ini hanya dipenuhi kanak-kanak Melayu.
Mengikut perangkaan tahun lalu, daripada 46,000 kanak-kanak, kira-kira 6,000 orang adalah Cina dan 5,000 India, manakala selebihnya Melayu dan Bumiputera.
Oleh Jami'ah Shukri
Berita Harian 15 September 2007