Khamis, 13 September 2007

Etika niaga Islam tidak rakus kaut keuntungan


PERNIAGAAN merupakan satu perkara yang amat penting dalam kehidupan manusia. Maka tidak hairan, al-Quran telah memberi banyak perhatian yang meliputi bidang tersebut.

Dari sisi lain pula, Nabi Muhammad s.a.w menggambarkan aktiviti perniagaan dengan misi ‘menyempurnakan akhlak’. Jika demikian, pastilah dapat ditemui etika berniaga dari perspektif al-Quran dan al- sunah. Ini dapat dilihat apabila Rasulullah s.a.w sendiri pada usia mudanya merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya.

Kita seringkali menemui istilah-istilah yang dikenali dalam dunia perniagaan seperti ‘jual beli’, ‘untung rugi’, ‘kredit’ dan sebagainya. Demikian juga dalam al-Quran mengungkapkan istilah ini seperti mana firman-Nya yang bermaksud; Siapakah yang ingin memberi ‘qardh’ (kredit) kepada Allah dengan kredit yang baik, maka Allah akan melipat- gandakan (qardh itu) untuknya, dan dia akan memperoleh ganjaran yang banyak. (Surah al-Hadid : 11).

Al-Quran sebenarnya tidak meletakkan syarat yang banyak terhadap orang yang melakukan perniagaan kecuali etika yang diajarkan al-Quran bertumpu kepada prinsip mengorbankan kepentingan peribadi demi orang lain. (lihat Surah al-Hasyr : 9).

Justeru dalam setiap perkara yang berkaitan dengan dunia perniagaan, apa yang dituntut adalah “tidak menganiayai”. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 279 yang bermaksud: Bagimu modal kamu. Kamu tidak teraniaya dan tidak pula teraniaya.

Rasulullah s.a.w juga memberi sebahagian petunjuk bagi mendukung terciptanya etika dalam perniagaan tersebut, iaitu pertama adalah kejujuran. Dalam konteks ini Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Tidak dibenarkan seseorang Muslim menjual satu jualan yang mempunyai aib kecuali dia menjelaskan aibnya. (Riwayat al-Quzwaini).

Dalam sabda Rasulullah yang lain: Siapa yang menipu kami bukan dari golongan kami. (Riwayat Muslim, Tarmizi dan Abu Daud.)

Selain itu Rasulullah s.a.w juga pernah menasihati seorang ahli perniagaan wanita dengan sabdanya yang bermaksud: Wahai ummu qilat, jika engkau ingin membeli sesuatu, tawarlah dengan harga yang engkau inginkan, diberikan atau tidak. Dan apabila engkau ingin menjual, tawarkanlah dengan harga yang engkau inginkan, diterima atau ditolak. (Riwayat Quzwaimi)

Islam tidak pernah menentukan sebarang had atau sekatan tertentu dalam mengambil keuntungan. Menurut Syaikh Qardhawi tidak ada sebarang nas dalam al-Quran atau hadis yang menyatakan keadaan tersebut, malah diserahkannya kepada dhamir (jiwa) dan pertimbangan umat Islam sendiri.

Bagaimanapun, Islam telah menggariskan panduannya yang jelas dalam perhubungan muamalat umatnya .

Antara panduan tersebut yang perlu diambil kira oleh setiap orang Islam ialah batasan akhlak, ajaran agama, juga adab sopan, atau uruf (etika) masyarakat serta undang-undang pemerintah. Sekiranya terdapat urusan yang dilakukan di luar batasan akhlak dan bertentangan dengan ajaran agama atau bercanggah dengan etika masyarakat atau menyalahi undang-undang, maka tindakan atau pengurusan tersebut dikira haram dan salah.

Apa yang disebutkan Allah s.w.t. suatu perniagaan itu hendaklah berjalan secara (taradhin ) persetujuan dan kerelaan bersama antara penjual dan pembeli. Dalam hal ini Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud: “Wahai mereka yang beriman janganlah kamu makan harta antara kamu secara batil melainkan melalui perniagaan yang berlaku secara rela hati di kalangan kamu.” (Surah An-Nisaa ayat 29).

Jadi sekiranya jual beli tersebut dilakukan tanpa persetujuan atau melalui penipuan maka urusan itu perlu dibatalkan. Apatah lagi jika keuntungan yang diambil secara gelap (tadlis) yang dilarang oleh agama, sekalipun pembelian tersebut telah diluluskan.

Allah s.w.t. juga menekankan perlunya mengindahkan peraturan-peraturan yang ditetapkan dan tidak melakukan apa yang diistilahkan dengan Al-Bathil (baca surah An-Nisa ayat 29), iaitu pelanggaran terhadap ketentuan agama atau persyaratan yang disepakati.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, Kaum umat Islam sesuai dengan (harus menepati) syarat-syarat yang mereka sepakati, selama tidak menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal.

Perniagaan adalah satu bentuk muamalat. Oleh kerana itu dalam urusan perniagaan, kita harus melihat hubungan timbal balik agar ia berlangsung secara harmonis. Nabi juga ada menyebut agama adalah muamalah. Ini bermakna semakin baik hubungan timbal balik maka semakin baik pula kualiti keberagamaan seseorang.

Bukan sahaja dalam perkara berkaitan urusan perniagaan, malah apa-apa perkara sekalipun jika dilakukan secara berlebihan atau melampaui batas, ia amatlah dilarang oleh Alllah s.w.t. Ini ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud, Jangan sekali-kali kamu bertindak melampaui batas kerana Allah tidak suka kepada mereka yang melampaui. (Surah Al-A’raf ayat 31).

Oleh Mohd. Shauki Abd. Majid

MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Utusan Malaysia 14 September 2007

Tujuan sebenar berpuasa kurang dihayati


HARI ini masuk hari kedua umat Islam Malaysia menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan. Seperti tahun-tahun yang lalu, kita menyambut Ramadan ini dengan semangat yang berkobar-kobar beserta azam bahawa kita akan menggunakan masa sepanjang bulan ini dengan sebaik-baiknya untuk merebut segala kebaikan dan keberkatan yang ada di dalamnya.

Ramadan banyak mengubah cara kita menjalani kehidupan seharian. Satu perkara yang amat terkesan akibat ibadah puasa ini ialah corak pemakanan. Bukan sahaja kita akan makan pada awal pagi ketika bersahur, masa makan kita juga menjadi terhad akibat berpuasa dari Subuh hingga Maghrib. Masa makan yang terhad ini pula secara langsung mengurangkan jumlah makanan yang kita ambil. Itu yang sepatutnya berlaku.

Secara jasmaninya, ibadah puasa ini bukanlah sukar untuk kita laksanakan. Ramai daripada kita telah pun melaksanakannya berpuluh tahun lamanya. Malah, kanak-kanak seawal enam tahun pun dapat menahan diri daripada makan dan minum selama lebih kurang 14 jam. Di negara lain yang bermusim, umat Islamnya mungkin perlu melaksanakan ibadah ini untuk tempoh yang lebih lama.

Namun, kemampuan jasmani tubuh kita untuk melaksanakan ibadah ini seringkali dipandang rendah oleh cara kita berfikir.

Hakikat bahawa masa makan menjadi terhad serta jangkaan bahawa kita tidak makan dan minum selama lebih kurang 14 jam itu, seringkali menyebabkan ramai dari kita tidak dapat menghayati semangat sebenar ibadah puasa iaitu untuk merasakan kelaparan dan kehausan yang dirasai oleh mereka yang tidak cukup makan dan minum, khususnya golongan fakir miskin.


Membetulkan

Maka, waktu sahur dan berbuka menjadi medan untuk kita makan apa sahaja yang ada di depan mata. Dengan alasan, “Oh, lepas ini aku tak boleh makan sehingga berbuka”, atau “Aku hanya ada masa dari Maghrib sehingga masuk tidur untuk makan”, maka segala makanan itu dimasukkan ke dalam perut.

Kita lupa pada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Tidak ada bekas yang diisikan oleh anak Adam yang lebih keji daripada perut. Cukuplah bagi anak Adam dengan beberapa suapan yang membetulkan tulang belakangnya. Dan sekiranya ia terpaksa melakukannya juga, maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya.” (Hadis riwayat Tirmizi, Ahmad, Ibnu Majah dan an-Nasai).

Satu lagi cabaran yang sering dihadapi oleh umat Islam khususnya di negara ini, dalam mengawal pemakanan di bulan Ramadan ialah kewujudan bazar Ramadan. Tujuan pasar ini adalah untuk memudahkan umat masyarakat Islam untuk mendapatkan juadah berbuka puasa. Namun, persoalannya ialah bagaimana untuk membeli juadah berbuka dengan secukupnya sahaja tanpa membazir?

Umum maklum bahawa masa perut tengah kosong bukanlah satu masa yang baik untuk membeli makanan. Perut yang kosong akan mendorong kita membeli barang-barang yang tidak diperlukan. Dalam keadaan itu, kunjungan ke pasar Ramadan oleh seorang yang sedang haus dan lapar, akan mendorongnya membeli apa sahaja yang enak pada hidung dan menarik pada matanya.

Oleh demikian, untuk mengelakkan pembaziran, kunjungan ke Pasar Ramadan perlulah dihadkan, khususnya bagi mereka yang tidak dapat melawan segala godaan daripada bau dan rupa bentuk juadah yang ada di situ.

Menurut pakar pemakanan, kita hanya memerlukan jumlah kalori yang sedikit sahaja setiap hari bagi membolehkan kita menjalani kehidupan seharian. Dalam sehari, wanita hanya memerlukan 1,900 kalori manakala lelaki memerlukan 2,100 kalori sahaja.

Jika sebiji kurma mengandungi 20 kalori, maka sebenarnya, jumlah keseluruhan kalori yang perlu diambil dalam sehari bukanlah begitu sukar untuk dipenuhi ketika sahur dan berbuka.

Dalam perkataan lain, kita tidak perlu makan begitu banyak makanan ketika sahur dan berbuka kalau sekadar untuk memenuhi keperluan ini.

Oleh yang demikian, kita perlu sentiasa mengingatkan diri kita bahawa kita tidak perlu makan lebih banyak daripada biasa untuk membolehkan kita menjalani ibadah puasa ini dengan baik.

Malah, Ramadan itu sendiri bertujuan untuk merasai kelaparan dan kehausan seperti yang dialami oleh mereka yang miskin dan papa. Maka, apalah ertinya ibadah puasa kita jika kita tidak merasakan kelaparan dan kehausan itu sepanjang Ramadan ini?

Oleh itu, ada baiknya jika kita merancangkan senarai makanan kita sepanjang hari supaya ketika menyediakan makanan tersebut kita adalah dalam keadaan yang lebih waras dan tidak bergantung kepada deria penglihatan, deria bau dan perut kosong kita semata-mata.

Oleh Siti Fatimah Abdul Rahman

Siti Fatimah Abdul Rahman ialah Fellow Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Utusan Malaysia 14 September 2007

Ketandusan jiwa agama


LAPORAN mendakwa kakitangan kerajaan menipu dalam pembelian barang keperluan pejabat dengan tuntutan yang bercanggah dengan harga asal boleh menyebabkan negara menghadapi kerugian yang besar.

