
Hong Kong arah sekolah rendah, tadika ditutup
HONG KONG: Pihak berkuasa Hong Kong mengarahkan lebih separuh daripada pelajar sekolah rendah dan tadika tidak ke sekolah dan berada di rumah selama dua minggu mulai semalam selepas tiga kanak-kanak sekolah maut berikutan wabak selesema. Kerajaan meminta seorang daripada saintis terkemuka di wilayah itu menyiasat tiga kes terbabit tetapi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam berkata, keadaan di Hong Kong adalah sebagai satu wabak selesema bermusim.
Wabak berkenaan tidak dikaitkan dengan selsema burung yang dikesan terhadap ternakan burung di Hong Kong. Selesema burung masih sukar dijangkiti sesama manusia, walaupun saintis bimbang virus terbabit boleh berubah kepada bentuk baru yang lebih mudah menjangkiti manusia. Wabak baru selesema itu mengingatkan kepada wabak sindrom pernafasan yang teruk atau SARS yang juga membawa maut dan melanda selatan China pada November 2003 serta membunuh 299 penduduk di Hong Kong.
"Kerajaan mengarahkan semua tadika, sekolah rendah dan sekolah pendidikan khas ditutup selama dua minggu mulai semalam," kata Setiausaha Kesihatan, York Chow.
Bagaimanapun, beberapa pelajar dan ibu bapa mereka tidak mengetahui pengumuman dibuat kelmarin dan tetap ke sekolah seperti biasa. Di Sekolah Rendah Katolik Cho You, sembilan pelajar dilaporkan ke sekolah. Kakitangan sekolah mengambil suhu badan mereka dan memberikan topeng.
"Saya bimbang akan dijangkiti. Ramai rakan sekelas saya dijangkiti selesema. Saya bimbang," kata Winnie Ting, 9, yang turut memakai topeng sebelum tiba ke sekolah.
Pengetua, Chan Kwok-ming berkata, purata 20 pelajar mengambil cuti sakit setiap hari sejak beberapa hari lalu. Sekolah berkenaan juga akan memulakan cuti Easter lebih seminggu lagi dan ia berbeza bagi setiap sekolah. Chow berkata, mempercepatkan cuti berkenaan akan dapat mengurangkan jangkitan di kalangan pelajar sekolah dan mengurangkan kebimbangan masyarakat.
Chow turut memberitahu bahawa beliau bimbang dengan dua daripada kematian tiga kanak-kanak yang dirawat di hospital yang sama.
Penutupan sekolah terbabit akan membabitkan 560,000 pelajar di 1,745 sekolah, kata angka yang dikeluarkan pada tahun akademik 2006-2007.
- AP