Memaparkan catatan dengan label INOVASI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label INOVASI. Papar semua catatan

Khamis, 15 Mei 2008

Blu-ray unik


SYARIKAT Sony menampilkan kelainan terhadap perakam Blu-ray terbarunya, BDZ-A70 yang boleh memindahkan kandungan video di dalamnya ke walkman, konsol permainan video dan telefon bimbit tertentu.

Perakam tersebut yang baru-baru ini diperkenalkan di ibu pejabatnya di Tokyo, Jepun juga dilengkapi dengan 320GB HDD, dua pemilih digital dan satu pemilih TV analog.

Perakam Blu-ray tersebut telah berada di pasaran Jepun sejak hujung April lalu.

-Kosmo!

Mesin tangan


TENTU anda mengetahui tentang kewujudan arked atau mesin yang mengeluarkan 'tangan' untuk mencapai barangan seperti anak patung dari dalam sebuah peti kaca.

Tapi kini, tidak terhad kepada anak patung dan alat permainan, mesin seumpama itu diperluaskan untuk membeli kek. Arked permainan kek tersebut telah dipelopori di Osaka, Jepun, baru-baru ini.

Arked yang menjual aneka kek dari kedai-kedai kek terbaik di sekitar kawasan itu dicipta bagi menarik minat golongan wanita terhadap mesin jualan sedemikian.

-Kosmo!

Kad memori tanpa wayar


KAD memori SD terbaru Eye-Fi dipertontonkan di Dakota Selatan, AS, baru-baru ini. Ia dipamerkan bersama-sama dengan pembaca kad USBnya dan bungkusannya.

Eye-Fi nampak seperti kad SD dua gigabait yang biasa tetapi ia sebenarnya dijana dengan laluan wi-fi yang membolehkan kad tersebut dihubungkan dengan router rumah secara tanpa wayar.

Ia juga membolehkan gambar daripada kamera digital dimuat naik ke komputer atau laman perkongsian gambar di Internet secara automatik.

-Kosmo!

Kereta termoelektrik


SYARIKAT elektronik gergasi Jepun, Toshiba tampil dengan kereta elektrik menggunakan peranti termoelektrik terbarunya. Model prototaip kereta elektrik satu kerusi itu telah didedahkan di kampus Osaka Sangyo University, Daito, Osaka baru-baru ini.

Dinamakan Giga Topaz, kereta tersebut mendapat sumber elektrik daripada perubahan secara langsung suhu pada setiap bahagian metalik kenderaan itu.

Turut hadir dalam acara pengenalan kereta elektrik itu ialah naib presiden universiti berkenaan Osamu Yamada.

-Kosmo!

Navigasi umrah maya

Aplikasi umrah maya ciptaan pelajar, Syed Huzaifah Syed Omar ini dapat membantu pengguna sebelum menjejakkan kaki ke Tanah Suci.


SYED Huzaifah Syed Omar mengambil masa setahun menyiapkan virtual umrah.

MASALAH kekeliruan yang dialami semasa mengerjakan umrah dua tahun lalu, telah menjadi cetusan idea buat seorang pelajar tahun akhir Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya untuk memperkenalkan sebuah aplikasi terbaru yang impresif iaitu virtual umrah atau umrah maya.
Menerusi aplikasi tersebut yang dimainkan di Internet, pengguna akan dapat membiasakan diri dengan suasana ibadah umrah di Mekah terlebih dahulu sebelum mereka benar-benar menjejaki tanah suci itu.

"Semasa melakukan umrah pada tahun 2006, saya mengalami beberapa kekeliruan ketika melaksanakan tawaf dan saie. Misalnya, saya keliru sama ada saya berada di Safa atau Marwa ketika melaksanakan ibadah saie.

"Memang kita telah diajar mengenainya dalam kursus sebelum bertolak, tetapi setelah tiba di tempatnya yang sebenar, ramai yang keliru kerana faktor keadaan sekeliling yang asing dan orang yang ramai," kata Syed Huzaifah Syed Omar, 23, pelajar tahun akhir MMU yang mencipta aplikasi berkenaan kepada Kosmo! ketika ditemu bual di Ampang, Selangor baru-baru ini.

Masih berada pada peringkat prototaip, projek itu dipercayai yang pertama seumpamanya di dunia. Sebelum ini, aplikasi yang wujud sekadar dalam bentuk animasi atau 3D tanpa memiliki unsur interaktif seperti permainan komputer.

