
LANGKAH Kementerian Pengajian Tinggi mengkaji peraturan baru bagi mengelak pelajar asing menyalahguna pas pelajar untuk bekerja sepatutnya sudah lama dilaksanakan. Kita mengalu-alukan kenyataan Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang mahu pelajar asing mengemukakan bukti sumber penajaan ketika memohon untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi di negara ini bagi membendung masalah yang ditimbulkan segelintir mereka. Hakikat ada rakyat asing yang mengambil kesempatan daripada kelonggaran peraturan untuk belajar ketika berada di negara ini, memerlukan tindakan secara menyeluruh. Langkah menyegerakan kajian termasuk pelaksanaan peraturan berkenaan kerana masalah yang ditimbulkan pelajar semakin membimbangkan perlu mendapat kerjasama semua pihak. Kedatangan mereka pada awalnya dengan mendaftar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau swasta (IPTS), tetapi bekerja secara haram termasuk dalam kegiatan tidak bermoral, menambahkan lagi masalah kehadiran rakyat asing di negara ini. Banyak kegiatan maksiat terutama pelacuran dan terbaru menjadi penyeludup dadah tajaan sindiket dadah antarabangsa turut membabitkan pelajar warga asing.
Tindakan segelintir pelajar asing bukan saja mencemarkan imej negara mereka di kalangan rakyat negara ini, malah menyebabkan pelajar asing yang berada di pusat pengajian di negara ini, terganggu tumpuan mereka. Dianggarkan kira-kira 50,000 pelajar asing menuntut IPTA dan IPTS di negara ini dan jumlah berkenaan meningkat setiap tahun. Purata setiap tahun, 200 pelajar asing ditahan kerana menyalahgunakan pas belajar untuk bekerja. Jumlah itu membimbangkan kita kerana mereka melencong daripada tujuan asal untuk belajar, sebaliknya melihat kemakmuran dan peluang yang ada di negara ini untuk mencari rezeki. Langkah memperketatkan peraturan termasuk meminta mereka mengemukakan bukti penajaan sekurang-kurangnya dapat mengelakkan mereka menyalahgunakan pas yang diberikan. Bukti penajaan ini penting sama seperti penghantaran pelajar kita ke luar negara melalui penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau Mara. Malah, mereka yang dibiayai ibu bapa turut mengemukakan jumlah pendapatan bagi membolehkan anak mereka diterima belajar di luar negara. Ini adalah prosedur asas kebanyakan negara maju bagi memastikan pelajar yang datang ke negara berkenaan, semata-mata untuk melanjutkan pengajian bukan untuk bekerja. Negara seperti Britain, Australia dan Amerika Syarikat, mempunyai banyak peluang pekerjaan terutama pekerjaan kelas rendah untuk dilakukan.
Kita juga berharap IPTA dan IPTS perlu memastikan pelajar asing yang mendaftar pengajian mematuhi peraturan ditetapkan. Ini boleh dilakukan dengan mengetatkan kawalan pergerakan pelajar. Jangan sampai keinginan mengaut keuntungan menyebabkan mereka lupa tanggungjawab memastikan pelajar asing mematuhi peraturan negara. Ini penting kerana wujud institusi pengajian tinggi yang hanya ingin mengaut keuntungan dan membiarkan pelajar melakukan apa yang mereka suka di negara ini termasuk bekerja secara haram. Sudah sampai masanya kita memperketatkan peraturan bagi memastikan kebanjiran pelajar asing benar-benar tulen, bukan menggunakan status pelajar untuk bekerja di negara ini. Kita tidak mahu masalah ini berterusan kerana kebanjiran pekerja asing sama ada secara sah dan haram lebih banyak menimbulkan masalah daripada menyelesaikannya. Mereka bukan saja dilihat mengambil alih pekerjaan penduduk tempatan malah menyumbang kepada masalah sosial yang dihadapi negara sekarang.
Berita Harian