Sikap begini jika tidak ditangani secara serius boleh mengakibatkan kehancuran kepada negara. Penyelewengan seumpama ini bukan hanya wujud di kalangan kakitangan kerajaan malah turut menjadi amalan segelintir pemimpin rakyat yang tidak memahami tanggungjawab terhadap bangsa dan negara.

Tuntutan yang dibuat oleh setiap pemimpin rakyat untuk mendapatkan peruntukan kewangan bagi setiap kegiatan atau program yang dijalankan oleh mereka mesti dipantau secara tegas dan terperinci.

Ini penting supaya wang rakyat tidak disalah gunakan oleh individu yang bertopengkan jiwa rakyat tetapi hakikatnya berjuang untuk mendapat pangkat dan kedudukan untuk memperkayakan diri secara mudah dan cepat.

Kemajuan sesebuah negara adalah bergantung kepada sikap amanah dan tanggungjawab para pentadbir dan pemimpin negara. Para pentadbir dan pemimpin perlu mempunyai sikap mencintai rakyat dan negara berdasarkan kepada prinsip yang digariskan oleh Islam.

Ilmu pengetahuan agama yang tinggi jika tidak digabungkan dengan sifat cintakan bangsa dan negara tidak mungkin dapat mendorong individu tersebut menjadi insan yang berjiwa patriotik dan boleh menggerakkan semangat mempertahankan kedaulatan dan maruah negara.

Penipuan, tidak amanah dalam perkhidmatan dan kepimpinan serta pengkhianatan terhadap negara adalah akibat daripada kekosongan jiwa yang diruntun oleh kegilaan pangkat, kuasa dan kekayaan secara mudah dan pantas.

Sikap begini adalah dilema yang wujud dalam negara Islam masa kini. Jika negara memperuntukkan kewangan yang banyak kepada rakyat tetapi para pentadbir dan pemimpin tidak amanah dalam melaksanakan tugas maka segala yang direncanakan untuk rakyat menjadi sia- sia. Peruntukan yang disediakan tidak akan dapat dikecapi oleh rakyat kerana sikap tamak dan kekosongan jiwa yang dialami oleh orang yang diberikan amanah. Mereka mengambil kesempatan untuk menjadi jutawan secara mudah dengan memutar-belitkan kewangan kerajaan bagi menghalalkan kegiatan haram mereka.

Jika hati nurani telah diwarnai oleh kemewahan dan kemudahan hidup secara memutarbelit dan penipuan ketika melaksanakan tugas negara maka jiwa umat Islam sudah berubah menjadi hati batu yang sukar untuk dibentuk menjadi insan yang bertanggungjawab dan amanah. Nilai halal dan haram yang merupakan garis panduan hidup sudah luput dalam sanubari. Apabila jiwa dan pemikiran lebih tertumpu kepada tipu muslihat akibat terlalu ghairah untuk memperkayakan diri maka perasaan takut terhadap pembalasan Tuhan tidak wujud dalam jiwa.

Sebuah kerajaan akan runtuh jika para pentadbir dan pemimpin terlalu ghairah mengambil kesempatan untuk memperkayakan diri secara penipuan dan putar belit melalui projek dan perancangan negara. Sikap begini kian jelas dilihat oleh rakyat dan masyarakat. Jika kegiatan begini sering berlaku dalam sistem pentadbiran dan kepimpinan maka negara akan menjadi muflis. Oleh itu kerajaan perlu menunjukkan sikap yang tegas terhadap individu-individu yang mengalami ketandusan jiwa agama dan patriotisme dalam mengendalikan urusan pentadbiran dan kenegaraan.


Menghancurkan

Individu-individu tersebut perlu disingkir daripada jabatan kerajaan dan kepimpinan negara kerana kewujudan mereka boleh menyukarkan urusan kerajaan untuk memajukan negara dan mengendalikan urusan rakyat. Mereka boleh diibaratkan sebagai virus yang boleh menghancurkan negara secara halus.

Apabila jiwa sudah dirasuk oleh kekayaan dan kebendaan tanpa mengira batas halal dan haram maka sensitiviti terhadap keberkatan dalam hidup tidak mungkin wujud dalam hati nurani.

Mereka yang terlibat dalam kegiatan begini sudah dikuasai oleh nafs al-ammarah iaitu nafsu yang sering mendorong jiwa manusia bertindak mengikut bisikan hawa nafsu tanpa menggunakan pertimbangan akal dan hukum hakam Ilahi. Mereka tidak akan akur kepada peraturan dan perundangan negara kerana hati nurani mereka telah diracuni dengan khayalan kemewahan dan kemegahan. Mereka tidak pernah menyedari bahawa setiap wang yang dimiliki secara menipu merupakan api yang boleh membakar setiap ahli keluarga termasuk bayi yang tidak berdosa di hari akhirat.

Umat Islam sepatutnya memahami bahawa menjawat jawatan kerajaan adalah amanah rakyat dan negara. Tindak tanduk dan cara mereka memimpin dan mentadbir negara jika tersilap langkah atau menyalahgunakan kuasa dan kewangan negara boleh mengakibatkan kehancuran negara.

Islam amat prihatin dalam hal ehwal pentadbiran dan kepimpinan negara.

Jika peristiwa begini berlaku di zaman pemerintahan Umar al-Khattab maka setiap pemimpin dan pentadbir yang terlibat dalam kegiatan tipu muslihat dan penyalahgunaan kuasa akan mendapat hukuman yang paling berat.

Umar secara tegas memberi amaran kepada para pemimpin dan pentadbir bahawa jika mereka ingkar mengikuti peraturan dan perundangan berkaitan dengan hal ehwal pentadbiran yang digariskan oleh negara maka mereka akan diseksa di dalam penjara sehingga mati.

Umar begitu tegas dalam hal ehwal pentadbiran kerana kegiatan menipu dan menyalahgunakan kuasa boleh mengundang berjuta rakyat kelaparan.

Apabila umat Islam menjadi miskin dan lapar maka akidah Islam mereka juga akan tercabar. Penyalahgunaan kuasa dan memutar-belitkan fakta dalam pentadbiran dengan tujuan mengaut kekayaan secara haram tidak akan diampun oleh Allah kerana ini merupakan dosa yang berkaitan dengan rakyat. Oleh itu para pemimpin dan pentadbir beragama Islam perlu akur bahawa kehidupan di dunia hanya sementara. Ia merupakan tempat untuk mencari bekalan hidup di hari akhirat.

Kehidupan yang begitu ghairah dengan kekayaan yang dimiliki secara menipu rakyat dan kerajaan akan menjadi api yang ditelan oleh setiap ahli keluarga yang menikmati kekayaan tersebut.

Ketika ini penyesalan sudah tidak berguna kerana setiap kegiatan di dunia akan dibalas di akhirat. Apabila jiwa umat Islam disemat dengan roh mencintai kehidupan di hari akhirat maka umat Islam akan menjadi satu umat yang amanah dan jujur dalam pentadbiran dan kepimpinan.

Oleh SAODAH ABD. RAHMAN

DR. SAODAH ABD. RAHMAN ialah pensyarah Jabatan Usuludin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Utusan Malaysia 14 September 2007

Musim perayaan menguji kebijaksanaan pengguna


Musim perayaan tahun ini mungkin menguji sejauh mana bijaknya masyarakat pengguna di negara ini menguruskan kewangan mereka, terutamanya kakitangan awam yang menerima kenaikan gaji Julai lepas.

Bukan sahaja kerana harga barangan yang dilaporkan semakin naik malah kemungkinan ketiadaan bonus bagi 1.2 juta kakitangan awam seperti yang dinikmati tahun-tahun sebelumnya.

Namun, jika dilihat daripada kesibukan pusat membeli belah sejak akhir-akhir ini, nampak gayanya orang ramai masih berbelanja bertali arus. Jenguk sahaja hipermarket di hujung minggu, sentiasa penuh.

Begitu juga di gedung-gedung membeli belah yang lain, perkara yang sama dapat dilihat dengan pelbagai gimik jualan musim perayaan, jualan murah, jualan stok penghabisan dan jualan ulang tahun.


Harga Oh Harga

Harga barang dan musim perayaan bagaikan lagu dan irama yang tidak boleh dipisahkan cuma pengguna mendengar nada yang sumbang, tiada kemerduan alunannya.

Berbual dengan suri rumah atau pengusaha gerai makan, perkara pertama yang pasti menjadi keluhan panjang ialah kenaikan harga barangan perlu.

Ada peniaga yang secara terang-terangan mengambil keuntungan daripada kenaikan gaji yang dinikmati kakitangan awam di sebalik Ops Gaji yang dilancarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bermula 21 Mei lepas.

Begitu juga dengan Skim Kawalan Harga sempena Aidilfitri yang diumumkan KPDNHEP. Belum pun skim ini berkuat kuasa pada 13 September iaitu hari pertama umat Islam negara ini menjalani ibadah puasa, sudah ada peniaga yang ingkar.

Pengumuman harga siling RM5.60 sekilo untuk ayam jelas tidak diendahkan segelintir peniaga sehingga ia mencecah RM7 sekilo meskipun KPDNHEP dilaporkan ketika itu sedang berunding dengan Persatuan Peniaga Ayam Itik Perak yang mahukan harga ayam ditetapkan pada RM6.50 sekilo.

"Tarik tali" antara Persatuan ini dengan KPDNHEP akhirnya melihat harga ayam RM5.60 sekilo yang diumumkan sebelum ini dibatalkan dan dinaikkan kepada RM6.00 sekilo.

Pengguna tertekan

Menurut Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, pengguna pada masa ini sememangnya agak tertekan dengan kenaikan harga barangan keperluan.

"Meskipun kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memberi jaminan harga barangan terkawal dan mengadakan operasi pemantauan melalui Ops Gaji, namun ia gagal membantu dalam mengawal kenaikan harga barangan," kata beliau kepada Bernama.

Jelasnya, keadaan itu berlaku kerana undang-undang yang wujud pada masa ini hanya mengawal harga barangan yang terletak di bawah skim kawalan harga menurut Akta Kawalan Harga 1946.

"Tindakan hanya boleh dikenakan terhadap peniaga yang gagal meletakkan label atau senarai harga. Itu pun semata-mata kepada peniaga runcit sahaja tetapi tidak dikenakan kepada pengeluar atau pemborong.

"Kadangkala wujud keadaan di mana pengeluar atau pemborong menjual pada harga yang melebihi harga siling yang ditetapkan. Oleh itu, peniaga akan menghadapi dilema untuk menjual barangan itu. Keadaan inilah yang berlaku ketika krisis gula dan minyak masak dahulu," kata Mohd Yusof.


Nasib pekerja sektor swasta

Kenaikan gaji yang dinikmati oleh 1.2 juta kakitangan awam bermula Julai lalu sememangnya melegakan, ditambah pula dengan pemberian elaun sara hidup (cola).