Dengan umrah maya, pengguna dapat merasai sendiri bagaimana keadaan ketika menunaikan umrah di Tanah Suci dengan melakukan navigasi sendiri. Dalam erti kata lain, pengguna mengawal diri mereka sendiri untuk mengerjakan umrah.

Seperti juga permainan komputer yang lain, pengguna perlu menyelesaikan satu misi dan misi aplikasi ini ialah menyempurnakan ibadah umrah.

Menggunakan navigasi kursor, pengguna dikehendaki menyelesaikan dua peringkat iaitu peringkat tawaf dan peringkat saie. Permainan dimulakan dengan peringkat yang pertama iaitu tawaf. Untuk menyelesaikan peringkat berkenaan pengguna mestilah menghabiskan tujuh pusingan tawaf.

Selesai peringkat tawaf, pengguna beralih kepada peringkat saie. Di peringkat saie, pengguna perlu berulang alik dari Safa dan Marwa sebanyak tujuh kali.

Menariknya, menerusi aplikasi ini, anda bukan sahaja mengetahui di mana lokasi Hajar Aswad, garis permulaan tawaf, garis permulaan saie, 56 pintu masjidil haram dan sebagainya bahkan anda juga mengetahui informasi-informasi berkaitannya.

"Ketika melaksanakan misi, pengguna akan bertemu kotak-kotak 'I' yang mempunyai informasi tersembunyi. Mengambil kotak I itu akan menemukan pengguna dengan informasi-informasi berkenaan aspek-aspek tertentu dalam umrah seperti memakai ihram, maklumat tentang Hajar Aswad, sejarah saie, mengapa perlu berlari lebih pantas di satu bahagian berwarna hijau, larangan semasa ihram dan doa-doa yang berkaitan," katanya.

Maklumat-maklumat itu disampaikan dalam bentuk yang menarik iaitu berbentuk kandungan video. Ia juga mempunyai suara yang dirakamkan oleh Syed Huzaifah sendiri.

Lebih menyeronokkan, aplikasi tersebut turut dimasukkan efek bunyi seperti bunyi orang membaca al-Quran, bunyi azan atau bunyi percakapan manusia seperti yang lazim didengari di Masjidil Haram.

"Untuk benar-benar menikmati pengalaman umrah tersebut, aplikasi ini boleh dihubungkan dengan gogal HMD yang membolehkan pengguna merasakan bahawa diri mereka benar-benar berada di persekitaran Masjidil Haram," katanya yang mengambil masa setahun untuk menyiapkannya.

"Saya mencipta aplikasi ini berasaskan konsep melayari, mempelajari dan memahami. Saya mahu orang ramai membiasakan diri dengan keadaan di Masjidil Haram, tahu bagaimana susun aturnya dan faham mengapa mereka melakukan ibadah tersebut. Saya tidak mahu mereka berasa keliru apabila tiba di sana seperti yang berlaku pada saya dan beberapa jemaah terdahulu. Saya berharap mereka dapat membiasakannya terlebih dahulu," ujarnya sambil menjelaskan aplikasi ini dibangunkan menggunakan perisian Virtools 4.1 Development dan 3d Studio Max.

Apakah masalah yang dilalui dalam melaksanakan projek tersebut? Syed Huzaifah berkata, ia merupakan projek tahun akhir individu dan semuanya perlu dilakukan berseorangan.

"Antara masalah yang dihadapi ialah untuk membina struktur sebenar Masjidil Haram kerana kekurangan sumber. Lantaran itu, saya berusaha mendapatkan sesuatu yang hampir serupa. Adakalanya, berlaku gangguan teknikal apabila saya cuba memasukkan satu elemen baru ke dalamnya.

"Saya juga perlu melakukan tugasan ini secara sendirian. Jadi, saya mestilah menguasai segenap perkara, sedangkan saya tidak mungkin mampu menguasai segalanya. Kekangan masa dan kewangan juga antara masalah yang dilalui," katanya yang percaya ia bakal dikomersialkan dalam tempoh dua tahun lagi.

Merancang untuk menambah lebih banyak elemen, termasuk memperluaskannya kepada ibadah haji, mungkin selepas dia menunaikan haji kelak.

"Apapun, aplikasi ini cuba membuktikan bahawa teknologi dan agama boleh bergerak seiring.

"Tambah pula, ini mampu membuang tanggapan bahawa umat Islam ketinggalan dalam bidang teknologi, lebih-lebih lagi teknologi virtual. Selain itu, dengan suntikan hiburan, ia boleh menarik minat muda-mudi untuk mendekati ibadah.

