TINDAKAN penyokong Pasukan Tindakan Hak-Hak Hindu (Hindraf) mengadakan perhimpunan haram di ibu kota walaupun wujud perintah mahkamah yang melarang mereka berbuat demikian, menunjukkan mereka tidak menghormati undang-undang negara dan mencabar arahan polis. Jika benar Hindraf mahu menyerahkan petisyen ke Suruhanjaya Tinggi British berhubung dakwaan mereka kononnya masyarakat India dibawa oleh British ke negara ini dan dipinggirkan, sikap ganas penyokong mereka memberi kesan buruk kepada Malaysia, negara mereka sendiri. Beberapa peristiwa yang mendahului perhimpunan itu juga mencetuskan kontroversi apabila sebilangan pemimpin kumpulan berkenaan didapati menyampaikan ceramah bernada hasutan menyebabkan beberapa orang ditahan serta didakwa di mahkamah mengikut Akta Hasutan. Kedegilan dan tindakan ganas mereka bukan saja memaksa polis bertindak tetapi menyebabkan banyak premis perniagaan ditutup serta menakutkan orang ramai. Sejarah negara ini membuktikan perarakan dan perhimpunan seumpama itu bukan saja gagal mencapai matlamat penganjurnya, malah menimbulkan pelbagai masalah lain termasuk memberikan gambaran negatif mengenai negara ini. Ia memberi gambaran negara ini seolah-olah tidak stabil sedangkan hakikatnya jauh daripada sedemikian. Kesannya, ia boleh menakutkan pelabur dan pelancong untuk datang ke Malaysia.
Kita khuatir Hindraf mempunyai agenda tersembunyi apabila mengingkari perintah mahkamah dan arahan polis dengan meneruskan perhimpunan semalam. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang kesal dengan tindakan kumpulan berkenaan berharap penahanan beberapa pemimpin Hindraf itu kerana hasutan tidak dikaitkan dengan soal kaum. Tindakan undang-undang ke atas mereka bukannya dibuat kerana mereka bukan Melayu. Sesiapa saja yang didapati menyalahi undang-undang akan tetap dikenakan tindakan tanpa mengambil kira latar belakangnya. Dalam peristiwa semalam, beribu-ribu penyokong kumpulan itu berhimpun berhampiran kompleks beli-belah seawal 6.30 pagi untuk berarak ke Suruhanjaya Tinggi British di Jalan Ampang, menyebabkan beberapa jalan yang menghala ke tempat perhimpunan itu ditutup. Polis berulang kali memberi amaran kepada kumpulan itu supaya bersurai dan terpaksa menggunakan bom air apabila amaran itu tidak diendahkan. Polis juga terpaksa melepaskan gas pemedih mata apabila jumlah orang yang berhimpun itu tidak dapat dikawal selepas beberapa anggota berkenaan bertindak ganas serta mengeluarkan kata kesat terhadap polis.
Ia bukannya suasana yang ingin dilihat berlaku di sebuah kota yang aman dan damai seperti Kuala Lumpur. Negara kita dikenali dunia sebagai negara aman dan stabil dan kita tidak memerlukan kekacauan sebegini yang boleh mengganggu-gugat keamanan itu, apatah lagi ketika masih lagi menyambut kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2007. Keadaan huru hara yang cuba dicetuskan oleh kumpulan berkenaan juga menyebabkan sebilangan besar kedai serta restoran di sekitar tempat perhimpunan ditutup. Demonstrasi jalanan seperti ini bukanlah cara dan budaya kita dan tidak disokong oleh majoriti rakyat di negara ini. Ia perlu dikekang daripada terus menular sebagai satu cara mudah bagi pihak tertentu mengambil kesempatan untuk menentang kerajaan, sekali gus menjejaskan keharmonian yang wujud selama ini.
Berita Harian 26 November 2007