Ahad, 20 Januari 2008

Saga baru perkukuh keyakinan Proton


KETIKA Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) yang mula beroperasi pada 1983, melancarkan kereta nasional pertama, Proton Saga, pada 1985, ramai rakyat yang tidak pernah memiliki kereta, dapat memilikinya kerana harganya sekitar RM20,000, amat rendah berbanding harga kereta lain sekelas dengannya ketika itu. Selepas enam tahun beroperasi iaitu pada 1991, Proton Saga bukan saja berjaya menjual sehingga 336,841 unit termasuk 40,271 dieksport, malah ia menguasai pasaran kereta dalam negara dengan mencatat 62 peratus daripada keseluruhan jualan kereta penumpang pada 1990. Ketika itu kereta turut dieksport ke 11 negara termasuk United Kingdom, Singapura, Eire, New Zealand, Jamaica, Mauritius, Brunei Darussalam, Bangladesh, Malta, Sri Lanka, Nauru dan Malawi. Tahun demi tahun, kereta nasional itu terus memikat rakyat Malaysia dan berjaya menembusi pasaran antarabangsa sehingga menjadi kebanggaan kita semua. Bagaimanapun, kejayaan itu sedikit demi sedikit terhakis apatah lagi dengan lambakan kemasukan kereta asing terutama dari Jepun dan Korea. Dengan harga kereta import yang agak kompetitif, pasaran kereta nasional merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Keadaan menjadi lebih kusut dengan berkuatkuasanya Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA) dengan setiap negara anggota membuka pintu pasaran keluar masuk dagangan termasuk industri automatif.

Lambakan kereta asing terutama dari Korea seperti model kenderaan Hyundai yang turut dipasang sepenuhnya (CKD) di negara ini, memberi saingan sengit kepada Proton. Thailand pula agak meninggalkan Malaysia dengan kehadiran syarikat automotif asing yang semakin rancak melabur di sana dan kini menjadi pengeluar pikap saiz kecil terbesar di dunia. Ia juga menjadi pusat penyelidikan untuk pelbagai jenama asing, contohnya Toyota, Honda, General Motors dan pelbagai lagi, manakala kita pula sebaliknya. Makin ramai syarikat yang mengecilkan pelaburannya. Terbaru, Ford sudah tidak mahu lagi beroperasi di sini dan menyerahkan jenama itu kepada Sime Darby. Syarikat lain cuma memasang kenderaan untuk pasaran tempatan dan tidak ramai yang mahu menjadikan Malaysia sebagai pusat pemasangan kereta mereka bagi rantau Asean ini. Proton sendiri, pada satu ketika kelihatan agak malap dan kurang mendapat sambutan sehingga mendorong kerajaan membenarkan syarikat kereta nasional itu mengadakan pakatan strategik dengan pengeluar kereta asing seperti Volkswagen dan General Motor.

Pakatan itu tidak menjadi kenyataan apabila pengurusan baru Proton yakin mereka dapat memulihkan syarikat itu selepas kejayaan model barunya, Persona, pada Ogos lalu. Sebelum itu, Proton memperkenalkan beberapa model seperti Waja pada 2000, Gen2 pada 2004, Savvy pada 2005 dan Satria Neo pada 2006. Bagaimanapun, Persona berjaya menarik semula perhatian apabila mencatat tempahan hampir 24,000 unit sejak dilancarkan pertengahan Ogos lalu. Jumaat lalu, Proton melancarkan model terbaru Proton Saga, sedan 1.3 liter yang dijual pada harga atas jalan antara RM31,500 hingga RM39,998 seunit. Ia menggantikan generasi Proton Saga yang kali pertama dilancarkan pada 1985. Model baru ini menggunakan teknologi kejuruteraan berasaskan maklum balas pasaran bagi menepati cita rasa pembeli. Dengan itu juga, Proton mengotakan sebahagian janjinya dalam menawarkan produk lebih pelbagai dan berkualiti. Kita mahu Proton meraih semula keyakinan pembeli terutama dari segi mutu kereta keluarannya. Sebagai bukti keyakinan terhadap kereta Proton, model baru Saga ini setakat ini sudah menerima tempahan lebih 6,000 unit sejak dibuka 1 Januari lalu. Kita berharap Proton terus unggul dan kembali menguasai kereta di atas jalan raya kerana sebagai syarikat kereta nasional, ia menjadi kebanggaan kita semua.

Berita Harian