"Bukan sahaja orang Islam, bahkan orang bukan Islam juga boleh mendapat gambaran sebenar melaksanakan ibadah di Masjidil Haram menerusi aplikasi ini kerana mereka tidak dibenarkan menjejakinya," katanya memberitahu terdapat beberapa pihak yang telah menyuarakan minat untuk bekerjasama dengannya dalam membangunkan aplikasi ini.

Dimainkan menerusi satu laman web yang bakal didedahkan kelak dengan plug in virtools web player, orang ramai boleh melihat atau mencuba sendiri aplikasi ini yang buat pertama kalinya dipersembahkan kepada umum pada pameran projek-projek tahun akhir MMU yang berlangsung semalam dan hari ini di MMU, Cyberjaya.

Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai aplikasi ini atau mahu menghubungi Syed Huzaifah atas urusan berkaitan bolehlah mengirim emel kepada virtual.umrah@yahoo.com.


Oleh ADHAM SHADAN
-Kosmo!

Khamis, 8 Mei 2008

Kuasa gen Ghd7

PARA pengkaji di China telah mengenalpasti sejenis gen yang memainkan peranan penting dalam menentukan potensi penuaian pada padi, demikian menurut satu kajian yang dilaporkan jurnal Nature Genetics baru-baru ini.

Produktiviti padi biasanya ditentukan oleh beberapa ciri seperti bilangan dan saiz biji, tinggi tumbuhan dan masa ia berbunga, yang bertindak berdasarkan cuaca.

Kajian berterusan sejak bertahun-tahun lalu telah membantu para saintis menemui kromosom 7 pada tumbuhan tersebut yang nampaknya memberi maklumat tentang ketiga-tiga ciri tersebut.
Gen tersebut telah dikenalpasti oleh satu kumpulan yang diketuai Qifa Zhang dari Huangzhong Agricultural University di Wuhan, dalam satu lapangan kajian.

Kumpulan tersebut telah menanam 30,000 pokok padi dalam usaha untuk menjejaki gen berkenaan. Daripada 30,000 pokok, ia telah dikurangkan sehingga 1,082 sahaja kerana bakinya mempunyai bijian yang lebih sedikit dan lebih kecil, tumbuh lebih pendek dan berbunga lebih awal. Pokok-pokok terbabit didapati kekurangan gen yang dikenali sebagai Ghd7.

Apabila Ghd7 dimasukkan ke dalam pokok-pokok padi yang 'kekurangan' bahan itu, ciri-cirinya berubah. Masa yang diambil untuk berbunga menjadi berganda dan tumbuhan itu menjadi dua pertiga lebih tinggi.

Para pengkaji kemudiannya mengkaji bagaimana Ghd7 berfungsi pada jenis-jenis padi berbeza yang berasal dari serata Asia, dari Jepun sehingga ke India.

Mereka dapati terdapat lima jenis mutasi atau versi pada gen utama itu.

Versi kurang aktif Ghd7 didapati tertanam di rantau Asia yang lebih sejuk. Mutasi ini berlaku demi menggalakkan tumbuhan itu untuk berbunga lebih cepat, sekali gus membolehkan ia ditanam di kawasan tersebut di mana ia melalui musim-musim pertumbuhan yang pendek ekoran keadaan cuaca.

Penemuan itu disifatkan mempunyai implikasi asas dalam memperbaiki hasil tanaman padi, makanan ruji di Asia dan komponen diet yang penting di seluruh dunia, kata kajian itu.

Pakar teknologi padi boleh membantu para petani dengan memasukkan gen Ghd7 dan memadankannya dengan varian tertentu, katanya.

Memperhebat penuaian padi adalah penting kerana ia dijangka akan meningkatkan populasi Bumi daripada sekitar 6.5 bilion hari ini kepada lebih daripada sembilan bilion pertengahan abad ini.

-Kosmo!

Bantu warga emas berjalan


SYARIKAT Jepun, Honda Motor menunjukkan keprihatinannya terhadap warga tua dengan menghasilkan alat membantu berjalan khusus untuk warga emas.

Direka khusus untuk warga tua, prototaip alat bantu berjalan itu dipamerkan dalam satu pameran di Tokyo, Jepun, baru-baru ini.

Alat bantu berjalan itu dipakaikan pada bahagian pinggul dan paha. Ia dilengkapi dengan pengesan sudut dengan berat tiga kilogram.


