Isnin, 3 September 2007

Usaha pertahan kemerdekaan tiada noktah


KITA masih dalam ‘mood’ sambutan merdeka. Selepas upacara kemuncak perbarisan raksasa sempena Kemerdekaan Negara ke-50 di Dataran Merdeka Jumaat lalu, pelbagai acara sempena separuh abad negara merdeka masih diraikan di sana sini.

Bulan merdeka masih panjang sehingga 16 September ini, tarikh keramat penyertaan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia.

Beruntungnya kita, bertuahnya kita, bersyukurnya kita, kerana bergelar anak Malaysia. Kita boleh berbangga dengan pencapaian negara sepanjang 50 tahun merdeka. Kita boleh berbangga dengan nikmat pembangunan, kemajuan, keharmonian kaum dan keamanan yang kita kecapi selama bergelar anak merdeka.

Malah, tidak keterlaluan jika kita katakan, tiada negara di dunia ini yang dapat menandingi pencapaian Malaysia terutama dari segi keamanan, keharmonian kaum dalam keadaan perbezaan anutan agama, malah kepercayaan dan fahaman politik, tetapi masih boleh hidup aman damai.

Tugas memerdekakan negara sudah lama dilangsaikan pemimpin terdahulu, disusuli tugas mengisi kemerdekaan dengan memupuk semangat perpaduan, melaksanakan pembangunan menyeluruh di kota dan desa serta membawa arus permodenan yang pesat juga sudah dilaksanakan empat Perdana Menteri terdahulu, bermula dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, diikuti Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kini kesinambungan kepemimpinan diteruskan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu membawa kita semua pergi lebih jauh, ke arah Wawasan 2057 dengan pendekatan konsep Islam Hadhari dan membangunkan modal insan ke arah Malaysia yang lebih cemerlang.

Kita beruntung kerana kelima-lima Perdana Menteri setakat ini berwawasan jauh dan meletakkan kepentingan negara serta rakyat Malaysia mengatasi segala-galanya. Ketika peranan pemimpin kita tidak sekali-kali ragui, di mana pula peranan kita sebagai rakyat untuk sama-sama menyokong dan mendukung cita-cita murni ke arah membawa Malaysia menjadi negara lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Kita harus semat di dada Merdeka bukan sekadar laungan. Ia bukan setakat mengadakan sambutan raksasa menjelang 31 Ogos setiap tahun. Kita harus menghayati kemerdekaan sepanjang masa dan tugas mengisi kemerdekaan tiada titik noktah kerana kita bertanggungjawab mempertahankan kemerdekaan yang kita warisi.

Sebagai pengisi kemerdekaan, kita harus memiliki senjata keberanian dan kesabaran dalam mempertahankan nikmat kemerdekaan berkenaan supaya kekal cemerlang, gemilang dan terbilang dalam percaturan masyarakat antarabangsa.

Di sini, peranan golongan muda amat penting sebagai penerus perjuangan pemimpin sekarang kerana merekalah yang akan mengisi Wawasan 2020 nanti, seterusnya menjayakan Wawasan 2057. Justeru, saya ingin mengajak pembaca sama-sama menghayati pesanan Pak Lah, Perdana Menteri kita sekarang, yang mahu supaya generasi muda mempertahankan kemerdekaan.

Kita harus menghayati, memahami dan menghargai kemerdekaan negara yang kita kecapi sejak 50 tahun lalu. Marilah kita menghayati pentingnya tiga gabungan kekuatan yang perlu dikuasai generasi muda ke arah mempertahankan kemerdekaan seperti disarankan pucuk kepemimpinan negara.

Anak muda kita perlu diperkasakan dengan pelbagai ilmu pengetahuan, mempertahan serta mengeratkan perpaduan kaum dan memperbaharui patriotisme bagi mengisi pembangunan negara selepas 50 tahun merdeka. Pak Lah yakin dengan gabungan tiga kekuatan itu, negara yang bakal diterajui generasi muda sekarang, mampu menangani apa saja cabaran mendatang.

Negara perlu terus diurus dengan bijak seperti dilakukan kelima-lima Perdana Menteri kita setakat ini. Pak Lah sendiri mahu melihat rakyat Malaysia berada di mana-mana di dunia, dalam pelbagai bidang ilmu, dilihat oleh dunia luar sebagai orang yang ada kekuatan ilmu, budi pekerti tinggi serta dikagumi kawan dan lawan.

Inilah pembangunan modal insan yang beliau mahu bina kerana kita tidak boleh lari daripada cabaran, sebaliknya boleh menggunakan kekuatan yang ada untuk menangani apa juga cabaran mendatang.

Kita perlu menghayati sepenuhnya pesanan pucuk pimpinan negara bahawa segala kekayaan dan nikmat yang dikurniakan Tuhan akan terbiar jika rakyat tidak memiliki kekuatan ilmu pengetahuan, manakala negara akan dijajah semula jika semangat patriotisme tidak diperbaharui dan perpaduan kaum semakin longgar.

Satu kenyataan Pak Lah yang menyentuh perasaan kita sebagai anak muda ialah betapa beliau menafikan tanggapan anak muda sekarang kurang semangat patriotik. Ramai anak muda di luar sana mempunyai semangat patriotik yang begitu kental.

Golongan anak muda sekarang dilihat kurang patriotik kerana mereka lebih banyak mempunyai agenda berkaitan pekerjaan, pelajaran dan persediaan merebut peluang yang ada dalam pembangunan negara.

Ia berbeza dengan golongan muda pada zaman penjajahan yang kuat memperjuang kemerdekaan, sudah tentu perasaan (patriotisme) anak muda ketika itu begitu kuat sekali, malah Pak Lah sendiri mengakui masih merasai perasaan itu.

Oleh itu, kita tidak boleh menyatakan golongan muda kini kurang patriotik kerana sekarang kita dalam peringkat kemerdekaan dan perjuangan untuk menyiapkan diri dengan ilmu pengetahuan tinggi.

Cuma cara perjuangan sekarang berlainan daripada dulu. Setiap anak muda tidak harus alpa dan sentiasa menyematkan di hati bahawa mereka juga akhirnya akan memikul tanggungjawab untuk negara. Kerana memperakui pentingnya sumbangan anak muda kerajaan begitu bersungguh-sungguh membangunkan modal insan.

Sesungguhnya jiwa merdeka juga dimiliki warga muda meskipun sebagai anggota masyarakat yang lahir pasca merdeka, mereka tidak merasai pahit jerih perjuangan apa lagi merasai kepayahan dijajah.

Anak muda berjiwa merdeka kenal jati diri dan sentiasa menginsafi perjuangan generasi terdahulu, kenal siapa diri mereka dan akan berusaha sedaya upaya mempertahankan nilai diri sebagai warga Malaysia dan negara secara keseluruhan.

Justeru, sempena Syaaban yang mulia ini dan sambutan bulan merdeka juga akan berlarutan sehingga kita memasuki Ramadan al Mubarak, marilah kita sama-sama berikrar meneruskan kesinambungan mempertahankan kemerdekaan negara bagi mematikan Malaysia terus bebas daripada penjajahan negara dan minda serta berdoa semoga Malaysia terus aman, makmur dan dirahmati Allah SWT... Amin.


Oleh Noraini Ahmad


Datuk Noraini Ahmad adalah Ketua Puteri Umno


Berita Harian
4 September 2007