
MUMBAI – Selebriti Bollywood, Aishwarya Rai diberikan skrip khas berhubung peranannya dalam filem terbaru yang diadaptasi daripada komik terkenal di Perancis, lapor sebuah akhbar semalam.
Bekas ratu cantik itu akan memegang peranan khas bersama watak terkenal dalam komik tersebut iaitu Asterix, Gaulish dan rakannya Obelix.
Bagaimanapun, peranan sebenar Rai masih lagi dirahsiakan tetapi sumber-sumber industri perfileman menyatakan bahawa penerbit filem itu menulis skrip khas kerana watak wanita tidak ada dalam siri komik berkenaan.
Filem yang akan ditayangkan ketika Sukan Olimpik Beijing 2008 bermula itu turut menampilkan pelakon veteran terkenal Gerard Depardieu yang melakonkan watak Obelix.
Artis terkenal Perancis, Christian Clavier tidak lagi membawa watak Asterix, sebaliknya dia digantikan dengan pelakon Clovis Cornillac.
Apa yang lebih menarik, Rai ialah satu-satunya wajah Asia yang menyertai barisan selebriti antarabangsa seperti legenda sukan permotoran Formula Satu, Michael Schumacher, pemain bola sepak Zinedine Zidane dan pelakon Hollywood, Jean Claude Van Damme.
Filem itu akan ditayangkan secara rasmi sempena Festival Filem Perancis di Mumbai pada lewat bulan ini.
Ia juga dianggap filem Eropah termahal kerana menelan belanja AS$93 juta (RM303 juta) dan ia merupakan filem ketiga Asterix yang diarahkan oleh Frederic Forestier serta Thomas Langmann berdasarkan adaptasi siri komik terkenal.
Sebahagian besar penggambaran filem itu dilakukan di Tunisia dan Maghribi.
– Agensi