Bagaimanapun, `durian runtuh' ini tidak dinikmati oleh mereka yang bekerja dengan sektor swasta.

Menurut Mohd Yusof, golongan itu begitu merasai tekanan apabila harga barangan meningkat, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak mendapat kenaikan gaji secara berkala.

"Syarikat swasta juga tidak memberikan pekerja mereka elaun sara hidup (cola). Mungkin syarikat multinasional, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat besar ada memberikan imbuhan yang baik kepada pekerja mereka.

"Bagaimana pula dengan syarikat kecil, industri kecil dan sederhana, petani, nelayan dan sebagainya?" tanya beliau.


Tinjauan harga

Sebagai usaha untuk memantau harga barangan, FOMCA menubuhkan Pusat Pemantauan Perdagangan dan Perkhidmatan Nasional (5PN) pada 2006 bertujuan memantau barangan dan perkhidmatan pengguna.

"Penubuhan 5PN ini sebenarnya selaras dengan tiga fungsi utama yang wajar dilakukan Persatuan Pengguna iaitu pendidikan pengguna, pengendalian aduan (Pusat Khidmat Aduan Pengguna) dan pemantauan barangan dan perkhidmatan," jelas Mohd Yusof.

Beliau memberitahu, pada awal penubuhan 5PN, dua aktiviti pemantauan dilakukan iaitu memantau dakwaan pasar raya apabila mereka membuat jualan mega atau jualan murah.

Untuk tujuan tersebut, tambahnya, FOMCA mewujudkan pada awal Julai lepas pasukan pemantau yang meliputi setiap negeri kecuali Sabah dan Sarawak.

Pasukan tersebut dikehendaki memantau 37 barangan di empat buah pasar raya besar yang utama.

"Pemantauan akan dibuat berdasarkan katalog yang dikeluarkan. Pemantau kami akan pergi ke pasar raya sebelum dan selepas harga jimat dilaksanakan. Pemantauan ini dibuat bagi mengetahui sama ada terdapat perubahan atau tidak.

"Berdasarkan pemantauan yang dilakukan, ada pasar raya yang sebenarnya hanya melakukan gimik apabila melakukan jualan murah. Harga barangan sebelum dan selepas jualan murah tidak berubah," jelas Mohd Yusof.

Beliau turut memberitahu taktik pasaraya yang tidak menjual susu manis isian yang diletakkan di bawah skim kawalan harga. "Pengguna tidak mempunyai pilihan selain daripada terpaksa membeli susu pekat manis krimer yang tidak dikawal harganya," jelasnya.


Syor FOMCA

Pengguna sememangnya terpaksa berhadapan dengan pelbagai karenah peniaga. Antara sedar atau tidak, pengguna sentiasa menjadi mangsa penipuan segelintir peniaga yang tidak takut langsung jika dikenakan tindakan undang-undang.

FOMCA sekali lagi mendesak KPDNHEP supaya menggubal Akta Perdagangan Adil bagi mengawal selia aktiviti perniagaan yang bersifat mengambil untung (profiteering).

Dengan adanya Akta itu, jelas Mohd Yusof, pihak KPDNHEP boleh mengenakan tindakan terhadap peniaga yang mengaut keuntungan secara berlebihan.

Dalam masa yang sama, beliau sekali lagi mengulangi syor FOMCA supaya ditubuhkan Suruhanjaya Harga.

"Pada masa ini permohonan kenaikan harga barangan yang dikawal dan tarif perkhidmatan (syarikat utiliti atau konsesi penswastaan) hanya dibuat oleh pihak pengeluar atau syarikat dengan kerajaan sahaja tanpa pembabitan wakil daripada pengguna.

"Suruhanjaya Harga yang dianggotai wakil daripada agensi kerajaan, syarikat swasta dan wakil persatuan pengguna akan menimbangkan kewajaran permohonan menaikkan harga barangan atau perkhidmatan," kata Mohd Yusof.

Malah, katanya, Suruhanjaya Harga juga boleh membuat keputusan tentang harga barangan atau perkhidmatan sekiranya harga atau tarif sudah lama tidak disemak semula, walaupun tiada permohonan dibuat.


Guna hak pengguna

Perkembangan hari ini ternyata semakin menuntut masyarakat pengguna di negara ini supaya benarbenar menggunakan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna.

Menurut Mohd Yusof, pengguna perlu melaksanakan empat elemen yang diuaruarkan dalam kempen pengguna bijak KPDNHEP iaitu beli barangan berkualiti, buat perbandingan harga, pilih perkhidmatan terbaik dan buat pilihan yang tepat.

Pengguna juga, katanya perlu tampil membuat aduan sekiranya mereka mendapati kenaikan harga barangan yang mendadak di pasaran.

Aduan boleh disalurkan ke Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP melalui talian hotline 1800886800, laman web: http://eaduan.kpdnhep.gov.my/ atau sms: 32255 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional melalui telefon 0378779000 atau laman web: http://www.nccc.org.my/.

"Aduan daripada pengguna amat penting kerana ia membantu FOMCA untuk mengetahui sekiranya berlaku kenaikan harga barangan yang mendadak di pasaran, yang mungkin disebabkan manipulasi harga oleh pihak pengeluar, pemborong atau peruncit.

"Di samping itu, aduan ini juga membolehkan pihak penguat kuasa melakukan pemeriksaan terhadap premis berkenaan," kata Mohd Yusof.

Walau apapun saranan, syor atau penguatkuasaan yang dibuat, segala-galanya masih terletak di tangan pengguna. Sama ada mereka mahu berbelanja seperti tiada penghujungnya atau menjadi lebih berhemat dan bijak, membeli apa yang mampu dibeli.

Malah pengguna juga boleh maju setapak lagi dengan memboikot peniaga yang tamak, pilihlah!

Bernama

Ternakan kambing makin diminati


INDUSTRI penternakan khususnya pengeluaran daging kambing untuk pasaran tempatan masih terlalu rendah. Sehingga kini, Malaysia hanya mampu mengeluarkan lapan peratus daging kambing untuk pasaran tempatan, selebihnya diimport dari Australia dan negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam bagi memenuhi permintaan dalam negara.

Mengikut statistik pada 2005, sebanyak 287,670 kambing diternak di seluruh negara dengan pengeluaran 1,460 metrik tan (mt). Permintaan terhadap daging kambing pula sentiasa meningkat setiap tahun.

Pertumbuhan pengeluaran daging kambing juga diramal terus meningkat dengan kadar 6.7 peratus setahun untuk tempoh 2006 hingga 2010. Dalam Polisi Pengeluaran Kambing Kebangsaan mensasarkan pengeluaran 4.96 juta ekor dengan 1.99 juta untuk penternakan menjelang 2015.

Selain, negara juga mensasar pengeluaran daging kambing berjumlah 9,024 mt bersamaan 35 peratus daripada keseluruhan jumlah penggunaan, pada 2015.

Berdasarkan keadaan itu, industri penternakan kambing di negara ini mempunyai potensi dan masa depan cerah. Penternakan baka kambing bermutu boleh dihasilkan dengan teknik pembiakan kacukan.

Baka kambing yang boleh diperluaskan penternakan di negara ini adalah kambing kacukan jenis boer kerana daging lebih bermutu serta mempunyai khasiat tinggi, rendah kalori, kolesterol dan kaya dengan protein.

Dengan khasiat yang tinggi, masyarakat seharusnya menjadikan daging kambing, khususnya baka boer dalam senarai makanan. Masyarakat seharusnya mengubah minda lapuk yang sentiasa memberi persepsi negatif terhadap daging kambing.

Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi), Dr Musaddin Kamaruddin, berkata dalam tempoh lima tahun akan datang, industri kambing akan berkembang pesat di negara ini, terutama dengan dasar kerajaan terhadap ternakan itu.

Kini, katanya minat pengusaha menternak kambing juga semakin meningkat.

“Dulu kita lebih menekankan penternakan lembu, tetapi sekarang ternakan kambing, terutama kambing boer bertambah kerana ia mudah didapati serta disahkan mempunyai kualiti baik.

“Kambing ada tiga jenis, iaitu baka daging, tenusu dan bulu. Kambing boer yang paling bagus dari segi daging berbanding baka jamnapari anglo nubian, alphine dan beratus-ratus baka lain,” katanya yang menjelaskan kambing pada asalnya diternak di Iraq, sejak 10,000 tahun lalu.

Beliau berkata, kambing boer yang bermaksud ‘ladang’ mengikut bahasa Afrika Selatan, berada di negara ini selepas di bawa oleh Mardi pada 2001 dari negara terbabit. Bagaimanapun, kebanyakan kambing boer yang diternak di negara di bawa dari Australia.

Katanya, Mardi sudah menjalankan kajian dari segi kesesuaiannya dan ternyata ia baka yang terbaik dan bermutu tinggi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Majestic Nature Boer Farm Sdn Bhd, Yeow Joo Kwang, berkata kambing boer mempunyai baka bermutu dan pelbagai keistimewaan berbanding kambing spesis kambing biri-biri.

Sebenarnya kebanyakan masakan daging kambing yang dijual di restoran adalah kambing biri-biri. Oleh itu, rasanya berlainan dan mempunyai bau kuat sekiranya penyediaan serta penyembelihan tidak dilakukan dengan betul.

“Daging kambing boer bukan saja lebih enak dan bermutu, malah American Heart Association Amerika Syarikat juga mencadangkan orang yang menghadapi masalah berkaitan jantung supaya memakan daging kambing.

“Pengambilan daging kambing juga tidak dikaitkan dengan sentimen mana-mana agama seperti daging babi dan lembu,” katanya ketika ditemui di Highland Organic Boer Farm, milik Majestic Nature Boer Farm Sdn Bhd di Chenderiang, Tapah, Perak, baru-baru ini.

Syarikat berkenaan yang mula mengusahakan penternakan kambing boer beberapa tahun lalu, kini menternak kira-kira 2,200 ekor kambing daripada baka berkenaan.

Beliau berkata, penternakan kambing boer mempunyai potensi cerah. Ini ditambah dengan polisi kerajaan yang menggalakkan penternakan dan pengeluaran kambing.

“Pengeluaran kambing di negara ini masih rendah. Kita baru mengeluarkan lapan peratus. Oleh itu, potensi bidang itu tinggi. Penternakan kambing boer ini tidak mempunyai banyak risiko, cuma perlu dilengkapi dengan pengalaman, kemahiran pengurusan yang betul serta modal sederhana.

“Penternakan kambing ini tidak memerlukan modal besar kerana ia boleh dimulakan pada skala kecil. Dengan 300 ekor saja boleh menjana keuntungan besar,” katanya.

Sehubungan itu, Majestic Farm yang melabur RM5 juta untuk membuka ladang penternakan kambing boer pertamanya mahu terus meningkatkan hasil pengeluarannya, pada masa depan.

Yeow berkata, pihaknya bercadang membuka empat lagi ladang secara berperingkat mulai awal tahun depan hingga 2011 dengan pengeluaran baka kambing boer sekarang kira-kira 2,200 ekor kepada 2,920 ekor (2008); 6,057 (2009); 8,561 (2010) dan 10,617 (2011).