-Kosmo!

Menonton dalam kenderaan


Bagaimanakah teknologi MediaFLO memastikan aktiviti menonton televisyen dalam kenderaan satu pengalaman yang mengujakan?

TEKNOLOGI penyiaran siaran televisyen dalam kenderaan boleh dikatakan suatu perkara yang baru, namun ia mudah menarik perhatian kerana ia sesuatu yang mengujakan. Ia mungkin menjadi pencetus kepada tontonan televisyen yang menyeronokkan di dalam kereta. Anda tidak akan ketinggalan rancangan televisyen kegemaran anda walaupun ketika berada dalam perjalanan ke tempat kerja, kompleks membeli-belah, rumah saudara mara atau ke mana sahaja.

Tambah menarik, jika penyiarannya tidak mudah terganggu walaupun ketika anda melalui kawasan lebuh raya atau kawasan berbukit kerana penerimaan isyarat penyiarannya adalah secara mudah alih.

Baru-baru ini, pembangun dan pelopor teknologi tanpa wayar dan solusi canggih, Qualcomm Incorporated telah melaksanakan demonstrasi siaran berasaskan satu teknologi yang dinamakan teknologi MediaFLO, yang dipancarkan ke udara ke sebuah sistem hiburan dalam kenderaan. Siaran sulung itu dipaparkan di pameran Persatuan Penyiar Bersekutu (NAB) yang diadakan di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat (AS).

Demonstrasi TV mudah alih inovatif ini membuktikan fleksibiliti landasan MediaFLO serta kaedah penyiarannya yang menarik dan unik yang boleh digunakan dalam apa jua senario.

Demonstrasi dalam kenderaan ini melibatkan sebuah kenderaan utiliti sport (SUV) yang dipasang dengan dua buah skrin televisyen di belakang alas kepala dengan resolusi BGS. Alat penerima MediaFLO yang disepadukan dalam konsol tengah belakang akan menerima siaran televisyen secara langsung menerusi landasan MediaFLO dengan resolusi QVGA. Pengawal konsol tengah pula membolehkan pengguna menggunakan panduan saluran elektronik, menukar saluran dan mencapai ciri opsyen Sistem MediaFLO.

"MediaFLO dibina khusus untuk daya pergerakan dan kepantasan, menjadikannya landasan yang sesuai untuk membina penyelesaian menjimatkan kos di dalam kenderaan yang boleh digunakan dalam skala besar di pasaran umum," kata Neville Meijers, naib presiden kanan dan pengurus besar Qualcomm MediaFLO Technologies.

MediaFLO membolehkan pengalaman kepelbagaian multimedia mudah alih yang merangkumi video berkualiti tinggi, audio, data dan perkhidmatan secara interaktif.

Oleh kerana landasan MediaFLO menggunakan rangkaian penyiaran mudah alih khusus, ia tidak memerlukan pancaran garis lurus dan inilah yang membezakannya daripada transmisi TV satelit. Kualiti video dan kekuatan isyaratnya pula tidak akan terjejas dalam kawasan metropolitan yang padat.

Tambahan lagi, landasan ini telah direkacipta untuk penerimaan isyarat mudah alih tiada bandingan dan boleh beroperasi dengan cekap dalam keadaan pemanduan biasa, di atas jalan raya mahupun lebuh raya.

MediaFLO adalah landasan penyiaran mudah alih bagi penyampaian hiburan dan maklumat berkualiti tinggi, termasuk siaran video dan audio menerusi internet, media Clipcasting, siaran data IP dan perkhidmatan interaktif.

FLO pula secara umumnya adalah teknologi antara muka udara terbuka yang mendapat pengiktirafan global, dipiawai oleh Persatuan Industri Telekomunikasi (TIA) dan disyorkan oleh ITU-R untuk penyiaran multimedia dan aplikasi data. Dicipta untuk perkhidmatan mudah alih, MediaFLO direka untuk meningkatkan kapasiti dan liputan, serta mengurangkan kos bagi penyampaian kandungan multimedia kepada alat mudah alih.

Lebih banyak maklumat mengenai MediaFLO boleh didapati di laman web www.MediaFLO.com.


-Kosmo!

Selasa, 29 April 2008

Smiley interaktif


SELAMA ini, kita hanya melihat smiley di dalam peranti seperti komputer dan telefon bimbit.
Hari ini, sebuah alat permainan inovasi smiley yang interaktif mula dihasilkan.

