Isnin, 21 April 2008

Mata bionik beri harapan baru kepada individu buta


LONDON: Doktor buat kali pertama mendedahkan proses mewujudkan mata bionik sebenar yang memberi peluang kepada golongan buta untuk melihat.

Kamera video sebesar saiz kacang peas itu cukup kecil untuk dimasukkan ke dalam bebola mata dan ia dihubungkan dengan retina tiruan yang memancarkan imej bergerak di sepanjang saraf optik ke otak. Proses itu mengambil masa tiga hingga lima tahun. Orang di sebalik kejayaan itu ialah Profesor Optalmologi dan kejuruteraan bioperubatan di Institut Mata Doheny di Los Angeles, Dr Mark Humayun.

"Kamera itu kecil dan kuasanya amat rendah, jadi ia boleh pergi ke dalam mata dan menggandakan pergerakan mata mengikut kamera.

"Bidang ini amat berkembang. Jadi, pada masa empat atau lima tahun saya dan kita semua harap, dapat melihat teknologi ini yang jauh lebih maju," katanya, merujuk kepada pelaksanaan sistem Argus.

Institut itu sudah pun mempelopori penglihatan tiruan dengan syarikat Second Sight.

Sistem Argus sedia ada digunakan dalam ujian klinikal, memberikan penglihatan dasar kepada pesakit buta. Peralatan itu bergantung kepada kamera video yang dibina pada sepasang kaca mata untuk menangkap imej.

Ia kemudian ditukar kepada isyarat elektrikal yang memindahkan secara tanpa wayar kepada implan di belakang retina. Elektrod dalam implan menyisihkan isyarat mencipta gambar kasar hitam putih, yang dibawa sepanjang saraf optik ke otak.

Linda Moorfoot yang buta sepenuhnya lebih sedekad antara segelintir pesakit yang dilengkapi dengan peralatan itu dan kini mampu melihat imej kasar dunia yang dihasilkan dari bungkah terang dan gelap.

"Apabila menghadiri pertandingan hoki atau bola sepak cucu saya, saya dapat melihat pergerakan permainan. Saya boleh memasukkan bola dalam jaring apabila bermain dengan cucu lelaki dan boleh melihat cucu perempuan menari di pentas. Ia menakjubkan," katanya.

- Agensi