“Majestic Farm juga akan memperluaskan pasaran dengan membuka kedai, dikenali Boer Junction untuk menjual daging kambing. Boer Junction akan dibuka di Damansara Utama, esok dan akan membuka 21 cawangan lagi dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya.

Oleh Jami’ah Shukri

Berita Harian 14 September 2007

Suruhanjaya Cobbold bawa penyatuan


APABILA membicarakan mengenai kemerdekaan Sarawak dan Sabah dalam Malaysia, peranan Suruhanjaya Cobbold amat besar sekali.

Suruhanjaya ini ditubuhkan pada 17 Januari 1962 atas cadangan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia yang bertanggungjawab untuk meninjau pendapat penduduk di kedua-dua negeri itu mengenai gagasan Malaysia serta membuat perakuan bentuk negara Malaysia.

Berasaskan laporan dan cadangan suruhanjaya ini, Kerajaan British bersetuju membebaskan Sarawak dan Sabah daripada belenggu penjajahannya dan menyertai Malaysia. Sempena ulang tahun ke-44 penubuhan Malaysia Ahad ini, elok juga ditinjau semula peranan Suruhanjaya Cobbold dalam merealisasikan impian penduduk di Sarawak dan Sabah untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lain dalam sebuah negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat.

Sesungguhnya, kerajaan penjajah British tidak pernah merancang melepaskan kekuasaannya ke atas Sabah dan Sarawak pada 1963. Apabila Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj membisik kepada Pesuruhjaya Tinggi British bagi Asia Tenggara, Sir Malcolm MacDonald, pada 1958 mengenai hasratnya menggabungkan tanah jajahan British di Borneo dengan Persekutuan Tanah Melayu, cadangan itu ditolak.

Penolakan itu, atas alasan tanah jajahan berkenaan masih mundur dan belum layak dimerdekakan. Sebagai seorang pejuang kemerdekaan, Tunku mahu melihat bukan saja Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka, malah juga Brunei, Sabah dan Sarawak.

Kerajaan British pula mendesak Tunku supaya menerima percantuman Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu. Tunku bersetuju menerima Singapura dengan syarat Brunei, Sabah dan Sarawak juga dibawa bercantum dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Jika Singapura saja bercantum dengan Persekutuan Tanah Melayu, tegas Tunku, maka kedudukan orang Melayu di Tanah Melayu akan terancam dari segi bilangan penduduk. Singapura mempunyai 80 peratus penduduk bukan Melayu.

Kerajaan British tidak mempunyai pilihan. Demi menyelamatkan kepentingannya di Singapura, cadangan Tunku terpaksa diterima. Pada 27 Mei 1961, Tunku Abdul Rahman mengumumkan hasratnya menubuhkan Melayu Raya menggabungkan Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Pada 26 Jun 1961 Tunku mengemukakan memorandum kepada Perdana Menteri Britain ketika itu, Harold MacMillan mengenai gagasan Malaysia secara rasmi. Dalam jawapannya, MacMillan menganggap cadangan Tunku sebagai membina.

Pada Julai 1961, Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia ditubuhkan untuk menjelaskan konsep Malaysia kepada penduduk di Sabah dan Sarawak. Jawatankuasa ini dipengerusikan Donald Stephens.

Jawatankuasa ini mencadangkan penubuhan suruhanjaya dan ini dipersetujui Kerajaan British. Pada 17 Januari 1962, suruhanjaya itu yang dipengerusikan Lord Cobbold, bekas Gabenor Bank England, ditubuhkan.

Ahlinya terdiri daripada Datuk Wong Pow Nee dan Mohd Ghazali Shafie (kini Tun, bekas Menteri) yang dilantik Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston yang mewakili kerajaan British. Setiausaha Suruhanjaya ialah J H Harris.

Oleh kerana Lord Cobbld mengetuai suruhanjaya itu, maka ia dikenali Suruhanjaya Cobbold. Suruhanjaya Cobbold memulakan tugasnya pada 20 Februari sehinggalah pertengahan April 1962 dengan menemui lebih 4,000 orang serta menerima kira-kira 1,600 memorandum daripada orang perseorangan dan persatuan politik, agama kemasyarakatan dan kesatuan sekerja.

Dalam laporannya, Suruhanjaya menyatakan kira-kira 80 peratus penduduk di Sabah dan Sarawak menyokong Malaysia. Kebanyakan yang menyokong terdiri daripada golongan Bumiputera, manakala 20 peratus, kebanyakannya bukan Bumiputera menentang rancangan Malaysia. Ada parti politik yang menyokong dan ada yang menentang.

Suruhanjaya itu menganggap bahawa nama Malaysia sebagai nama sesuai sekali bagi negara yang hendak ditubuhkan itu. Dalam soal penghijrahan, suruhanjaya bersetuju kerajaan Sabah dan Sarawak akan mempunyai kuasa untuk menentukan kemasukan orang luar.

Dalam beberapa aspek, ahli suruhanjaya berbeza pendapat. Dalam soal agama, ahli suruhanjaya yang dilantik oleh Kerajaan British bersetuju supaya soal agama diputuskan Majlis Mesyuarat Undangan Sarawak dan Sabah.

Ahli Suruhanjaya dari Persekutuan Tanah Melayu berasakan bahawa pengiktirafan agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia adalah penting bagi keseluruhan Malaysia dengan jaminan bahawa kebebasan diberi kepada penganut agama lain.

Dalam soal bahasa rasmi, ahli dari Tanah Melayu mencadangkan supaya bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi. Kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi hendaklah dihadkan penggunaannya kepada beberapa tahun yang tertentu.

Ahli suruhanjaya juga berbeza pendapat mengenai tarikh penubuhan Malaysia. Ahli dari Britain mencadangkan supaya masa diperlukan untuk penubuhan Malaysia hendaklah lebih kurang lima tahun, manakala ahli dari Tanah Melayu mencadangkan masa yang diperlukan ialah setahun saja.

Laporan itu dikemukakan kepada Kerajaan Britain dan Persekutuan Tanah Melayu secara rasmi pada Jun 1962. Sebelum itu, Tunku Abdul Rahman mengingatkan Lord Cobbold bahawa sekiranya Kerajaan Tanah Melayu tidak menerima laporan suruhanjaya, maka Britain boleh terus menguasai Singapura, Sabah dan Sarawak.

Pada 1 Ogos 1962, Kerajaan Britain dan Persekutuan Tanah Melayu menyatakan bahawa hampir semua cadangan Suruhanjaya Cobbold diterima dengan sebulat suara. Mereka juga menyatakan persetujuan menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963 bersamaan dengan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Sungguhpun gagasan Malaysia mendapat sokongan majoriti penduduk di Sabah dan Sarawak, Filipina dan Indonesia memilih untuk tidak mengiktirafnya. Tentangan terhadap penubuhan Malaysia oleh kedua-dua negara jiran ini semakin lantang selepas berlakunya kebangkitan di Brunei pada Disember 1962.

Bagi mengelak konflik antara Tanah Melayu dengan Filipina dan Indonesia, satu sidang kemuncak diadakan di Manila pada Jun 1963 bagi menyelesaikan pertikaian itu. Mereka bersetuju meminta Setiausaha Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau wakilnya meninjau semula mengenai pandangan rakyat Sabah dan Sarawak terhadap penubuhan Malaysia.

Bagi memberi laluan kepada tinjauan itu, penubuhan Malaysia yang dirancang pada 31 Ogos 1963 terpaksa ditangguhkan kerana Setiausaha Agung PBB tidak dapat menyiapkan laporannya sebelum 31 Ogos 1963.

Berikutan dengan pengesahan oleh perwakilan Setiausaha Agung PBB mengenai kemahuan rakyat di Sabah dan Sarawak seperti ditunjukkan menerusi laporan Suruhanjaya Cobbold, pada 16 September 1963, Malaysia diisytiharkan penubuhannya secara rasmi.

Pemilihan penduduk di Sabah dan Sarawak untuk menyertai Malaysia adalah tepat. Kemerdekaan membawa kemajuan pesat kepada kedua-dua negeri itu dalam semua bidang.

Atas nikmat itu, jasa dan perjuangan Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Datu Mustapha, Tun Temenggong Jugah, Tun Ghazali Shafie, Tun Abdul Rahman Yaakob serta pemimpin dan penyokong yang tidak ‘bernama’ hendaklah dikenang dan disanjung.

Justeru, perjuangan mereka, saki baki jajahan British di wilayah Borneo dapat dihapuskan dan maruah bangsa dapat ditebus semula. Marilah sama-sama kita mendoakan kepada Ilahi agar Malaysia akan terus maju, aman dan makmur sampai bila-bila masa.

Oleh Prof Dr Nik Anuar Nik Mahmud

Penulis adalah tenaga akademik Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM

Berita Harian 14 September 2007

Peniaga naik harga patut kena denda maksimum


SETIAP kali kedatangan Ramadan dan menjelang perayaan, ada saja cerita mengenai ketiadaan bekalan barang keperluan tertentu terutama yang membabitkan penyediaan juadah berbuka puasa atau kuih raya. Entah sampai bila pesta naik harga pada Ramadan ini terus berpanjangan. Jika ditanya kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), jawapan yang biasa didengar ialah kementerian akan bertindak tegas kepada peniaga ingkar yang menaikkan harga sesuka hati. Selepas gula sukar dicari di pasaran sehingga menimbulkan tanda tanya di kalangan pengguna, minyak masak paket satu kilogram pula sukar diperoleh. Terbaru, harga ayam naik mendadak kepada RM6 sekilogram berbanding RM5 hingga RM5.50 sebelum ini. Peniaga di beberapa pasar dikatakan terpaksa menaikkan harga ayam proses berikutan tindakan pemborong menaikkan harga. Pembekal pula memberi alasan kenaikan itu disebabkan peningkatan kos pengeluaran termasuk bahan makanan ayam terutama jagung. Penternak pula mendakwa mereka juga kerugian jika masih terikat dengan harga yang ditetapkan kerajaan.

Sementara peniaga, penternak dan pemborong bermain tarik tali, penggunalah menanggung beban kenaikan harga. Ayam adalah antara barang keperluan yang mendapat permintaan tinggi pada Ramadan dan musim perayaan. Kerana itu, kita kadang kala sangsi dengan alasan peniaga sama ada benar mereka kekurangan bekalan atau ia adalah helah untuk menekan kerajaan supaya bersetuju dengan kenaikan harga. Saranan kerajaan agar pengguna dan badan bukan kerajaan (NGO) melaporkan tindakan peniaga yang menaikkan harga barang adalah langkah baik. Namun, pengguna masih berharap agar pihak berkuasa memainkan peranan lebih tegas dan menjaga kepentingan mereka. Orang ramai kini dalam keadaan tertekan kerana semakin banyak barang keperluan naik harganya. Bagi mereka, usaha kementerian sekarang masih belum berkesan dalam menangani isu peniaga menaikkan harga barang keperluan. Mereka mahu kementerian bertindak lebih proaktif dalam menangani apa saja isu berkaitan kepenggunaan.

