Khamis, 15 Mei 2008

Navigasi umrah maya

Aplikasi umrah maya ciptaan pelajar, Syed Huzaifah Syed Omar ini dapat membantu pengguna sebelum menjejakkan kaki ke Tanah Suci.


SYED Huzaifah Syed Omar mengambil masa setahun menyiapkan virtual umrah.

MASALAH kekeliruan yang dialami semasa mengerjakan umrah dua tahun lalu, telah menjadi cetusan idea buat seorang pelajar tahun akhir Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya untuk memperkenalkan sebuah aplikasi terbaru yang impresif iaitu virtual umrah atau umrah maya.
Menerusi aplikasi tersebut yang dimainkan di Internet, pengguna akan dapat membiasakan diri dengan suasana ibadah umrah di Mekah terlebih dahulu sebelum mereka benar-benar menjejaki tanah suci itu.

"Semasa melakukan umrah pada tahun 2006, saya mengalami beberapa kekeliruan ketika melaksanakan tawaf dan saie. Misalnya, saya keliru sama ada saya berada di Safa atau Marwa ketika melaksanakan ibadah saie.

"Memang kita telah diajar mengenainya dalam kursus sebelum bertolak, tetapi setelah tiba di tempatnya yang sebenar, ramai yang keliru kerana faktor keadaan sekeliling yang asing dan orang yang ramai," kata Syed Huzaifah Syed Omar, 23, pelajar tahun akhir MMU yang mencipta aplikasi berkenaan kepada Kosmo! ketika ditemu bual di Ampang, Selangor baru-baru ini.

Masih berada pada peringkat prototaip, projek itu dipercayai yang pertama seumpamanya di dunia. Sebelum ini, aplikasi yang wujud sekadar dalam bentuk animasi atau 3D tanpa memiliki unsur interaktif seperti permainan komputer.

Dengan umrah maya, pengguna dapat merasai sendiri bagaimana keadaan ketika menunaikan umrah di Tanah Suci dengan melakukan navigasi sendiri. Dalam erti kata lain, pengguna mengawal diri mereka sendiri untuk mengerjakan umrah.

Seperti juga permainan komputer yang lain, pengguna perlu menyelesaikan satu misi dan misi aplikasi ini ialah menyempurnakan ibadah umrah.

Menggunakan navigasi kursor, pengguna dikehendaki menyelesaikan dua peringkat iaitu peringkat tawaf dan peringkat saie. Permainan dimulakan dengan peringkat yang pertama iaitu tawaf. Untuk menyelesaikan peringkat berkenaan pengguna mestilah menghabiskan tujuh pusingan tawaf.

Selesai peringkat tawaf, pengguna beralih kepada peringkat saie. Di peringkat saie, pengguna perlu berulang alik dari Safa dan Marwa sebanyak tujuh kali.

Menariknya, menerusi aplikasi ini, anda bukan sahaja mengetahui di mana lokasi Hajar Aswad, garis permulaan tawaf, garis permulaan saie, 56 pintu masjidil haram dan sebagainya bahkan anda juga mengetahui informasi-informasi berkaitannya.

"Ketika melaksanakan misi, pengguna akan bertemu kotak-kotak 'I' yang mempunyai informasi tersembunyi. Mengambil kotak I itu akan menemukan pengguna dengan informasi-informasi berkenaan aspek-aspek tertentu dalam umrah seperti memakai ihram, maklumat tentang Hajar Aswad, sejarah saie, mengapa perlu berlari lebih pantas di satu bahagian berwarna hijau, larangan semasa ihram dan doa-doa yang berkaitan," katanya.

Maklumat-maklumat itu disampaikan dalam bentuk yang menarik iaitu berbentuk kandungan video. Ia juga mempunyai suara yang dirakamkan oleh Syed Huzaifah sendiri.

Lebih menyeronokkan, aplikasi tersebut turut dimasukkan efek bunyi seperti bunyi orang membaca al-Quran, bunyi azan atau bunyi percakapan manusia seperti yang lazim didengari di Masjidil Haram.

"Untuk benar-benar menikmati pengalaman umrah tersebut, aplikasi ini boleh dihubungkan dengan gogal HMD yang membolehkan pengguna merasakan bahawa diri mereka benar-benar berada di persekitaran Masjidil Haram," katanya yang mengambil masa setahun untuk menyiapkannya.

"Saya mencipta aplikasi ini berasaskan konsep melayari, mempelajari dan memahami. Saya mahu orang ramai membiasakan diri dengan keadaan di Masjidil Haram, tahu bagaimana susun aturnya dan faham mengapa mereka melakukan ibadah tersebut. Saya tidak mahu mereka berasa keliru apabila tiba di sana seperti yang berlaku pada saya dan beberapa jemaah terdahulu. Saya berharap mereka dapat membiasakannya terlebih dahulu," ujarnya sambil menjelaskan aplikasi ini dibangunkan menggunakan perisian Virtools 4.1 Development dan 3d Studio Max.

Apakah masalah yang dilalui dalam melaksanakan projek tersebut? Syed Huzaifah berkata, ia merupakan projek tahun akhir individu dan semuanya perlu dilakukan berseorangan.

"Antara masalah yang dihadapi ialah untuk membina struktur sebenar Masjidil Haram kerana kekurangan sumber. Lantaran itu, saya berusaha mendapatkan sesuatu yang hampir serupa. Adakalanya, berlaku gangguan teknikal apabila saya cuba memasukkan satu elemen baru ke dalamnya.

"Saya juga perlu melakukan tugasan ini secara sendirian. Jadi, saya mestilah menguasai segenap perkara, sedangkan saya tidak mungkin mampu menguasai segalanya. Kekangan masa dan kewangan juga antara masalah yang dilalui," katanya yang percaya ia bakal dikomersialkan dalam tempoh dua tahun lagi.

Merancang untuk menambah lebih banyak elemen, termasuk memperluaskannya kepada ibadah haji, mungkin selepas dia menunaikan haji kelak.

"Apapun, aplikasi ini cuba membuktikan bahawa teknologi dan agama boleh bergerak seiring.

"Tambah pula, ini mampu membuang tanggapan bahawa umat Islam ketinggalan dalam bidang teknologi, lebih-lebih lagi teknologi virtual. Selain itu, dengan suntikan hiburan, ia boleh menarik minat muda-mudi untuk mendekati ibadah.

"Bukan sahaja orang Islam, bahkan orang bukan Islam juga boleh mendapat gambaran sebenar melaksanakan ibadah di Masjidil Haram menerusi aplikasi ini kerana mereka tidak dibenarkan menjejakinya," katanya memberitahu terdapat beberapa pihak yang telah menyuarakan minat untuk bekerjasama dengannya dalam membangunkan aplikasi ini.

Dimainkan menerusi satu laman web yang bakal didedahkan kelak dengan plug in virtools web player, orang ramai boleh melihat atau mencuba sendiri aplikasi ini yang buat pertama kalinya dipersembahkan kepada umum pada pameran projek-projek tahun akhir MMU yang berlangsung semalam dan hari ini di MMU, Cyberjaya.

Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai aplikasi ini atau mahu menghubungi Syed Huzaifah atas urusan berkaitan bolehlah mengirim emel kepada virtual.umrah@yahoo.com.


Oleh ADHAM SHADAN
-Kosmo!