Seorang lelaki Taiwan, Ryan Liu bertanggungjawab mereka cipta alat permainan tersebut.
Smiley berasaskan mesej itu akan mengubah karakternya mengikut smiley yang diterima di komputer.

Jika smiley di dalam komputer menunjukkan mood gembira maka mulut smiley interaktif ini juga akan mengikut gembira dan jika terkejut, ia turut ikut terkejut atau jika sedih, ia akan ikut bersedih.

Alat permainan ciptaan Liu itu telah dipamerkan pada hari pembukaan Pameran Reka Cipta Antarabangsa ke-36 di Geneva, Switzerland baru-baru ini.

-Kosmo!

Jelajah teksi solar


KERETA solar mesra alam sekitar Solar Taxi yang direka dan dipandu oleh seorang lelaki Switzerland, Louis Palmer baru-baru ini mencuri perhatian di Bangkok, Thailand.

Beliau tiba di negara itu dalam siri penjelajahannya. Palmer sebenarnya telah memulakan siri penjelajahan dunia sejak awal Julai tahun lalu.

Penjelajahan itu adalah usaha promosinya terhadap penggunaan kereta berkuasa solar dan membuktikan bahawa ia sebuah kereta yang bukan sahaja sempurna untuk digunakan setiap hari bahkan mampu mengelilingi dunia. Palmer mahu menunjukkan bahawa ia adalah solusi terbaik untuk menangani masalah pencemaran dan pemanasan global.

Antara negara yang telah disinggahinya ialah Jerman, Republik Czech, Austria, Slovakia, Hungary, Romania, Serbia, Bulgaria, Turki, Syria, Lebanon, Jordan dan Arab Saudi.

Teksi solar yang mempunyai kelajuan maksimum 90 kilometer sejam itu boleh bergerak 400 kilometer dalam satu cas.

Jentera ini juga dilengkapi dengan tempat duduk berkulit mewah yang menjamin keseronokan dan keselesaan.

-Kosmo!

Bayi comel merangkak


SYARIKAT gergasi Jepun, Tomy baru-baru ini telah memperkenalkan sejenis permainan baru yang menghiburkan iaitu Crawling Baby iaitu bayi kecil yang merangkak. Ia diperkenalkan dalam satu prebiu di Tokyo, Jepun baru-baru ini.

Bayi kecil dan comel yang hanya berketinggian 4.5 sentimeter itu boleh merangkak sambil menggoyangkan punggungnya. Keletahnya pasti mencuit hati.

Tomy menjangkakan untuk meletakkan permainan ini di pasaran pada Julai ini.

-Kosmo!

Haruman daripada telefon


SEBUAH syarikat Jepun, NTT Communications (NTT) sedang mengendalikan satu ujian awal mengenai perkhidmatan komunikasi unik yang membolehkan telefon bimbit berfungsi lebih daripada sekadar membuat panggilan atau mengirim mesej teks.

Ujian itu dilakukan bagi membolehkan telefon bimbit mengeluarkan bau.

NTT telah mendedahkan rancangan mereka untuk menghasilkan sistem berkenaan menerusi perkhidmatan terbarunya, Komunikasi Haruman Mudah Alih (MFC).

Model prototaip dan kapsul wangian untuk sistem ini telah diperkenalkan dalam satu prebiu di Tokyo, Jepun.

Sistem tersebut adalah versi mudah alih bagi perkhidmatan yang menggabungkan muat turun kandungan audio-visual bersama dengan wangian tertentu yang dicetuskan daripada peranti tertentu.

Versi mudah alih yang baru ini akan menawarkan pengguna telefon bimbit untuk memuat turun fail atau resipi bagi sesuatu wangian tertentu bersama dengan kandungan visual dan audio.

Data haruman dipindahkan menerusi inframerah ke sebuah peranti yang telah dipenuhi dengan katrij wangian asas.

Peranti tersebut kemudiannya akan mengadun haruman tertentu yang akan dikeluarkan apabila kandungan sesuatu audio atau video dimainkan di telefon bimbit.

Senarai haruman boleh didapati untuk dimuat turun dari laman web syarikat kembar NTT iaitu NTT DoCoMo. Bau yang ada juga boleh diubahsuai dan dikongsi bersama mereka yang melanggani perkhidmatan tersebut.

Semasa ujian awal itu, NTT juga akan menguji sebuah peranti kawalan yang dinamakan Service Gateway yang mengawal operasi peranti dalam sistem MFC.