Sindrom kenaikan harga barang keperluan menjelang musim perayaan membuktikan bahawa kementerian berkenaan harus lebih tegas. Peniaga yang gagal mematuhi penetapan harga, misalnya perlu dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga 1946 yang boleh dikenakan denda maksimum RM15,000 atau dua tahun penjara serta kompaun sehingga RM7,500. KPDNHEP perlu cepat bertindak jika berlaku kenaikan harga sesuka hati, termasuk memantau barang bukan kawalan. Kenaikan harga barang adalah isu nasional kerana ia membabitkan keperluan rakyat. Sebarang kenaikan harga boleh menimbulkan rasa tidak puas hati pengguna dan menyebabkan mereka hilang kepercayaan kepada pihak berkuasa dalam memantau dan mengawal masalah berkenaan. Kebajikan pengguna perlu sentiasa dijaga dan peniaga yang menaikkan harga barang keperluan harus dikenakan tindakan. Kita percaya cara paling berkesan dalam menghadapi kenaikan harga barang ialah dengan mencari alternatif lain atau memulau peniaga itu. Pada zaman komunikasi serba canggih sekarang, bukan sukar untuk memberitahu sanak saudara atau sahabat handai mengenai kedai mana yang harus dikunjungi kerana harga murah dan premis mana yang perlu dielak kerana harga mahal. Sudah tiba masanya kita sebagai pengguna menggunakan hak kita untuk mengelak daripada berurusan dengan peniaga yang mengambil kesempatan Ramadan dan Aidilfitri yang bakal tiba, untuk menaikkan harga.

Berita Harian 14 September 2007

Laporan audit ukur ketelusan kerajaan


SEJAK beberapa hari lalu, media tempatan memberikan liputan cukup meluas terhadap Laporan Ketua Audit Negara bagi 2006 yang antara lain menegur beberapa kementerian kerana kelemahan yang cukup ketara dalam menguruskan dana awam sehingga menyebabkan kerajaan kerugian jutaan ringgit setiap tahun.

Laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat minggu lalu juga menimbulkan keraguan mengenai pembelian pelbagai barang dan peralatan oleh kementerian dan jabatan tertentu pada harga yang tidak munasabah atau jauh lebih tinggi daripada harga pasaran.

Sebagai contoh, pembelian 13 peralatan dan kelengkapan bagi Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dengan harga yang dilaporkan melebihi harga pasaran sehingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian RM8.39 juta.

Juga dipersoalkan ialah pembelian oleh kementerian sama iaitu dua menara kren membabitkan perbelanjaan RM5.72 juta berbanding RM2.98 juta mengikut harga pasaran, selain alat pengangkat kereta dua tan berharga RM5,741 seunit berbanding harga pasaran hanya RM50 seunit.

Pada satu segi, laporan itu adalah laporan biasa dalam erti kata ia dibentangkan di Parlimen setiap tahun. Ada kalanya langsung tidak diketahui orang ramai kerana tidak diberi perhatian oleh media.

Isu yang ditimbulkan juga lazimnya berlegar di sekitar perkara yang hampir serupa – kurang cermat dalam membelanjakan wang rakyat, tidak akauntabiliti, membazir atau sebagainya.

Walaupun teguran serupa sering diulang saban tahun, reaksi daripada jabatan atau agensi yang dinamakan tampak seolah-olah dingin kerana tiada tindakan ketara diambil untuk memperbaiki kelemahan dan masalah sama sering berulang.

Mungkin inilah yang mendorong Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan menteri yang kementerian masing-masing ditegur dalam laporan berkenaan membuat penjelasan terperinci kepada kabinet berhubung masalah yang ditimbulkan.

Walaupun Abdullah meminta menteri beliau membuat penjelasan pada mesyuarat kabinet, beberapa menteri memilih membuat kenyataan defensif secara terbuka.

Tindakan ini menimbulkan persepsi negatif di kalangan orang ramai yang beranggapan seolah-olah menteri berkenaan mahu menyembunyikan sesuatu sehingga menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz terpaksa membuat penjelasan bahawa jika sesebuah kementerian ditegur dalam laporan ketua audit, orang ramai tidak boleh mengandaikan secara automatik bahawa menteri itu bersalah atau rasuah.

Ia patut difahami oleh semua pihak. Sesiapa saja yang dinamakan dalam laporan berkenaan, tidak kira sama ada mereka menteri, ketua setiausaha atau pegawai kanan lain tidak seharusnya melatah apabila kelemahan yang membabitkan mereka, agensi mereka atau kementerian mereka didedahkan, kecuali kalau mereka benar-benar bersalah.

Perlu diingat bahawa matlamat utama media menyiarkan laporan berkenaan ialah untuk menarik perhatian pihak berwajib agar tindakan tertentu segera diambil untuk mengatasi kelemahan yang ada supaya rakyat tidak terus kerugian.

Keputusan Perdana Menteri meminta penjelasan daripada menteri, beliau juga mempunyai matlamat yang sama, iaitu untuk memperbaiki lagi keadaan.

Tindakan itu juga selaras dengan dasar ketelusan dan keterbukaan yang diamalkan beliau sekarang di samping menegakkan prinsip akauntabiliti dalam perkhidmatan awam.

Akauntabiliti membawa maksud kebertanggungjawaban secara total. Ia bermakna bahawa sekiranya ada sebarang pelanggaran peraturan atau undang-undang oleh mana-mana pihak dalam menjalankan tugas masing-masing mereka hendaklah bersedia mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap tindakan yang mereka buat.

Tugas menentukan sama ada terdapat sebarang pelanggaran undang-undang atau sebaliknya adalah tugas agensi penguat kuasa rasmi kerajaan.

Dalam hubungan ini, Badan Pencegah Rasuah (BPR), seperti yang diakui Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Said Hamdan, semalam bahawa pihaknya akan menyoal siasat menteri atau pegawai kanan kementerian yang ditegur dalam laporan Ketua Audit Negara itu.

Tentulah menjadi harapan orang ramai agar sekiranya penyiasatan itu nanti selesai dan ada bukti kukuh untuk mendakwa mana-mana pihak, BPR tidak akan teragak-agak untuk bertindak pantas.

Sebenarnya, dalam keadaan sekarang hanya dengan cara ini rakyat dapat diyakinkan mengenai kesungguhan kerajaan dalam memerangi rasuah seperti yang dijanjikan.

Hanya dengan cara ini juga perasaan takut (takut menghadapi hukuman di dunia) dapat ditanamkan ke dalam jiwa perasuah, walaupun pun mereka tidak takut kepada Tuhan.

Sehingga penyiasatan yang bakal dijalankan BPR itu selesai, semua pihak perlu mengelakkan diri daripada membuat sebarang spekulasi.

Oleh Abdul Rahman Sulaiman

Datuk Abdul Rahman Sulaiman, bekas Ketua Pengarang Bernama dan pernah menjadi Ahli Parlimen, adalah Penasihat Direktorat Pelaksanaan Negara.

Berita Harian 14 September 2007

Israel guna media Barat raih simpati dunia


SELASA lalu kira-kira 67 askar Israel yang sedang nyenyak tidur pada awal pagi dalam khemah mereka di Zikim iaitu kawasan Palestin yang diceroboh, cedera terkena roket Qassam dilancarkan pejuang Palestin dari utara Gaza.

Pada mulanya agensi berita Barat melaporkan berdozen-dozen tentera Yahudi cedera. Angka itu kemudian menjadi lebih tepat kepada lebih 40 dan kemudian pula turun kepada 30 orang.

Tidak berapa lama kemudian ia menjadi 69 dan kini 67 orang. Tidak tahu mengapa kejadian sekecil ini pun angka yang cedera susah hendak dianggarkan pihak media. Atau apakah pihak media Barat mempunyai agenda lain selain daripada memberi maklumat tepat?

Tanpa bukti, kita tidak boleh membuat tuduhan melulu, lebih-lebih lagi kita sudah berada pada penghulu segala bulan – Ramadan al-mubarak yang semestinya mengukuhkan tekad memperbaiki diri.

Apa sekali pun, jika diteliti diskusi pembaca dalam laman web sebuah akhbar Israel berhubung kejadian kecil itu, kita seolah-olah diberi gambaran bahawa tentera Yahudi ‘malang’ berkenaan adalah mangsa kekejaman pihak Palestin yang tidak bertimbang rasa.

Kita diberi gambaran seolah-olah mangsa itu dibedil dengan bom paling kuat dicipta manusia. Kita diberi gambaran bahawa keadaan mangsa itu begitu parah hingga perlu mendapat simpati dunia.

Lebih daripada itu rata-rata pembaca laman web berkenaan menuntut Israel membalas dendam dengan menghancurkan keseluruhan Bint Hanoun - lokasi roket itu dilancar. Sebelum tergesa-gesa untuk bertindak sedemikian, eloklah kita teliti apakah kesan sebenarnya serangan roket Qassam itu.

Media Israel melaporkan, dalam kejadian itu empat askar parah, kira-kira 27 cedera ringan dan yang lain hanya mengalami kejutan. Mungkin ini menjelaskan kenapa angka mangsa meningkat kerana askar yang terkejut pun dikira sebagai mangsa.

Bayangkan, askar daripada pasukan tentera keempat paling gagah di dunia pun (kini mungkin jatuh satu tangga selepas dikalahkan Hizbullah tahun lalu) boleh terkejut dengan letupan bom Qassam.

Apakah bom Qassam ini? Adakah ia setanding dengan bom nuklear yang dimiliki tentera Israel?

Menurut ensaiklopedia online percuma Wikipedia, Qassam adalah roket keluli diisi bahan letupan yang dibuat kumpulan pejuang Palestin Hamas. Qassam yang datang dalam tiga model sering di salah panggil sebagai peluru berpandu.

Ia sebenarnya adalah roket yang terbang bebas tanpa sebarang sistem kawalan dan membawa bahan letupan sehingga 10 kilogram.

Sejak ia mula digunakan pada 2001, roket itu hanya menyebabkan 12 kematian, lantas ia lebih memberi ancaman psikologi daripada ancaman sebenar.

Berikutan kejadian serangan berkenaan , timbul persoalan mengapa Israel takut dengan Qassam?

Sebenarnya, mereka tidak takut kepada Qassam, mahupun apa saja senjata yang dimiliki pejuang Palestin.

Selain dibekalkan senjata tercanggih, Tel Aviv turut mempunyai jaminan perlindungan Amerika Syarikat pada bila-bila masa dan tanpa banyak soal.

Namun, setiap kali ‘dijentik’, Israel akan meraung seolah-olah ia diserang hebat. Ia menuntut simpati dunia dan tanpa menunggu lama akan membalas dengan serangan yang tidak setimpal dengan pukulan asal.
Begitulah strategi Israel yang mahu memaparkan dirinya sebagai mangsa yang sentiasa dalam ketakutan kerana bila-bila masa boleh diserang pejuang ‘kerdil’ Palestin.

