
Siti Fadilah Supari
JAKARTA: Menteri Kesihatan Indonesia, Siti Fadilah Supari, mendakwa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Amerika Syarikat terbabit dalam konspirasi mengumpulkan sampel virus selesema burung di serata dunia untuk membolehkan pihak swasta menghasilkan vaksin. Beliau berkata, WHO mengumpulkan sampel virus H5N1 dari negara membangun seperti Indonesia dan Vietnam sebelum bekerjasama dengan firma farmaseutikal di negara kaya untuk menghasilkan vaksin.
“Saya tidak mengada-adakan cerita ini, saya menulis buku saya berdasarkan pengalaman. Ada bukti kukuh mengenai perkara ini,” katanya mengulas pendedahan dalam buku tulisannya bertajuk Saat Dunia Berubah, Tangan Tuhan di Sebalik Selsema Burung.
Katanya, beliau mula mengesyaki perkara itu apabila Indonesia gagal membeli ‘Tamiflu’ iaitu ubat antivirus bagi merawat dan mencegah selesema selepas ubat itu dikatakan habis dijual kepada negara membangun dan WHO tidak berbuat apa-apa mengenai masalah itu.
Selepas menghantar sampel selesema burung itu ke WHO secara percuma, Siti ditawarkan untuk membeli vaksin selesema burung berdasarkan virus H5N1 di Vietnam.
“Vaksin ini tidak dihasilkan di Vietnam, mereka tahu mengenainya dan saya rasa perkara sama berlaku kepada Indonesia. Mereka membuat untung berdasarkan sampel selsema burung kita manakala kita perlu membayar dengan mahal untuk mendapatkan vaksin,” katanya.
Katanya, masalah sama turut berlaku apabila WHO menawarkan vaksin cacar pada 2005.
“Saya sudah beritahu WHO bahawa kaedah mereka mengumpul virus di negara membangun adalah tidak adil, ia sama saja caranya seperti negara penjajah mengancam negara jajahan mereka,” katanya.
Siti semakin marah selepas mengetahui sampel selsema burungnya digunakan 15 saintis Makmal Los Alamos di Amerika di mana makmal itu menjadi pusat pembangunan senjata biologi oleh negara terbabit.
Penyelidik Kanan Pertahanan Bio, Kementerian Pertahanan, Isro Samiharjo, berkata sampel selesema burung itu mampu dijadikan senjata biologi.
- Agensi