Dalam ujian awal itu, sebanyak 20 responden menerima kit MFC yang mengandungi sebuah telefon bimbit dan peranti wangian.

NTT menyasarkan untuk menggunakan informasi yang dikumpulkan untuk mengetahui keupayaan perkhidmatan ini dan sejauh mana pandangan responden terhadap kegunaan dan rekaannya.

Perkhidmatan MFC ini sebenarnya adalah berasaskan dari satu sistem yang pernah dilancarkan pada tahun 2005.

Sistem berdasarkan internet itu membolehkan haruman disebarkan dalam panggung wayang semasa bahagian-bahagian tertentu dalam filem ditayangkan.
-Kosmo!

Isnin, 21 April 2008

Mata bionik beri harapan baru kepada individu buta


LONDON: Doktor buat kali pertama mendedahkan proses mewujudkan mata bionik sebenar yang memberi peluang kepada golongan buta untuk melihat.

Kamera video sebesar saiz kacang peas itu cukup kecil untuk dimasukkan ke dalam bebola mata dan ia dihubungkan dengan retina tiruan yang memancarkan imej bergerak di sepanjang saraf optik ke otak. Proses itu mengambil masa tiga hingga lima tahun. Orang di sebalik kejayaan itu ialah Profesor Optalmologi dan kejuruteraan bioperubatan di Institut Mata Doheny di Los Angeles, Dr Mark Humayun.

"Kamera itu kecil dan kuasanya amat rendah, jadi ia boleh pergi ke dalam mata dan menggandakan pergerakan mata mengikut kamera.

"Bidang ini amat berkembang. Jadi, pada masa empat atau lima tahun saya dan kita semua harap, dapat melihat teknologi ini yang jauh lebih maju," katanya, merujuk kepada pelaksanaan sistem Argus.

Institut itu sudah pun mempelopori penglihatan tiruan dengan syarikat Second Sight.

Sistem Argus sedia ada digunakan dalam ujian klinikal, memberikan penglihatan dasar kepada pesakit buta. Peralatan itu bergantung kepada kamera video yang dibina pada sepasang kaca mata untuk menangkap imej.

Ia kemudian ditukar kepada isyarat elektrikal yang memindahkan secara tanpa wayar kepada implan di belakang retina. Elektrod dalam implan menyisihkan isyarat mencipta gambar kasar hitam putih, yang dibawa sepanjang saraf optik ke otak.

Linda Moorfoot yang buta sepenuhnya lebih sedekad antara segelintir pesakit yang dilengkapi dengan peralatan itu dan kini mampu melihat imej kasar dunia yang dihasilkan dari bungkah terang dan gelap.

"Apabila menghadiri pertandingan hoki atau bola sepak cucu saya, saya dapat melihat pergerakan permainan. Saya boleh memasukkan bola dalam jaring apabila bermain dengan cucu lelaki dan boleh melihat cucu perempuan menari di pentas. Ia menakjubkan," katanya.

- Agensi

Ahad, 20 April 2008

Saintis jumpa ubat jerawat

LONDON: Sekumpulan saintis Britain mendakwa menemui 'penawar' bagi mengatasi masalah jerawat, satu masalah sejagat yang dialami ramai, khususnya di kalangan remaja. Akhbar Daily Telegraph melaporkan, saintis di sebuah firma penyelidikan, Summit Corporation yang berpejabat di Oxford, mendakwa ubat dikenali SMT D002, boleh menyekat sehingga 90 peratus penghasilan sebum atau minyak yang dikeluarkan kulit dan menjadi punca jerawat.

Pada masa ini, ubat berkenaan dalam bentuk pil dan digunakan bagi merawat masalah selain jerawat. Tetapi, sebuah syarikat farmasi kini merancang menghasilkannya dalam bentuk krim agar dapat digunakan dengan lebih mudah.

Penyelidik juga percaya ia mampu memberikan rawatan yang berkesan seperti asid retinoic, sejenis vitamin A yang ketika ini digunakan bagi merawat kes jerawat dan jeragat yang serius.

Malangnya, Roaccutane yang berasaskan vitamin A berkenaan, sebaliknya dikaitkan dengan kejadian bunuh diri di kalangan mereka yang mengalami masalah jerawat.

- Agensi

Khamis, 17 April 2008

Mesin pertuturan


Bagi mereka yang bisu, memang sukar untuk berkomunikasi. Kini, selain menggunakan bahasa isyarat, mereka boleh menggunakan sejenis mesin pertuturan.