Strategi ini yang disokong media Barat, berjaya menanam persepsi bahawa Israel adalah mangsa dan pejuang Palestin adalah pengganas kejam.

Mungkin Palestin perlu mengambil iktibar daripada strategi yang digunakan rejimZionis. Bukankah pada satu ketika dulu African National Congress (ANC), pimpinan Nelson Mandela juga dianggap kumpulan pengganas?

Namun, hasil daripada perancangan rapi untuk mengubah persepsi masyarakat antarabangsa, ANC akhirnya berjaya diterima sebagai pejuang demokrasi dan kerajaan orang putih aparteid pula dianggap ‘sampah dunia.’

Khaidir Majid

Penulis adalah Pengarang Meja Luar Negara, Berita Harian

Berita Harian 14 September 2007

Modul sempurna laksana ibadat haji


Empat kursus dianjur mudahkan jemaah kuasai ilmu sebagai persiapan ke Tanah Suci


IBADAT haji yang diwajibkan sekali seumur hidup bukan boleh dilaksanakan pada bila-bila masa dan pada tempat yang kita suka kerana ia tertakluk kepada syarat tertentu. Pelaksanaannya berbeza dengan ibadat solat, puasa, zakat dan sebagainya yang dilaksanakan berulang kali setiap hari dan ada juga setiap tahun sekali.

Oleh itu, bagi menjamin ibadat haji dapat disempurnakan sebaik mungkin supaya menepati segala rukun serta syarat, sudah pasti persiapan sempurna dari sudut mental, fizikal dan spiritual diperlukan setiap jemaah haji.

Pelbagai kaedah pembelajaran boleh diikuti jemaah haji bagi mempelajari perkara mengenai ibadat haji, sama ada pembelajaran berbentuk majlis ilmu seperti kursus, seminar atau melalui media cetak serta elektronik.

Sebagai usaha memudahkan jemaah haji mendapat ilmu pengetahuan mengenai haji, Tabung Haji menganjurkan kursus dari semasa ke semasa bagi membentuk jemaah berilmu dan menguasai ilmu berkaitan pelaksanaan ibadat haji.

Kursus haji dianjurkan Tabung Haji ialah Kursus Haji Bersiri, Kursus Haji Intensif , Kursus Haji Perdana dan Kursus Haji Khas.

Keempat-empat kursus itu mempunyai matlamat dan kelebihan tersendiri. Sebagai usaha ke arah persiapan yang bersungguh sebelum berdoa dan bertawakal, jemaah haji Malaysia diberi peluang menimba ilmu mengenai haji melalui kursus berkenaan.

Sebagai satu majlis ilmu yang mulia, kursus haji penting sebagai baja untuk menyubur dan mencambahkan benih ilmu dalam dada jemaah haji Malaysia.

Kursus Haji Bersiri adalah kursus pengenalan awal mengenai haji. Ia diadakan 16 siri bermula dari Rabiul Awal hingga Jamadil Akhir, juga dikenali sebagai kursus haji mingguan (diadakan pada cuti hujung minggu).

Setiap siri dijalankan mengambil masa selama dua jam. Fokus kursus sebagai pendedahan awal mengenai ilmu haji untuk menanam minat mengerjakan haji dikalangan masyarakat Malaysia dan jemaah haji khasnya.

Kursus ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat berminat sama ada yang sudah mendaftar haji atau belum dan diadakan di masjid tertentu di seluruh negara.

Ada modul khas yang sudah disemak dan disahkan pada peringkat Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk dilaksanakan kepada jemaah haji Malaysia.

Selain merangkumi rukun, wajib haji, cara pelaksanaan haji secara terperinci, kursus ini juga menyentuh mengenai solat, kebersihan, penyucian akidah, pengurusan haji, kesihatan dan falsafah haji itu sendiri.

Selain teori, peserta juga diberi pendedahan praktikal. Kursus ini dikendalikan penceramah khas dilantik Lembaga Tabung Haji. Bagi musim haji 1428 Hijrah (tahun 2007) saja ada 172 masjid di seluruh negara melaksanakan kursus ini.

Kursus Haji Intensif adalah kursus haji peringkat kedua. Tempoh pelaksanaan kursus ini hanya dua hari dan diadakan pada Rejab dan Syaaban. Fokus kursus adalah ulang kaji mengenai haji dan penekanan diberi kepada tajuk cara pelaksanaan ibadat haji dalam bentuk teori dan praktikal serta kesihatan.

Dalam kursus ini jemaah haji juga akan menduduki ujian kefahaman. Ia sebagai langkah menguji tahap kefahaman dalam pembelajaran haji. Peserta kursus ini terdiri daripada mereka yang terpilih untuk melaksanakan haji pada musim haji tahun semasa dan kategori menanti.

Peserta kursus dihadkan dalam lingkungan tidak melebihi 200 orang pada setiap tempat kursus seperti di bilik kuliah masjid, sekolah dan agensi tertentu. Bagi musim haji 1428 Hijrah saja ada 93 tempat kursus di seluruh negara.

Kursus Haji Perdana dilaksanakan pada Syaaban atau Syawal. Tempoh pelaksanaan satu setengah hari dengan memberi penekanan kepada praktikal tawaf, sai, wukuf, mabit dan melontar dalam suasana persekitaran kumpulan jemaah haji yang besar.

Peserta kursus terdiri daripada jemaah haji terpilih tahun semasa. Kursus ini dilaksanakan pada peringkat negeri, semua jemaah haji seluruh daerah di setiap negeri akan ditempatkan dalam satu masa pada suatu tempat bagi menjayakan kursus ini.

Jika ada perkembangan dan maklumat terkini membabitkan jemaah haji, kursus ini menjadi medan pesanan dan nasihat terakhir yang boleh disampaikan pembesar negeri dan kenamaan kepada jemaah haji negeri masing-masing.

Sebagai langkah penambahbaikan berterusan membantu jemaah haji memahami ilmu haji, maka tahun ini diadakan Kursus Haji Khas untuk jemaah haji yang mengalami masalah bacaan khususnya warga emas. Kursus ini diadakan selepas Kursus Haji Intensif.

Keperluan mengadakan kursus haji merangkumi pelbagai tahap ini dapat memberi peluang dan pendedahan pembelajaran haji berterusan kepada jemaah haji. Setiap kursus mempunyai objektif dan matlamat tersendiri.

Mengikut borang selidik diedarkan kepada bakal haji, 35 peratus mengesyorkan kursus haji ditambah, 58 peratus mencadangkan ia dikekalkan seperti sedia ada dan tujuh peratus meminta dikurangkan.

Sambutan positif dari kalangan masyarakat Malaysia dalam kursus haji diadakan seluruh negara menggambarkan masyarakat kita mempunyai ciri masyarakat yang cintakan ilmu pengetahuan khususnya ilmu haji.

Keberkesanan hasil pembelajaran melalui kursus ini juga berjaya menaikkan imej negara di mana jemaah haji Malaysia adalah jemaah haji terbaik dan berdisiplin berbanding jemaah haji negara lain.

Selain kursus jemaah haji turut dibekalkan bahan bacaan secara percuma antaranya buku Panduan Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah, buku Panduan Perjalanan Jemaah Haji, buku Soal Jawab Haji dan Umrah, buku Panduan Doa dan Solat Sunat, Risalah Panduan Perjalanan Ibadat Haji dan Senarai Semak Ibadat.

Oleh Tengku Aziz Raja Abdullah

Penulis ialah Pengurus Besar Bimbingan Lembaga Tabung Haji

Berita Harian 14 September 2007

Mualaf perlu sokongan material, emosi


SEORANG mualaf berasal dari Australia memilih memeluk Islam pada 1 Ramadan, selepas mengenali dan mengkaji Islam beberapa lama kerana katanya Ramadan adalah bulan penuh rahmat, pengampunan dan janji syurga daripada Allah.

Katanya, itulah masa terbaik beliau merebut tawaran Allah yang hanya datang sekali dalam setahun. Tawaran itu pula memberi peluang beliau mengejar ganjaran amal malam Lailatul Qadar.

Keputusan memilih tinggal di Malaysia turut menimbulkan rasa aneh di kalangan sahabat, tetapi pemandangan masjid dipenuhi jemaah menunaikan solat dan seruan azan berkumandang serta gaya hidup rakyat yang memenuhi tuntutan agama menguatkan hatinya untuk terus berada di negara ini.

Jika ada pertanyaan mempersoalkan kenapa beliau tidak pulang ke negara asal untuk berdakwah, jawapannya: “Belum pasti di sana ada orang yang mahu mendengar jika saya berbicara, tetapi di sini, ramai yang tertarik kerana tidak ramai orang putih memeluk Islam, boleh berbahasa Melayu dan menetap di sini. Saya tidak sanggup berpisah dengan saudara dan guru yang banyak membantu saya.”

Itulah pengakuan seorang mualaf yang mendapat bantuan daripada rumah singgah mualaf yang menyediakan perlindungan kepada saudara baru. Namun, berapa ramaikah daripada mereka seperti beliau yang bertuah mendapat tempat perlindungan.

Berapa ramai lagi golongan mualaf tidak ditangani dengan baik dan terumbang-ambing tanpa pembelaan. Justeru, lebih banyak rumah perlindungan perlu diwujudkan untuk menangani urusan pengislaman, pengurusan kebajikan dan latihan pembangunan pendakwah.

Pengalaman menguruskan Hidayah Center oleh Jemaah Islah Malaysia (JIM), mendapati mualaf terutama yang berketurunan Cina dan India menghadapi pelbagai persoalan sebaik mereka menyatakan diri memeluk Islam.

Perkara yang selalu dihadapi adalah persoalan ekonomi dan keluarga. Bukan sedikit daripada mereka yang ‘dibuang’ keluarga dan dipecat daripada pekerjaan. Di samping itu, mereka selalu disalah anggap dan dipandang negatif oleh umat Islam berbangsa Melayu.

Stigma perkauman masih ada. Di sinilah, perlunya dokongan bantuan dan perhatian umat Islam kepada mualaf. Selalunya, orang Islam di kalangan kita terharu ketika ada orang bukan Islam memeluk Islam. Apabila bukan Islam mengucapkan syahadah di masjid, kita akan menitiskan air mata gembira.

Sayangnya, keseronokan hanya setakat itu saja. Kita kurang memahami permasalahan sebenar dilalui mereka. Saudara baru memerlukan sokongan dalam bentuk material, spiritual dan emosi dalam meniti kehidupan seharian.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa meringankan penderitaan Mukmin di dunia, nescaya Allah akan meringankan penderitaannya pada Kiamat dan barang siapa memudahkan urusan orang mengalami kesulitan, nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Siapa saja yang menutupi (aib) Muslim, maka Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Allah selalu menolong hamba-Nya selama hamba itu menolong saudaranya. Siapa saja yang menempuh suatu jalan guna mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga. Tidaklah suatu kaum (kelompok) berkumpul di rumah Allah membaca Kitabullah dan mengkajinya antara sesama mereka melainkan ketenangan akan turun di tengah mereka, rahmat meliputi mereka dan malaikat mengelilingi mereka serta Allah akan menyebut mereka di sisi malaikat. Siapa saja menjadi lamban kerana amalnya (sehingga amal salih menjadi kurang), maka tidak cukup baginya bermodalkan nasab.” (Hadis riwayat Muslim).

