
INDIANAPOLIS: Cucu kepada mendiang anggota perwakilan Amerika Syarikat, Julia Carson menang dalam pemilihan khas untuk menggantikannya, menjamin kedudukan kerusi Demokrat dan menjadi orang Islam kedua dipilih dalam Kongres. Andre Carson (gambar) menerima kira-kira 54 peratus undi berbanding kira-kira 43 peratus daripada wakil Republikan Jon Elrod selepas semua undi dikira. Carson menang dengan kelebihan 9,000 undi daripada hampir 85,000 undi keseluruhan.
Carson akan mewakili daerah yang meliputi hampir keseluruhan bandar ini sepanjang tahun. Dalam pemilihan Mei ini, beliau akan menuntut pencalonan Demokrat bagi tempoh penuh dua tahun.
Dalam ucapan kejayaannya, Carson memberitahu lebih 100 penyokong yang berkumpul di pinggir hotel di sini, bahawa beliau perlu 'bekerja keras.' Satu daripada keutamaannya ialah menamatkan perang di Iraq.
"Kita perlu membawa balik askar lelaki dan wanita ke tanah air dan menamatkan perang tidak berguna ini," kata Carson.
Pengurus kempen Elrod mengakui Carson pemenang dalam undian itu.
"Keputusan itu tidak akan mengubah pendiriannya untuk membawa perubahan kepada Washington dan memajukan Indianapolis," kata Kyle Casting.
Carson yang dibesarkan neneknya di gereja Baptist memeluk Islam lebih sedekad lalu. Carson akan menyertai perwakilan Keith Ellison, Demokrat Minnesota, sebagai satu-satunya anggota beragama Islam dalam Kongres.
Identiti agamanya hanya mendapat sedikit perhatian ketika kempen, dan Carson berkata ia tidak akan mengganggunya dalam politik.
"Saya seorang penduduk asal yang berbangga dengan keturunannya (Hoosier)," kata Carson selepas ucapannya malam kelmarin. "Saya secara tidak sengaja seorang Hoosier yang percaya kepada Islam."
Elrod masih berharap undian di saat akhir dan tidak mengaku kalah. Casting berkata, calon itu tidak akan mengalah sehingga undian terakhir dikira.
Di Indiana, Daerah 7 dikuasai Demokrat dan Carson mempunyai kelebihan pengumpulan dana berbanding Elrod tetapi Carson kemungkinan berdepan reaksi hebat berhubung aduan nepotisme politik.
- AP