Mesin pertuturan tersebut telah dicipta oleh seorang pereka dari Perancis. Dinamakan sempena namanya, Fabrice Leblat, alat mudah alih yang dikenali sebagai Leblatphone itu beroperasi dalam pelbagai bahasa.

Mesin tersebut telah dipertontonkan pada Pameran Rekacipta Antarabangsa kali ke-36 di Geneva, Switzerland baru-baru ini.

-Kosmo!

Isnin, 14 April 2008

Tulang bantu ramal usia


Peralatan saintifik boleh jangka hayat fungsi umum seseorang

NEW YORK: Proses penuaan memang tidak mampu dihentikan tetapi ia boleh diramalkan, seperti dikemukakan oleh kajian baru, yang membayangkan orang ramai pada masa depan mungkin dapat hidup lebih lama dan menjalani kehidupan lebih sihat. Penyelidik di Universiti Tel Aviv menjalankan kajian berkenaan dan mendapati kepantasan seseorang itu menjadi tua sebenarnya tertulis di tulang individu berkenaan kerana proses penuaan fizikal amat dipengaruhi genetik.

Mereka turut membangunkan penanda biologikal yang mewakili usia tulang tubuh.

Ketua penyelidik dari Universiti Boston, Leonid Kalichman berkata: "Petunjuk baru, osseographic score (OSS), ini boleh digunakan oleh doktor sebagai peralatan saintifik bagi meramalkan jangka hayat dan fungsi umum seseorang.

"Jika doktor boleh menentukan seseorang itu menjadi tua lebih cepat secara biologi daripada yang sepatutnya, langkah seperti pengambilan vitamin tambahan dan senaman dapat membantu melambatkan proses itu," katanya.

Beliau berkata, ketika penanda biologi berbeza seperti uban, kedutan atau keanjalan kulit boleh membantu kita menganggar usia biologi seseorang, penampilan seperti ini sukar dijumlahkan tetapi dengan penanda bio OSS, dan rawatan pada usia muda, pada umur 90 tahun, seseorang bertenaga seperti baru berusia 30. Beliau meramalkan proses penuaan biologi akan menjadi topik hangat dalam kajian pada tahun akan datang, terutama di dunia Barat yang menyaksikan penduduknya hidup lebih lama berbanding sebelum ini.

Dalam kajian mereka, penyelidik menyiasat tulang kira-kira 400 keluarga Russia - 787 lelaki, 18 hingga 89 tahun, dan 723 wanita, 18 hingga 90 tahun. Hasil menunjukkan kedua-dua golongan itu mewarisi corak penuaan berbeza. Pada lelaki, gen menunjukkan lebih berkemungkinan untuk mempengaruhi betapa pantas mereka akan tua. Bagi wanita pula, gen lebih berkemungkinan membayangkan pada usia berapa perubahan ketara pada tulang akan mula muncul, lapor Science Daily.

Hasil kajian baru ini akan menyertai siri peralatan lain yang digunakan saintis yang menyelidik proses penuaan dan cara mengatasinya.

"Pada akhirnya, harapan doktor dan saintis cuma untuk membantu orang ramai berfungsi dengan lebih baik berbanding usia kronologi - usia yang tertulis dalam pasport," kata Kalichman.

- Agensi

UTM tempa sejarah peringkat dunia


JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai sekali lagi menempa sejarah pada peringkat antarabangsa apabila menggondol pingat emas dan anugerah khas pada Pameran Reka Cipta, Teknik Baru dan Produk Geneva kali ke-36, baru-baru ini. Kejayaan itu dicatat menerusi ciptaan alat capaian tanpa wayar mudah alih jalur lebar (PBWA), yang dihasilkan Pusat Komunikasi Tanpa Wayar (WCC) Fakulti Kejuruteraan Elektrikal UTM.

Teknologi itu memenangi pingat emas berikutan kebolehannya menukarkan capaian spektrum generasi ketiga (3G) atau Perkhidmatan Radio Paket Am (GPRS) kepada WiFi.

Pengarah WCC, Profesor Dr Tharek Abd Rahman, berkata ciptaan yang mengambil masa setahun penyelidikan itu mempunyai ciri yang masih belum terdapat di pasaran. Katanya, PBWA mempunyai perisian yang memastikan capaian Internet menjadi lebih efisien selain dapat dijadikan sebagai prabayar, iaitu pengguna boleh menetapkan had penggunaan ketika menggunakan internet.