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

Artikel disediakan dengan kerjasama Hidayah Centre JIM dan penulis boleh dihubungi di emel wanitajim@yahoo.com

Berita Harian 14 September 2007

Cara terbaik khatam al-Quran pada Ramadan


SAYA selalu mendengar ceramah mengenai Ramadan adalah bulan al-Quran dan kita digalakkan khatam al-Quran sebanyak mungkin sepanjang Ramadan ini. Boleh berikan panduan bagaimana cara supaya saya mampu khatam al-Quran pada Ramadan dan cara terbaik berinteraksi dengan al-Quran.

Gadis profesional,
Lembah Klang


RAMADAN adalah satu-satunya bulan disebut namanya dalam al-Quran dan pada bulan itu diturunkan al-Quran.

Cara paling mudah khatam al-Quran ialah dengan membaca al-Quran secara konsisten sebanyak empat setengah muka setiap kali selepas solat lima waktu. Dengan izin Allah akan khatam dalam masa sebulan. Membaca empat setengah muka hanya mengambil masa lima minit saja.

Memang benar amalan utama pada Ramadan selain berpuasa ialah berinteraksi dengan al-Quran. Berinteraksi dengan al-Quran boleh dilakukan pelbagai cara:

> Belajar dan mengajar. Mereka yang tidak tahu membaca al-Quran atau tidak memahami maknanya wajib berusaha mengatasinya. Sebaik-baik waktu memulakan usaha itu adalah pada Ramadan kerana pahalanya akan berlipat kali ganda berbanding bulan lain.

Mereka yang dianugerah ilmu mengenai al-Quran hendaklah mengajarnya kepada mereka yang memerlukan. Kedua-dua golongan ini adalah orang yang terbaik di sisi Allah seperti sabda Nabi SAW bermaksud: "Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarnya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Belajar dan mengajar al-Quran bukan setakat belajar dan mengajar membacanya saja. Ia meliputi belajar dan mengajar maksud serta tafsiran ayatnya.

> Membacanya sama ada pada siang atau malam. Allah memuji mereka yang rajin membaca al-Quran dan menyediakan untuk mereka ganjaran besar.

Allah berfirman bermaksud: "Ahli-ahli kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (sudah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada agama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (al-Quran) pada waktu malam, ketika mereka sujud (mengerjakan sembahyang). Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah daripada orang yang salih." (Surah ali-Imran, ayat 113-114)

> Menghayati titah perintahnya. Al-Quran diturunkan untuk membawa petunjuk, membimbing kepada kebaikan, menjelaskan jalan benar serta jalan yang menyesatkan. Justeru, tidak cukup bagi kita sekadar membaca tanpa cuba memahami dan menghayati isi kandungannya. Allah mencela orang yang tidak mengambil pengajaran daripada kitab suci diturunkan-Nya.

Firman Allah bermaksud: "Belum sampaikah lagi masanya bagi orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka). Janganlah pula mereka menjadi seperti orang yang sudah diberikan kitab sebelum mereka, selepas orang itu melalui masa yang lanjut, maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang fasik." (Surah al-Hadid, ayat 16)

> Jadikan al-Quran sebagai penawar. Allah berfirman bermaksud: "Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian juga." (Surah al-Isra', ayat 82)

Abu Saed al-Khudri meriwayatkan bahawa seorang sahabat menjampi dengan surah al-Fatihah untuk merawat seorang Arab Badwi yang pengsan kerana disengat binatang berbisa. menerusi jampi itu Badwi berkenan sembuh lalu menghadiahkannya 30 ekor kambing dan memberinya serta ahli rombongannya minum susu segar." (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

> Hafal sebahagian surah atau ayat-ayatnya. Cara terbaik adalah menghafal keseluruhan al-Quran daripada awal hingga akhir. Bagi yang tidak berkesempatan atau tidak berkemampuan, hafal sebahagian daripadanya, khususnya ayat atau surah digalakkan membacanya setiap hari.

Ibn Abbas berkata Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya orang yang tidak ada di dalam dadanya sedikitpun daripada al-Quran seperti rumah usang yang tidak berpenghuni." (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Antara surah yang sangat besar kelebihan menghafalnya ialah surah al-Mulk. Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Di dalam al-Quran ada satu surah yang mengandungi 30 ayat, memberi syafaat kepada seseorang (yang membacanya) sehingga diampunkan dosanya, iaitu surah al-Mulk." (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

Jawapan disediakan Prof Madya Maznah Daud dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang persoalan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

BMW dakwa SUV buatan China mirip model X5


FRANKFURT: Syarikat pengeluar kereta terkemuka dunia, BMW memfailkan saman terhadap pengeluar kereta China, Shuanghuan Automobile bagi menghalang firma Beijing itu menjual model terbaru kenderaan pelbagai guna (SUV), CEO yang didakwa BMW amat mirip dengan model X5 miliknya.

Ia menyusuli tindakan sama syarikat DaimlerChrysler AG minggu lalu yang berhasrat mengemukakan saman terhadap Shuanghuan Auto kerana keretanya jenis Noble mirip kepada produk DaimlerChrysler, Smart fortwo, kereta kompak yang disasarkan kepada pengguna di bandar besar.

Syarikat Shuanghuan menegaskan kereta CEO itu tiada persamaan langsung dengan model X5 BMW, baik reka bentuk mahu pun harganya.

Harga permulaan X5 di Eropah adalah AS$81,560 (RM277,304) sebuah manakala model asas CEO sebaliknya AS$35,800 (RM121,270).

Bagi memburukkan lagi keadaan, dua ‘musuh’ itu berkongsi tempat pameran sama apabila menyertai pameran terkemuka automobil di Frankfurt, Jerman, ketika ini.

“China di sini dan kami hadir di pameran ini,” kata Karl Schloessl, Ketua Eksekutif China Automobile, yang merancang mengimport dan menjual kereta berkenaan di pasaran Eropah.

Beliau mempertahankan reka bentuk kereta SUV itu yang didakwa dicipta secara bebas.

“Kami tidak menafikan mahu pun mengakuinya,” katanya kepada stesen AP Television News.

“Sesiapa pun boleh mendapat inspirasi daripada setiap SUV yang dilihatnya. Tidak kiralah sama ada ia ciptaan Jepun, China, Jerman atau pun Perancis.

“Malah, jika anda terpandang kelibat sebuah kereta hari ini, tidak kiralah daripada sudut mana pun, pasti ada persamaan termasuklah di bahagian tayarnya.”

Pertikaian yang wujud itu hanya memaparkan kebimbangan di kalangan syarikat Barat yang mana kebanyakannya mahu melakukan urus niaga di pasaran China yang besar, tetapi pada masa sama melindungi hak cipta masing-masing.
“Isu itu sememangnya membimbangkan BMW kerana wujudnya syarikat pengeluar kereta China yang cuba meniru bahagian tepi dan belakang generasi lama model X5 kami,” kata jurucakap BMW, Wieland Bruch.

Beliau bagaimanapun mengakui, sekali imbas tiada persamaan antara dua kenderaan itu dan hanya pemeriksaan terperinci dapat mendedahkannya.

Syarikat DaimlerChrysler AG yang turut berhasrat mengemukakan saman terhadap Shuanghuan Auto kerana persamaan Noble dengan Smart fortwo, menyifatkan tindakan syarikat China itu melanggar hak membabitkan harta intelek.

CEO Dieter Zetsche memberitahu wartawan kehadiran kereta yang reka bentuknya hampir sama pada pameran automobil itu boleh mencetuskan kekeliruan kepada pengunjung. – AP

66,000 murid ponteng sehari


LONDON: Sekurang-kurangnya 66,000 murid Britain ponteng sekolah setiap hari, sebahagian daripadanya berpunca daripada sikap ibu bapa yang sanggup melarang anak bersekolah pada hari terbabit atas alasan meraikan hari jadi, bercuti lebih awal atau keluar membeli-belah.

Media tempatan melaporkan, angka rasmi itu menunjukkan separuh daripada pelajar pelajar yang ditahan ketika operasi polis dan pihak Jabatan Kebajikan, ditemani ibu bapa yang sanggup membiarkan anak ponteng.

Secara keseluruhannya, tindakan ponteng itu membabitkan kehilangan sejumlah 7.5 juta hari bersekolah dalam dua penggal selain merugikan wang kerajaan hampir £1 bilion (RM7 bilion) bagi menangani masalah itu.

Namun, apa yang turut mengejutkan adalah sikap ibu bapa yang sanggup mengambil cuti tidak rasmi secara sendiri bagi tujuan bercuti lebih awal daripada tarikh sepatutnya.

Kalangan Menteri turut menyalahkan pendekatan lebih tegas bagi melaporkan kejadian ponteng sebagai antara alasan peningkatan itu. Kalangan pembangkang sebaliknya menuduh kerajaan tidak mempedulikan masalah berkenaan. – Agensi

John Howard pemimpin tempang


SYDNEY: Parti pembangkang Australia melabelkan Perdana Menteri John Howard sebagai pemimpin ‘tempang’ berikutan pengumuman mengejut Howard untuk mengundur sebelum tempoh barunya tamat jika dipilih semula dalam pilihan raya akhir tahun ini.

Howard, 68, cuba menghentikan spekulasi berhubung masa depannya apabila membuat pengumuman lewat kelmarin yang beliau akan menyerahkan kuasa kepada Menteri Kewangan Peter Costello pada akhir penggal ketiga pemerintahannya jika meraih kemenangan kelima pilihan raya itu.

Ia menjadi kenyataan umum pertama Howard sepanjang pemerintahan 11 tahunnya mengenai tarikh pengundurannya.

Kenyataannya dibuat dalam usaha meredakan desakan beberapa menteri kanan supaya Howard menimbangkan masa depannya.

Namun, bagi pembangkang, Howard tidak lebih seorang pemimpin yang terdesak memadamkan pertikaian di dalam Parti Liberal pimpinannya ketika kerajaan pakatan konservatif itu berada pada kedudukan tercorot dalam tinjauan pendapat baru.

“Parti Liberal yang kini di ambang pilihan raya, sebegitu terdesak dan mempunyai jalan penyelesaian jangka pendek bagi kemelut kepemimpinan mereka,” kata Kevin Rudd, pemimpin pembangkang, Parti Buruh.

Rudd juga mendakwa Howard sudah tidak lagi dipercayai ramai pemimpin kanan Parti Liberal. – AFP

Kaunter aktif Touch n’ Go melalui MyKad

KUALA LUMPUR: Pengendali kad Touch n’ Go, Rangkaian Segar Sdn Bhd (RSSB) menyediakan beberapa kaunter alternatif untuk mengaktifkan perkhidmatan berkenaan dalam MyKad mereka.