"PBWA membolehkan pengguna melayari Internet sama ada menggunakan pembantu peribadi digital (PDA) atau komputer mudah alih di mana saja seperti ketika menaiki bas dan kereta api selagi berada dalam kawasan liputan 3G atau GPRS.

"Malah, alat ini juga sangat berguna jika ia digunakan di kawasan luar bandar atau kawasan yang tidak mempunyai kemudahan capaian internet," katanya berhubung kejayaan terbaru universiti itu di UTM, di sini, semalam.

Prof Tharek berkata, selain dapat digunakan seperti telefon mudah alih, PBWA juga boleh menggunakan sel solar di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai bekalan elektrik. Katanya, menerusi kejayaan penghasilan PBWA, pihaknya yakin ciptaan itu dapat meningkatkan penggunaan jalur lebar selain memudahkan pengguna menggunakan Internet melalui WiFi.

Selain memenangi pingat emas, PBWA juga menerima anugerah khas daripada Universiti Islam Azad Qazvin, Iran.

WCC juga berjaya meraih satu pingat perak menerusi ciptaan sistem tanpa wayar untuk capaian internet jalur lebarnya.

Berita Harian

Ahad, 13 April 2008

Saintis Sepanyol dakwa temui planet terkecil


Saintis Sepanyol Ignasi Ribas yang telah menemui planet terkecil di luar sistem suria

MADRID: Ahli kaji bintang Sepanyol mengumumkan bahawa mereka menemui sebuah planet terkecil di luar sistem solar pada jarak 30 tahun perjalanan cahaya dari bumi. Ahli Sains Sepanyol, Ignasi Ribas dari pusat penyelidikan Saintifik Sepanyol berkata planet yang dikenali GJ 436T dikesan menerusi teknik baru yang akan membolehkan kami menemui planet pertama menyerupai bumi dari segi pergerakan dan orbit dalam tempoh 10 tahun lagi.

Beliau berkata, planet itu dikesan kumpulan diketuainya menerusi tarikan graviti pada planet lain yang dikenal pasti dalam kumpulan bintang sama dengan bintang Leo.

“GJ 436T” mempunyai keluasan lima kali ganda lebih besar daripada bumi dan ini menjadikannya planet terkecil daripada 300 planet di luar sistem solar yang dikesan setakat ini,” katanya ketika mengumumkan penemuan itu.

Beliau berkata, planet baru itu tidak mempunyai hidupan berikutan jarak yang memisahkan ia dari kumpulan bintang iaitu hampir sama jarak bumi dengan matahari.

“Untuk membolehkan sesuatu kehidupan wujud, sesebuah planet mesti mempunyai pergerakan yang hampir sama dengan bumi, mempunyai air pada permukaan, sebuah atmosfera dan jarak orbit yang sama seperti bumi,” katanya.

Beliau berkata pengiraan awal mendapati “GJ 436T” berputar selama 4.2 hari bumi dan mengelilingi orbit bintangnya setiap 5.2 hari.

- Agensi

Khamis, 10 April 2008

MP3 kalis air


Mendengar seleksi lagu MP3 kegemaran di dalam air mungkin sesuatu yang belum pernah dilakukan tetapi dengan terciptanya pemain MP3 kalis air, barangkali ini dapat direalisasikan.

Pemain MP3 kalis air pertama di dunia yang dinamakan 'Dolphin' itu telah diperkenalkan di Pertunjukan Softex Taipeu di Pusat Dagangan Dunia Taipei, Taiwan baru-baru ini.

Pemain MP3 dengan memori satu Gigabait atau dua Gigabait ini dijual pada harga RM305.00 dan RM409.00.

- Kosmo!

Rabu, 9 April 2008

Catur orang buta


BAGI mereka yang cacat penglihatan, peluang untuk mereka bermain catur mungkin tipis, tetapi dengan terhasilnya ciptaan terbaru seorang pemuda Hong Kong ini, permainan ini kini boleh dimainkan golongan kurang upaya itu.

Michael Siu dari Hong Kong telah menghasilkan satu set catur yang dicipta khusus untuk mereka yang cacat penglihatan. Ciptaannya telah dipersembahkan dalam Pameran Reka Cipta Antarabangsa di Genevam Switzerland, baru-baru ini.

Buah caturnya berwarna biru dan merah, ia dimainkan secara sentuhan. Siu yang normal turut menutup matanya dengan satu penutup mata untuk mendemonstrasikan permainan tersebut.

-Kosmo!