Pengarah Eksekutif RSSB, Mohd Hussein Ab Hamid, berkata lokasi kaunter berkenaan termasuk di Menara Faber, Jalan Klang Lama; Hab di KL Sentral dan Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus).


“Pemegang MyKad juga boleh mengaktifkan perkhidmatan Touch n’ Go mereka di lokasi berlainan seperti di kaunter pengendali laluan Jambatan Pulau Pinang, Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB); Lebuh Raya Elite dan Lebuh Raya Linkedua.

“Bagaimanapun, pengguna dinasihatkan supaya tidak mengaktifkan MyKad yang mempunyai masalah di lorong tambah nilai di plaza tol bagi mengelakkan timbul masalah teknikal,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Perkhidmatan Touch n’ Go mula dimasukkan dalam MyKad sejak 2001 dan MyKad yang mempunyai logo di belakangnya, mempunyai kelengkapan kemudahan prabayar.

Mohd Hussein berkata, selain daripada mengaktifkan serta menambah nilai, pengguna yang kehilangan MyKad juga boleh mendapatkan semula baki prabayar di kaunter berkenaan.

“Ramai beranggapan apabila MyKad hilang, baki Touch ‘n Go mereka juga akan hilang. Bagi mendapatkannya semula, mereka hanya perlu menyertakan laporan polis mengenai kehilangan MyKad.

Berita Harian 14 September 2007

Mekanisme khas ganti subsidi diesel dirangka


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan merangka satu mekanisme khas untuk membantu golongan miskin, khususnya nelayan sebelum memansuhkan bantuan subsidi diesel, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, mekanisme itu masih pada peringkat perbincangan dan sedang diperhalusi bagi memastikan tidak timbul sebarang masalah kepada pengguna bahan api berkenaan jika subsidinya dimansuhkan.

Beliau berkata, kerajaan mahu memastikan sebarang keputusan yang dibuat, tidak akan menyebabkan nelayan menanggung beban, manakala pihak yang menganggap subsidi itu membuka ruang untuk penyeludupan dan merugikan negara juga berpuas hati.

“Sejak banyak kegiatan penyeludupan diesel terbongkar kebelakangan ini, banyak pihak mengadakan perbincangan mengenainya dan ia menggambarkan hasrat rakyat supaya kerajaan mengambil tindakan atau membuat keputusan untuk menangani perkara ini.

“Bagaimanapun, pada satu pihak pula, kita perlu memikirkan nasib nelayan yang memerlukan diesel untuk kegiatan penangkapan ikan. Kita jangka menerusi mekanisme khas itu nanti, kita akan pastikan golongan miskin seperti nelayan tidak menanggung beban,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat ketujuh Majlis Pembangunan Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan di Bank Negara Malaysia di sini.

Baru-baru ini, Ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Prof Datuk Dr Ismail Salleh menyarankan kerajaan memansuhkan subsidi diesel bagi menangani penyelewengan dan penyeludupan bahan api itu yang semakin berleluasa hingga menyebabkan negara mengalami kerugian besar.

Beberapa pihak termasuk ahli ekonomi sebaliknya mencadangkan kerajaan memperkenalkan mekanisme alternatif dengan memberikan bantuan dalam bentuk lain untuk meringankan beban industri tertentu, seperti sektor pengangkutan dan nelayan.

Ismail berkata, perbezaan ketara harga bahan api itu berbanding negara lain, terutama berikutan subsidi yang diberi kepada sektor tertentu menyebabkan kegiatan penyelewengan dan penyeludupan diesel semakin berleluasa.

Sejak Januari hingga Jun lalu saja, kerajaan sudah membelanjakan lebih RM2.9 bilion untuk membayar subsidi minyak, termasuk petrol, diesel dan gas asli cecair (LPG). Daripada jumlah itu, RM1.3 bilion dibayar untuk subsidi diesel kepada nelayan, manakala RM620 juta subsidi LPG.

Minggu lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mematahkan dua cubaan sindiket menyeludup diesel, masing-masing 275,000 liter dan 487,000 liter diesel subsidi melalui Dermaga Prai di Pulau Pinang.

Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata, sebarang tindakan atau keputusan kerajaan akan mengambil kira kepentingan rakyat dan pertumbuhan ekonomi negara.

Mengenai kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa yang mencecah AS$80 (RM268) setong kelmarin, katanya, pihaknya sedang menjalankan pemantauan rapi perubahan harga bahan api itu dari semasa ke semasa.

“Pergerakan harga minyak akan diteliti dan dianalisis untuk memastikan ia tidak memberi kesan negatif kepada pembangunan dan ekonomi negara,” katanya.

Bagaimanapun, beliau masih berpegang kepada janji kerajaan kepada rakyat untuk tidak menaikkan harga minyak sepanjang tahun ini, selepas kali terakhir menaikkan harga bahan api itu pada akhir Februari lalu.

Oleh Norfatimah Ahmad, Zainab Yatim dan Azli Ayob

Berita Harian 14 September 2007

Wakaf al-Quran bantu minoriti Islam


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengajak umat Islam di negara ini memainkan peranan lebih besar dengan membantu orang Islam minoriti di negara bukan Islam bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam urusan dunia dan akhirat.

Perdana Menteri berkata, bantuan dalam bentuk wakaf al-Quran adalah inisiatif penting untuk memberi mesej kepada golongan berkenaan bahawa penguasaan ilmu penting untuk mengukuhkan keimanan mereka dan membawa kemajuan kepada umat Islam.

Katanya, dengan ada ilmu, manusia menjadi insan yang boleh berfikir dan mengambil inisiatif tertentu untuk mengubah tamadun manusia itu sendiri.

“Saya percaya menerusi pemberian al-Quran kepada sahabat kita yang menjadi minoriti di negara bukan Islam, mereka dapat dibantu dan menguasai ilmu. Pemberian ini juga sebagai mesej kepada sahabat kita bahawa penguasaan ilmu penting jika mereka hendak maju dan berjaya,” katanya berucap melancarkan Program Wakaf al-Quran Peringkat Kebangsaan anjuran Dewan Amal Islam Hadhari (Damai) di sini, semalam.

Program itu adalah bagi mengumpul sumbangan untuk wakaf al-Quran kepada masyarakat Islam minoriti di negara yang ditadbir pemerintah bukan Islam yang sebahagian besarnya hidup dalam kemiskinan.

Terdahulu Abdullah menerima sumbangan al-Quran daripada badan korporat yang menderma untuk program itu. Badan korporat berkenaan adalah Bank Islam dan Lembaga Tabung Haji.

Perdana Menteri berkata, wakaf berbentuk al-Quran akan mengukuhkan lagi keimanan mereka terhadap agama dan dijadikan panduan untuk menghadapi kehidupan di negara yang majoriti rakyatnya bukan Islam.

“Islam tidak mahu pengikutnya menjadi miskin, ketinggalan dan buta huruf. Al-Quran untuk dibaca dan mendapatkan ilmu. Banyak manfaat diperoleh sekiranya penerima mengambil ilmu dalam al-Quran itu,” katanya.

Abdullah berkata, dari segi membuat amal jariah seperti wakaf al-Quran, pihak yang menyumbang akan mendapat pahala, manakala yang menerima pula akan menerima manfaat dan kebaikan daripadanya.

Katanya, al-Quran yang diturunkan pada Ramadan adalah untuk menjadi petunjuk dan memberi kebaikan kepada manusia sekiranya mahu mengamalkan ajaran yang terkandung di dalamnya.

Perdana Menteri juga berkata, wakaf itu bukan saja dapat membantu penduduk Islam di negara bukan majoriti Islam, tetapi secara tidak langsung memberitahu negara luar bahawa Malaysia boleh maju dengan mengamalkan Islam dalam negara yang mempunyai pelbagai bangsa.

Program anjuran Damai itu terbuka kepada orang ramai yang mahu turun serta menderma menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Mereka yang berminat boleh menaip SMS Wakaf 1 untuk sumbangan RM1 atau Wakaf 2 untuk sumbangan RM2 dan hantar ke 32776 atau 32728. Mereka yang ingin membuat sumbangan dalam jumlah yang lebih besar boleh menghubungi Damai di talian 03-26971868/67/69.

Oleh Rohaniza Idris

Berita Harian 14 September 2007

Ubi kayu cassava berpotensi tambah pendapatan petani


PASIR MAS: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) memperkenalkan penanaman ubi kayu cassava kepada petani negeri ini dalam usaha meningkatkan pendapatan mereka.

Pengerusi Kada, Datuk Seri Annuar Musa, berkata petani yang menyertai usaha itu dijangka menikmati pendapatan antara RM600 hingga RM800 sebulan bagi setiap 0.4 hektar tanaman yang diusahakan.

Katanya, bagi melaksanakan projek terbabit, Kada akan menumpukan kepada kawasan sawah yang tidak dapat mengeluarkan hasil memuaskan atau sawah terbiar.

"Ubi kayu ini bukan untuk dimakan kerana kandungan kanji yang tinggi dan boleh diproses untuk kegunaan pelbagai industri yang mempunyai permintaan baik di negara maju terutama Eropah.

"Ubi cassava atau ubi kanji ini digunakan dalam industri berat, tekstil, papan lapis selain mampu menghasilkan beberapa produk lain yang mesra alam seperti beg plastik.

"Oleh kerana potensinya yang tinggi, Kada mengambil inisiatif memperkenalkan kepada petani negeri ini dalam usaha meningkat pendapatan mereka kerana mampu menjana antara RM600 hingga RM800 sebulan," katanya.

Beliau memberitahu media selepas melancarkan projek penanaman ubi kayu cassava Kada di Kampung Kolam dekat Tok Uban di sini, semalam.

Annuar berkata, sebagai permulaan, dua Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) iaitu PPK Peringat dan Padang Sepat terbabit dalam projek perintis ini yang disasarkan mampu menghasilkan 5,000 tan ubi itu setahun.

Katanya, Kada merancang mengembangkan projek ini ke seluruh negeri ini terutama kawasan tanah terbiar yang dilihat berpotensi dibangunkan dengan penanaman ini.

"Memandangkan permintaan tinggi bagi produk ubi kayu ini terutama terhadap bahan bergetahnya yang dikenali dengan resin, Kada merancang membina dua kilang untuk pemprosesannya.

"Sebuah tapak untuk didirikan kilang memproses resin sudah dikenal pasti di Rantau Panjang manakala sebuah lagi bagi menghasilkan produk pengguna akan ditentukan sedikit masa lagi," katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan tanaman itu dapat dihasilkan dengan sistematik, Kada akan memperkenalkan sistem kuota seperti yang dilakukan dalam sistem penanaman tembakau.

Katanya, melalui sistem kuota ini, Kada akan memastikan tahap pengeluarannya dapat menampung permintaan pasaran, di samping memastikan harganya sentiasa terkawal.

"Sistem kuota diperkenalkan dalam penanaman ubi kayu ini bagi memastikan tidak akan berlaku lambakan selain memastikan harganya tidak hanya menguntungkan satu pihak saja," katanya.

Berita Harian 14 September 2007